Showing posts with label Perintah Kawalan Pergerakan. Show all posts
Showing posts with label Perintah Kawalan Pergerakan. Show all posts

Tuesday, March 24, 2020

Bersedia untuk kawalan dilanjutkan, kata persatuan perubatan

Durie Rainer Fong
-March 24, 2020 11:49 AM


KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia menggesa orang ramai bersedia untuk kemungkinan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 dilanjutkan selepas 31 Mac.

Presiden Dr N Ganabaskaran berkata langkah itu logik diambil kerajaan sekiranya lebih banyak kes jangkitan dilaporkan.

“Sekiranya kes terus meningkat pada kadar semasa, kami percaya kerajaan mungkin tiada pilihan kecuali melanjutkan kawalan,” katanya kepada FMT.

“Kita perlu jangka kawalan akan dilanjutkan, malah perdana menteri dan ketua pengarah kesihatan mengumumkan kemungkinan itu.”

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam berkata Majlis Keselamatan Negara akan mengkaji keperluan melanjutkan kawalan selama 1 atau 2 minggu pada 30 Mac ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan 212 kes baru, menjadikan jumlah keseluruhan 1,518 kes.

Malaysia mencatatkan 14 kematian kerana virus itu termasuk 4 mangsa semalam – kematian tertinggi dalam sehari setakat ini.

Ganabaskaran berkata antara matlamat perintah kawalan adalah mengelakkan jangkitan meningkat dengan banyak.

“Kalau ini berlaku, fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dibanjiri orang,” katanya.

“Dengan kawalan ini, kes masih boleh diuruskan.”

Beliau menambah kerajaan harus menyediakan langkah-langkah sekiranya keadaan tidak bertambah baik atau kawalan dilanjutkan.

“Isu kewangan, hilang pendapatan, kekurangan penjagaan kesihatan, kelengkapan perlindungan diri dan bekalan perubatan, bekalan makanan dan isu-isu lain perlu diteliti dan ditangani.”

Monday, March 23, 2020

Malam di ibu kota bagai ‘dilanggar garuda!’

By Syahril A. Kadir
     - 23 March 2020

Suasana tenang pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
 foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Keadaan sekitar ibu negara khususnya di Bukit Bintang, tempat yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri lengang bagaikan ‘dilanggar garuda’.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati usaha polis mengadakan sekatan jalan raya dengan dibantu pasukan tentera ternyata mendatangkan impak besar kepada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

Jalan Alor dan Changkat Bukit Bintang yang selalunya padat dengan pelancong yang gemarkan hiburan dan menikmati makanan ketika lewat malam kini sunyi sepi.
Suasana tenang pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Alor, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2020

Yang ada hanyalah seorang dua pengemis yang mundar mandir dan para pekerja pembersihan.

Menjelang awal pagi keadaan menjadi bertambah sunyi.
Suasana tenang pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Alor, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2020

Begitu juga di sekitar Chow Kit dan Jalan Raja Laut.

Jumlah gelandangan juga berkurangan secara mendadak berbanding hari-hari awal pelaksanaan perintah tersebut.

Ternampak juga kelibat seorang dua maknyah yang masih lagi ‘curi-curi’ mencari pelanggan di celah-celah bangunan, namun lari ‘tak cukup tanah’ bila ternampak kereta peronda yang berkawal.

Untuk rekod, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini di seluruh negara.
Perintah kawalan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Ia bagi mencegah penularan baharu wabak Covid-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat jika tiada langkah drastik diambil.
Anggota polis dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia bersama menjalankan sekatan jalan raya semasa Ops Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di tapak Tol Sungai Rasau, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 22 MAC 2020

Semalam juga menyaksikan penglibatan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diminta membantu pihak polis dalam menjayakan perintah kawalan pergerakan tersebut.

Setakat tengah hari semalam, terdapat 123 kes baru yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes.

Seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, sebanyak 22 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kematian juga telah meningkat kepada 10 orang. 

Malaysia Gazette

Sunday, March 22, 2020

COVID-19: Kerajaan perlu bertindak pantas



SELURUH negara, bahkan seluruh dunia berdoa semoga kita berjaya mengatasi dugaan yang diturunkan oleh yang Maha Esa ke atas muka bumi ini dengan wabak membunuh COVID-19.

Lapan kematian dengan lebih 1,000 kes di Malaysia adalah satu amaran bahawa kita juga telah termasuk dalam gelombang kedua penularan wabak berkenaan.

