Showing posts with label Sultan Pahang. Show all posts
Showing posts with label Sultan Pahang. Show all posts

Friday, February 28, 2025

Titah adendum di bawah proses undang-undang, sila hormati – Sultan Pahang

suaramerdeka.com.my
 28 February 2025

KUANTAN 28 Feb. – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah meminta agar semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Adendum.

Paduka Baginda menegaskan bahawa ia telah berada di bawah proses undang-undang dan semua pihak perlu menghormatinya.

“Dalam soal Titah Adendum, bahawasanya perkara ini adalah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.

“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik.

“Saya menyeru kepada semua supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara,” titah Paduka Baginda ketika Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini semalam.

Baca: Titah Adendum perlu diselesaikan di mahkamah, bukan diulas semberono

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah. 

Monday, February 24, 2025

Pertahan hak Islam dan kedaulatan Raja-raja Melayu

harakahdaily.net
February 24, 2025

KUALA LUMPUR: Umat Islam negara ini diseru untuk hadir ke himpunan solidariti kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan diadakan pada 27 Februari ini bertempat di Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan.

Presiden Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama’, Ustaz Ahmad Dusuki berkata, penting untuk rakyat negara ini bermunajat dan meminta bantuan daripada Allah berhubung pelbagai isu yang berlaku melibatkan hak-hak orang Islam.

“Apabila kita telah terganggu dan tergugat hak-hak sama ada yang disebut itu hak rakyat ataupun hak itu hak Tuanku, ataupun hak bangsa, agama dan negara kita yang dicemari dengan unsur-unsur yang menyebabkan pemisahan kekuatan umat Islam.

“Maka perlulah untuk kita pergi dan mengadu kepada Allah, untuk kita bermunajat kepada Allah dan meminta dengan sebenar-benarnya dengan Allah sebab inilah yang diajar oleh Nabi kita Muhammad SAW.

“Rasulullah diajar supaya kita jangan tinggal Allah dalam hidup kita ini sebagaimana yang disebut ‘kamu jaga Allah, Allah akan jaga kamu’. ‘Kalau kamu meminta, kamu minta lah kepada Allah’. ‘Kalau kamu nak memohon, kamu mohonlah kepada Allah’,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali serta Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman dan Exco Sekretariat Anak Pahang Perantauan, Fadzil Che Lah.

Tambah beliau, kedaulatan dan kekuatan yang sepatutnya dimiliki oleh Raja-raja Melayu kebelakangan ini turut dicemari dengan pelbagai perkara yang berlaku di dalam negara ini.

“Semua di kalangan kita ini kena tahu yang kita ini ada hak. Rasulullah menyebut ‘kamu kena tunaikan setiap hak di kalangan kamu’. Semua orang ada hak, Tuanku ada hak, rakyat ada hak, orang yang dalam penjara pun ada hak, orang di luar penjara pun ada hak.

“Allah sebut ‘kamu jangan buat zalim kepada mereka. Kalau kamu buat zalim kepada mereka, bila mereka mengadu kepada Allah, doa mereka itu akan didengari di sisi Allah’. Bahkan di dalam Al-Quran, kita akan jumpa banyak ayat-ayat yang Allah pesan kepada kita,” katanya. 

HARAKAHDAILY 24/2/2025

Himpunan Solidariti Sultan Pahang, 27 Februari ini

harakahdaily.net
February 24, 2025

KUALA LUMPUR: Satu himpunan ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ akan diadakan pada 27 Februari ini sebagai tanda solidariti kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu Titah Adendum.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, himpunan itu juga bertujuan untuk menyatupadukan orang Melayu dan Islam tanpa mengira ideologi politik, kaum dan agama rakyat di negeri itu.

“Kita di peringkat jawatankuasa penganjur telah menyediakan segala kemudahan yang diperlukan dalam himpunan itu, juga dengan kerjasama di peringkat Kerajaan Negeri Pahang.

“Pihak penganjur dengan ini menjemput secara rasminya dan terbuka kepada seluruh pimpinan-pimpinan di negeri Pahang dan juga di luar negeri Pahang, sama ada pimpinan politik, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), masyarakat dan seluruh rakyat untuk sama-sama kita berkumpul,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali dan Presiden Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama’, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.

Juga Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman dan Exco Sekretariat Anak Pahang Perantauan, Fadzil Che Lah.

