Thursday, February 13, 2025

Kerajaan akan pinda Akta Perhimpunan Aman, kata Anwar

freemalaysiatoday.com
Chia Wan Rou
-13 Feb 2025, 10:30 AM

Perdana menteri berkata, keperluan mendapat persetujuan penghuni bagi penganjuran perhimpunan seperti di bawah Seksyen 11 akta itu akan dikeluarkan.
Antara pindaan adalah mengeluarkan Seksyen 11 dalam akta itu yang memerlukan penganjur mendapat persetujuan penghuni bagi mengadakan perhimpunan aman.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan pelaksanaan keputusan daripada kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keperluan untuk mendapat persetujuan penghuni bagi penganjuran perhimpunan seperti di bawah Seksyen 11 akta tersebut akan dikeluarkan.

Katanya, penganjur hanya perlu memaklumkan polis lima hari sebelum perhimpunan diadakan bagi tujuan pengawalan.

“Beberapa tindakan sebelum ini termasuk siasatan terhadap perhimpunan anti-rasuah yang melibatkan mahasiswa akan dihentikan dan tiada tindakan diambil.

“Begitu juga mogok tunjuk perasaan (membantah Sosma) beberapa hari lalu juga tidak akan diambil apa-apa tindakan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata mulai sekarang tiada keperluan untuk sebarang kelulusan bagi penganjuran himpunan dan beliau percaya penganjur boleh memberikan kerjasama kepada polis.

Anwar menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai kesediaan kerajaan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum berhimpun.

Khoo turut mencadangkan kerajaan mengwujudkan satu tempat khas sebagai lokasi khusus untuk sebarang perhimpunan diadakan.

Sebelum ini, jurucakap Rakyat Benci Rasuah Zaim Zulkifli dilaporkan mengecam tindakan polis yang memanggil pelajar universiti untuk siasatan berkaitan himpunan pada 25 Jan lalu, dan turut menyifatkan ia sebagai satu bentuk intimidasi.

Ini selepas 10 pelajar terbabit dipanggil untuk dirakam keterangan dan proses didakwa mengambil masa lebih sejam setengah.

Pada himpunan 25 Jan lalu, menyaksikan 200 berhimpun di pekarangan pusat beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur, yang kebanyakan pelajar universiti.

Sementara itu, kertas siasatan turut dibuka melibatkan himpunan ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh, Sabtu lalu.

Mereka juga melancarkan mogok lapar yang berlangsung sehari bagi menunjukkan solidariti bersama tahanan, selepas Suhakam berkata, badan itu akan menyiasat dakwaan rawatan penjagaan kesihatan tidak mencukupi dan penangguhan perbicaraan dihadapi beberapa tahanan Sosma.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-