Showing posts with label Bersih 5. Show all posts
Showing posts with label Bersih 5. Show all posts

Wednesday, November 23, 2016

Rakyat tunggu PRU, bukan bosan berhimpun

NURUL KHALEEDA RASHIKIN
23 NOVEMBER 2016
Himpunan Bersih
SHAH ALAM - Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir mengatakan bahawa rakyat bukannya bosan dengan perhimpunan aman ini tetapi semakin bijak dalam membuat keputusan.

Ini berikutan dengan pengurangan jumlah rakyat yang hadir sewaktu perhimpunan aman Bersih 5 berbanding dengan Bersih 4.

“Salah satu faktor mereka tidak menyertai perhimpunan aman tersebut kerana merasakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan melayan permintaan mereka melalui medium ini.

“Selain itu, mereka kini sudah matang dan melihat Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk menjatuhkan Najib,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Sebelum ini, Najib dalam satu kenyataan berkata, beliau melihat masyarakat Malaysia sudah bosan dengan kumpulan Bersih atau merasakan tindak-tanduk perhimpunan yang dipromosikan kumpulan berkenaan tidak memberi faedah kepada negara.

"Sekiranya Umno/ BN kehilangan banyak kerusi dalam PRU akan datang, tekanan akan diberikan pada Najib supaya berundur,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, adalah sukar untuk beliau menilai sama ada himpunan awam ini gagal ataupun sebaliknya.

“Sudah banyak tunjuk perasaan yang dibuat oleh rakyat, Oleh itu, sukar untuk dinyatakan sama ada ia berjaya atau gagal.

“Saya sendiri merasakan bahawa Bersih 5 ini mencapai matlamatnya walaupun bilangan kehadiran tidak seperti yang dibayangkan.

“Kini hanya menanti PRU sahaja untuk tentukan gulingkan Najib, bukannya melalui perhimpunan awam,” katanya lagi.

Sunday, November 20, 2016

Tangkapan BERSIH: 8 dibebaskan, Maria masih 'terkurung'

Polis telah membebaskan lima ahli politik dan tiga aktivis yang ditahan sebelum himpunan BERSIH 5 kelmarin.

Kesemua mereka telah ditahan pada hari Jumaat yang lalu dan disiasat atas pelbagai kesalahan. Lapan mereka ialah:-
Safwan Anang, ahli jawatankuasa pemandu BERSIH
Mandeep Singh, ahli jawatankuasa pemandu BERSIH
Muhammad Luqman Nul Hakim Zul Razali, aktivis pelajar
S Arutchelvan, ahli jawatankuasa PSM
Wong Chee Wai @ Jimmy Wong, ahli DAP
Lee Khai Ming, ahli DAP
Anis Syafiqah, jurucakap TangkapMO1
Ronnie Liu, bekas exco Selangor dari DAP


Bercakap kepada pemberita selepas pembebasan tersebut, peguam Ramkarpal Singh berkata, perintah reman ke atas lapan individu tersebut tamat pada hari ini, oleh itu, mereka dibebaskan.

"Setakat yang saya tahu ... keseluruhan proses (boleh dicirikan) sebagai tahanan dengan niat untuk menghalang penyertaan mereka dalam BERSIH 5.

"Ini adalah hal yang sangat memalukan kerana kita tidak nampak sebab atau keperluan untuk menangkap mereka semua pada malam sebelum BERSIH 5," katanya.

Ramkarpal, yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor berkata, polis mempunyai masa yang cukup untuk menangkap dan menyoal anak guamnya sebelum BERSIH 5.

"Jelas sekali, ini semua dilakukan dengan niat untuk menggagalkan BERSIH 5," ujar beliau lagi.

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah yang turut ditahan pada hari Jumaat yang lalu, bagaimanapun, tidak tersenarai di kalangan mereka yang dibebaskan hari ini.

