Showing posts with label Majlis Keselamatan Negara (MKN). Show all posts
Showing posts with label Majlis Keselamatan Negara (MKN). Show all posts

Wednesday, March 18, 2020

Umno tuntut MKN keluar panduan jelas, perbetul keadaan


Dua pemimpin tertinggi Umno menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan panduan lebih jelas berikutan kekecohan yang berlaku sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan tengah malam tadi.

Walaupun perintah itu bertujuan menghalang orang ramai daripada berkumpul sehingga berpotensi menyebarkan wabak Covid-19, keadaan sebaliknya berlaku semalam.

Orang ramai berpusu-pusu menyerbu pasar raya untuk membeli barangan, selain kesesakan trafik keluar dari Lembah Klang dan pelajar universiti menyerbu terminal bas untuk pulang ke kampung selepas arahan mengosongkan asrama dikeluarkan.

Orang ramai juga dilihat menyerbu balai polis untuk mengisi dokumen merentas sempadan, walaupun arahan itu dibatalkan oleh polis beberapa jam selepas itu.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata, banyak pihak tidak faham sepenuhnya arahan tersebut termasuklah agensi pelaksana yang "terkial-kial mencari penyelesaian".

"Keadaan ini menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan resah," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertama, katanya, pihak berkuasa perlu memperhalusi dan membuat perincian mengenai kaedah pelaksanaan pergerakan antara negeri dan keluar masuk ke negara jiran.

Kedua, pentadbir universiti sepatutnya lebih prihatin keadaan pelajar yang kampung halamannya jauh dan pekeliling baru perlu dikeluarkan supaya pelajar tidak perlu berpusu-pusu mengosongkan asrama.

Ketiga, kerajaan perlu memberi satu panduan yang jelas mengenai operasi kedai makan, restoran dan warung (F&B) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Sekiranya terdapat pembetulan terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan, MKN yang baru sahaja mengambil alih krisis menangani Covid-19 mesti pantas dan bertindak segera memperbetulkan keadaan.

"Pasukan media MKN perlu agresif dalam menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat. Tidak perlu malu untuk melakukan pembetulan," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata rakyat tidak harus dipersalahkan apabila arahan mengelirukan dikeluarkan pihak berkuasa.

"Ramai pelajar universiti yang mengadu kafe di kampus ditutup. Tidak semuanya berkemampuan dan berkeupayaan untuk balik.

"Tidak wajar juga diarahkan kosongkan asrama. Mohon pihak universiti dapat segera bertindak. Fahami matlamat Perintah Kawalan Pergerakan!" katanya menerusi Twitter.

Monday, March 16, 2020

Covid-19: MKN keluar perintah kawal pergerakan


Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac depan bagi menangani Covid-19.

"Perintah kawalan pergerakan ini adalah bertujuan untuk memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya dan aktiviti harian dapat diteruskan semula seperti biasa.

"Sepanjang tempoh ini, jentera dan perkhidmatan kerajaan akan terus berfungsi seperti biasa," kata MKN pada suatu kenyataan malam ini.

Perintah mengawal pergerakan ini, kata MKN diambil kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) dan "tertakhluk kepada perkembangan semasa bagi semua warga negara dan bukan warga negara yang berada di Malaysia."

Perintah kawalan pergerakan itu adalah seperti berikut:

1. Melaksanakan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai dalam semua keadaan dan tempat di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya

2. Melaksanakan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negarea dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikuarantin di rumah selama 14 hari.

3. Melaksanakan sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

4. Melanjutkan tempoh cuti persekolahan ke atas semua sekolah di seluruh negara sehingga 31 Mac 2020.

5. Menangguhkan sesi pengajian di semua institusi pendidikan tinggi (awam dan swasta) di seluruh negara. Walau bagaimanapun IPT boleh melaksanakan sesi pengajian secara atas talian.

6. Menggalakkan kerja dari rumah bagi semua pejabat kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan-perkhidmatan penting seperti kesihatan, farmasi, keselamatan, perkhidmatan utiliti (air, tenaga dan komunikasi), pengangkutan, perbankan/ kewangan dan peruncitan/ bekalan makanan.

