Showing posts with label Mohamad Ezam Mohd Nor. Show all posts
Showing posts with label Mohamad Ezam Mohd Nor. Show all posts

Sunday, March 3, 2019

Ezam dakwa 'bos GLC' bayar RM1.4 juta rakan Anwar

Diterbitkan Hari ini 2:08 tengahari


Bekas ketua Pemuda PKR (1999-2005) Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa 'bos GLC' yang dikaitkan sebagai individu yang membayar RM1.4 juta bagi pihak PAS kepada Sarawak Report merupakan rakan rapat Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Mohamad Ezam membuat kenyataan itu selepas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli semalam menafikan spekulasi itu dan sebaliknya mendakwa, tokoh korporat itu sebenarnya rakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Mohamad Ezam mendakwa dia mengenali individu itu pada era Reformasi 20 tahun lalu ketika menjadi setiausaha politik Anwar, selepas diperkenalkan sebagai "kawan rapat" oleh presiden PKR itu sendiri.

Kata Mohamad Ezam, tokoh korporat itu membantu keluarga Anwar ketika beliau dipenjara serta membiayai kos guaman perbicaraan mahkamah melibatkan Anwar, selain menyediakan wang jaminan buat ratusan reformis yang ditahan ketika era Reformasi.

Selain itu, bekas senator itu juga mendakwa individu berkenaan menyediakan keperluan perbelanjaan PKR dalam pelbagai aktiviti serta membiayai wang deposit calon-calon parti dalam pilihan raya umum ke-11 pada 2004.

"Keikhlasan beliau jelas kerana beliau menolong sahabat-sahabat pada saat sukar dan pada saat mereka tidak mempunyai kuasa.

"Saya nasihatkan kepada Rafizi yang pada ketika awal perjuangan reformasi masih di bangku sekolah untuk berhati-hati dan jangan bermain dengan api.

"Saya tidak mahu diheret didalam perdebatan politik kerana saya bukan lagi ahli politik apatah lagi perdebatan politik hari ini hanya penuh dengan sampah kerakusan harta dan kuasa tanpa pertimbangan moral dan akhlak.

"Saya hanya ingin memberikan keadilan kepada seorang insan yang banyak berjasa kepada saya dan perjuangan," katanya.

Bantu ahli politik parti lain

Mohamad Ezam juga mendakwa individu berkenaan pernah membantu ramai ahli politik lain yang menghadapi kesukaran hidup termasuk dari ahli politik yang kini berada dalam Amanah, PAS, PKR dan Umno.

Kenyataan Mohamad Ezam itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Rafizi yang mengatakan bahawa sepanjang beliau menjadi pimpinan kanan PKR sejak 2010, tidak pernah sekali pun individu itu terlibat dengan partinya.

Rafizi turut menyifatkan individu itu sebagai penyokong PAS.

“Secara umumnya, kami kenali beliau dari jauh dan hormati beliau sebagai penyokong PAS yang ada perniagaan besar (maka keperluan beliau untuk juga dilihat kekal rapat dengan sesetengah pimpinan Umno),” kata Rafizi.

Rafizi sebelum ini membuat perbandingan serta penelitian ke atas nombor akaun pada cek bayaran RM1.4 juta berkenaan dan menamakan pemilik akaun itu sebagai pengerusi sebuah GLC.

Malaysiakini sebelum ini sudah menghubungi tokoh korporat yang dipertikaikan itu, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.

Tuesday, December 27, 2016

Isu BR1M rasuah: Ezam pertahan, kata dakwaan Dr M berasas

Di ketika banyak pihak terutama kerajaan membidas Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah rasuah, Mohamad Ezam Mohd Noor hari ini tampil mempertahankan bekas perdana menteri itu.

Kata Mohamad Ezam yang kini mempengerusikan Hisbah Center for Reform dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dakwaan Mahathir itu dibuat dengan berasas dan seharusnya diteliti.

"Kita maklum rencana asal BR1M datang dari Bank Negara dan pada hemat Hisbah, ianya mempunyai merit dari sudut ekonomi dan juga sosial.