Tambah beliau, himpunan berkenaan turut mendapat komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen di peringkat negeri Pahang.

“Kita juga menerima permintaan daripada pimpinan-pimpinan luar daripada Pahang khususnya di Kuala Lumpur ini untuk hadir dan kita telah membuat keputusan bahawa kita mengalu-alukan semua pihak dan pimpinan untuk hadir.

“Ini suatu tanda yang sangat baik kepada seluruh rakyat khususnya di negeri Pahang kerana pemimpin politik, NGO dan masyarakat telah bersatu padu dalam kita menumpahkan taat setia kepada Tuanku Sultan,” katanya.

Himpunan itu dijadual akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, bacaan Yasin, munajat, solat Isyak berjemaah di Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan bermula jam 7 malam dan akan dihadiri oleh Sultan Pahang sebelum bergerak ke Padang Majlis Bandaraya Kuantan. 

HARAKAHDAILY 24/2/2025

Wednesday, August 21, 2024

Muhyiddin: Aset atau liabiliti

freemalaysiatoday.com
Mohsin Abdullah-21 Aug 2024

Rasanya Bersatu bukanlah naif sehingga tidak tahu masalah bos mereka sekarang boleh membawa padah.


Tidak dinafikan Muhyiddin Yassin berjasa kepada Bersatu sekali gus Perikatan Nasional. Jasa paling besar beliau ialah menggerak dan menjayakan Langkah Sheraton, dengan itu PN menjadi kerajaan. Dalam lain perkataan, jasa Muhyiddin yang membuatkan PN dapat memerintah negara.

Kalau bercakap mengenai aset bagaimana? Adakah Muhyiddin aset untuk Bersatu dan PN? Terserah kepada pendapat masing-masing terutama orang Bersatu dan PN sendiri. Atau adakah beliau liabiliti? Pada hemat saya jika Muhyiddin pernah menjadi aset, kini beliau sudah menjadi liabiliti.

Mengapa? Kerana masalahnya dengan Istana Pahang, malah institusi raja.

Umum tahu Istana Pahang membuat laporan polis terhadap Muhyiddin kerana seolah-olah menyatakan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 gagal menghormati Perlembagaan kerana tidak melantik beliau sebagai perdana menteri berikutan keputusan PRU15. Muhyiddin meluah kata-kata sedemikian pada satu majlis ceramah semasa kempen PRK Nenggiri tempoh hari. Ucapannya dimuat naik ke media sosial.

Tengku Mahkota Pahang murka dan mendakwa Muhyiddin memanipulasikan fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih perdana menteri ke-10.

Seingat saya ini julung-julung kali seorang putera raja mengkritik lantang dan secara terbuka terhadap seorang pemimpin politik. Jelas ia mempunyai kesan bukan sahaja kepada Muhyididn tetapi juga kepada partinya dan gabungan politik yang dipimpinnya.

Benar Muhyiddin sudah tampil berkata beliau tidak bermaksud hina institusi raja. Pada masa sama beliau tetap menegaskan ucapannya adalah ‘kenyataan fakta’. Terpulang interpretasi masing-masing namun biarlah polis menjalankan siasatan. Proses rakaman percakapan Muhyiddin akan diberitakan dijalankan hari ini. Ia mulanya dijadual semalam tetapi ditangguhkan ke hari ini kerana Muhyiddin berada di luar negara. Begitu kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain menurut laporan Malaysiakini.

Walau apapun, apa yang didakwa diucap di Nenggiri dan penegasan apa yang diucap adalah ‘fakta’ memberi tekanan kepada Bersatu dan PN. PAS rakan kongsi Bersatu dalam PN setakat ini belum mengeluarkan reaksi rasmi. Memilih untuk mendiamkan diri.

Bagaimanapun dilaporkan 17 Adun PN di dalam Dewan Undangan Negeri Pahang mungkin berdepan dilema apabila tidak mempunyai pilihan kecuali menyatakan sikap masing-masing terhadap ucapan kontroversi Muhyiddin. Speaker DUN Pahang Sharkar Shamsudin dipetik media berkata:
Semua ahli yang berhormat di negeri ini perlu menyatakan pendirian tegas berhubung perkara tersebut kerana baginda Sultan Pahang merupakan sebahagian daripada dewan perundangan negeri. Selain itu beliau berkata
ia juga melibatkan air muka dan maruah rakyat Pahang yang sentiasa menjunjung titah baginda sultan yang menjadi payung negeri ini.