Bukan mahu tunjuk pandai atau cuba mengajar mana-mana pihak, tetapi sebagai wartawan yang berada di dalam koridor maklumat, pelbagai infromasi disampaikan minta dihebahkan kepada masyarakat demi kebaikan bersama.

Sebagai wartawan yang beretika dan terlatih saya menapis maklumat yang sampai serta mengelak daripada menyebarkan sesuatu yang bakal menimbulkan rasa panik kepada masyarakat.

Walaupun perkara berkenaan sudah tidak mempunyai makna di dalam kehidupan masa kini apabila maklumat tanpa diperiksa kesahihannya bertebaran di media sosial.

Saya juga cuba menahan diri daripada mengkritik kerajaan yang ada hari ini, kerana mereka juga kerajaan bidan terjun dan lebih malang mereka terjun terus masuk ke dalam bencana biologi yang bukan saja tidak difahami oleh mereka, bahkan oleh hampir seluruh masyarakat dunia.

Sebab itu saya telah mencadangkan krisis ini dikendalikan oleh penjawat awam atau bekas penjawat awam seperti tentera dan polis yang saya kategorikan sebagai patriot yang mempunyai kewibawaan luar biasa bagi mengendalikannya. Mungkin bekas panglima angkatan tentera, atau bekas ketua polis negara.

Bukan orang politik, apatah lagi Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang setakat ini hanya menjadi medan untuk menunjukkan siapa lebih hebat dan lebih pandai.

Apabila orang politik berlebihan campur tangan ia menyebabkan situasi berbeza, apatah lagi negara belum lagi selesai daripada kemelut politik.

Pasti ada pihak yang anti kerajaan hari ini dan merupakan kerajaan terdahulu sangat teruja untuk menunjukkan mereka lebih bijak daripada kerajaan hari ini.

Dan kerajaan hari ini pula sibuk menyalahkan kerajaan sebelumnya kerana gagal menangani dan mengekang wabak daripada menular.

Namun setakat ini cadangan saya telah dilibas oleh telinga gajah dan negeri ini semakin kehilangan kebolehan mendengarnya. Para menteri mewakili parti dan fraksi memalukan diri tampil masing-masing mahu membuat pengumuman.

Cukuplah drama. Perkara sangat penting pada masa ini ialah bagaimana untuk menghadapi gelombang kedua penularan wabak. Segalanya sudah berlaku perhimpunan tabligh telah berlaku.

Menyalahkan mereka dan menyumpah mereka tidak menyelesaikan masalah. Contoh kes pelajar UiTM yang mendapat penyakit berkenaan daripada bapanya yang menghadiri perhimpunan tabligh tempoh hari.

Pelajar itu sempat hadir kelas sebelum semua pusat pengajian tinggi ditutup. Kelas itu juga sempat digunakan oleh para pelajar lain tanpa dinyahkan virus COVID-19.

Kebanyakan pelajar ini pulang ke rumah bersama keluarga berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ini baru satu kes kita dapat lihat bagaimana cepatnya ia merebak dalam kadar massa dan sukar dielakkan.

Apa yang perlu dibuat pasa masa ini selain daripada mengetatkan pergerakan rakyat tanpa menafikan hak mereka untuk mendapatkan kemudahan asas, adalah memberi maklumat dan mendidik masyarakat bagi mengelak daripada terkena jangkitan serta mengelak daripada menularkan kepada orang lain.

Difahamkan 95 peratus jemaah tabligh telah membuat pemeriksaan dan hanya sekitar 5 peratus yang belum tampil membuat pemeriksaan. Baki itu adalah kemungkinan pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen atau mereka yang degil.

Teruskan menggesa golongan 5 peratus ini tampil membuat pemeriksaan dan melaksanakan kuarantin sendiri selama dua minggu.

Satu perkara lagi yang sangat penting ialah kerjasama pihak kerajaan dengan swasta. Kerjasama ini bukan bermakna pihak kerajaan telah gagal, tetapi ia adalah usaha bersama dalam mengembleng tenaga menentang wabak maut ini.

Hospital kerajaan secara logiknya sedikit hari lagi tidak akan mampu menampung jumlah pesakit COVID-19 yang meningkat setiap hari. Paling kritikal adalah keperluan bilik serta kemudahan ICU.

Dalam situasi ini hospital swasta boleh mengambil para pesakit bukan COVID-19, bagi membolehkan hospital-hospital kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada menangani pesakit wabak itu.

