Monday, February 3, 2025

Pemuda PAS jangan samakan jenaka Harith dengan ugut bunuh - PKR

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 3, 2025 9:00 PM
Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung menegur Pemuda PAS agar berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai pelawak Harith Iskander.

"Saya rasa para pemimpin Pemuda PAS seolah-olah salah faham dengan isu sebenar, menyamakan gurauan dengan ancaman terhadap keluarga seseorang, dan seterusnya menyalahkan pihak polis.

"Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal," kata Ahli Parlimen Petaling Jaya itu pada satu kenyataan.

Lee menasihatkan Pemuda PAS supaya memahami keutamaan dan tidak mengaitkan undang-undang negara dengan kepentingan politik peribadi.

"Jangan hanya kerana politik, fakta diputarbelitkan," katanya.
Semalam, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri (gambar atas) mendakwa pihak berkuasa telah mengambil tindakan yang tidak seimbang terhadap Harith Iskander dan pengguna Facebook Cecelia Yap.

Hafez berkata pihak berkuasa bertindak dengan pantas terhadap individu yang mengugut Harith dan keluarganya namun tindakan terhadap Harith dan Yap masih belum diambil secara sewajarnya.

Dia mendakwa perkara ini membuktikan terdapat ketidakseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang, yang sepatutnya melindungi keharmonian antara agama di negara ini.

Bagaimanapun, Lee membidas Hafez kerana menyamakan jenaka dengan ugutan terhadap keluarga seseorang, sambil turut menyalahkan polis kerana mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan ugutan.
"Harith Iskander adalah seorang pelawak yang bergantung pada jenaka dan gurauan untuk kerjayanya.

"Jika gurauan dan sindiran kini boleh dijadikan alasan untuk mengugut seseorang, maka di manakah kebebasan bersuara di negara kita," soalnya.

Pada 31 Jan lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 ke atas seorang lelaki berusia 31 tahun kerana melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isteri Harith.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menghantar mesej WhatsApp yang mengandungi gambar serta kata-kata ugutan, dengan niat merogol dan membunuh anak perempuan mereka yang berusia 12 tahun.

Keluarga Harith menerima ugutan selepas pihak polis menyiasat pelawak itu berhubung hantaran sindiran mengenai penggunaan perkataan "ham", susulan kontroversi status halal sandwic yang dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya.

Cecelia Yap, yang turut disiasat kerana mengulas mengenai hantaran Facebook Harith, telah tampil memohon maaf.

Laporan polis telah dibuat terhadap Harith dan Yap, yang dituduh menghina Islam dan Nabi Muhammad menerusi kenyataan mereka di media sosial.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-