Showing posts with label Felda Global Venture (FGV). Show all posts
Showing posts with label Felda Global Venture (FGV). Show all posts

Tuesday, June 6, 2017

Isa marah wartawan: Tanya macam nak tuduh

Anne Muhammad
Sidang media Felda Global Venture Bhd (FGV) hangat apabila Pengerusinya Tan Sri Isa Samad mengugut mahu menyaman wartawan kerana bertanya soalan mengenai dakwaan salah laku.

Situasi itu bermula apabila salah seorang wartawan dari akhbar mengajukan soalan mengenai dakwaan Raja Petra Kamaruddin berkaitan dirinya.

Penulis blog itu dikatakan mendakwa Isa cuba menyingkirkan presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan (CEO) FGV Datuk Zakaria Arshad bagi menutup dakwaan salah laku rasuah.

Isa kemudian mempertikaikan soalan itu dan mengugut mahu menyaman wartawan akhbar arus perdana itu.

“Kamu buat kenyataan ini, saya saman awak,” tegasnya ketika menjawab soalan itu dalam sidang media di Menara Felda, Kuala Lumpur hari ini.

'Itu Raja Petra dia punya hal'

Bagaimanapun, wartawan tersebut menjawabn ia adalah dakwaan Raja Petra dan beliau hanya bertanya soalan.

“Itu Raja Petra dia punya hallah. Jangan kamu pula tuduh saya.

“Tanya erti macam tuduh,” katanya.

Raja Petra antaranya mendakwa Isa mahu menyingkirkan Zakaria kerana dianggap terlalu lurus dan tidak mahu meluluskan urus niaga 'di bawah meja'.

Kemelut kepimpinan FGV dikatakan mempunyai kaitan dengan tunggakan bayaran kepada anak syarikatnya Delima Oil dengan sebuah syarikat pembeli minyak sawit luar negara.

Setelah dicutikan, Isa hari ini mengumumkan siasatan audit dalaman akan dibuat berkaitan Zakaria serta mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zakaria pula dilaporkan mahu SPRM menyiasat keseluruhan operasi FGV bagi menilai sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.

Beliau setakat ini mempertahankan diri dan enggan berundur serta berhujah proses pembayaran dan syarat kredit yang digunapakai Delima Oil itu sudah dilaksanakan sebelum beliau menjadi CEO lagi.

Monday, January 2, 2017

2017 rasanya bukan tahun PRU

Timmy Say 
January 2, 2017

Bajet 2017 yang menyaksikan pelbagai peruntukan dipotong tidak menampakkan ia sebagai satu bajet pilihan raya.

KOMEN
Ringgit menutup 2016 pada kadar RM4.49 kepada AS$1.

Felda pula menutup tirai 2016 dengan keputusan penuh kontroversi membeli 37% kepentingan saham Eagle High Plantation pada harga AS$505.4 juta menggunakan FIC Properties Sdn Bhd.

Saham Felda Global Venture pula terus menjunam ke RM1.55, berbanding harga RM4.55 sesaham ketika ia disenaraikan di Bursa Malaysia.

Bajet 2017 yang menyaksikan pelbagai peruntukan dipotong tidak menampakkan ia sebagai satu bajet pilihan raya.

Kerajaan pula tidak sengaja memberi isyarat 2017 merupakan tahun penuh cabaran dengan “hadiah” kenaikan 20 sen untuk harga diesel dan RON95.

Kebanyakan barangan dan makanan mentah negara diimport. Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan inflasi terus kepada harga makanan dan kos sara hidup. Lihatlah betapa ramainya ibu bapa yang merana minggu terakhir sebelum sekolah bermula untuk menyediakan persediaan sekolah anak.

Nampaknya 2017 bukanlah tahun yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Terdapat 3 penentu bagi BN menentukan tarikh PRU14. Pertama ialah nilai ringgit.

Jika nilai ringgit tidak pulih ke tahap menghampiri RM4 kepada AS$1, malah terus jatuh menghampiri RM4.80 kepada AS$1, pilihan raya akan terus ditunda sehingga Parlimen terbubar secara tersendirinya pada 2018.