[Baca berita penuh]

Masyarakat sudah bosan dengan kumpulan Bersih

Najib Tun Razak
LIMA - PERU. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau melihat masyarakat Malaysia sudah bosan dengan kumpulan Bersih atau merasakan tindak-tanduk perhimpunan yang dipromosikan kumpulan berkenaan tidak memberi faedah kepada negara.

Diminta mengulas perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur pada Sabtu, beliau berkata, tindakan untuk menumbangkan kerajaan cara sedemikian adalah tidak sah dari segi perlembagaan dan undang-undang.

"Kita sebagai rakyat Malaysia mestilah menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Kalau tidak, negara kita jadi negara huru hara, rakyat yang menderita," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan sempena penyertaan beliau pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di sini Sabtu.

Mengulas kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Bersih 5, Najib berkata, ia menunjukkan Mahathir akan melakukan perkara-perkara yang berbeza dengan apa yang dilakukannya ketika menjadi Perdana Menteri.

Beliau juga berkata apa yang disuarakan oleh Mahathir mengenai kedudukan ekonomi negara adalah cakap-cakap politik tanpa disokong oleh fakta serta agensi penarafan dan badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Dunia (IMF) atau Bank Dunia.

"Jika kita ada krisis ekonomi sudah tentu agensi penarafan akan turunkan rating.

"IMF dan Bank Dunia akan tegur dan bincang langkah yang perlu dilakukan oleh kerajaan," katanya.

Beliau menegaskan tiada tindakan oleh agensi antarabangsa itu membuktikan urus tadbir negara berjalan dengan baik.

"Tiada sebab mengapa kita rasa cemas," katanya.

Najib menegaskan bahawa kerajaan akan terus fokus kepada pentadbiran bagi memastikan setiap program yang dirancang sampai kepada rakyat.

 - Bernama

2 Ahli Parlimen PKR ditangkap polis

FMT Reporters

Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin dipercayai ditahan kerana pembabitan mereka dalam tunjuk perasaan Bersih 5
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin ditangkap polis malam tadi dipercayai kerana pembabitan mereka dalam tunjuk perasaan Bersih 5.

Tian melalui twit memberitahu beliau sudah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Nasib baik saya sempat mandi. Lega dapat bersama aktivis Bersih 5 dan berehat dengan tenang dalam lokap,” kata pemimpin PKR itu.

Menurut Tian, beliau ditahan dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas tuduhan merusuh.

Tidak lama kemudian, FMT dimaklumkan polis turut menangkap Zuraida.

Menurut WhatsApp Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, pihak belum jelas tuduhan terhadap Zuraida.

Sebelum kejadian, Tian Chua menulis polis sudah mengepung kediamannya.

“Polis di depan rumah, nampaknya malam ini saya mungkin ditangkap. #LawanTetapLawan,” katanya.

Setakat ini, Adun Canning Howard Lee Chuan How (DAP), aktivis Fahmi Reza, aktivis Hishamuddin Rais, Exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah dan seorang penunjuk perasaan Siew Tech Soon dalam tahanan pihak berkuasa.

Mereka menyusuli senarai tahanan lain termasuk Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, urusetia Bersih Mandeep Singh, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan, aktivis Anis Syafiqah Mohd Yusuf, aktivis Safwan Anang, aktivis Luqman Nul Hakim Zul Razali, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke (DAP) dan bekas exco Selangor Ronnie Liu (DAP).

Bernama melaporkan Timbakan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata lebih ramai lagi peserta Bersih 5 dan Baju Merah akan ditahan untuk didakwa di mahkamah.

Katanya senarai nama individu yang terbabit dalam kedua tunjuk perasaan sudah dikenalpasti tetapi tidak menamakan mereka.

Armand, Chuan How antara yang terakhir ditahan

Foto armandpju.blogspot.com
KUALA LUMPUR - Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifa dan Adun Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How merupakan antara 17 individu ditahan sempena perhimpunan haram, Bersih 5 dan Baju Merah, di ibu negara, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, Armand Azha selaku pemimpin kumpulan Baju Merah dan Chuan How sebagai aktivis Bersih 5, ditahan di bawah Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, 15 pemimpin daripada kedua-dua kumpulan itu termasuk Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan ketua kumpulan Baju Merah,

Datuk Seri Jamal Md Yunos ditahan pada semalam dan hari ini.