"Semasa di Kementerian Kewangan, saya sendiri pernah menyatakan dari sudut Islam pemberian cara ini amat dekat dengan prinsip pemberian zakat dalam Islam kerana ada tumpuan kumpulan sasar seperti konsep asnaf.

"Persoalan rasuah timbul apabila pemimpin politik yang 'desperado' dan terdesak ambil kesempatan dari konsep dan rencana yang baik ini untuk tujuan dan kepentingan politik," katanya dalam kenyataan.

Buktinya, jelas beliau, ialah semasa ucapan penggulungan perhimpunan Umno baru-baru ini, presiden parti itu membuat pengumuman pemberian BR1M fasa 3 dan akhir diberikan melalui Umno bahagian.

"Disini, wujud elemen rasuah kerana Umno berkepentingan sebagai parti yang mahu meraih undi, memberi wang secara langsung kepada pengundi oleh sebuah parti yang akan sertai pilihan raya boleh menjadikan perbuatan memberi itu kepada perbuatan merasuah.

"Kalau tiada niat mempengaruhi dan merasuah, mengapa pemberian melalui Umno," tanya Mohamad Ezam.

Kelmarin, Mahathir mengingatkan rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Dakwanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Ketika pemerintahan saya, saya tak beri duit tetapi banyak kebaikan yang kerajaan dahulu berikan melalui sistem jalan raya yang baik, peruntukan untuk sekolah mencukupi, anak-anak diberi biasiswa dan banyak lagi.

“Tetapi sekarang rakyat lebih menghargai duit BR1M?,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Ezam berkata, dari sudut pentadbiran kewangan negara juga salah kerana Umno adalah sebuah parti dan bukan sebahagian jentera kerajaan.

"Sumber dana BR1M adalah dari hasil cukai rakyat kepada kerajaan. Cukai dan hasil kerajaan bukan bersumber dari ahli Umno sahaja. Mengapa Umno mendapat hak eksklusif membuat pemberian," tambahnya.

Sunday, April 10, 2016

Portal lapor spekulasi Ezam sertai PKR

Sebuah portal menyiarkan spekulasi bahawa bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka menyertai PKR dalam masa terdekat bagi membantu memperkukuhkan politik Presiden parti itu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Memetik sumber, laman portal SuaraTV melaporkan Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan serta perbincangan bersama bekas ketua pemuda PKR itu.

“Apa yang saya boleh katakan ketika ini, kak Wan (Wan Azizah) telah pun mengadakan perbincangan bersama Ezam dan satu pelan sedang dirangka untuk membawanya kembali bersama PKR.

“Setakat ini hasil perbincangan amat positif dan Ezam dikatakan telah bersetuju untuk membantu mengukukuhkan sokongan politik kak Wan di dalam PKR yang semakin merosot, malah Ezam baru-baru ini juga dilihat semakin ‘garang’ menyerang pentadbiran Najib dan itu merupakan sebahagian daripada strategi yang diatur,” kata sumber itu dipetik sebagai berkata.

SuaraTV turut melaporkan antara peranan dan tanggungjawab Ezam ialah mewujudkan ‘check dan balance’ di dalam PKR yang ketika ini didakwa sedang didominasi oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali.

“PKR ketika ini sedang dikuasai oleh Azmin dan orang-orangnya dan perkembangan itu dilihat sangat bahaya untuk politik Kak Wan.

“Azmin telah mengunakan kesempatan sebagai menteri besar Selangor untuk mengukuhkan kedudukan politiknya sekaligus menyebabkan pengaruh Kak Wan semakin lemah” katanya lagi.

Ezam meninggalkan PKR pada tahun 2007 kerana hilang keyakinan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyertai semula Umno pada tahun 2008.

Pada 2010 Ezam kemudian dilantik sebagai senator. Bagaimanapun selepas tempoh beliau sebagai senator berakhir pada 2014, beliau kini berkhidmat sebagai Pengerusi Hisbah Centre For Reform.

Beliau juga didakwa dilantik sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014. Namun sejak 1 April lalu, Ezam didakwa tidak lagi berkhidmat dengan Kementerian Kewangan walaupun kontraknya masih berbaki sehingga tahun depan.

Malaysiakini juga telah menghubungi Ezam untuk mendapatkan komen berhubung perkara ini namun masih tidak berjaya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-