Monday, February 10, 2025

Tahun kedua penuh campur tangan ke atas Islam

harakahdaily.net
February 10, 2025

Tahun pertama tonjol pelbagai aktiviti dan tokoh Islam

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu kembali kepada matlamat asal untuk membawa perubahan negara kepada acuan Islam yang sebenar sebagai agama Persekutuan, bersesuaian dengan dasar ‘Madani’ dislogankan.

Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama dan Negara, Ustaz Masridzi Sat berkata, tahun kedua kerajaan menyaksikan pemimpin bukan-Islam seperti DAP dilihat mula mencampuri urusan berkaitan kepentingan Islam dan umat Islam di negara ini.

“Walaupun di peringkat awal dipenuhi dengan kehadiran para alim ulama terkenal dari luar negara serta pelbagai aktiviti keagamaan seperti Maulidur Rasul, zikir munajat, seminar, tausiyah, ceramah pengajian dan sebagainya.

“Namun pada tahun kedua keadaan jadi berubah,” katanya pada sidang media NGO Melayu-Islam yang turut dihadiri Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali, di sini hari ini.

Juga hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali serta Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.

Jelas beliau, antara isu terbaru yang berlaku ialah bantahan garis panduan baru bagi orang Islam menyertai acara di rumah ibadat bukan-Islam dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Bantahan dibuat oleh pimpinan DAP, MCA, MIC dan pimpinan bukan Islam dalam Kerajaan Madani, juga cara tatakelola akhlak PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) yang menolak cadangan yang disokong oleh mufti ini.

“Adalah sangat merendah dan menghina JAKIM serta para mufti yang menyokong garis panduan ini. Ditambah lagi dengan isu-isu sensitif seperti kapal perang China di Pulau Pinang dan kibaran bendera China di Teluk Intan,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa rakyat beragama Islam di negara ini untuk membuka mata dan sedar mengenai perkembangan yang berlaku ketika ini.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat yang beragama Islam agar lebih peka dan sensitif terhadap isu-isu yang merbahaya kepada agama dan negara termasuklah berani menegur, berani bersuara dan berani membantah.

“Sebarang dasar atau peraturan yang boleh mengancam, memudaratkan dan melemahkan Islam dan umat Islam dalam negara ini,” katanya. 

– HARAKAHDAILY 10/2/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-