Dalam pada itu, Amar Singh berkata, sebanyak 28 laporan polis dibuat iaitu 20 laporan tangkapan dan lapan laporan amm dan empat kertas siasatan dibuka sepanjang perhimpunan termasuk di bawah Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan kerana berhasrat mencetus rusuhan, pecah keamanan dan menggugat ketenteraman awam.

Katanya, tiga lagi kertas siasatan dibuka membabitkan tangkapan ke atas peserta perhimpunan berusia antara 33 hingga 49 tahun kerana kesalahan menggunakan drone semasa perhimpunan itu, memiliki senjata parang dan buku lima, dan mendatangkan kecederaan kepada peserta lain.

Amar Singh berkata sepanjang perhimpunan itu juga turut dikesan peserta yang membawa kanak-kanak dan perbuatan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4(2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menurutnya tindakan lanjut akan diambil.

Menjelas lanjut, beliau berkata perhimpunan Bersih 5.0 dan Himpunan Baju Merah berlangsung seperti yang dirancang dan dijadualkan oleh penganjur masing-masing walaupun larangan telah dikeluarkan oleh pihak polis sebelum ini.

"Tidak dinafikan juga berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa kerana peserta perhimpunan berkumpul dan berarak di jalan-jalan raya," katanya.

Katanya, kumpulan Baju Kuning berkumpul di Dataran Maybank, Stesen LRT Bangsar, Masjid Negara, Sogo, Tun Perak dan berarak menuju ke Dataran Merdeka.

"Himpunan Baju Merah pula berkumpul di sekitar PWTC, Jalan Raja Laut, Sogo dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kumpulan ini berarak ke Padang Merbok setelah diarahkan pasukan polis," katanya.

Amar Singh menganggarkan lebih kurang 15,500 peserta Baju Kuning hadir ke perhimpunan ini, manakala hanya lebih kurang 2,500 orang hadir berhimpun dengan memakai Baju Merah.

Katanya, sehingga pukul 6 petang ini, suasana di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di Dataran Merdeka terus terkawal dan peserta perhimpunan telah bersurai.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada anggotanya yang berjaya menjaga keamanan dan keselamatan sepanjang perhimpunan hari ini.

"Warga Polis Diraja Malaysia telah mempamerkan sifat kesabaran dan profesionalisme yang amat terpuji dalam melaksanakan tugas hari ini," katanya menerusi catatan di akaun Twitternya. 

- Bernama

Saturday, November 19, 2016

Mahathir pulang dari luar negara demi BERSIH5


Walaupun mempunyai agenda lain di luar negara hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap pulang untuk bersama-sama ribuan rakyat Malaysia dalam perhimpunan BERSIH5 di ibu negara.

Perdana menteri keempat itu menyertai kumpulan Baju Kuning di stesen kereta api LRT di Bangsar, Kuala Lumpur kira-kira jam 2 petang ini.

Berbaju rasmi BERSIH 5 dan bertopi putih, beliau diiringi oleh bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Umno Datuk Seri Mukhriz, yang juga anaknya.

“Ramai orang hadir hari ini tetapi kerajaan pengecut, mahu halang demonstrasi yang menjadi hak rakyat, yang dijamin dalam perlembagaan,” katanya

Ditanya sama ada perhimpunan hari ini kebanyakannya dihadiri oleh orang Cina, Mahathir berkata persoalan kaum tidak berbangkit dalam isu itu.

“Semua orang bimbang dengan kerajaan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Mahathir sebelum ini dirakam turut daripada pesawat setelah dikatakan pulang daripada menghadiri acara lain di Sudan.

Kehadirannya pasti mengejutkan sesetengah pihak setelah beliau membayangkan tidak hadir acara hari ini, dalam temu bual bersama radio atas talian Radio Bangsar Utama.