Kebanyakan pesakit COVID-19 akan mengalami masalah pernafasan dan tentunya alat bantuan pernafasan tidak akan mencukupi di hospital kerajaan apabila jumlah kes semakin meningkat.

Oleh itu peralatan dari hospital swasta perlu digerakkan segera sebelum keadaan menjadi bertambah buruk dan tidak terkawal.

Jangan terlampau memikirkan kos kerana kita bukan sedang menguruskan perniagaan pada masa ini, kita menguruskan bencana biologi.

Gabungan pengamal perubatan swasta telah mengeluarkan kenyataan bersama bersedia membantu kerajaan sama ada dalam menyediakan peralatan, mahu pun kakitangan. Jadi kerajaan perlu bertindak segera.

Ahli politik yang berada di pihak pembangkang belajar menutup mulut seketika daripada membuat kenyataan yang memburuk keadaan. Ketepikan sebentar perbezaan fahaman politik.

Warga internet atau netizen dinasihatkan tidak menularkan berita palsu dan tidak melayan ahli politik tuli mata dan hati ini.

Biarlah mereka meroyan seorang diri dan akhirnya bila tidak ada like dan share mereka akan mendiamkan diri.

Bagi mereka yang mempunyai hubungan dengan mereka yang berisiko jangkitan COVID-19 perlu jujur mendedahkan maklumat kesihatan peribadi.

Kes di Hospital Laguna Merbok tidak harus berulang. Pesakit yang mahu bersalin hanya memberitahu dia mempunyai tanda-tanda jangkitan COVID-19, hanya selepas di selesai melahirkan anaknya.

Siasatan lanjut telah mengesahkan bahawa wanita itu menetap sekali bersama seorang ahli keluarga yang telah menghadiri perhimpunan tabligh di masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur dan telah disahkan positif Covid-19.

Bayangkan dalam keadaan sekarang apa yang berlaku kepada kakitangan hospital berkenaan dan pesakit lain yang berada sama dengannya di dalam bilik bersalin.

Sudahlah kakitangan perubatan tidak mencukupi bagi menangani wabak yang menular. Ramai pula yang akan jatuh sakit.

Yang penting masing-masing mempunyai peranan. Bagi masyarakat patuhilah arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Pihak swasta jangan hanya mahu ‘cuci tangan’ bantulah kerajaan dan kerajaan pula perlu bertindak pantas dan tepat.

Saturday, March 21, 2020

PKP: ATM nafi beri kebenaran anggota pukul orang awam

Henti sebar mesej palsu undang spekulasi, cetus panik
21/03/2020


KUALA LUMPUR, 26 Rejab 1441H, Sabtu – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan kandungan rakaman suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, kononnya anggotanya diberi kebenaran untuk memukul orang awam ketika menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dalam satu kenyataan, menafikan sekeras-kerasnya, rakaman suara dan mesej informasi yang mendakwa kaedah itu akan diguna pakai, dalam membantu Polis Diraja Malaysia.

“Masyarakat diminta berhenti mesej atau informasi itu, kerana boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik, dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu, boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sementara itu, Affendi berkata, masyarakat tidak perlu bimbang apabila melihat kehadiran anggota ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ini merupakan tugas sekunder ATM di waktu aman, iaitu berperanan membantu pihak berkuasa awam dalam memelihara keamanan negara.

“Orang ramai perlu bekerjasama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, agar usaha membendung penularan COVID-19, dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Semalam, telah tular satu rakaman suara berdurasi 39 saat, yang mendakwa anggota tentera akan memukul orang awam, sekiranya melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan. 

-Bernama

Degil, masih ramai tak sedar bahaya COVID-19

KPN kesal individu keluar tanpa sebab seolah-olah tak hormat arahan
21/03/2020
 
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR, 26 Rejab 1441H, Sabtu – Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penyebaran wabak COVID-19 telah diisyitiharkan sejak Rabu lalu, namun masih banyak kenderaan dilihat berpusu-pusu di atas jalan raya.

Kesal dengan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, arahan itu gagal dipatuhi selain mereka yang didapati keluar dari rumah masing-masing beralasan tidak munasabah.

“Degil, masih ramai yang tidak menyedari bahaya (penularan COVID-19). Di antara kereta-kereta yang melalui sekatan jalan raya ini ada terdapat banyak yang membawa keluarga, anak dan isteri serta emak mertua.

