Showing posts with label Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Show all posts

Sunday, December 30, 2018

Pertembungan dua kutub dalam Bersatu

Wartawan Malaysiakini
Diterbitkan 11:13 malam 


AGM BERSATU | Namanya tidak jauh beza - Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Warnanya juga sama iaitu merah. Sebagai parti serpihan, kebanyakan anggota Bersatu pastinya datang daripada Umno.

Pada awal perhimpunan agung tahunan Bersatu Jumaat lalu, ramai menjangka ia akan berkisar tentang cabaran itu - dalam begitu banyak persamaan, bagaimana Bersatu ingin membezakan dirinya daripada Umno.

Namun selepas tiga hari berlangsung, terlihat satu lagi cabaran yang mendepani Bersatu untuk terus bergerak ke depan, iaitu tidak menjadi Umno.

Ia dapat dilihat dalam pertembungan dua golongan dalam parti - di satu kutub, golongan 'tua' yang masih dibayangi budaya lama Umno dan di satu kutub lagi golongan 'muda' yang tidak mahu sama sekali disamakan dengan parti itu.

Ironinya kemasukan anggota baru daripada Umno dibangkang hebat oleh sebahagian dalam parti itu atas sebab tidak mahu budaya itu menyusup ke dalam Bersatu.

Pertembungan dua golongan itu dapat dilihat jelas ketika sesi penggulungan ketua pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan naib presiden Ab Rashid Ab Rahman.

Syed Saddiq dilihat berang apabila ada perwakilan yang secara terbuka menggesa kontrak kerajaan diberikan kepada anggota parti.

"Tengok Umno dulu pun tak berani bincang perkara seperti ini di khalayak umum. Mana maruah kita?"

Tidak lama kemudian, Ab Rahman - tanpa menyebut Syed Saddiq secara khusus - menyifatkan bantahan terhadap gesaan perwakilan itu sebagai "pandangan bodoh".

"Dalam PRU kita kena menang by hook or by crook - dengan apa cara sekalipun - kita kena menang."

Kedua-duanya menerima sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan.

Muda lawan tua

Pertembungan dua golongan itu juga terlihat dalam soal pengambilan pemimpin dan anggota Umno ke dalam parti itu.

Sementara perbahasan dibuat secara tertutup, isu yang dibahaskan dibangkitkan pemimpin ketika sesi penggulungan hari ini.

Kemasukan mereka dibimbangi meminggirkan pemimpin di kalangan golongan muda yang merangkumi 65 peratus keahlian parti.

Peminggiran bakat muda merupakan isu yang sering dikaitkan dengan Umno.

Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad hari ini meluahkan kekecewaannya apabila mendapat aduan peminggiran ini telah berlaku dan berkata parti itu akan mengikut jejak langkah Umno jika ia berterusan.

Bagaimanapun kedua-dua golongan ini bersetuju dalam satu perkara - dan ia perkara yang membezakannya dengan Umno - iaitu agenda Melayu-Bumiptera perlu kekal sebagai asas perjuangan.

Namun ia bukanlah sama seperti apa yang turut dibawa Umno, sekurang-kurangnya dari segi retorik.

Tongkat yang berbeza

Jika ketika perhimpunan agung Umno retorik Ketuanan Melayu yang sering digunakan, perhimpunan Bersatu lebih menyebut kepada Melayu yang memerlukan.

Jika Umno melihat 'tongkat' sebagai pusaka yang tidak boleh dipersoal sama sekali, Bersatu melihatnya sebagai keperluan untuk membantu Melayu untuk berjalan. Apabila sudah mampu berlari, ia akhirnya tidak diperlukan lagi.

“Bagi yang lemah, tongkat boleh membantu. (Tapi) Bantuan seperti ini tidak harus dikekalkan. Apabila sahaja kekuatan kembali tongkat perlu digugur,” kata Mahathir, yang konsisten mengatakannya sejak sedekad yang lepas.

Melihat kepada realiti politik, ia adalah pendekatan strategik.

Ia penting bagi meraih sokongan orang Melayu. Bersatu perlu memperjuangkan apa yang dikehendaki orang Melayu dan Bumiputera.

Jika tidak, sokongan Melayu akan dirampas dua parti yang kini dilihat semakin 'kanan' dalam politik Melayu iaitu Umno dan PAS.

Di saat Umno dan PAS memberi tumpuan kepada sokongan - atau dengan kata lain, undi - Melayu, Bersatu faham hakikat kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU lalu adalah hasil sokongan pelbagai kaum dan kedudukannya dalam gabungan tidak sama seperti Umno dalam BN.

Maka parti itu sentiasa berhati-hati untuk tidak menyinggung kaum lain dalam retorik Melayunya.

Ia realiti yang perlu didepani Bersatu, di tengah-tengah parti komponen dan penyokong PH dan cabaran yang dikemuka Umno dan PAS.

Laporan ini disediakan oleh M Fakhrull Halim

Thursday, September 27, 2018

Muhyiddin tak boleh terima idea kerajaan perpaduan dengan Umno

Anne Muhammad
Diterbitkan 27 Sep 2018, 4:03 petang 

Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak boleh menerima idea kerajaan perpaduan antara Umno dan mana-mana parti Pakatan Harapan (HARAPAN) memandangkan rakyat menolak Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Anggota parlimen Pagoh itu berkata beliau juga tidak pernah mendengar perkara itu sebelum ini dan ia timbul selepas disebut Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya pertama kali dengar mengenai kerajaan perpaduan. HARAPAN dah menang dan tubuh kerajaan, kita ada majoriti di parlimen dan Umno kalah (PRU14). Walaupun dia ada anggota parlimen tapi tak cukup nak dapatkan majoriti.

“Ini pertama kali saya dengar nak tubuh kerajaan campuran, saya tak pasti apa yang akan dikatakan oleh kawan-kawan saya (pasal perkara ini).

"Dulu orang tolak Umno dan nak Umno kalah sebab rakyat dah tak percaya kerana mereka dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa tapi apa yang penting pada saya perkara ini tak boleh terima,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat BERSATU, hari ini.

Ahmad Zahid melalui laporan New Straits Times, hari ini berkata Umno adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan dan berharap dapat kembali berkuasa dengan membentuk "kerajaan perpaduan" dengan mana-mana parti HARAPAN tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan BN untuk memboikot pilihan raya kecil Port Dickson ada kaitan dengan usaha menjalin perikatan dengan PKR atau BERSATU.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan sama ada sebelum atau selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

"Sebarang perbincangan dengan mana-mana parti tidak akan mempunyai tempoh masa yang ditetapkan atau tarikh akhir kerana sebarang keputusan mesti mempunyai persetujuan dari kedua belah pihak.

"Saya perlu menghormati pendapat rakan-rakan saya dalam Umno dan BN. Bagaimanapun, lebih cepat lebih baik," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Monday, October 10, 2016

Mahathir akui sukar tumbangkan BN

 Send by Email
Lumut – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bukan mudah untuk pakatan pembangkang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi 14 parti komponen.

Beliau berkata gabungan 14 komponen itu akan saling membantu semasa Pilihan Raya Umum (PRU) dengan mengundi calon yang diletakkan di sesuatu kawasan.

“Bila seorang calon BN dipertandingkan, ahli dari 14 parti (komponen) yang lain akan sokong calon itu dan parti lawan akan selalu kalah.

“Ini kerana parti lawan masing-masing fikir tentang parti masing-masing tak fikir bagaimana parti nak bersatu padu, sebab itu tak boleh capai kemenangan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Parti Pribumi Bersatu Malaysia peringkat negeri Perak di sini hari ini.

– Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-