Monday, February 24, 2025

Tak guna kekal harga RM2.60/kg jika beras tempatan terus ‘ghaib’, kata bos Mydin

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar-24 Feb 2025

Ameer Ali Mydin berkata selagi harga beras kekal rendah, pengilang akan terus mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan menjual pada harga ‘import’.
Kerajaan baru-baru ini umumkan RM150 juta untuk memastikan bekalan beras putih tempatan mencukupi dan kekal pada harga RM2.60 sekilogram.

PETALING JAYA: Taikun peruncitan Ameer Ali Mydin berkata harga beras putih tempatan (BPT) pada harga RM2.60/kg dan harga lantai padi dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 tidak akan menyelesaikan krisis beras tempatan.

Pengarah urusan Mydin itu berkata selagi harga makanan ruji rakyat kekal rendah, pengilang akan terus mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan menjual pada harga ‘import’ yang lebih mahal kerana lebih menguntungkan.

Ini kerana, menurutnya, kebanyakan pengilang membeli beras dari broker tempatan pada harga RM1,800 satu tan metrik, menyebabkan kos memproses lebih tinggi berbanding harga pasaran RM26 bagi kampit 10kg.

“Kalau kita pegang pada satu harga (RM26), memang takkan ada beras pada harga itu dalam pasaran kerana kos memproses beras, membungkus sudah lebih RM26.

“Jadi pengilang akan campur beras tempatan dengan import dan jual dalam bungkusan beras import yang lebih mahal… memang tak akan selesailah isu ini (ketiadaan beras tempatan),” katanya kepada FMT mengulas laporan RM150 juta diperuntukkan bagi memastikan bekalan BPT mencukupi di pasaran.

Menteri Mohamad Sabu berkata kementerian juga menyasarkan pengeluaran 24 juta kampit 10kg BPT bagi menampung permintaan tempatan dalam tempoh enam bulan ini.

Mengulas lanjut, Ameer yang sangsi dengan ‘janji’ itu berkata sasaran berkenaan diulang banyak kali namun hakikatnya rakyat masih tidak dapat membeli beras tempatan.

“24 juta kampit memang banyak, saya rasa tahun-tahun dulu pun cerita sama tapi kampit (beras) itu pergi mana pun kita tak tahu kerana kat Mydin sendiri memang tak ada.

“Kalau tengok di pasar raya besar lain, di kedai runcit pun boleh kata 95% memang tak ada beras tempatan,” katanya.

Justeru, Ameer berkata selagi harga beras tempatan tidak diapungkan mengikut pasaran semasa, ketirisan bekalan makanan itu tidak akan selesai.

“Dah berulang kali saya cadang apungkan harga beras tempatan, hapuskan kawalan harga. Kalau kerajaan kata kesianlah golongan B40 kena beli beras mahal, masalah sekarang B40 nak beli beras murah pun memang dah tak ada.

“Jadi baik kita apungkan (harga) sebab B40 sekarang pun memang dah beli beras import yang lebih mahal sebab beras tempatan tak ada.”

Beras tempatan dikawal kartel

Sementara itu, sumber industri mendakwa lima pengilang beras mendalangi kartel menukar kampit BPT kepada beras putih import (BPI) yang menyebabkan bekalan BPT semakin ghaib di pasaran.

Menurut sumber itu, penguasaan kartel berkenaan sudah berlaku sekian lama namun ia tidak dilihat sebagai ‘masalah besar’ ketika itu kerana harga BPT dan BPI sebelum ini tidak jauh berbeza.

“Lima pengilang ini yang kawal 80% padi, beras dan benih dalam negara kita manakala 20% lagi dikuasai oleh pengilang Bumiputera.

“Bila mereka menguasai memang akan ada campur beras dan tukar kampit kerana harga padi yang dibeli sekitar RM1,800 satu tan dan harga jualan dengan sedikit keuntungan sepatutnya dijual pada harga RM36 bagi kampit 10kg.

“Jadi bila kerajaan tetapkan harga RM26, pengilang kisar (proses) beras dan masuk dalam kampit beras import dan jual RM38, RM43,” kata sumber itu.

Sumber itu mendakwa kawalan terhadap beras tempatan yang sudah terlalu lama menyebabkan kartel ini tidak takut untuk menjalankan aktiviti penukaran kampit beras.

“Isu campur beras ni bukan baru, dah berlarutan sejak sekian lama tetapi bila harga beras import naik, masa ni la bermulanya isu (ketiadaan beras tempatan).

“Penguasaan kartel ni terlalu lama sehingga dalam masa dua tahun ni pun kerajaan tak mampu nak atasi isu beras dan lawan kartel.”

Dakwa sumber itu, usaha membanteras kartel itu juga sukar kerana terdapat kelemahan dalam Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522).

“Akta 522 tiada langsung menyebut mengenai kesalahan mencampur beras atau menukar kampit… jadi nak dakwa mereka atas seksyen apa?

“Sebab itu kalau kerajaan nak dakwa syarikat-syarikat ini, kerajaan akan kalah kerana Akta 522 ada kelemahan yang dari dulu dah ada, cuma kelemahan itu ketika ini berada di kemuncak,” kata sumber itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-