Showing posts with label PRK Seri Setia. Show all posts
Showing posts with label PRK Seri Setia. Show all posts

Thursday, August 16, 2018

PAS pertaruh Halimah Ali di PRK Seri Setia

Anne Muhammad
Diterbitkan 15 Ogs 2018, 10:55 malam


Teka-teki berhubung calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia terjawab apabila Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Dr Halimah Ali diumumkan akan mewakili parti itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Padang Permainan Desa Mentari, Petaling Jaya sebentar tadi.

Melalui sidang medianya, Abdul Hadi berkata pihaknya mempertaruhkan Halimah memandangkan pengalaman yang dimiliki bekas exco Selangor itu.

"Kelebihan dia, salah seorang pemimpin peringkat pusat yang berpengaruh di Selangor kerana telah beberapa kali bertanding PRU dan menang.

"Selain itu beliau berpengalaman menjadi exco dan kerja-kerja masyarakat, sangat penting mempunyai wakil rakyat yang bukan kerajaan," katanya.

Menurut Abdul Hadi, isu yang akan dibawa dalam kempen kali ini adalah kegagalan Pakatan Harapan(HARAPAN) melaksanakan janji 100 hari mereka.

'Stand by me'

Sementara itu Halimah melalui ucapan sulungnya berkata berharap rakyat di kawasan itu memilihnya bagi membentuk pembangkang yang kuat di Selangor.

"Barrack Obama kata yes we can, walau pun bertanding ini tak jadi kerajaan persekutuan, kita boleh bagi mesej kuat pada kerajaan supaya mereka tak alpa dan kita juga boleh jadi check and balance kerajaan.

"Stand by me, I will stand by you, kita akan bawa suara rakyat di DUN dan tunjukkan rakyat penentu apa berlaku pada negeri dan negara," katanya.

PRU ke-14 menyaksikan HARAPAN Selangor menang besar apabila berjaya meraih 51 kerusi DUN, BN (4) manakala PAS (1).

Pada PRK Seri Setia, BN tidak meletakkan calon bagi memberi ruang kepada PAS.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU lalu, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi selepas menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; Mohd Ghazali Daud (Pas) dan S Vigneswaran (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Seri Setia dan Balakong dijalankan serentak pada 8 September depan manakala hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini.

Hadir sama dalam pengumuman itu ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi.

Selain itu bekas calon BN PRK Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam dan penyokong Umno turut hadir dalam majlis tersebut.

Friday, August 3, 2018

PAS sambut baik BN undur diri di Seri Setia

Adam Abu Bakar | August 3, 2018

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi berkata, keputusan Umno itu akan dibawa ke peringkat pusat untuk dibincangkan.

VIDEO INSIDE

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ahmad Yunus Hairi (3 dari kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno selepas solat Jumaat hari ini.

SHAH ALAM: PAS menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) memberi laluan kepada parti Islam itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi percaya keputusan Umno itu akan disambut baik partinya, selepas dibincangkan di peringkat Pusat.

“Saya sangat mengalu-alukan pendirian, keputusan dan ketegasan dibuat BN dan Umno, DUN Seri Setia akan diberikan laluan kepada PAS.

“PAS negeri akan bawa keputusan ini untuk dibincangkan kepada peringkat Pusat. Walau apapun keputusannya kita harapkan yang terbaik, demi kekuatan Islam dan Melayu,” katanya sewaktu ditemui di DUN Sungai Kandis, hari ini.

Terdahulu, Umno memutuskan untuk memberi laluan kepada PAS bertanding dalam PRK Seri Setia, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, ini ialah titik permulaan dan persefahaman antara 2 parti itu sebagai gerakan politik baru di bawah Malaysia baru.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohamad Shahir berkata, beliau percaya jentera PAS dan Umno di DUN Seri Setia ternanti- nantikan pengumuman ini.

“Ia suatu langkah positif, hubungan kerjasama antara PAS dan Umno bagi menghadapi Pakatan Harapan. Ia juga bagi memastikan proses semak dan imbang terus terjamin di Selangor.

“Kita sudah tunjukkan keikhlasan kita membantu calon BN di DUN Sungai Kandis, begitu juga kita harapkan untuk Umno buktikan keikhlasan kepada PAS di DUN Seri Setia,” katanya.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Mohamad Ismail Sabri percaya, cogan kata digunakan di PRK DUN Sungai Kandis, iaitu “Asalkan Bukan Harapan (Abah)” turut akan digunakan di PRK DUN Seri Setia.

Adun Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 6.28 petang semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Shaharuddin, 55, menghidap kanser usus tahap 4.

PRU14, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff (9,878), calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, S Vigneswaran (217).

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-