Friday, February 7, 2025

Kenapa kaum bukan Islam Kelantan tahu batasan agama?

harakahdaily.net
February 7, 2025


TUMPAT: Masyarakat bukan-Islam di Kelantan telah memahami apa yang menjadi larangan terhadap umat Islam untuk diamalkan terutama melibatkan makanan.

Kefahaman itu berlaku hasil hubungan baik masyarakat berkenaan dengan umat Islam di negeri ini sejak sekian lama.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Rusli Abdullah pada Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Rakyat sempena Tahun Baru Cina Peringkat DUN Wakaf Bharu petang semalam.

Majlis anjuran Urusetia Penerangan, Komunikasi dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan (UPKN) itu diadakan di Taman Perumahan Kulim, dekat sini.

Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Khas Hubungan Antara Kaum Pejabat Menteri Besar Lim Guang Seng dan pemimpin masyarakat setempat.

Tambah beliau, masyarakat Tionghua di Kelantan khususnya lebih memahami batasan agama dalam meraikan perayaan bersama masyarakat Islam.

“Sebagai contoh, jika mengundang umat Islam ke majlis mereka, mereka akan memastikan makanan ditempah daripada penyedia halal dari luar serta menyediakan minuman seperti air kotak atau air mineral sebagai tanda hormat terhadap sensitiviti agama,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selagi sesuatu perayaan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, kerajaan negeri bersedia untuk turut serta meraikannya bersama masyarakat.

Pada masa sama, Rusli turut menasihati rakyat agar tidak terpengaruh persepsi negatif pihak luar yang tidak faham keharmonian sebenar di Kelantan.

Beliau berkata, walaupun komuniti bukan-Islam kecil, mereka tetap diraikan sebagai sebahagian daripada masyarakat Kelantan yang harmoni.
“Walaupun jumlah mereka hanya sekitar lima peratus, perpaduan kaum di negeri ini amat kukuh. Wakaf Bharu sendiri dihuni masyarakat berbilang kaum, termasuk Melayu, Cina, Siam dan India,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusetia Penerangan, Komunikasi dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad memberitahu, kerajaan negeri terus aktif merai kepelbagaian budaya kaum minoriti di negeri ini.

Katanya, keraian itu termasuk melalui penganjuran sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang diadakan setiap tahun.

Beliau berkata, program seperti itu bertujuan memastikan kaum minoriti turut merasai manfaat di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang berlandaskan dasar ‘Membangun Bersama Islam’.

“Kerajaan Negeri Kelantan melalui UPKN sentiasa komited menganjurkan program sambutan perayaan bagi kaum minoriti, termasuk Tahun Baharu Cina.

“Ini membuktikan semangat perpaduan yang kukuh dalam masyarakat tanpa menyentuh sensitiviti agama,” katanya.

Menurutnya, UPKN juga berperanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat minoriti, khususnya masyarakat Tionghua, agar mereka tidak terpinggir daripada agenda pembangunan negeri. 

HARAKAHDAILY 7/2/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-