Showing posts with label Ketua Polis Negara (KPN). Show all posts
Showing posts with label Ketua Polis Negara (KPN). Show all posts

Sunday, July 21, 2019

Umno selar KPN dakwa video seks gay tulen tetapi gagal cam pelaku

Adam Abu Bakar
-July 21, 2019 3:16 PM

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

PETALING JAYA:  Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berterima kasih kepada Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador yang mengesahkan video seks sejenis membabitkan Haziq Aziz dan seorang lagi individu adalah video tulen.

Annuar berkata, walaupun Hamid memaklumkan CyberSecurity Malaysia tidak dapat memastikan siapa pelaku dalam video seks tersebut, namun ia memadai dengan kenyataannya bahawa video itu tidak disunting.

“Video tulen tetapi muka tidak cam, perompak pula cepat kau cam. Berhentilah berlakon, rakyat tidak bodoh. Terima kasih KPN kerana mengesahkan video tulen.

“Cukup sekadar katakan video berkenaan tulen. Soal pengecaman, biar rakyat yang cam. Kita bimbang video itu tidak tulen, bimbang ada tekonologi terbaru digunakan.

“Tidak perlu KPN sahkan siapa dalam video itu, biar rakyat sahkan siapa dia,” katanya sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilam Umno Bahagian Kota Raja, hari ini.

Terdahulu, Hamid mengumumkan kebarangkalian video seks sejenis menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali tulen adalah tinggi, menurut hasil analisis CyberSecurity Malaysia.

Hasil analisis sama bagaimanapun tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip menteri itu.

Hamid juga mengumumkan hasil siasatan polis mendedahkan wujud “pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin parti politik”, bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz menggemparkan negara dengan pengakuan beliau terbabit dalam klip video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah.

Haziq menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu. Azmin pula menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Dalam perkembangan lain, Annuar memaklumkan sudah mendapat arahan dari Presiden Umno Zahid Hamidi untuk bertemu dengan setiap pemimpin parti, termasuk Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz.

Ia selepas Nazri dan Khairy secara terbuka lantang mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak yang dilantik sebagai pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN).

“Saya akan berjumpa dengan setiap seorang untuk ajak mereka dalam 1 saf, bagi membina Umno yang kuat. Presiden beri keizinan untuk temui setiap orang, supaya kita sediakan ruang cukup,” katanya.

Annuar berkata demikian selepas mengumumkan mesyuarat perpaduan ummah antara Umno-PAS selesai dan menunggu masa untuk memeterai perjanjian hitam putih kerjasama kedua-dua parti berkenaan.

“Ini bukan soal PAS berpakat dengan Umno, bukan hendak suruh Melayu di dalam Umno bersatu, taawun ini sebagai lambang kerjasama 2 parti paling lama dan tua di dalam negara,” katanya.

Saturday, February 23, 2019

Perkasa kecewa individu hina Nabi dibebas tanpa pendakwaan

By Manzaidi Mohd Amin
- 23 Februari 2019

Foo Sing Wai (muka dibulatkan) dibebaskan dengan jaminan polis, semalam

KUALA LUMPUR  –  Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kecewa apabila lelaki yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad menerusi akaun Facebook baru-baru ini, telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam

Tindakan membebaskan Foo Sing Wai tanpa sebarang pendakwaan disifatkan sebagai satu lagi penghinaan terhadap orang Islam di negara ini.

Jelas Naib Wira Perkasa, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah, bagaimana seseorang yang secara biadab dan kurang ajar menghina Nabi Muhammad boleh dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan.

“Sedangkan, perbuatan keji dan biadab Foo Sing Wai itu telah menghina serta menimbulkan kemarahan umat Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad dilaporkan berkata, warga emas berusia 68 tahun itu dibebaskan pada jam 11 pagi.

Suspek ditahan pada 19 Februari lalu di rumahnya di Mentakab, Pahang, sebelum direman tiga hari untuk membantu siasatan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah, melalui Facebook.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Justeru, Syed Mohd Shahriman menggesa polis meneruskan pendakwaan dengan kadar segera dan wajib ke atas lelaki itu bagi memulihkan rasa marah umat Islam.

Ia juga katanya, sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik sebarang bentuk provokasi yang menyentuh dan mengguris sensitiviti agama serta perkauman.

 – MalaysiaGazette

Saturday, June 16, 2018

Kula akan jumpa IGP bincang pencarian anak Indira Gandhi

Bernama
Diterbitkan 16 Jun 2018, 11:19 malam


Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran akan bertemu dengan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk mempercepatkan proses pencarian anak perempuan bongsu M Indira Gandhi yang gagal diserahkan oleh bekas suaminya.