Nyata Adun PN tersepit di antara kesetiaan pada Muhyiddin dan kesetiaan pada sultan, dan juga berdepan isu air muka dan maruah rakyat Pahang yang mereka wakili.

Kesudahannya Adun PN negeri menyatakan sokongan penuh kepada Tengku Mahkota Pahang berhubung gesaan supaya Muhyiddin disiasat.

Ketua pembangkang negeri dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengisytiharkan taat setia mereka yang tidak berbelah bahagi kepada Tengku Mahkota Pahang dan ayahandanya, Al-Sultan Abdullah.

Masalah yang dihadapi PN bukan sahaja di Pahang. Oleh itu beberapa penganalisis memberitahu FMT bahawa PN perlu menggantikan Muhyiddin jika tidak mahu ditolak pada PRU16. Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kenyataan Muhyiddin berunsur 3R yakni kaum, agama, dan raja berpotensi merosakkan reputasi PN. Menurut beliau ramai dalam kalangan rakyat menyifatkan isu 3R dalam kempen politik sebagai tidak bertanggungjawab.
Ucapan keterlaluan hanya mendorong pengundi memilih alternatif lebih stabil dan bersifat sederhana, dan jika gagal kata beliau, PN boleh rugi untuk jangka panjang.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antrabangsa Malaysia pula dipetik berkata tindakan Muhyiddin berkemungkinan dilakukan sesiapa sahaja pembangkang yang tidak dipilih menjadi perdana menteri. Cuma kata beliau, kenyataan 3R Muhyiddin itu telah melampaui batas sehingga Tengku Mahkota Pahang mengeluarkan kenyataan murka. Lau membayangkan isu ini akan menjadi modal jangka panjang lawan PN.

Kesimpulannya Muhyiddin menyusahkan PN. Mungkin PAS tahu itu semua dan kerana itulah ia berdiam diri sehingga sekarang?

Rasanya Bersatu bukanlah naif sehingga tidak tahu masalah bos mereka sekarang boleh membawa padah lantas Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal cuba menyakinkan umum dengan dakwaan ucapan Muhyiddin telah disunting pihak musuh. Tetapi kata-kata Muhyiddin sendiri bahawa apa yang diucapkan berdasarkan ‘fakta’ tidak mengikut naratif si ketua Pemuda.

Jika ikut peringatan penganalisis yang dilapor FMT, PN perlu cari pengganti Muhyiddin untuk kebaikan diri sendiri. Dalam Bersatu ada yang memang cukup minat mengambil alih jawatan presiden tetap terpaksa memendam hasrat ekoran pelan damai yang diutarakan Muhyiddin.

Muhyiddin sendiri pernah berkata beliau tidak mahu mempertahankan jawatan pada pemilihan parti tahun ini. Ertinya mahu bersara tetapi mengubah fikiran setelah isterinya menyakinkan beliau the party still need you. Ini didedahkan Muhyiddin sendiri.

Namun sekarang timbul masalah yang semua maklum. Maka diulangi adakah Muhyiddin kini satu beban buat Bersatu dan PN? Bersatu boleh menjawab, PN boleh jawab. Yang paling penting Muhyididn perlu jujur menjawab sendiri.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Thursday, January 31, 2019

Sultan Abdullah lafaz sumpah jawatan Agong ke-16

Diterbitkan Hari ini 11:29 tengahari


Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di Kuala Lumpur.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda berdua dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Jan lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja Melayu.
Sultan Abdullah, 59, dan Sultan Nazrin, 62, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Johor, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan manakala Pahang diwakili Pemangku Raja.

Hadir sama adalah Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai saksi.

Sultan Abdullah turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya membacakan kandungan surat perisytiharan itu, bermulanya secara rasmi Sultan Abdullah sebagai Ketua Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.

Memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar memohon kesejahteraan ke atas baginda berdua serta seluruh rakyat dan negara ini.

Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V, yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Jan selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Dis 2016.

Terdahulu, keberangkatan Sultan Abdullah ke Istana Negara selepas istiadat keberangkatan tiba di Dataran Parlimen diiringi kenderaan pengiring diraja.

Sultan Abdullah menerima Kawalan Kehormatan Darjat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja terdiri daripada tiga pegawai dan 31 anggota yang diketuai Mej Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi sebaik kenderaan diraja yang membawa Yang di-Pertuan Agong melintasi pasukan itu ketika menuju Anjung Utama, Istana Negara.

