Showing posts with label Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi). Show all posts
Showing posts with label Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi). Show all posts

Friday, February 28, 2025

Isu beras: Kajian MARDI buktikan rakyat ditipu

harakahdaily.net
February 28, 2025
SHAH ALAM: Hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkenaan percampuran antara beras tempatan dan beras import menunjukkan rakyat Malaysia telah ditipu dan dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, kerajaan didesak bersikap jujur dan agresif terhadap isu beras yang masih tidak selesai hingga ke saat ini.

“Apakah yang menjadi halangan untuk kerajaan bertindak dengan cekap bagi menangani masalah ini? Sampai bila rakyat perlu ditabur dengan harapan palsu? Hari ini, rakyat terpaksa membeli beras import yang jauh lebih mahal berbanding harga beras tempatan yang dijual pada harga RM2.60 sekilogram.

“Secara logik, beras tempatan mustahil hilang begitu sahaja kerana padi masih tetap ditanam dan dituai. Malah beras tempatan sepatutnya mampu menampung permintaan lebih 60 peratus rakyat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan yang dilihat lambat bertindak di dalam polemik beras tempatan yang ‘ghaib’ di pasaran tempatan selama lebih dua tahun walaupun mempunyai kuasa sejak awal isu ini berlaku.

“Hasil percampuran beras ini dipercayai dilakukan oleh pengilang yang sengaja mahu mengaut keuntungan lebih apabila dapat menjual campuran beras ini pada harga yang lebih mahal.

“Namun, tindakan ini seakan direstui Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sendiri apabila mencadangkan pada Januari lepas berkenaan percampuran beras untuk mencukupkan bekalan beras.

“Idea ini seolah-olah mahu memperbodohkan rakyat dan mahu menormalisasikan manipulasi beras yang sedang dilakukan,” ujarnya.

Justeru, beliau memaklumkan pihaknya dengan tegas menggesa kerajaan untuk mengambil serius dalam isu berkenaan.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan tetapi mahu melihat tindakan. Semoga pengumuman penjualan beras tempatan RM26 untuk kampit 10 kilogram mulai 1 Mac ini bukanlah suatu janji palsu,” katanya.

 – HARAKAHDAILY 28/2/2025

Thursday, February 27, 2025

Skandal beras: Kerajaan ‘bersilat’ sementara rakyat ditipu hidup-hidup

harakahdaily.net
February 27, 2025
Ahmad Fadhli Shaari

Sekali lagi, kerajaan berjaya menampilkan kebolehannya dalam satu perkara: membiarkan rakyat ditipu tanpa tindakan tegas. Kali ini, skandal yang terbongkar melibatkan makanan ruji rakyat Malaysia – beras. Kajian terbaru oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati bahawa 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang diuji didapati telah dicampur dengan beras putih tempatan (BPT). Ini bukan sahaja satu bentuk penipuan ke atas pengguna, tetapi juga mengancam keterjaminan makanan negara.

Penipuan ini bukanlah perkara baharu. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai laporan mengenai manipulasi harga dan kualiti beras telah didedahkan. Oktober 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar satu sindiket penipuan dalam pembekalan beras yang melibatkan sebuah syarikat di Kedah. Syarikat ini menerima kontrak bernilai lebih RM100 juta setahun tetapi gagal membekalkan beras seperti yang dijanjikan. Hasilnya? Kenaikan harga beras tempatan, kekurangan bekalan di pasaran, dan rakyat dipaksa membeli beras pada harga yang lebih tinggi. Namun, adakah kita mendengar tindakan tegas kerajaan? Tidak.

Jika benar terdapat bekalan beras putih tempatan yang dicampur dengan beras import, persoalan yang lebih besar timbul: dari mana datangnya beras tempatan ini? Pada tahun 2023, kerajaan mengumumkan bahawa pengeluaran beras putih tempatan adalah sekitar 1.57 juta tan metrik setahun, mencukupi untuk memenuhi 62% permintaan dalam negara. Namun, sejak kebelakangan ini, beras tempatan sering mengalami kekurangan bekalan. Adakah ini bermaksud ada pihak yang mengambil kesempatan dengan ‘mengalihkan’ beras tempatan ke pasaran lain dan seterusnya mencampurkannya ke dalam beras import untuk mendapatkan keuntungan lebih tinggi? Jika ya, ini adalah satu pengkhianatan besar terhadap rakyat.

Mengapa manipulasi ini berlaku? Salah satu punca utama adalah kelemahan dalam sistem kawal selia industri beras di Malaysia. Tiada akta khusus yang melarang pencampuran BPT dengan beras import, menyebabkan eksploitasi berleluasa. Lebih parah, kerajaan sendiri masih dalam ‘perbincangan’ untuk memperkenalkan peraturan baharu. Dengan kata lain, kerajaan mengaku mereka sedar tentang masalah ini, tetapi masih tidak bertindak tegas. Mungkinkah mereka sedang menunggu lebih ramai rakyat tertipu sebelum bertindak?

