Hamidah Mat
Diterbitkan: Feb 27, 2025 9:00 AM
Bayangkan seorang pekerja yang bekerja sepanjang tahun tanpa cuti. Setiap hari, dari pagi hingga ke malam, pekerja tersebut perlu menyelesaikan tugas-tugas berat tanpa henti.
Lama-kelamaan, tenaganya semakin berkurang, mentalnya makin penat, tahap stres meningkat, dan akhirnya dirinya berisiko mengalami keletihan yang melampau. Begitulah juga organ-organ dalam tubuh manusia, khususnya sistem pencernaan, yang sentiasa bekerja tanpa rehat.
Setiap kali kita makan, perut, usus, hati, dan pankreas perlu bertungkus-lumus memproses makanan, menyerap nutrien, dan membuang sisa toksin. Jika tiada tempoh rehat, sistem ini boleh mengalami tekanan berlebihan, meningkatkan risiko pelbagai penyakit seperti obesiti, diabetes, dan masalah pencernaan.
Allah Maha Pemurah, Yang Maha Menciptakan semua ini kepada hambanya tanpa perlu bayar mahupun usaha. Proses makan yang penting untuk kelangsungan hidup ini berlaku tanpa perlu kawalan. Namun, nikmat ini perlu diselenggara dan dipelihara.
‘Healing’ untuk tubuh
Amalan puasa berperanan sebagai ‘healing’ kepada tubuh, memberikan peluang kepada organ-organ dalaman untuk memperbaiki diri dan berfungsi dengan lebih baik. Islam telah menetapkan ibadah puasa sebagai satu kewajipan dalam bulan Ramadan, bukan sekadar untuk membentuk ketakwaan tetapi juga sebagai satu bentuk ‘reset’ bagi tubuh dan jiwa.
Sebagaimana yang saya nukilkan dalam buku Anatomi Puasa, puasa ialah ibadah klasik, istimewa dan unik kerana puasa bukan hanya ibadah yang bermotifkan spiritual, malah menyumbang kepada penyelenggaraan fizikal tubuh badan dan emosi manusia.

Dalam Islam, puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum tetapi juga mengawal emosi, nafsu, dan tingkah laku. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183:
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
Ayat ini menunjukkan bahawa tujuan utama puasa dalam Islam adalah untuk meningkatkan ketakwaan dan memperkukuh hubungan manusia dengan Allah SWT. Taqwa, ibarat dinamo bagi diri seorang muslim yang akan menentukan tingkah laku terhadap Allah Taala dan sesama manusia.
IF amalan pemakanan menuju sihat
Di sisi lain, amalan pemakanan moden seperti intermittent fasting (IF) juga diiktiraf dalam dunia perubatan sebagai pendekatan yang berkesan untuk meningkatkan kesihatan.
IF juga dikenali sebagai puasa terapeutik yang merupakan satu usaha untuk mengekalkan gaya hidup sihat bagi memastikan kesihatan tubuh badan.
Salah satu prinsip asas IF adalah menghadkan pengambilan makanan dalam tempoh tertentu, tetapi masih dibenarkan untuk minum air kosong yang tidak mengandungi gula atau bahan tambahan lain.
Terdapat beberapa jenis IF yang diamalkan pada masa kini. Bentuk IF yang sering dilakukan ialah kaedah 5:2, iaitu mengurangkan pengambilan makanan selama dua hari dalam seminggu, serta kaedah 16:8, iaitu berpuasa selama 16 jam setiap hari dan hanya makan dalam tempoh 8 jam.
IF dapat merangsang autophagy, iaitu proses pembersihan sel yang membantu memperbaiki sel rosak dalam tubuh. Detoksifikasi juga berlaku secara semula jadi dalam tubuh manusia yang mengamalkan ‘intermittent’ fasting secara rutin, sekali gus meningkatkan sistem imun.
Kajian menunjukkan bahawa terdapat penurunan berat badan yang ketara dalam kalangan individu yang mengamalkan IF.
Dua-duanya ada manfaat besar
Puasa bukan sekadar ibadah, tetapi juga memberikan pelbagai manfaat kesihatan. Kajian menunjukkan bahawa puasa membantu menstabilkan sistem pencernaan dengan memberi rehat kepada organ yang bekerja tanpa henti. Ia juga berkesan dalam merawat penyakit radang seperti kolitis dan gastritis, kerana mampu menormalkan tahap asid perut dan meningkatkan keseimbangan mikrobiota usus.
Selain itu, puasa merangsang proses autofagi, iaitu mekanisme pembersihan sel yang rosak dalam badan, sekali gus meningkatkan sistem imun dan mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser dan penyakit degeneratif.
Selain manfaat dalaman, puasa juga memainkan peranan penting dalam mengawal berat badan dan kesihatan metabolik. Ia membantu mengurangkan lemak badan dengan membakar simpanan tenaga berlebihan, sekali gus mencegah obesiti.
Kajian menunjukkan bahawa individu yang mengamalkan puasa secara berkala, sama ada puasa Ramadan atau intermittent fasting, mengalami penurunan berat badan yang ketara serta tahap kolesterol LDL yang lebih rendah.
Di samping itu, puasa membantu mengawal tekanan darah dan mengurangkan risiko diabetes mellitus jenis 2 dengan menstabilkan paras gula dalam darah dan meningkatkan kepekaan insulin.
Dari aspek kardiovaskular, puasa memberi kesan positif terhadap kesihatan salur darah dengan meningkatkan keanjalan endotelium dan merangsang pengeluaran nitric oxide (NO), yang penting dalam mencegah hipertensi dan penyakit jantung.
Kajian juga menunjukkan bahawa puasa boleh mengurangkan tahap stres oksidatif, yang menjadi punca utama pelbagai penyakit kronik. Dengan semua manfaat ini, dapat disimpulkan bahawa puasa bukan sahaja meningkatkan kesihatan fizikal dan mental, tetapi juga menjadi satu bentuk terapi semula jadi yang berkesan dalam mengekalkan kesejahteraan tubuh badan secara menyeluruh.
Spiritual dan psikologi dalam puasa
Puasa dalam Islam bukan sahaja bermanfaat untuk kesihatan fizikal tetapi juga memberi kesan mendalam terhadap aspek spiritual dan psikologi seseorang. Berpuasa mengajarkan kesabaran, disiplin, serta menanamkan rasa empati terhadap golongan miskin dan kurang bernasib baik.
Islam menekankan kepentingan menjaga hati dan akhlak ketika berpuasa, sebagaimana sabda Nabi SAW:
"Jika seseorang di antara kamu berpuasa, maka janganlah ia berkata keji dan janganlah ia bertengkar. Jika seseorang mencelanya atau menyerangnya, hendaklah ia berkata: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa’." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).
Sebaliknya, IF lebih bersifat peribadi dan tidak mempunyai dimensi spiritual yang sama seperti puasa dalam Islam. Walaupun IF boleh meningkatkan fokus dan ketahanan mental kerana perubahan hormon dalam badan, ia tidak melibatkan aspek ibadah atau hubungan dengan Tuhan.
Oleh itu, puasa Islam bukan sekadar amalan kesihatan tetapi juga satu bentuk penyucian jiwa yang menyeluruh. Namun jika IF dilakukan demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri, amalan ini selari dengan apa yang diajar oleh syariah untuk menjaga tubuh dan nyawa yang sentiasa perlu diselenggara.
HAMIDAH MAT IALAH dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Open university Malaysia (OUM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.