Showing posts with label JPP. Show all posts
Showing posts with label JPP. Show all posts

Sunday, September 23, 2018

Kerusi terbang di PKR Pulau Pinang


Pergaduhan tercetus di kalangan anggota PKR di Seberang Jaya, Pulau Pinang, malam ini.

Tidak pasti punca pergaduhan itu, tetapi video yang dimuat naik anggota PKR Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga, menunjukkan seorang individu yang cuba menyerang sekumpulan lain dengan kerusi tetapi sempat dihalang.

Video sama turut menunjukkan seorang lagi membaling kerusi dan sempat disambut sebelum mencederakan orang lain.

Turut kelihatan adalah calon Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin yang menenangkan keadaan yang kian hangat.

PKR Pulau Pinang, selain Kedah, merupakan negeri pertama yang memulakan pemilihan parti hari ini.

Tengah hari tadi berlaku kekecohan semasa pemilihan di Kedah menyebabkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengumumkan membatalkan semua proses pengundian di negeri itu, menurut setiausahanya Ismail Yusoff seperti dipetik Bernama.

Bagaimanapun Ismail berkata keputusan pengundian di kesemua 13 cabang di Pulau Pinang diterima tanpa perubahan.

[Berita lanjut menyusul]

Thursday, July 19, 2018

Johari tawar diri jadi naib presiden PKR

Anne Muhammad
Diterbitkan 19 Jul 2018, 8:56 malam


Anggota Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul hari ini mengesahkan beliau akan bertanding bagi merebut salah satu jawatan naib presiden PKR pada pemilihan akan datang parti itu.

Katanya, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira keadaan parti yang stabil serta kemenangan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kalau ditanya saya akan bertanding, ya saya akan bertanding," katanya yang sebelum ini diberi tugas menjadi pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti terbabit.

Kata Johari sebelum itu dengan jawatan diberikan itu beliau berusaha memastikan perjalanan pemilihan parti berlangsung dengan baik.

Mengakui keadaan semasa parti itu kini kukuh, Johari berkata, sampai masa untuknya menawarkan diri pula bagi menyumbangkan tenaga kepada parti.

Pada masa sama kata Johari beliau berhasrat bertanding untuk menggerakkan "reformasi".

"Jadi saya rasa, insya-Allah kalau saya jadi naib presiden dengan (rakan-rakan) yang lain, kita kena teruskan gerakan reformasi ini hingga kita rasa Malaysia mencapai tahap yang boleh dibanggakan," katanya.

Akan beritahu nanti

Ketika ini menurut Johari, masih ada ruang yang luas untuk dibangunkan.

Johari berkata demikian ketika ditanya mengenai pemilihan PKR semasa ditemui di parlimen hari ini.

PKR akan mengadakan pemilihan parti pada akhir Ogos ini walaupun mandat penyandang setiap jawatan masih sah sehingga 22 Feb 2019.

Ia dinyatakan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail awal Jun lalu.

Untuk proses pencalonan pula ia akan berlangsung antara 27 hingga 29 Julai.
Pemilihan kali ini dilihat lebih menarik berbanding biasa kerana dijangka menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri sebagai presiden.

Jika terpilih, Anwar akan menduduki jawatan itu secara rasmi untuk kali pertama selepas sekian lama dianggap ketua umum saja.

Ditanya mengenai pencalonan Anwar, Johari berkata, beliau turut melihat bekas timbalan perdana menteri itu sebagai tokoh yang cukup sesuai mengetuai PKR.

Katanya beliau adalah antara orang yang terawal menubuhkan PKR bersama Anwar.

"Maknanya saya boleh rasa dan kenal bahawa orang yang boleh mengetuai kita ialah Anwar," katanya.

Ditanya siapa yang paling layak menjadi timbalan presiden pula, Johari berkata beliau mempunyai pilihannya sendiri dan akan memaklumkan perkara itu kemudian.

"Mungkin ada dua atau tiga orang yang akan bertanding jawatan tersebut (timbalan presiden).

"Saya akan ada pilihan lain yang akan saya umumkan tapi presiden mesti Anwar dan timbalan akan saya umumkan kemudian," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-