Pada tahun 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penuh semangat berjanji akan mengheret mereka yang terlibat dalam skandal ini ke muka pengadilan. “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menipu rakyat,” katanya. Namun, berkali-kali janji PMX ini sukar untuk dipercayai. Rakyat masih menunggu, tetapi seperti biasa, janji hanya tinggal janji. Ditambah pula dengan jawapan Perdana Menteri dalam sesi PMQT beberapa minggu lepas di Dewan Rakyat seolah-olah isu ini sudah selesai. Rupa-rupanya lebih teruk dari itu!

Siapakah yang Perlu Dipertanggungjawabkan?

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) – Seharusnya kementerian ini menjadi benteng utama dalam memastikan pengurusan beras negara adalah telus dan berintegriti. Malangnya, setakat ini, mereka hanya memberikan kenyataan ‘akan menyiasat’ tanpa tindakan konkrit.

MARDI – Walaupun berjaya membongkar skandal ini, mereka tidak boleh sekadar mengeluarkan laporan tanpa menggesa tindakan lebih tegas. Laporan polis harus segera dibuat terhadap pihak yang bersalah.

Syarikat Pemborong dan Pembekal Beras – Siapa yang mendapat manfaat daripada pencampuran ini? Adakah syarikat-syarikat tertentu yang telah lama memonopoli industri beras terlibat? Jika ya, SPRM wajar menyiasat segera.

Kerajaan – Akhirnya, segala kelemahan ini berpunca daripada dasar yang tidak ketat dan penguatkuasaan yang longgar. Kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan ini.

Kalau dahulu, sudah tentu Pakatan Harapan akan mendesak menteri yang terlibat meletak jawatan. Tapi kali ini, kita tidak mahu desakan seperti itu. Mengapa? Kerana walaupun menteri letak jawatan, jika Perdana Menteri masih orang yang sama, masalah tetap tidak akan selesai. Oleh itu, hadap dan selesaikan masalah ini segera sementara masih ada mandat. Jangan tunggu pilihan raya akan datang, kerana selepas itu, boleh jadi kamu tidak lagi punya peluang untuk bertindak.

Percayalah, rakyat sudah muak dengan alasan dan janji kosong. Beberapa langkah drastik perlu segera diambil:MARDI atau KPKM harus segera membuat laporan polis dan memburu pihak yang terlibat dalam skandal ini.
SPRM perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sama ada wujud unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam industri beras.
Akta khas perlu digubal segera bagi melarang pencampuran beras tempatan dengan beras import tanpa kawalan ketat.
Syarikat yang terlibat dalam manipulasi bekalan beras wajib dikenakan tindakan tegas, termasuk denda berat dan penarikan lesen operasi.

Kerajaan tidak boleh terus bermain wayang dan mengalihkan perhatian rakyat dengan isu-isu lain sementara skandal besar seperti ini berlaku di depan mata. Ini adalah soal kepercayaan rakyat dan keterjaminan makanan negara. Dan untuk rakyat, percayalah inilah akibatnya jika memilih orang yang salah untuk memimpin negara. Baginya, lebih baik menjadi hero di pentas dunia berbanding membela nasib rakyatnya sendiri. Itupun, kelihatan pentas dunia tidaklah mengiktirafnya sebagai hero!

KETUA PENERANGAN PAS MALAYSIA/ AHLI PARLIMEN PASIR MAS
AHMAD FADHLI SHAARI

Wednesday, February 26, 2025

50 peratus dari 5,000 sampel beras import dicampur beras tempatan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 4:26 PM
Pusat Penyelidikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa telah dicampur beras putih tempatan.

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Mardi, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, berkata kajian tersebut dijalankan dengan menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh membezakan antara beras putih tempatan dan import.

“Sebanyak 5,000 sampel diambil secara rawak dari 55 kampit beras yang dirampas. Setiap satu kampit beras, sebanyak 95 sampel telah diambil.

"Dalam tempoh antara tiga dan lima hari, kita boleh buat analisis ke atas 950 sampel,” katanya pada sidang media di Serdang hari ini.

Mohd Shahril Firdaus berkata tempoh kajian bermula penghujung 2023 dan berterusan sehingga Mac 2024 iaitu sejak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mewujudkan Pasukan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan untuk mengenal pasti rantaian beras putih tempatan.

“Laporan kajian kami serahkan kepada pihak berkuasa yang menghantar sampel kepada kami iaitu Kawalselia Padi Beras (KPB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

Menurut Mohd Shahril Firdaus, 10 varieti padi bersubsidi termasuk MR303, MR307, MR315, Padi Putra 1 dan Padi Putra 2 dijadikan sebagai penjujukan kajian.

Katanya kajian menggunakan teknologi berkenaan dilaksanakan susulan permintaan pihak berkuasa seperti KPB dan KPDN yang bertanggungjawab melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan.

Untuk rekod, KPDN menerima 47 aduan berkaitan isu berkenaan termasuk dipercayai campuran beras tempatan dengan beras import sepanjang tempoh pelaksanaan Op Jamin yang berlangsung antara 7 Julai hingga 2 Sept 2023.

Pada 9 Okt lalu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan akan memperkenalkan peraturan melarang campuran beras putih tempatan dengan beras putih import sebagai antara strategi utama menyelesaikan isu kekurangan beras putih tempatan.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-