Mahathir menyeru orang ramai menyertai himpunan itu bagi memberi tekanan kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berdepan dakwaan skandal 1MDB dan kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya.

Ketika lautan manusia membanjiri ibu kota hari ini, Najib sedang menghadiri acara rasmi di Peru bersama isterinya Rosmah Rosmah.

Friday, November 18, 2016

Cuepacs: Jangan sertai perhimpunan, nanti hilang periuk nasi

Khairil Ashraf

Kesatuan kakitangan kerajaan itu berkata penjawat awam boleh menyertai banyak lagi perhimpunan lain yang mendapat kelulusan pihak berkuasa.
PETALING JAYA: Menjelang Bersih 5 esok, kesatuan mewakili penjawat awam Cuepacs berkata ia tidak menggalakkan kakitangan kerajaan menyertai sebarang perhimpunan kerana bimbang tindakan tatatertib yang bakal dikenakan ke atas mereka.

“Kalau mereka dikenakan tindakan, siapa nak tolong dia?” soal Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda.

“Tak ada orang nak pergi tolong. Percayalah saya cakap. Kita bersimpati untuk masa depan anak-anak mereka. Jadi apakah salah sebagai langkah persediaan kita?”

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa berkata penjawat awam yang menyertai perhimpunan di ibu kota esok boleh diambil tindakan tata tertib, termasuk pemotongan gaji.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata penjawat awam berhak menyertai perhimpunan aman kerana ia merupakan hak perlembagaan.

Bersih 2.0 akan mengadakan perhimpunan ke-5 esok di tengah bandar raya, walaupun polis sebelum ini berkata notis yang diberikan tidak memenuhi syarat. Gerakan Baju Merah pimpinan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, juga dijangka berkumpul pada hari sama, dalam usaha menghalang Bersih 5.

Azih berkata Cuepacs tidak ada masalah sekiranya kakitangan kerajaan menyertai perhimpunan yang diluluskan pihak berkuasa.

“Kami bermesyuarat agung berhimpun, kami berjumpa dengan ahli kami berhimpun, banyak lagi perhimpunan. Yang itu tak apa,” katanya kepada FMT.

“Suhakam nak menegur, itu hak dia tapi pada pandangan kita, kita tak boleh nak halalkan cara dengan cara ini.”

Wednesday, November 16, 2016

Umno tak halang ahli sertai himpunan Sabtu ini

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
ANNUAR MUSA
KUALA LUMPUR - Umno tidak akan menghalang sekiranya ada ahli parti itu mahu menyertai perhimpunan baju merah yang dianjurkan serentak dengan Bersih 5, Sabtu ini.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagaimanapun ahli yang terlibat perlu menanggung risiko dan bertanggungjawab jika berdepan tindakan undang-undang.

"Akar umbi Umno ada yang tak gembira dengan Bersih dan mungkin nak sertai baju merah. Itu pilihan peribadi mereka.

"Apa yang saya tahu kedua-dua perhimpunan haram dan tak dibenarkan oleh polis. Jadi sesiapa nak pergi mereka kena bertanggungjawab sendiri," katanya kepada media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Menurut Annuar, Umno juga tidak akan mengambil tindakan atau menetapkan peraturan berhubung penyertaan ahlinya dalam perhimpunan tersebut.

"Kalau pembangkang pun tak kenakan tindakan terhadap ahlinya yang sertai Bersih, kenapa Umno nak ambil tindakan jika ada ahli sertai baju merah? Kita tak boleh halang orang untuk buat apa yang mereka mahu.

"Ikut peringkat individu mereka boleh sertai himpunan tetapi di peringkat organisasi kita tak bincang. Jika polis pun tak boleh halang, takkan saya sebagai Ketua Penerangan Umno boleh halang," katanya.

Mengulas mengenai surat mesyuarat penyelarasan ahli Umno Melaka ke perhimpunan baju merah yang diviralkan, Annuar berkata, beliau tidak pasti kesahihan surat itu.

