Thursday, February 27, 2025

Kenapa PAS diam MCA cadang pilihan raya PBT, soal Lip Eng

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 27, 2025 9:46 AM
Mengapa PAS berdiam diri terhadap gesaan Presiden MCA Wee Ka Siong supaya kerajaan mengembalikan semula pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur, soal Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Lim menyatakan bahawa ia sangat berbeza dengan PAS sebelum ini yang lantang menentang cadangan serupa oleh DAP beberapa bulan lalu.

Kata pemimpin DAP itu, PAS ketika itu menentang sekeras-kerasnya idea berkenaan, dengan menggunakan tragedi 13 Mei 1969 sebagai cara untuk menakutkan orang ramai dengan retorik perkauman yang lapuk.

Bagaimanapun, Lim berkata, apabila MCA membuat permintaan yang sama, PAS memilih untuk berdiam diri.

"Jelas sekali, PAS dan MCA hanya memainkan isu perkauman apabila ia menguntungkan mereka. Jika benar PAS berpegang teguh pada prinsip menolak pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan), mengapa mereka tidak menyerang MCA sebagaimana mereka menyerang DAP?

"Atau adakah 'prinsip' PAS ini sebenarnya tidak wujud, dan mereka hanya menyalak apabila ia memberi keuntungan politik? soal Lim.

Lim juga mempersoalkan sama ada PAS dan MCA bersekongkol secara rahsia, menggunakan isu perkauman untuk meneruskan agenda mereka sendiri.

"PAS dan MCA bukanlah pejuang rakyat, apatah lagi pembela keadilan. Mereka hanyalah ahli politik oportunis yang sanggup meniup api perkauman apabila ia menguntungkan mereka tetapi menikus apabila rakan sekutu sendiri terlibat.

"Hipokrasi sebegini tidak boleh dibiarkan berterusan. Rakyat harus menolak politik kotor dan penuh sandiwara ini sebelum ia merosakkan negara lebih jauh,” tambah Lim.

Gesaan untuk mengembalikan pilihan raya majlis tempatan, yang dimansuhkan berikutan rusuhan kaum pada 1969, telah menjadi isu pertikaian selama bertahun-tahun.

Penyokong idea itu berhujah bahawa ia akan memberi penduduk suara yang lebih kuat dalam tadbir urus tempatan, manakala yang menentang bimbang ia boleh mencetuskan ketegangan kaum dan menjejaskan kestabilan iklim politik.

Awal minggu ini, Wee menggesa mengadakan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur, dengan menyatakan kekurangan perwakilan rakyat yang hanya terhad kepada ahli parlimen.

Kata Wee, pilihan raya tempatan akan membolehkan lebih ramai wakil rakyat (ahli majlis tempatan) membantu ahli parlimen dalam menangani isu penduduk tempatan dan menyelesaikan kebimbangan masyarakat.

Pada Oktober tahun lalu, DAP Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mereformasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan membenarkan pelantikan ahli majlis.

DAP Wilayah Persekutuan sebelum ini juga menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan di ibu negara. Gesaan itu mendapat tindak balas yang meluas daripada seteru dan sekutu politik, serta laporan polis daripada Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Pada Disember 2023, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan bukan keutamaan.

Nga menegaskan bahawa dia sentiasa berhubung dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berhubung perkara itu.

Zaliha sebelum ini berjanji akan mengadakan perbincangan dengan Nga mengenai perkara itu dan menegaskan terdapat lebih banyak isu penting yang perlu diberi keutamaan, termasuk tadbir urus hartanah strata.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-