Thursday, February 27, 2025

Terjawab akhirnya kenapa awal tahun pun beras tempatan tak ada di pasar raya

malaysiadateline.com

Oleh KIM SYAZIE
27/02/2025
Isu ketiadaan beras putih tempatan di pasar raya sejak tahun lalu akhirnya terjawab.

Ia selepas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mengesahkan wujud kegiatan mencampur beras tempatan dengan beras import yang dilakukan pengilang-pengilang beras.

Menurut laporan Bernama, Pihak Kawalselia Beras dan Padi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerbu kilang beras seluruh negara dan menghantar 55 paket beras import kepada Mardi.

Lebih 5,000 sampel butir beras yang dijual sebagai beras import telah pun dianalisa.

Hasilnya, sekitar 40 hingga 50 peratus daripadanya mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) beras tempatan.

Perbuatan menjual beras tempatan sebagai beras import ini dipercayai dilakukan bagi mendapatkan keuntungan lebih tinggi.

“Analisis dijalankan antara September 2023 sehingga Mac 2024, mendapati 40 sehingga 50 peratus daripada lebih 5,000 sampel butir beras terbabit mengandungi beras tempatan termasuk varieti MR297,” kata Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Mardi, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak.

KPDN sebelum ini mendedahkan pihaknya menerima aduan mengenai beras dicampur antara beras putih tempatan dan import oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Mohd Shahril berkata, laporan hasil analisis dan bukti percampuran beras itu sudah dihantar kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Sebagaimana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Seri Mohamad Sabu) sebutkan sebelum ini, di bawah BERNAS, kita tiada akta yang melarang campur padi tempatan dan import.

“Yang ada adalah peraturan yang berkaitan dengan campur beras hancur.

“Jadi, beliau (Mohamad) minta kita (Mardi) sama-sama buat peraturan baru untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-