"Saya dah lihat dan baca surat itu tetapi tak boleh sahkan ia betul atau tidak. Saya juga tak tahu apa hasil perbincangan atau keputusan mesyuarat tersebut, " katanya.

Friday, November 4, 2016

Tuduhan Soros beri dana: Pergilah periksa laman web, akaun kami

 ARIF ATAN : 
Bersih di tuduh menerima dana daripada jutawan Amerika Syarikat George Soros untuk menggerakkan himpunan rakyat menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini.

Pihak yang menuduh kononnya Bersih 2.0 mendapat dana asing daripada hartawan Yahudi, George Soros digesa supaya mengesahkan dakwaan tersebut dengan merujuk laman web dan akaun gerakan menuntut pilihan raya bersih dan adil itu, tegas aktivis hak asasi manusia, Nadya Fadya Fikri.

“Pandai-pandai nak fitnah. Pergilah tengok laman web kami, akaun kami sudah diaudit, semua maklumat ada di situ. Faktanya menunjukkan tiada pun nama Soros di situ. Kenapa mahu timbulkan benda yang tiada menjelang Bersih 5 ini?” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, permohonan maaf oleh syarikat penerbitan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) kepada Bersih 2.0 sebelum ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur patut menjadi pengajaran supaya tidak mengulang fitnah yang sama.

“Pada 2012, Bersih 2.0 sudah pun memfailkan saman malu terhadap NSTP sebab menuduh kami ada terima dana asing. Tuduhan itu tiada asas. Mereka sudah buat permohonan maaf secara terbuka. Mengapa tuduhan sama masih dimain-mainkan lagi?” soalnya.

Fadya menyifatkan kerajaan sengaja memomok-momokkan orang Melayu dengan kebencian terhadap Yahudi padahal maksud sebenar Yahudi dengan Zionis pun tidak dapat dibezakan.

Mengulas kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dilapor menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat tajaan Soros kepada organisasi media tempatan termasuk Bersih, Fadya berkata, KPN sepatutnya menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Menteri, Perdana Menteri sekalipun, kita semua ada undang-undang dan tiada seorang pun boleh melampaui Perlembagaan termasuk KPN. Kalau dia tidak hormat Perlembagaan negara sebagai institusi undang-undang tertinggi di Malaysia ini, kita dibimbangi sedang menuju kepada negara polis.

“Kita akan tinggal dalam negara autokratik kalau polis berkuasa melebihi undang-undang. Saya minta dia hormat semangat perlembagaan. Jangan buat tindakan macam negara ini tidak ada undang-undang,” tegasnya yang juga merupakan peguam.

Menurutnya, sesuai dengan peruntukan Perlembagaan yang menggariskan tentang kebebasan bersuara dan membenarkan rakyat berhimpun tugas pihak polis adalah memastikan himpunan pada 19 November ini berlangsung secara aman bukan bercakap bagi kepentingan mana-mana parti politik.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan seluruh badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini sememangnya bertungkus lumus menjalankan aktiviti bagi mencapai tahap demokrasi yang lebih baik demi menjamin kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat.

“Oleh itu, kita perlukan sumber kewangan untuk kerja-kerja berkenaan. Bila dana asing mahu disekat, apa maksudnya kalau bukan untuk halang pembentukan masyarakat sivil?

“Biar tutup semua NGO di Malaysia ini supaya tidak ada yang langsung menegur apatah lagi membantah kerajaan? Kalau begitu, cengkaman kuku besi mereka akan bertambah menyakitkan,” tegas Fadya lagi.

DAP paksa PAS sertai demo haram Bersih 5 tanpa syarat

AKIBAT terdesak bimbang gagal mendapat sambutan, DAP terpaksa mengarah dan memaksa PAS menyertai perhimpunan haram Bersih 5.0 pada 19 November ini tanpa sebarang syarat.

