Showing posts with label Titah Adendum. Show all posts
Showing posts with label Titah Adendum. Show all posts

Friday, February 28, 2025

Titah adendum di bawah proses undang-undang, sila hormati – Sultan Pahang

suaramerdeka.com.my
 28 February 2025

KUANTAN 28 Feb. – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah meminta agar semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Adendum.

Paduka Baginda menegaskan bahawa ia telah berada di bawah proses undang-undang dan semua pihak perlu menghormatinya.

“Dalam soal Titah Adendum, bahawasanya perkara ini adalah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.

“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik.

“Saya menyeru kepada semua supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara,” titah Paduka Baginda ketika Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini semalam.

Baca: Titah Adendum perlu diselesaikan di mahkamah, bukan diulas semberono

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah. 

Monday, February 24, 2025

Himpunan Solidariti Sultan Pahang, 27 Februari ini

harakahdaily.net
February 24, 2025

KUALA LUMPUR: Satu himpunan ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ akan diadakan pada 27 Februari ini sebagai tanda solidariti kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu Titah Adendum.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, himpunan itu juga bertujuan untuk menyatupadukan orang Melayu dan Islam tanpa mengira ideologi politik, kaum dan agama rakyat di negeri itu.

“Kita di peringkat jawatankuasa penganjur telah menyediakan segala kemudahan yang diperlukan dalam himpunan itu, juga dengan kerjasama di peringkat Kerajaan Negeri Pahang.

“Pihak penganjur dengan ini menjemput secara rasminya dan terbuka kepada seluruh pimpinan-pimpinan di negeri Pahang dan juga di luar negeri Pahang, sama ada pimpinan politik, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), masyarakat dan seluruh rakyat untuk sama-sama kita berkumpul,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali dan Presiden Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama’, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.

Juga Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman dan Exco Sekretariat Anak Pahang Perantauan, Fadzil Che Lah.

Tambah beliau, himpunan berkenaan turut mendapat komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen di peringkat negeri Pahang.

“Kita juga menerima permintaan daripada pimpinan-pimpinan luar daripada Pahang khususnya di Kuala Lumpur ini untuk hadir dan kita telah membuat keputusan bahawa kita mengalu-alukan semua pihak dan pimpinan untuk hadir.

“Ini suatu tanda yang sangat baik kepada seluruh rakyat khususnya di negeri Pahang kerana pemimpin politik, NGO dan masyarakat telah bersatu padu dalam kita menumpahkan taat setia kepada Tuanku Sultan,” katanya.

Himpunan itu dijadual akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, bacaan Yasin, munajat, solat Isyak berjemaah di Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan bermula jam 7 malam dan akan dihadiri oleh Sultan Pahang sebelum bergerak ke Padang Majlis Bandaraya Kuantan. 

HARAKAHDAILY 24/2/2025

Thursday, February 13, 2025

Adendum: Pembangkang sengaja tak endah undang-undang, kata PM

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali, Alyaa Alhadjri & Ili Aqilah
Diterbitkan: Feb 13, 2025 12:43 PM
PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pembangkang tidak menghormati undang-undang negaraa apabila terus cuba membangkitkan soal titah tambahan (adendum) Yang di-Pertuan Agong kepada Najib Razak.

Anwar menegaskan hal itu selepas pembangkang terus mendesak meminta penjelasan mengenai apakah isu adendum turut memberi kesan terhadap kejatuhan pelaburan di negara ini.

Terdahulu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN - Machang) dalam soalan tambahanya mempersoalkan apakah punca aliran bersih keluar modal asing berkait dengan persepsi rasuah dan juga adendum yang difikirkan memberi kesan kepada kestabilan politik negara.

Soalan pemimpin Bersatu itu kemudian disusuki pula kritikan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN - Larut) yang tidak puas hati dengan cara jawapan disampaikan perdana menteri.

Anwar (PH-Tambun) kemudian menegaskan dan mengulangi komitmennya untuk menjelaskan isu adendum tersebut selepas kes di mahkamah diselesaikan.

"Soal tidak jawab adendum, saya dah bagi tahu. Saya nak jawab macam mana (sebab) ini kes mahkamah. Saya boleh jawab, saya dah bagi jaminan di parlimen.

“(Apabila) Selesai kes mahkamah saya akan jawab, saya nak tengok ketua pembangkang hadir atau tidak,” katanya disambut rasa tidak puas hati beberapa ahli parlimen blok pembangkang.

Kata Anwar, dia tidak keberatan dengan sikap ahli parlimen pembangkang yang terus tidak berpuas hati dan mereka boleh menjerit sebanyak mana yang dimahukan.

