Showing posts with label PPK. Show all posts
Showing posts with label PPK. Show all posts

Thursday, February 6, 2025

‘Bukan tak bersyukur, tapi kos terlalu membebankan’

kosmo.com.my
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
6 Februari 2025, 8:28 am

Pesawah berhimpun secara aman bagi menuntut kenaikan harga lantai belian padi RM1,800 di Kampung Lana Bulu, Jerlun kelmarin.

JERLUN – Jaminan kerajaan untuk mengumumkan harga lantai belian padi baharu pada minggu depan belum memberi kele­gaan sepenuhnya kepada golo­ngan petani yang mengusahakan sawah di negeri ini.

Rata-rata mereka mendakwa, setakat ini belum ada jaminan harga lantai tersebut akan dinaik­kan hingga paras yang dirasakan sesuai iaitu RM1,800 per tan.

Menurut Ahli Jemaah Pengarah Muda Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Aswadil Khairi Che Omar, golongan petani amat berharap agar kerajaan menunaikan permintaan mereka kerana nilai RM1,800 itu dilihat paling munasabah dalam keadaan semasa.

“Kalau dapat diumumkan harga lantai itu pada paras RM1,800, maka golongan pesawah akan rasa terbela dan boleh menampung kehidupan dengan lebih selesa. Pada musim menuai ketika ini, khabarnya ada kilang-kilang yang telah membuat pembelian pada paras RM1,500 berbanding harga lantai semasa RM1,300.

“Jumlah RM1,500 itu pun sebenarnya ‘memenatkan’ buat kami. Dengan nilai itu, kami jangkakan pendapatan pesawah hanyalah kira-kira RM200 sebulan berikutan peningkatan kos, selain penurunan hasil disebabkan pelbagai penyakit padi ke­belakangan ini.

“Bukan kami tak bersyukur dengan nilai RM1,500, tetapi kos yang ditanggung selama ini terlalu membebankan. Sudahlah segala input pertanian naik harga, kami ditekan pula dengan peningkatan kos jentera berikutan penyelarasan subsidi diesel sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Aman Menuntut Kenaikan Harga Lantai Padi RM1,800 di Kampung Lana Bulu, di sini kelmarin.

Dalam sidang Dewan Rak­yat kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan dijangka me­ngumumkan kenaikan harga lantai belian padi minggu depan.

Sementara itu, Pengerusi PPK A2 Kodiang, Mohd. Shukri Samsuddin, 60, berkata, kerajaan ketika ini dilihat tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga beras tempatan yang kekal pada kadar RM2.60 dan tidak pernah dikaji sejak 17 tahun lalu.

“Ketika ini golongan pesawah sendiri sudah tidak dapat membeli beras pada harga itu, malah terpaksa membelinya pada harga mahal, sama seperti rakyat lain.

“Selama ini pun kita memang sudah beli beras pada harga le­bih mahal kerana ‘permainan’ pihak tertentu yang mencampurkan beras tempatan dengan import untuk dijual pada harga lebih tinggi. Kami golongan pesawah ini pula terus tertekan kerana kos kian meningkat.

“Kalau tak mahu harga beras naik, beri subsidi secara terus kepada pesawah. Sebagai contoh, tetapkan harga lantai belian padi pada RM1,400 kemudian beri tambahan subsidi RM400 kepada kami agar nasib para petani dapat dibela,” tambahnya.

Wednesday, February 14, 2018

Ketirisan tidak serius: Timbalan Menteri

SITI SAFA MOHD NOR
14 FEBRUARI 2018

Tajuddin menandatangani plat perasmian bangunan baru PPK Kampung Gajah.

PASIR SALAK - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menolak mungkin berlaku ketirisan di dalam peruntukan geran bantuan petani namun perkara itu masih ditahap tidak serius.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tuduhan yang dibuat oleh pihak berkenaan itu dilakukan tanpa bukti yang spesifik.

"Kita tidak menolak kemungkinan ketirisan itu ada tapi tidak serius.

"Tambahan pula tuduhan yang dibuat tanpa bukti kes yang spesifik namun jika benar ia berlaku tindakan akan diambil," katanya ketika ditemui semasa Majlis perasmian karnival Peladang Jaya-Gegar Peladang Di perkarangan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kampung Gajah, di sini, hari ini.

Tajuddin berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar yang mengatakan terdapat ketirisan dalam peruntukan geran bantuan petani mencecah jutaan ringgit setiap tahun berikutan segelintir kontraktor dikesan menaikkan harga barangan pertanian sebanyak 30 peratus untuk dibekalkan kepada petani yang layak menerima bantuan berkenaan.

Sementara itu, Tajuddin berkata, kerajaan sentiasa komited untuk membantu petani termasuklah menyediakan pelbagai kemudahan.

"Pelbagai kemudahan yang sudah disediakan termasuklah bantuan kewangan, bimbingan, khidmat nasihat dan sebagainya.

"Malahan saya yakin kerajaan sedia menambah bantuan yang ada bagi membantu golongan petani ini," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-