Showing posts with label DUN Selangor. Show all posts
Showing posts with label DUN Selangor. Show all posts

Monday, March 21, 2022

Selangor akan usul tambah kerusi Dewan Undangan Negeri

hmetro.com
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

DATUK Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan berkaitan bantuan banjir dan jaringan capaian 5G. FOTO Bernama
Shah Alam: Selangor berhasrat mengusulkan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor berikutan jumlah pengundi di beberapa Dun negeri itu yang kini mencecahkan lebih 100,000 orang.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penambahan kerusi Dun itu akan diusulkan dalam sesi Persidangan Dun Selangor akan datang.

"Kita berharap keseimbangan dapat diwujudkan dalam kalangan jumlah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar supaya masing-masing akan dapat perkhidmatan yang seimbang oleh kerajaan.

"Setakat ini (kawasan) yang ada lebih 75,000 pengundi akan menjadi tumpuan dan mungkin kita gabungkan atau jadikan dua atau tiga (kerusi). Ada (kawasan) yang jejak lebih 100,000 dengan paling banyak Dun Kinrara.

"Setakat ini (Dun) ada lebih 70,000 pengundi akan menjadi tumpuan dan mungkin kita gabung, jadikan dua atau tiga (kerusi)..ada Dun yang mencecah lebih 100,000 pengundi, paling ramai (Dun) Kinrara iaitu 118,000 pengundi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penangguhan Persidangan Dun Selangor oleh Speaker Dun Selangor Ng Suee Lim di lobi Dewan Annex SUK sini, hari ini.

Justeru itu, Amirudin berkata, satu taklimat berhubung perkara itu bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 30 Mac ini yang turut membabitkan semua Adun di Selangor.

"Daripada taklimat itu, kita akan dapat maklumat yang lebih lanjut dari SPR.

Satu jawatankuasa bersama SPR dan kerajaan negeri akan lihat cadangan kedua-dua pihak (kerajaan negeri dan SPR).

"Apabila selesai dan dimuktamadkan, kita akan bawa ke sidang DUN Selangor. Kita perlukan dua per tiga majoriti, selepas lulus baru bawa ke Dewan Rakyat (Parlimen)," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan usul pertambahan kerusi Dun itu sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) namun bergantung pada tempoh masa yang diambil bagi proses itu.

"(Tambah kerusi) kena ada persefahaman sebab bukan mudah-mudah boleh tambah kerusi. Proses ini akan mengambil masa sedikit tetapi harapan kita ia dapat dilaksanakan.

"Semua bergantung kepada perbincangan dengan SPR sebab kita hendak meletakkan satu tahap jumlah kerusi yang boleh diterima, mungkin 40,000 hingga 50,000 pengundi (setiap Dun).

"Bukan mudah melakukan perkara itu kerana kita kena juga lihat kesan gaji Adun, elaun, pencen..ini semua akan mendapat pertimbangan sebab itu secara realistik kita boleh buat sekitar dalam tempoh tiga bulan paling awal," katanya.

Terdahulu, ketika ucapan penangguhan Amirudin menyenaraikan Dun Selangor yang dijangka mengalami perubahan antaranya Batang Kali; Gombak Setia; Teratai; Semenyih; Kajang; Balakong; Sungai Ramal; Seri Serdang; Kinrara, Subang Jaya; Seri Setia; Bukit Lanjan; Kota Damansara; Kota Anggerik; Bandar Baru Klang; Pandamaran; Sentosa; Sungai Kandis; Kota Kemuning; serta Dengkil.

"Seramai 3.66 juta pengundi berdaftar di Selangor pada hari ini dan melihat pertambahan pengundi pada tiga bulan dengan perkadaran pendaftaran automatik seramai lebih 89,000.

"Ini bermakna dalam tempoh 12 bulan dari sekarang, jumlah pengundi di Selangor akan mencecah kira-kira 4.6 juta ataupun ke 5 juta," katanya.

Sidang Dun Selangor ditangguhkan ke satu masa yang akan dimaklumkan kelak.

Disiarkan pada: Mac 21, 2022 @ 6:18pm

Wednesday, August 7, 2019

S'gor bergolak gara-gara usaha pinda enakmen tukar agama?

Wartawan Malaysiakini 
Diterbitkan Hari ini 4:51 petang 


Timbul cakap-cakap berkenaan kemelut politik di Selangor berhubung cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Isu itu tampak menjadikan kedudukan Amirudin Shari sebagai menteri besar semakin terancam, selepas sebelum ini mencetuskan rasa tidak puas hati kepimpinan PKR ekoran kenyataannya berkenaan video skandal seks.

Cadangan pindaan itu menuju jalan buntu apabila Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim memendekkan sidang DUN hanya kepada dua hari, pada 31 Julai lalu.

Sidang DUN pada asalnya dijadual berlangsung daripada 29 Julai hingga 9 Ogos.