Kulasegaran, bekas peguam wanita itu, berkata telah memerintahkan Muhammad Riduan Abdullah menyerahkan Prasana Diksa kepada bekas isterinya itu selain mahkamah memerintahkan lelaki, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, ditangkap kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi.

“Saya akan berjumpa Mohamad Fuzi tidak lama lagi untuk melihat bagaimana saya boleh mempercepatkan proses untuk mencari anak perempuan Indira.

“Terdapat beberapa kesukaran (mencari Muhammad Riduan) tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk mencapainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun tokoh kemerdekaan Tun VT Sambanthanke-99, hari ini.

Mohamad Fuzi, dalam kenyataannya pada 29 Jan lalu, memberitahu usaha mengesan dan menahan Muhammad Riduan masih berterusan sejak 2014 berdasarkan waran untuk pengkomitan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Pada 29 Jan lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Ketiga-tiga anak pasangan itu iaitu dua perempuan dan seorang lelaki kini berusia 20, 19, dan sembilan tahun. Muhammad Riduan, 47, telah menukar agama anak-anak mereka kepada Islam pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi, selepas dia memeluk Islam.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap ketiga-tiga anaknya dan memerintahkan Muhammad Riduan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.

- Bernama

Friday, November 4, 2016

Tuduhan Soros beri dana: Pergilah periksa laman web, akaun kami

 ARIF ATAN : 
Bersih di tuduh menerima dana daripada jutawan Amerika Syarikat George Soros untuk menggerakkan himpunan rakyat menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini.

Pihak yang menuduh kononnya Bersih 2.0 mendapat dana asing daripada hartawan Yahudi, George Soros digesa supaya mengesahkan dakwaan tersebut dengan merujuk laman web dan akaun gerakan menuntut pilihan raya bersih dan adil itu, tegas aktivis hak asasi manusia, Nadya Fadya Fikri.

“Pandai-pandai nak fitnah. Pergilah tengok laman web kami, akaun kami sudah diaudit, semua maklumat ada di situ. Faktanya menunjukkan tiada pun nama Soros di situ. Kenapa mahu timbulkan benda yang tiada menjelang Bersih 5 ini?” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, permohonan maaf oleh syarikat penerbitan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) kepada Bersih 2.0 sebelum ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur patut menjadi pengajaran supaya tidak mengulang fitnah yang sama.

“Pada 2012, Bersih 2.0 sudah pun memfailkan saman malu terhadap NSTP sebab menuduh kami ada terima dana asing. Tuduhan itu tiada asas. Mereka sudah buat permohonan maaf secara terbuka. Mengapa tuduhan sama masih dimain-mainkan lagi?” soalnya.

Fadya menyifatkan kerajaan sengaja memomok-momokkan orang Melayu dengan kebencian terhadap Yahudi padahal maksud sebenar Yahudi dengan Zionis pun tidak dapat dibezakan.

Mengulas kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dilapor menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat tajaan Soros kepada organisasi media tempatan termasuk Bersih, Fadya berkata, KPN sepatutnya menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Menteri, Perdana Menteri sekalipun, kita semua ada undang-undang dan tiada seorang pun boleh melampaui Perlembagaan termasuk KPN. Kalau dia tidak hormat Perlembagaan negara sebagai institusi undang-undang tertinggi di Malaysia ini, kita dibimbangi sedang menuju kepada negara polis.

“Kita akan tinggal dalam negara autokratik kalau polis berkuasa melebihi undang-undang. Saya minta dia hormat semangat perlembagaan. Jangan buat tindakan macam negara ini tidak ada undang-undang,” tegasnya yang juga merupakan peguam.

Menurutnya, sesuai dengan peruntukan Perlembagaan yang menggariskan tentang kebebasan bersuara dan membenarkan rakyat berhimpun tugas pihak polis adalah memastikan himpunan pada 19 November ini berlangsung secara aman bukan bercakap bagi kepentingan mana-mana parti politik.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan seluruh badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini sememangnya bertungkus lumus menjalankan aktiviti bagi mencapai tahap demokrasi yang lebih baik demi menjamin kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat.

“Oleh itu, kita perlukan sumber kewangan untuk kerja-kerja berkenaan. Bila dana asing mahu disekat, apa maksudnya kalau bukan untuk halang pembentukan masyarakat sivil?

“Biar tutup semua NGO di Malaysia ini supaya tidak ada yang langsung menegur apatah lagi membantah kerajaan? Kalau begitu, cengkaman kuku besi mereka akan bertambah menyakitkan,” tegas Fadya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-