Bukan tak mahu dengar

Hal itu kerana, kata Anwar, dia tahu setiap fakta yang melatari isu berkenaan namun pihak pengkritikk terus mendesaknya agar menyentuh kedudukan raja-raja Melayu.

“Saya tidak boleh (melanggar batasan) dan saya dalam hal ini, boleh check, saya memang ada hubungi raja-raja.

"Pergi tanya Sultan Kelantan,” katanya.

Anwar juga sekali lagi menegaskan untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan selepas pertikaian di mahkamah berakhir.

"Tetapi saya tidak boleh (jelaskan) sekarang kerana kes itu di mahkamah. Tetapi pembangkang tidak peduli subjudice, tidak peduli kerana dia anggap dia above the law," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Tambah Anwar, dia membangkitkan soal adendum ketika itu kerana pembangkang mengaitkannya dengan hujah mendakwa ia menjadi punca pelaburan negara merosot.
Hamzah Zainudin
"Saya nak tanya angka ini dari mana? Pelaburan meningkat jadi cakap itu tidak bertanggungjawab. Sebab itu kita jawab tegas, cakap mengarut tidak berdasarkan fakta.

"Kalau bagi cadangan umpamanya Bursa Malaysia harus menjalankan reformasi, saya setuju, ada perubahan pimpinan Bursa Malaysia dengan maksud memberikan peluang reform.

"Ada cadangan awal tetapi saya setuju harus ditingkatkan tetapi kena faham juga dalam keadaan sekarang pun jumlah dagangan saham meningkat RM2 trilion.

“Ini yang saya bangkitkan… bukan masalah tidak mahu dengar, saya dengar tetapi kita tahu juga bahawa adendum inilah menyebabkan keyakinan," katanya.

Dalam sidang media selepas itu, Hamzah menafikan wujud soal subjudice.

"Sebab itu saya bangkit nak minta soalan yang timbul kepada saya tentang keyakinan pelaburan terhadap kerajaan Malaysia yang ada hari ini disebabkan banyak perkara, bukan hanya bab adendum.

"Tapi apabila perdana menteri bangkitkan adendum saya nak katalah, adendum keluar bulan Jan tetapi afidavit masuk beberapa bulan sebelum itu, mana ada subjudice.

"Kalau ada sikap keterbukaan dan berterus-terang, jawablah sebelum perkara ini dibawa ke mahkamah,” katanya.

Friday, February 7, 2025

Titah adendum: Najib bantah perintah larangan bersuara

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdu Rashid
Diterbitkan: Feb 7, 2025 11:41 AM
Najib Razak telah membantah permohonan kerajaan untuk perintah larangan bersuara (gag order) berhubung semakan kehakimannya yang dikaitkan dengan titah adendum yang membenarkannya menjalani tahanan rumah.

Pasukan undang-undang bekas perdana menteri dari Shafee & Co memfailkan afidavitnya dua hari lalu untuk membantah permohonan oleh wakil kerajaan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghalang media melaporkan tindakan sivilnya.

Dalam afidavit yang dilihat oleh Malaysiakini, Najib menegaskan bahawa tiada risiko segera untuk perbicaraan adil atau keselamatan negara Malaysia jika kes itu dilaporkan untuk penyebaran dan perbincangan awam.

"Tiada siapa yang mengesahkan afidavit yang mendakwa mengancam keselamatan negara dengan bukti yang mencukupi untuk menyokong perkara yang sama," kata bekas Ahli Parlimen Pekan itu dalam pemfailan yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib juga berhujah bahawa publisiti atau perbincangan kritis dan termaklum mengenai sesuatu kes tidak boleh secara automatik menjadi prejudis serius kepada prosiding undang-undang, sambil menyatakan bahawa AGC sentiasa boleh memulakan prosiding jenayah atau sivil terhadap sesiapa yang membuat kenyataan berbaur hasutan atau fitnah terhadap institusi diraja.

"Setakat ini, tiada laporan bahawa sebarang tindakan telah diambil terhadap mana-mana orang yang melakukan perbuatan sedemikian, oleh itu tiada risiko serta-merta atau ancaman kepada institusi diraja," kata Najib.

Dia menegaskan bahawa semakan kehakimannya bertujuan untuk memelihara institusi diraja dan mana-mana titah diraja, dengan mendakwa bahawa kerajaan persekutuan dan responden lain yang cuba menghalangnya daripada menguatkuasakan titah adendum itu.

Najib menolak dakwaan AGC bahawa perbincangan awam mengenai perkara itu boleh menjejaskan institusi diraja, sambil menyatakan bahawa AGC dan juga istana diraja mengeluarkan kenyataan media semasa kes itu dijalankan sebelum ini.