Sumber memberitahu Malaysiakini yang Ng enggan menandatangani dokumen yang akan membenarkan rang undang-undang (RUU) pindaan enakmen itu diberi keutamaan, justeru menghentikan pembentangan pindaan tersebut.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa".

Versi Bahasa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan tahun lalu membuat keputusan bahawa perlembagaan tidak harus ditafsirkan secara harfiah dan keputusan kedua-dua ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak.

Selepas Ng menamatkan sidang, Amirudin dikatakan mengadakan pertemuan dengan adun PKR yang beragama Islam serta seorang adun Bersatu untuk membincangkan perkara itu.
Amirudin Shari 
Sumber memberitahu Malaysiakini, antara isu yang dibincangkan ialah kemungkinan untuk menggantikan speaker.

Bagaimanapun adun PKR Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati) dan Azmizam Zaman Huri (Pelabuhan Klang) menafikan perkara itu.

Juwairiya mendakwa pertemuan itu ialah untuk mendengar taklimat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkenaan dasar baru di beberapa kawasan di negeri itu.
Juwairiya Zulkifli 
Azmizam pula menyifatkan dakwaan untuk menyingkirkan speaker sebagai propaganda.

Adun bantah pindaan, gesa MB mengadap Sultan

Tiga hari sebelum sidang, iaitu pada 26 Julai, Amirudin mengadakan perbincangan dengan semua adun Pakatan Harapan (PH) merangkumi 21 orang dari PKR, DAP (16) dan Amanah (8).

Seorang adun PKR yang hadir ke perbincangan itu, memberitahu Malaysiakini yang menteri besar membentangkan cadangan pindaan itu tetapi majoriti adun yang hadir membantahnya.

Memandangkan cadangan pindaan itu tidak dipersetujui ketika mesyuarat exco, katanya lagi, Amirudin cuba mendapatkan sokongan daripada Adun.
Sultan Selangor
"Tetapi hampir semua (adun) bantah. PKR dan Amanah juga berbelah bahagi.

"Kerisauannya ialah jika pindaan dibentang, ia akan memberi kesan negatif kepada kerajaan negeri. Jadi kami minta menteri besar mengadap sultan untuk menjelaskan perkara ini.

"Menteri besar beritahu kami perkara itu dicadangkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan keputusan telah dibuat. Dia juga kata 'kita perlukannya untuk undi Melayu'," katanya lagi.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas sama ada langkah speaker untuk menamatkan sidang DUN ada kaitan dengan pindaan itu.

Difahamkan Amirudin juga berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idis Shah juga mahu pindaan itu diluluskan, dan ia bermakna langkah Ng telah meletakkan Amirudin dalam kedudukan yang sukar.

Bukan pertama kali sidang dipendekkan

Ketika dihubungi, Ng enggan mengulas berkenaan dakwaan ini.

"Sidang dipendekkan kerana tiada penyertaan aktif oleh adun ketika perbahasan. Jadi selepas kita selesaikan agenda, saya tangguhkan sidang berdasarkan aturan mesyuarat.

"Ini perkara biasa. Ada juga sidang dua hari sebelum ini. Misalnya pada 2016 dan 2017 ketika Hannah Yeoh jadi speaker," katanya kepada Malaysiakini.
Ng Suee Lim 
Dua Adun Amanah yang enggan mendedahkan nama, memberitahu Malaysiakini yang mereka tidak mendengar sebarang usaha untuk menyingkirkan speaker.

Berkenaan cadangan pindaan itu pula, kedua-duanya ragu-ragu tentangnya dan salah seorangnya berkata ia boleh membawa kepada satu lagi keadaan seperti kes M Indira Gandhi.

"Kena tengok bagaimana undang-undang di peringkat persekutuan. Tetapi kita juga perlu ingat kuasa berkenaan agama Islam di negeri terletak pada Tuanku (Sultan Sharafuddin)," kata salah seorang Adun itu.

Seorang Adun lagi pula berkata setiap kali ada kes penceraian yang melibatkan penukaran agama kepada Islam, ia akan menyebabkan kemelut yang mencemarkan imej agama.

"Kita tak boleh melihat isu ini secara mikro, tetapi melalui perspektif makro (melalui) sistem ilmu maqasid syariah," katanya.

Plot singkir MB?

Sementara itu, timbul juga spekulasi berkenaan dakwaan komplot untuk menyingkirkan Amirudin - pemimpin PKR yang menyokong Mohamed Azmin Ali.

Menurut sumber, ia berkaitan dengan kenyataannya berhubung dalang video seks yang mengaitkan timbalan presiden PKR itu.

Dua Adun Amanah mendakwa ada mendengar rancangan itu, tetapi memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak pernah didekati mana-mana pihak - sama ada untuk menentang MB, ataupun menyokongnya.

Adun PKR pula mendakwa tidak tahu-menahu berkenaan komplot itu.

"Saya diberitahu oleh mereka yang dekat dengan Anwar yang Amirudin ada menghantar pesanan teks kepada Anwar dan meminta maaf atas kenyataannya.