“Selepas itu apabila ditanya tujuannya, mereka kata nak pergi makan. Nampak mereka ini sama ada tidak faham langsung atau memang degil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika rakaman temubual bersama Bernama TV, seperti dilapor Berita Harian.

Abdul Hamid menyifatkan Perintah Kawalan Pergerakan itu seolah-olah tidak dihormati dengan kewujudan pihak sedemikian.

“Inilah yang saya katakan, kumpulan sebegini yang menyebabkan perintah ini seolah-olah tidak dihormati.

“Kita lihat betapa sesaknya kenderaan di sini dan saya yakin sebahagian besarnya tidak mempunyai sebab yang sahih untuk mereka berada di atas jalan raya,” katanya.

Friday, March 20, 2020

Hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan: Diharap lebih ramai duduk di rumah

Bernama 
Mac 20, 2020 08:46 MYT

Polis Diraja Malaysia telah melakukan sebanyak 504 sekatan jalan di seluruh negara dan sebanyak 6,135 kenderaan diperiksa. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan memasuki hari ketiga hari ini dan diharap orang ramai lebih akur dengan arahan itu bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Selepas hari pertama dengan hanya kira-kira 60 peratus yang mengikuti arahan itu, tindakan segera telah diambil pihak penguatkuasaan terutama polis dengan mengadakan sekatan jalan raya dan memberi nasihat kepada orang ramai sejak malam hari pertama penguatkuasaan perintah itu.
Kesedaran tentang pentingnya Perintah Kawalan Pergerakan masih perlu ditingkatkan kerana masih ramai yang tidak mempedulikannya berkemungkinan kerana sikap degil dan keras kepala atau tidak menyedari perbuatan itu boleh menyebabkan 'episod' jangkitan wabak COVID-19 berpanjangan dan semakin serius.

Ada yang masih bersantai di kedai makan dan tidak kurangnya mengambil kesempatan tempoh 14 hari yang diberikan untuk membawa keluarga bercuti dan balik ke kampung sedangkan tujuan sebenar perintah itu dikeluarkan adalah untuk memastikan rakyat kekal di rumah sekali gus memutuskan rangkaian jangkitan virus itu.

BACA: Perintah Kawalan Pergerakan: Soalan lazim kepada sektor penerbangan, Malaysia Airports

BACA: Waktu operasi restoran 24 jam di Kuala Lumpur seperti biasa

Perintah yang berkuat kuasa selama 14 hari mulai Rabu antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara, selain penutupan semua rumah ibadat dan premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai bahawa kerajaan mungkin terpaksa menggunakan khidmat anggota tentera jika masih ramai yang enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan itu.

"Kita berbincang kemungkinan besar jika keadaan masih lagi tidak dapat dikawal sepenuhnya... kemungkinan tentera... kemungkinan akan digunakan.

"Jadi sebelum tentera digunakan saya percaya mungkin tak perlu, tetapi jika tak ada pilihan pematuhan masih kekal setakat 60 peratus dan 70 peratus, saya percaya kemungkinan besar tentera akan digunakan," katanya.

Untuk memastikan pematuhan itu juga, Polis Diraja Malaysia telah melakukan sebanyak 504 sekatan jalan di seluruh negara dan sebanyak 6,135 kenderaan diperiksa.

"Setakat hari ini, pihak polis telah mengambil tindakan berhemah dengan menasihati sahaja dan saya percaya kalau pematuhan ini masih tidak meningkat saya percaya pihak polis terpaksa gunakan undang-undang dan mengenakan tindakan yang lebih tegas lagi," kata Ismail Sabri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador juga telah mengarahkan kesemua Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah dan Ketua Balai Polis di seluruh negara untuk membuat sekatan jalan raya bagi memastikan orang ramai mengurangkan pergerakan mereka.

Abdul Hamid memaklumkan pihaknya bersedia mengambil tindakan drastik serta-merta jika orang ramai gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan seramai 8,600 anggota di seluruh negara terlibat dalam OP COVID-19 yang menumpukan di kawasan tumpuan orang ramai.

-- BERNAMA

Thursday, March 19, 2020

Tentera mungkin dikerah sekiranya rakyat masih ingkar – Ismail Sabri

By Wartawan MalaysiaGazette
     - 19 March 2020

Anggota polis memeriksa lesen kenderaan ketika membuat sekatan jalan raya pada OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdanan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Khoo Kai Kim, Petaling Jaya, Selangor.
 foto AFIQ RAZALI, 18 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Anggota tentera mungkin akan dikerahkan sekiranya tahap pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 kekal berada di tahap rendah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini antara cadangan diketengahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai perintah berkenaan.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan Ismail Sabri berkata, setakat ini kerajaan yakin polis masih mampu membuat kawalan.