Ia kononnya sebagai langkah permulaan kepada pihak parti Islam tersebut untuk dapat bersama-sama dengan blok pembangkang dalam Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Permintaan paling lucu itu disuarakan Timbalan Bendahari Agung DAP, Nga Kor Ming sambil mendakwa sebarang alasan untuk PAS tidak menyertai Bersih 5.0 boleh dianggap parti itu sebagai ingin sekongkol dengan UMNO.

Pengerusi DAP Perak dan Ahli Parlimen Taiping itu malah berkata, melalui tindakan berkenaan, rakyat akan mengetahui agenda sebenar PAS untuk bersama-sama pembangkang ‘menumbangkan’ pemerintahan UMNO.

“Jika PAS ikhlas ingin dengan pembangkang dan bukan selamatkan UMNO, maka langkah permulaan adalah wajar kepemimpinan PAS termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan kepada Bersih 5.0.

“Ini termasuk sertai perhimpunan ini tanpa sebarang syarat. Jika PAS buat keputusan tidak sokong itu, kegagalan PAS bersama Bersih akan memperlihatkan ia sudah menjauhkan diri daripada matlamat Deklarasi Rakyat.

“Ini bermakna pihak pakatan pembangkang harus terus mara ke depan tanpa lagi penglibatan daripada PAS,” kata Kor Ming dalam satu kenyataan media yang agak pelik dan kelakar serta dikeluarkan di ibu negara.
Beliau mendakwa konon semua parti pembangkang termasuk PKR, PAN dan PPBM sudah bersetuju menyertai himpunan haram itu sebagai usaha konon menyatakan pendirian menuntut pilihan raya adil, bebas tanpa rasuah.

Lebih kelakar, Kor Ming turut mendakwa konon semua 14 parti komponen BN termasuk UMNO, turut dipelawa untuk menyertai perhimpunan jalanan tanpa permit polis itu tetapi pelawaan tersebut sudah ditolak mereka.

Gimik terbaharu beliau itu nyata menunjukkan DAP sanggup buat apa sahaja waima daripada seteru politiknya, PAS yang baru-baru ini membentuk blok pembangkang baharu, Gagasan Sejahtera disertai Parti Ikatan dan Berjasa.

Umum maklum, DAP bertanggunjawab membubarkan Pakatan Rakyat tahun lalu setelah semua calon proksinya tewas besar ketika pemilihan jawatan pada Muktamar Tahunan PAS 2015 dan menyokong serpihannya iaitu PAN.

Tindakan DAP itu menyebabkan PAS memulaukan demo Bersih 4 pada ambang merdeka tahun lalu menyaksikan kehadiran hanya 20,000 peserta, majoritinya penyokong ‘totok’ DAP daripada kalangan kaum Cina sahaja.

Sebaliknya PAS menyokong Himpunan Rakyat Bersatu diadakan pada Hari Malaysia 2015 sebagai tindak balas atas kebiadapan peserta Bersih 4 menyaksikan sambutan hangat lebih 200,000 peserta.

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA



Thursday, November 3, 2016

Bersih, Baju Merah tak boleh adakan perhimpunan

Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR - Penganjur perhimpunan Bersih 5 dan kumpulan Baju Merah tidak dibenar mengadakan sebarang perhimpunan, dan berdepan tindakan undang-undang jika berbuat demikian.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan tidak mahu berlaku pertembungan antara kedua-dua kumpulan berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tempat perhimpunan yang dipohon penganjur Bersih atau kumpulan Baju Kuning, termasuk dalam senarai lokasi yang tidak diizinkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 walaupun notis mengadakan perhimpunan dipohon 10 hari sebelum acara berlangsung.

"Sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin (Abdul Aziz), DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tidak mengizinkan ia digunakan kerana tidak digazetkan dalam Akta Perhimpunan Aman.

"Oleh yang demikian, Polis Diraja Malaysia memutuskan keputusan DBKL itu harus dipatuhi dan saya nasihatkan kedua-dua kumpulan ini jangan buat sebarang perhimpunan sebagaimana yang telah saya nyatakan di Dewan Rakyat hari ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Perhimpunan kumpulan Baju Merah dirancang Sabtu ini di Dataran Merdeka manakala perhimpunan Bersih 5 pada 19 November.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada persidangan Dewan Rakyat, Ahmad Zahid berkata KDN tidak tidak mempunyai apa-apa hubungan atau menjanjikan sebarang perlindungan dengan mana-mana kumpulan baik Bersih atau Baju Merah.