“Anwar memintanya membuat permohonan maaf secara terbuka tetapi dia belum berbuat demikian," katanya.
Juwairiya pula berkata ada persepsi bahawa memang wujud usaha untuk menyingkirkan menteri besar tetapi "kami tidak tahu siapa yang memulakannya".

Selain PKR, DAP dan Amanah, Bersatu memiliki lima wakil di DUN, manakala Umno (5) dan PAS (1).

Malaysiakini telah menghubungi Amirudin untuk mengulas berkenaan cadangan pindaan anekmen dan juga dakwaan komplot terhadapnya.

Malaysiakini juga telah menghubungi pihak istana Selangor untuk maklum balas berkenaan isu ini.

Laporan oleh Annabelle Lee, Lee Way Loon, Lu Wei Hoong, Ramieza Wahid, Yasmin Ramlan dan Zikri Kamarulzaman.
[Baca berita asal]

Tuesday, May 2, 2017

'Rakyat Selangor akan beraya dengan MB baharu

Posted by Editor 
KEMELUT kepercayaan dan majoriti mudah di DUN Selangor kian meruncing. Penyandang jawatan Menteri Besar iaitu Mohamed Azmin Ali pula dikatakan sudah mula menyesal kerana terlalu lancang mulutnya apabila berbicara dan menggunakan kuasa.

Majlis Syura PAS dipercayai akan meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR sekali gus 13 ADUN PAS Selangor wajib untuk tidak bersetuju dengan gabungan parti yang membentuk Kerajaan Negeri.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sudah mula sedar bahawa jawatannya di negeri seperti ‘telur di hujung tanduk’ apabila PAS tekad untuk bermusuh dengan partinya.

Difahamkan, dua isu besar yang menjadi punca kekeruhan hubungan antara PAS dan PKR di Selangor. Pertamanya kerana Azmin pernah melabelkan pemimpin PAS sebagai ‘Tok Lebai’ dan keduanya kerana Konsert Selena Gomez suatu ketika dahulu di Shah Alam, Selangor.

Desas-desus dari cakap-cakap politik mengatakan bahawa, hayat Azmin sebagai Menteri Besar Selangor sudah tidak lama. Katanya, menghampiri bulan Ramadan tahun ini jawatan itu bakal ditukar.

Sumber berkata calon yang paling layak dari Barisan Nasional (BN) adalah Budiman Mohd Zohdi, ADUN Sungai Panjang yang kini disebut antara satu dari nama bakal Menteri Besar Selangor. Namun, kata mereka, masih ada satu lagi nama dari parti bebas dan PAS dalam kerajaan campuran baru Selangor yang bakal terbentuk.

Ia terpulang kepada kejayaan rundingan muktamad kerajaan campuran itu nanti katanya. Rundingan itu dikatakan sedang giat dilakukan oleh dua pihak iaitu dari pihak BN dan juga PAS sendiri.

Tambah sumber itu juga, kini sudah disenarai 4 nama pendek ADUN Selangor yang akan melompat parti menjadi ADUN Bebas.
Dari jumlah itu, 3 adalah daripada PKR manakala seorang lagi adalah DAP.

Empat ADUN ini dikatakan turut berselisih faham dengan Azmin dan pegawai khasnya iaitu Mohammad Hilman Idham mengenai beberapa perkara melibatkan pengurusan negeri.

Adakah rakyat negeri Selangor bakal merayakan perayaan Aidilfitri bersama-sama Menteri Besar yang baharu? Kita nantikan. 

–Tv14

Tuesday, November 25, 2014

Untung BN nya jadi Pembangkang di Selangor........


Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Shamsudin Lias hari ini menerima sebuah kereta rasmi daripada kerajaan negeri sebagai insentif menjalankan tugas sebagai ketua pembangkang.

Pemberian kereta jenis Toyota Camry itu disampaikan oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali di depan bangunan DUN.


Turut serta pada majlis penyampaian tersebut ialah Speaker Dewan Hannah Yeoh.

Selain itu, Shamsuddin yang juga ADUN Sungai Burong turut mendapat wang elaun sebanyak RM3,000 sebulan.

Beliau turut mendapat RM1,367 untuk bayaran gaji pemandu, RM2,001 kepada bayaran gaji setiausaha kerja dan pembiayaan bahan api dan tol.

Dalam sidang media kemudiannya, Shamsudin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan menghargai pengiktirafan yang diberikan.


Di samping itu, beliau juga akan memberi kerjasama dan menegur kerajaan negeri untuk memberi kesimbangan kepada pemerintahan negeri.

“Saya sebagai ketua pembangkang di Selangor amat menghargai di atas pengiktirafan kerajaan Selangor terhadap peranan pembangkang, dan ini diterjemahkan melalui kemudahan-kemudahan dan sokongan serta kenderaan.

“Saya berjanji akan memainkan peranan sebagai pemantau. Insya-Allah kita akan berikan kerjasama dengan baik. Kalau ada teguran, kita akan berikan teguran secara konstruktif,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-