"Ini menunjukkan wujudnya wacana matang dan pelaporan seimbang mengenai isu yang sedang dihadapi dan bahawa permohonan responden ketiga (Peguam Negara) tidak mempunyai asas, menyebabkan risiko prejudis serius terhadap Institusi diraja jauh daripada nyata," kata Najib.

Pada 20 Jan, permohonan perintah larangan kerajaan difailkan atas alasan yang dinyatakan untuk menyekat kenyataan awam yang boleh mempersoalkan integriti dan kuasa Lembaga Pengampunan dan Agong.

Menurut permohonan perintah itu, kerajaan berusaha untuk menghalang mana-mana pihak, termasuk media, daripada menerbitkan, menyiarkan, atau menyebarkan apa-apa yang berkaitan dengan semakan kehakiman yang sedang berjalan.

Ia memohon perintah larangan bersuara terhadap penyebaran yang boleh menyebabkan perbincangan awam dan spekulasi yang mencetuskan keraguan, mempersoalkan, mencabar atau menghina prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kerajaan juga meminta perintah itu berhubung penyebaran yang boleh menimbulkan spekulasi dan kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti keputusan, fungsi dan kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong.

Jika mahkamah sivil membenarkan perintah itu, ia akan menghalang bukan sahaja media daripada melaporkan kes itu tetapi juga menghalang mana-mana anggota badan kehakiman dan peguam yang berurusan secara langsung dalam tindakan sivil daripada berkongsi dengan orang ramai salinan dokumen sulit yang dikaitkan dengan kes itu.

Semakan kehakiman Najib menuntut pelaksanaan titah adendum yang mengarahkan dia menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

[Baca laporan asal]

Tuesday, February 4, 2025

Dewan Rakyat kecoh pembangkang dakwa kerajaan derhaka titah Agong

malaysiakini.com
Shakira Buang & Ili Aqilah & Zarrah Morden
Diterbitkan: Feb 4, 2025 5:37 PM
PARLIMEN | Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul tidak membenarkan polemik berkaitan titah adendum oleh bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dibangkitkan pada sidang parlimen kali ini.

Ini berikutan beberapa ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak mencetuskan kekecohan di dalam dewan ketika Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin membangkitkan isu kewujudan titah adendum berkenaan dan isu derhaka kepada institusi diraja.

Johari membuat ketetapan itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mempersoalkan tindakan ahli parlimen pembangkang.

Selain itu dia turut melarang penggunaan perkataan derhaka untuk isu berkaitan titah adendum tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).

“Kita boleh menjerit (tentang titah adendum dan penderhakaan), tapi perkara itu telah diambil dan ketua pembangkang mengatakan (dakwa berlaku) sorokan (dalam isu titah adendum) telah dibuat, persembunyian telah dibuat.

“Saya rasa cukuplah setakat itu, bergerak ke hadapan. Banyak lagi perkara (nak dibincangkan) dan ini keputusan saya, baik saya putuskan.

“Oleh kerana ia 36(2) dan (isu titah adendum masih) dalam mahkamah dan perkataan derhaka juga (mengikuti Peraturan Mesyuarat) 36(7), saya tidak benarkan lagi (isu dan perkataan itu).

"Move forward (sudahlah). Sesiapa juga yang membangkitkan (perkara) melibatkan itu, saya akan ambil tindakan. Kalau tidak, tidak habis (bertegang urat mengenai isu titah adendum)," katanya.

[Laporan penuh menyusul]

Wednesday, August 28, 2024

Ismail Sabri harap Azalina rayu pembebasan Najib

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
- Ogos 28, 2024
Ismail Sabri dalam program Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang disiarkan, hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta kepemimpinan UMNO, terutama Datuk Seri Azalina Othmah Said yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengambil tindakan untuk mendapatkan pengampunan penuh terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Selain itu, Ismail Sabri yang juga bekas Naib Presiden UMNO, berkata permohonan untuk tahanan rumah terhadap Najib juga, seperti yang dikatakan terdapat dalam Titah Adendum sebelum ini, boleh dibawa semula ke mesyuarat Lembaga Pengampunan dan lebih mudah dilaksanakan ketika ini kerana tidak membabitkan proses mahkamah.

"Saya harap adalah kalangan daripada kita menghadap Yang di-Pertuan Agong minta supaya adendum itu dibawa semula ke dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) supaya Najib boleh menjalani tahanan di rumah atau meminta pengampunan terus.