Serentak itu, Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja yang dianggotai seorang pegawai dan 33 anggota dipimpin Mej Abdul Aziz Abdullah memainkan lagu Negaraku.

Thursday, January 24, 2019

Sultan Pahang dipilih sebagai Agong baru

Hariz Mohd 
Diterbitkan Hari ini 2:29 tengahari


Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, kata sumber-sumber kepada Malaysiakini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula sekali lagi dipilih sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi pemilihan itu di Istana Negara, Kuala Lumpur yang selesai pada 12.45 tengah hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin itu berlangsung selama lebih satu jam.

Mesyuarat dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan.

Pemilihan itu diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 6 Januari lepas.

Setakat laporan ini ditulis, kenyataan rasmi mengenai pelantikan itu masih belum dikeluarkan.

Wednesday, August 3, 2016

'Ratu Naga' disoal SKKM kerana komen Rosmah 'manja, comel dan lucu'

Minderjeet Kaur

Dia mendakwa disoal hampir tujuh jam kerana muatnaik catatan pada gambar yang diambil dari majlis rumah terbuka PM
PETALING JAYA: Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali sebagai ‘Ratu Naga’, berkata dia disoal siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bukit Aman kerana catatan Facebook menyentuh isteri Perdana Menteri Datin Seri Paduka Rosmah Mansor dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Menceritakan kejadian itu, beliau mendakwa anggota polis masuk ke rumah pada jam 10 pagi Selasa dan menyoalnya lebih tiga jam berhubung catatan pada 30 Julai jam 11.21 malam yang berbunyi: “Nampak manja, comel dan lucu”.

Dia muatnaik catatan itu bersama gambar Rosmah dan Najib yang diambil di satu majlis rumah terbuka Hari Raya di Pekan, Pahang.

Perunding pembinaan berusia 35 tahun itu berkata pegawai turut menggeledah kenderaan, rumah dan barangannya.

“Cara mereka geledah rumah saya seolah saya seorang pembunuh,” katanya kepada FMT, dan menambah dia rasakan tidak ada apa yang salah dengan catatannya itu.

Dia tidak akan memadam komennya kerana catatan itu pandangan peribadinya terhadap Rosmah. “Apa salahnya mengatakan seseorang itu manja, comel dan lucu?” soalnya.

Selepas rumah digeledah dan disoalsiasat, Syarul Ema mendakwa dia diarah supaya hadir ke pejabat SKMM di Cyberjaya pada jam 3 petang dimana dia disoal selama empat jam.

“Mereka tanya mengapa saya muatnaik catatan itu. Saya jelaskan kepada mereka yang saya tak ada niat jahat. Saya tak tulis apa-apa yang jahat mengenai Sultan pun.”

Katanya dia diberitahu akan didakwa dibawah Akta SKMM dan menambah, “saya juga perlu beli telefon bimbit baru.”

Pada Februari tahun ini, Syarul Ema didakwa menghina perdana menteri dengan kata-kata kesat dalam satu catatan Facebook melalui profil ‘Ratu Naga’. Dia didakwa kerana menggunakan aplikasi rangkaian untuk membuat dan memulakan komen yang menggusarkan terhadap Najib berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di laman Facebook pada 6 Oktober 2015 jam 12.02 pagi.

Tuesday, August 2, 2016

Gambar Rosmah, Sultan Pahang dimanipulasi, Umno Pekan lapor polis

Bernama
 August 1, 2016

Makalah dengan paparan gambar PM, isteri dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang didakwa dicantum di muatnaik di media sosial
KUANTAN: UMNO Bahagian Pekan hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam media sosial yang didakwa dimanipulasi oleh pihak tertentu dengan tujuan tidak baik.

Laporan dibuat oleh anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan Mohd Zaidin Mohamad di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan pada kira-kira 10.30 pagi ini.

“Saya telah membaca satu artikel yang dimuat naik dalam beberapa akaun media sosial dengan paparan gambar yang telah dicantum iaitu gambar-gambar Sultan Pahang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri yang dilihat telah dimanipulasi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya, beliau percaya gambar itu berniat untuk menjejaskan nama baik Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, perdana menteri dan isteri.
Mohd Zaidin berkata beliau meminta pihak berkuasa agar segera menyiasat tentang penyebaran gambar berkenaan bagi membawa mereka yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-