Kedua, ialah harga minyak sedunia. Sekiranya harga minyak terus naik, dividen Petronas kepada kerajaan akan pulih, maka ketika itu kerajaan berkemampuan untuk membuat bajet pilihan raya bagi 2018 tanpa perlu menaikkan kadar GST.

Dengan adanya dana yang mencukupi, maka penentu ketiga boleh dicipta iaitu “feel-good factor” atau mood positif di kalangan rakyat terhadap kerajaan.

Kejayaan melancarkan MRT bukanlah satu daripada “feel-good factor”. Kesan positif MRT pada rakyat akan terbantut selagi rakyat Malaysia tidak dapat mengikis kebergantungan dan tabiat mereka menggunakan kenderaan sendiri.

Perbalahan antara parti pembangkang juga sukar dijadikan penentu untuk pilihan raya diadakan. Ini kerana parti pembangkang berkemungkinan besar akan berkompromi pada saat-saat akhir untuk bersama jika mereka terhidu mood rakyat terhadap kerajaan adalah negatif.

BN pernah melalui kempen “Asal bukan BN” yang menyaksikan rakyat sudi mengundi sesiapa saja asalkan ia bukan calon BN-Umno sehinggakan calon pembangkang yang tidak dikenali juga menang di tempat dirasakan selamat.

Tidak mustahil angin akan bertiup kembali apabila rakyat tertekan dengan kos sara hidup yang sukar dihadapi.

Nilai statistik dan peratusan ekonomi positif yang dikeluarkan pakar ekonomi kerajaan tidak akan dapat meyakinkan rakyat sekiranya rakyat tidak dapat merasai perkembangan ekonomi dalam kehidupan mereka.

Ekonomi akan menjadi faktor penentu terbesar kemenangan di PRU14.

Kerana itulah, rakyat perlu berhati-hati agar tidak terseret dalam perbalahan antara kaum, agama dan sentimen perbezaan budaya yang sengaja dicipta untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar yang memberi kesan kepada negara dan kehidupan mereka.

Tuesday, July 7, 2015

Peneroka dapat durian runtuh.........

Peneroka dapat bonus raya RM900 – Najib
Setiap peneroka akan menerima dividen sebanyak RM600 dan RM300 bantuan Hari Raya.

JELEBU, 7 Julai:

Sejumlah RM88.8 juta dividen Felda Global Ventures (FGV) Sdn Bhd dan bantuan Hari Raya akan diberikan kepada peneroka FELDA di seluruh negara, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bantuan wang itu akan diagihkan kepada 98,688 peneroka di mana RM59.2 juta merupakan dividen FGV dan selebihnya RM29.6 juta adalah bantuan Hari Raya.

“Namun mereka yang tidak bersama kita, tidak akan menerima bantuan berkenaan,” kata Najib dalam ucapannya ketika menghadiri majlis berbuka puasa dengan peneroka di Felda Pasoh 4, hari ini.

Katanya, mereka yang tidak mendapat bantuan berkenaan adalah mereka yang tidak menyertai skim atau menghantar hasil kebun mereka kepada koperasi.

Tambahnya pembayaran akan dibuat pada 13 Julai ini di mana mereka akan menerima interim dividen sebanyak enam sen dan tambahan 4 sen lagi.

“Anda jangan bimbang kerana FELDA akan memastikan keadaan akan bertambah baik sekiranya saham terus meningkat dan koperasi mempunyai kapasiti yang cukup.”

Najib berkata satu sebab mengapa harga saham untuk syarikat berkaitan kerajaan jatuh adalah kurangnya tanah untuk penanaman pokok kelapa sawit.

“Bagaimanapun, FELDA telah membeli tanah seluas 420,000 hekar di Papua, Indonesia untuk menangani masalah ini,” katanya dan menambah perbincangan sedang dilakukan untuk memorandum persefahaman berkenaan pembelian itu.

Koperasi juga akan bekerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Berhad untuk pembelian tanah di sana.

Menolak dakwaan pengkritik yang mengatakan FELDA muflis, Najib berkata FELDA tidak akam mampu memberi dividen sekiranya ia benar.

“Setiap peneroka akan menerima dividen sebanyak RM600 dan RM300 bantuan Hari Raya.”

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/07/07/peneroka-dapat-bonus-raya-rm900-najib/#ixzz3fDd35YKo

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-