Beliau menegaskan polis akan bertindak tegas terhadap kedua-dua kumpulan itu atas sebarang ketidakpatuhan undang-undang atau prosedur yang ditetapkan.

"Yang Berhormat Kinabatangan (Datuk Bung Moktar Radin) dan Yang Berhormat Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh) ada bertanya kepada saya sama ada KDN ada hubungan dengan kumpulan Baju Merah dan meminta jaminan adakah kumpulan Baju Merah akan menghentikan aktiviti (perhimpunan) mereka jika Bersih juga berbuat demikian.

"Di sini saya ingin tegaskan bahawa KDN tiada apa-apa hubungan, perlindungan atau sebarang janji dengan mana-mana kumpulan sama ada Bersih atau kumpulan Baju Merah," katanya.

Ahmad Zahid berkata sehingga Oktober lalu, 175 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berhubung penganjuran Bersih 5.0.

Berdasarkan laporan polis berkenaan, beliau berkata siasatan dibuat berdasarkan kesalahan di bawah Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman atau undang-undang lain.

Ahmad Zahid berkata beberapa laporan lagi diterima mengenai ketua kumpulan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos.

"Saya ingin menyatakan bahawa jika tidak ada kuning pasti tidak ada merah, jika tidak ada Maria Chin (pengerusi Bersih 2.0) pasti tidak ada Jamal Yunos.

"Jadi saya minta semua pihak merah atau kuning mencari platform terbaik untuk mencari penyelesaian berbanding mengadakan perhimpunan," katanya.

Dalam isu Bersih dan Baju Merah, beliau berkata KDN menggesa semua pihak menjunjung kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkuat kuasa ketika ini.

"Kita tidak seharusnya bersandarkan dasar memperjuangkan sesuatu demi kepentingan negara atau untuk menegakkan keadilan, tetapi dalam masa yang sama kita sendiri mengingkari dan membelakangkan undang-undang yang digubal oleh Parlimen," katanya.

- Bernama

Tuesday, November 1, 2016

Pas dicabar sertai Himpunan Bersih 5

MUHAMAD ADZHAR TAJUDDIN
Mohammad Nizar Jamaluddin
IPOH - Pas dicabar menyertai Bersih 5 jika serius untuk mengadakan kerjasama dengan parti pembangkang bagi menghadapi PRU14.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perkara tersebut ditekankan kerana Pas antara parti yang menolak penganjuran himpunan berkenaan sebelum ini.

"Kalau benar-benar serius (bersama), Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin perlu arahkan ahli parti di semua peringkat hadir pada 19 November nanti di Dataran Merdeka.

"Kehadiran itu akan menghilangkan persepsi bahawa mereka kurang serius seperti sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Hashim menegaskan Pas bersetuju dengan konsep satu lawan satu yang dikemukakan pakatan pembangkang bagi menumbangkan BN pada PRU14.

Bagaimanapun, Hashim mengingatkan kerjasama itu tidak akan dipersetujui sekiranya berlaku campur tangan pihak luar mengenai akidah dan agama Islam.

Mohammad Nizar berkata, beliau juga tidak menolak persetujuan Pas untuk mengadakan kerjasama itu disebabkan kelemahan pentadbiran dan penurunan sokongan rakyat.

"Mungkin Hashim respon untuk satu lawan satu disebabkan kajian yang mendapati Pas mungkin tumbang di Kelantan, penolakan sokongan rakyat. Ditambah lagi dengan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355," katanya.

Tuesday, October 4, 2016

PRU 14 : DAP saran Pakatan Harapan letak calon di tempat UMNO & PAS bertanding

AIDCNEWS
AIDCNews – 03/10/16 – Pakatan Harapan perlu meletakkan calon di tempat UMNO dan PAS bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 kata Mahdzir Ibrahim, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor.