"Saya harap boleh buat sesuatu. Saya juga harap kepemimpinan, terutama Datuk Seri Azalina yang satu ketika dahulu begitu garang, menghadap merayu kepada Agong," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang disiarkan, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri mendedahkan, Najib tidak pernah meminta bantuan daripadanya supaya beliau dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, sebaliknya hanya meminta perbicaraan terhadapnya dijalankan dengan adil.

Menjawab kritikan segelintir ahli UMNO yang mendakwa beliau tidak berbuat apa-apa untuk membantu Najib ketika menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri menegaskan beliau tidak mencampuri urusan mahkamah dan prinsip pengasingan kuasa di negara ini.

Ismail Sabri berkata, Najib dituduh ketika di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan keputusan yang mendapati Najib bersalah diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020, yang dibuat

berdasarkan fakta kes dan keterangan saksi, yang mana Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Beliau berkata, kes itu kemudian dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 2022, yang membabitkan aspek teknikal, seperti berlaku kesilapan dalam perundangan, ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

"Macam mana nak "expect" (jangka) saya panggil Ketua Hakim Negara dan sebagainya, beritahu "clearkan" (bebaskan). Ramai orang luar tidak tahu, Najib tidak pernah jumpa saya minta beliau dibebaskan, cuma beliau minta perbicaraan yang adil, itu saja.

"Masa itu, kita perlu lihat bukan hanya dalam negara saja. Jika mahkamah kita dianggap orang luar, boleh disusun (keputusannya), tiada siapa akan datang melabur kerana jika mereka ditipu, mahkamah tidak boleh pakai.

"Orang kata saya masukkan Najib dalam penjara... tidak betul, sebab keputusan awal di Mahkamah Tinggi dan itu yang menentukan sebab fakta kesan dan kenyataan saksi sudah dibaca," katanya.

Saturday, August 24, 2024

Pemuda UMNO tanya kerajaan, Titah Adendum Najib wujud atau tidak?

kosmo.com.my
Oleh HARRITH HISHAM
24 Ogos 2024, 9:52 pm
Dr. Akmal pada penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia m, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO meminta kerajaan untuk menjelaskan sama ada Titah Adendum (tambahan) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wujud ataupun tidak.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh membangkitkan perkara itu berikutan Titah Adendum itu dipercayai telah diserahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada pihak kerajaan.

“Kita ingin bertanya kepada kerajaan apakah benar Titah Adendum ini wujud atau tidak? Jika tidak wujud takkan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Naib Presiden (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) ini membohong.

“Jadi itu persoalan Pemuda UMNO kepada kerajaan yang ada hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, UMNO tidak menolak untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong sekiranya kerajaan tidak memberikan sebarang respons berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak akan dilakukan dalam masa terdekat ekoran Najib dalam tempoh rayuan bagi mencabar kewujudan Titah Adendum di Mahkamah.

“Mungkin kita boleh minta mohon menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk kita dapatkan apakah situasi yang sebenar berlaku.

“Tapi kena tangani perkara ini dengan bijak. Jadi, kita tunggu dan lihat keputusan mahkamah dan selepas itu kita akan mulakan langkah yang seterusnya,” jelasnya.

Terdahulu, Najib gagal mendapatkan kebenaran bagi membolehkannya mencabar kewujudan Titah Adendum tersebut yang didakwa mengandungi titah mengarahkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 9 April lalu, Ahmad Zahid dan Wan Rosdy masing-masing dalam afidavitnya berkata, mereka mengetahui mengenai titah itu selepas dimaklumkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

 – KOSMO! ONLINE
View Synonyms and Definitions

Friday, May 3, 2024

Dr Zaliha terus kunci mulut berkaitan Titah Adendum, minta rujuk ulasan PM

bharian.com.my
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
bhnews@bh.com.my
 - Mei 3, 2024 @ 2:31pm
Menteri Wilayah Perseketuan, Dr Zaliha Mustafa. - Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa enggan mengesahkan atau menafikan kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, Dr Zaliha yang juga Ahli Lembaga Pengampunan hanya bertindak mengunci mulut ketika diajukan persoalan berkenaan.

Beliau kemudiannya meminta semua pihak merujuk ulasan yang sudah diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu, baru-baru ini.

"Dah ada from (dari) Datuk Seri (Anwar), you just follow (anda hanya ikut) apa yang Datuk Seri dah sebut itu, nothing more from me (tiada apa dari saya)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Shah Alam pada 21 April lalu, menegaskan sebarang keputusan berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan berkenaan, biarpun ditohmah dan dilempar dengan pelbagai kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa.

Pada 1 April lalu, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri terbabit menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku 'saksi kritikal' yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-