Sementara itu, dalam sidang media khas itu juga, Menteri Kanan itu tidak menolak mengenakan undang-undang lebih ketat sekiranya rakyat masih gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa mulai semalam sehingga 31 Mac ini.

Ini kerana, hanya 60 peratus sahaja rakyat Malaysia yang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa sepenuhnya semalam.

Lantaran itu, polis terpaksa mengadakan sekatan-sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan orang ramai di bandar dan di luar bandar.

Katanya, semalam sahaja sebanyak 504 sekatan jalan raya dibuat dengan 6,135 kenderaan diperiksa.

Oleh itu, beliau berharap seluruh rakyat mematuhi perintah berkenaan yang diwujudkan demi menjaga kesihatan dan nyawa orang ramai.

”Daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kes baru bertambah setiap hari. Walaupun kita berdoa tiada kematian tetapi sudah ada dua kes.

”Kerajaan berharap rakyat duduk di dalam rumah bagi mengelak dijangkiti atau menjangkiti, cuba mendisiplin diri dan tidak keluar beramai-ramai,” katanya dalam sidang media di sini.

Tambahnya, pada masa ini polis boleh masih berhemah dengan menasihati orang ramai melalui pengumuman-pengumuman dan hebahan-hebahan.

”Tetapi kalau pematuhan tidak meningkat, polis terpaksa undang-undang lebih tegas,” katanya. 

MalaysiaGazette

Wednesday, March 18, 2020

Umno tuntut MKN keluar panduan jelas, perbetul keadaan


Dua pemimpin tertinggi Umno menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan panduan lebih jelas berikutan kekecohan yang berlaku sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan tengah malam tadi.

Walaupun perintah itu bertujuan menghalang orang ramai daripada berkumpul sehingga berpotensi menyebarkan wabak Covid-19, keadaan sebaliknya berlaku semalam.

Orang ramai berpusu-pusu menyerbu pasar raya untuk membeli barangan, selain kesesakan trafik keluar dari Lembah Klang dan pelajar universiti menyerbu terminal bas untuk pulang ke kampung selepas arahan mengosongkan asrama dikeluarkan.

Orang ramai juga dilihat menyerbu balai polis untuk mengisi dokumen merentas sempadan, walaupun arahan itu dibatalkan oleh polis beberapa jam selepas itu.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata, banyak pihak tidak faham sepenuhnya arahan tersebut termasuklah agensi pelaksana yang "terkial-kial mencari penyelesaian".

"Keadaan ini menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan resah," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertama, katanya, pihak berkuasa perlu memperhalusi dan membuat perincian mengenai kaedah pelaksanaan pergerakan antara negeri dan keluar masuk ke negara jiran.

Kedua, pentadbir universiti sepatutnya lebih prihatin keadaan pelajar yang kampung halamannya jauh dan pekeliling baru perlu dikeluarkan supaya pelajar tidak perlu berpusu-pusu mengosongkan asrama.

Ketiga, kerajaan perlu memberi satu panduan yang jelas mengenai operasi kedai makan, restoran dan warung (F&B) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Sekiranya terdapat pembetulan terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan, MKN yang baru sahaja mengambil alih krisis menangani Covid-19 mesti pantas dan bertindak segera memperbetulkan keadaan.

"Pasukan media MKN perlu agresif dalam menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat. Tidak perlu malu untuk melakukan pembetulan," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata rakyat tidak harus dipersalahkan apabila arahan mengelirukan dikeluarkan pihak berkuasa.

"Ramai pelajar universiti yang mengadu kafe di kampus ditutup. Tidak semuanya berkemampuan dan berkeupayaan untuk balik.

"Tidak wajar juga diarahkan kosongkan asrama. Mohon pihak universiti dapat segera bertindak. Fahami matlamat Perintah Kawalan Pergerakan!" katanya menerusi Twitter.

Pulang ke kampung untuk sebarkan kuman?

Masyarakat tak bertanggungjawab, risiko didepani warga tua lebih tinggi
18/03/2020


BANGI, 23 Rejab 1441H, Rabu – Tindakan segelintir rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan disifatkan pengamal perubatan sebagai tidak bertanggungjawab.

Pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah mempersoalkan mengapa perlu pulang ke kampung, adakah mahu menyebarkan wabak berkenaan kepada warga emas di sana.

“Dah kenapa semua nak balik kampung pulak? Nak bawa kuman kepada orang-orang tua di kampung?

“Hello, risiko mereka lagi tinggi! Kenapa masyarakat Malaysia tidak bertanggungjawab,” soalnya dalam status di Faebook beliau, hari ini.

Semalam, netizen memuat naik berpuluh-puluh gambar dan video berkenaan tindakan rakyat Malaysia berpusu-pusu pulang ke kampung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini.

Tindakan itu menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador Abdul Hamid menetapkan, orang ramai yang mahu membuat perjalanan keluar dari negeri masing-masing perlu memaklumkan kepada polis.

Susulan arahan itu, difahamkan ramai yang mula memenuhi balai polis seluruh negara, bahkan terpaksa beratur panjang untuk mengisi borang.

Bagaimanapun, Abdul Hamid kemudian dilaporkan menarik balik perintah larangan keluar rentas negeri, yang sepatutnya dikuatkuasakan mulai tengah malam semalam.

Beliau menjelaskan, arahan itu dibuat selepas mendapati orang ramai berpusu-pusu mengisi dokumen keluar di balai polis seluruh negara.

Katanya, tiada sebarang sekatan akan dikenakan ke atas orang ramai sehingga satu keputusan baru diumumkan selepas mesyuarat berhubung perkara itu hari ini.

Disiplin, kejujuran semua pihak penting untuk tangani pandemik Covid-19

Oleh MALAYSIA DATELINE


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, disiplin dan kejujuran dalam kalangan semua pihak amat penting dalam menangani pandemik Covid-19 di negara ini.

Kata beliau, bagi mereka yang harus menjalani kuarantin diri sendiri, pastikan ia dilakukan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Bagi mereka yang mempunyai gejala Covid-19 katanya, tampillah ke klinik dengan melalui proses yang betul sebelum membuat pemeriksaan.

“Disiplin dan kejujuran dalam kalangan semua pihak amat penting dalam kita menangani pandemik ini yang mana setakat ini amat ketara kerana Malaysia sudahpun mencatat 673 kes positif dengan hanya 49 kes yang sudah sembuh dan dua kematian,” kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu.

Dalam hantaran di Facebook beliau semalam itu, Wan Azizah melahirkan rasa sedih menerima perkhabaran buat pertama kalinya kematian dicatat di Malaysia disebabkan oleh Covid-19, iaitu dua kematian dilaporkan, seorang di Johor dan seorang di Sarawak.

“Takziah diucapkan kepada keluarga dua mangsa pertama Covid-19 ini, dan semoga mereka tabah hadapi ujian yang besar ini.

“Saya juga menyeru semua yang berada di Malaysia, sama ada warganegara mahupun bukan warganegara, supaya sama-sama mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020,” kata beliau.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/disiplin-kejujuran-semua-pihak-penting-untuk-tangani-pandemik-covid-19/

Tuesday, March 17, 2020

Apa Itu Perintah Kawalan Pergerakan?

Berita

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Pengumuman perdana menteri itu disiarkan secara langsung menerusi media elektronik dan media sosial malam ini.

Sebanyak 125 kes positif baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 553 kes.

“Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967,” katanya.

Muhyiddin berkata Perintah Kawalan Pergerakan itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Bagi menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang-barang keperluan harian, katanya.

Perdana Menteri berkata berikutan perintah larangan itu juga, semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti ditutup bagi tempoh yang sama.

Ia juga melibatkan penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institusi latihan kemahiran di seluruh negara, katanya.

Perdana Menteri berkata Perintah Kawalan Pergerakan itu juga melibatkan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

Kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke negara ini juga disekat, katanya.

Muhyiddin berkata selain itu semua premis kerajaan dan swasta ditutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Ia meliputi air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

“Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian.

“Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini,” kata Perdana Menteri.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa bekalan bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk penutup mulut dan hidung adalah mencukupi.

"Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuat kuasa,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau akan mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak COVID-19 dan perkembangan situasi wabak itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat dan sehubungan itu tindakan drastik ini perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak itu dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.

“Saya merayu kepada semua agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

“Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula 12 tengah hari Selasa,17 Mei.

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-