8. Premis tumpuan ramai seperti rumah ibadat, panggung wayang dan pusat-pusat hiburan ditutup dan melaksanakan proses sanitasi dalam tempoh tersebut.

9. Kemudahan pengangkutan awam termasuk hab pengangkutan akan terus beroperasi. Semua operator digesa melaksanakan proses sanitasi di fasiliti dan kenderaan masing-masing.
Perintah kawalan pergerakan ini diputuskan susulan mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam ini.

Kerajaan juga, kata MKN akan terus memperkukuhkan langkah kawalan yang telah dilaksanakan.

"Meneruskan kempen kesedaran kebersihan bagi mencegah penularan Covid-19 di semua platform media.

"Mewartakan Institut Latihan Awam (ILA) yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin di bawah Akta 342 untuk digunakan apabila terdapat keperluan," kata MKN lagi.

Selain itu, MKN mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang menyebarkan "berita palsu dan melanggar perintah kawalan pergerakan di bawah akta-akta berkaitan."

MKN memutuskan perintah kawalan pergerakan tersebut susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di Malaysia. Kementerian Kesihatan merekodkan 553 kes hari ini.

Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang menjadi korban Covid-19 yang telah meragut 6,650 nyawa di seluruh dunia.

Tuesday, December 4, 2018

Polis, MKN bermesyuarat isu himpunan ICERD

Bernama
-December 4, 2018 10:23 PM


KUALA LUMPUR: Polis akan mengadakan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan isu perhimpunan kesyukuran kerana kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Dikriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata mesyuarat berkenaan akan diadakan esok di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan sidang media akan diadakan selepas mesyuarat berkenaaan.

“Saya akan adakan sidang media pada pukul 1.00 petang esok mengenai perhimpunan ICERD selepas mesyuarat bersama MKN dan agensi-agensi luar,” katanya pada sidang media selepas membuat kunjungan ke pusat membeli-belah Aeon di Kepong sempena program kepolisan moden berprofil tinggi.

Ia akan disertai oleh agensi penguatkuasa lain dan pasukan keselamatan negara antaranya tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), bomba serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Semalam, DBKL membenarkan perhimpunan itu di Jalan Raja pada Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pihaknya hanya membenarkan penganjur menggunakan Jalan Raja sahaja iaitu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasi perhimpunan dari pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang.

DBKL menerima permohonan daripada penganjur yang terdiri daripada Muafakat (Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia), Ummah (Gerakan Pembela Ummah) dan Daulat (Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia) sahaja pada 27 Nov lepas.

PAS dan Umno akan turut serta dalam perhimpunan itu yang menurut mereka akan menyaksikan kehadiran 500,000 orang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan DBKL berhubung memendekkan waktu operasi pusat hiburan di ibu negara, Mazlan menyokong cadangan berkenaan.

“Saya mengalu-alukannya sebab lebih mudah kami mengawal pusat hiburan dan saya sokong sepenuhnya premis berkenaan untuk tutup operasi pada 1.00 pagi,” katanya.

Semalam, media melaporkan cadangan DBKL memendekkan waktu operasi pusat hiburan akan dikemukakan kepada Kementerian Wilayah dalam masa terdekat.

Nor Hisham berkata pihaknya akan mengesyorkan supaya premis-premis hiburan di sekitar ibu kota dibenarkan beroperasi hanya sehingga 1.00 pagi.

Friday, December 25, 2015

Masyarakat Kristian bimbang arah perundingan M'sia

Kow Gah Chie
Masyarakat Kristian dikatakan bimbang dengan arah perundingan di Malaysia, termasuk kelulusan undang-undang keselamatan kontroversi baru-baru ini.

“Kami bimbang berkaitan undang-undang yang diperkenal dan tanpa perbahasan cukup dan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

“Malah undang-undang keselamatan menjadi kebimbangan kami, kerana ia menjejaskan kebebasan rakyat biasa,” kata Ng Moon Hing daripada Persatuan Bible Malaysia.

Walaupun tidak merujuk secara langsung, beliau dipercayai merujuk kepada rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Rang undang-undang itu, yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara, diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember lalu.

Aktivis hak asasi manusia dan pembangkang menolak undang-undang itu atas alasan berlaku pemusatan kuasa yang besar terhadap perdana menteri.

[Baca berita asal]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-