“Saranan saya supaya semua kerusi ditandingi Umno dan PAS diletakkan Pakatan Harapan akan membolehkan satu penjajaran garis politik berlaku dengan lebih cepat.

“Ini akan melicin dan meluruskan lagi usaha membina keyakinkan rakyat kepada parti-parti pembangkang berkaitan kesiagaan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan BN menerusi pilihan raya umum akan datang,”katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Mahdzir yang merupakan calon DAP yang tewas di Parlimen Tanjong Piai, Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) berkata PAS kini secara total menolak dan DAP dan PAN tetapi sedang bermain politik teka teki dengan UMNO, PKR dan PPBM.

“PAS tidak akan mampu membuat pendirian yang tetap dan jelas dalam aspek ini, sebaliknya terus berdolak-dalik dengan pelbagai ragam politik yang dimainkan bersama Umno, PKR dan BERSATU.

“Garis politik PAS yang kabur, tidak konsisten dan berbolak-balik hanya akan mengelirukan rakyat. Malah, PAS sendiri tidak menginginkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil apabila mengambil pendirian untuk tidak menyokong BERSIH 5 pada 19 November nanti.

“Bangsa Johor punya garis politik yang tuntas, bukan begini,”katanya.

Justeru, Mahdzir menyarankan agar Pakatan Harapan tidak perlu lagi membuang masa dengan melakukan usaha untuk memujuk PAS agar kembali semula ke pangkuan blok pembangkang yang dianggotai PKR, DAP, PAN dan PPBM.

“Pandangan saya ini juga adalah mengambil saranan penulis veteran politik, Subky Latif dalam satu rencana beliau yang disiarkan di Harakahdaily pada 28 September 2016.

“Subky menyarankan kepada pihak pembangkang agar mengambil keputusan bergabung lawan BN dan tidak perlu membuang masa menunggu PAS untuk bersama.

“Justeru, mana-mana pihak di kalangan pembangkang terbuka untuk memberi cadangan dan harus tampil mengemukakan idea demi menumpukan usaha kerja memantapkan gerakan menewaskan BN pada pilihan raya umum ke-14.

“Sikap tunggu dan lihat, ada hadnya,”katanya lagi.

Monday, October 3, 2016

Pas tegur tindakan kumpulan baju merah

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
3 OKTOBER 2016
Takiyuddin Hassan
SHAH ALAM - Pas tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan baju merah sehingga menyebabkan berlaku kekecohan di Teluk Intan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak lain tidak sepatutnya mencetuskan suasana tidak tenteram mahupun melanggar undang-undang semata-mata tidak bersetuju dengan penganjuran Bersih 5.

"Tindakan gerakan baju merah itu sesuatu yang tidak begitu elok berlaku dalam konteks demokrasi negara kita.

"Bersih 5 mahu buat himpunan itu biarlah mereka ikut keperluan undang-undang yang perlu dipenuhi seperti Akta Perhimpunan Aman dan sebagainya.

"Bukannya pihak lain pula ambil tindakan sampai melanggar undang-undang. Jadi, Pas tidak bersetuju dengan cara kumpulan baju merah ini walaupun Pas tidak menyertai Bersih 5," katanya kepada Sinar Online.

Kelmarin, polis menafikan berlakunya pergaduhan besar di Teluk Intan seperti yang didakwa sebaliknya hanya insiden tolak menolak berlaku antara penyokong Bersih 5 dan kumpulan NGO Malaysia itu yang diketuai, Datuk Jamal Md Yunos.

Sebelumnya, penyokong NGO Malaysia berkumpul di hadapan pejabat Amanah Teluk Intan bagi menghalang peserta Konvoi Bersih 5, daripada menghampiri Pasar Malam di Teluk Intan.

Beberapa klip video berkaitan insiden itu juga telah dimuat naik secara meluas di media sosial sejak semalam.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-