KUALA LUMPUR, 22 Jun:Kes rayuan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini kecoh apabila berlakunya kekeliruan melibatkan peguam pemohon dan responden.
Kekeliruan tersebut terjadi selepas peguam yang mewakili Datuk Seri Jamil Khir Baharom datang menemui pendaftar mahkamah pada pukul 9 pagi manakala peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan diberitahu untuk hadir pada pukul 11 pagi.
Disebabkan itu, peguam yang mewakili Jamil Khir bertemu dengan penolong pendaftar, Mohd Khairul Nizam Kassim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada pukul 10 pagi tanpa kehadiran pihak responden.
Peguam Jamil Khir yang diketuai oleh Roslizam Ibrahim kemudiannya memberitahu bahawa Anwar sepatutnya menjawab afidavit mereka serta melantik peguamnya bagi kes tersebut tetapi masih belum berbuat demikian.
“Mahkamah kemudiannya membenarkan Anwar sehingga 6 Julai depan untuk menjawab afidavit anak guam kami dan melantik peguamnya atau wakalah yang mana ia boleh dilakukan di Penjara Sungai Buloh,” katanya.
Namun begitu, kira-kira pada pukul 10.30 barisan peguam Anwar tiba di mahkamah dan menunjukkan surat daripada peguam Jamil Khir bahawa kes pengurusan berkenaan ditetapkan pada pukul 11 pagi.
Salah seorang peguam Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzaman berkata mereka mendapat notis pemberitahuan daripada pihak pemohon untuk hadir seperti yang diberitahu dalam notis berkenaan.
Jelas Kamar Ainiah, sewaktu beliau berjumpa dengan penolong pendaftar, memang terbukti pihak pemohon datang pada pukul 9 pagi.
“Tetapi notis yang dimaklumkan kepada kami sebelum ini adalah pada pukul 11 pagi.
“Jadi sewaktu bertemu dengan penolong pendaftar tadi memang kami menyebut bahawa tindakan tersebut adalah kelakuan yang tidak beretika,” ujarnya.
Tambah Kamar Aniah lagi, peguam Anwar tidak boleh dilantik di Penjara Sungai Buloh kerana kes berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Katanya, Penjara Sungai Buloh tertakluk di bawah bidang kuasa Selangor sedangkan kes berkenaan dibicarakan di Kuala Lumpur.
“Kami mahukan keadilan ke atas Anwar dapat diberikan dan beliau diberikan peluang untuk didengari di mahkamah.
“Tetapi pihak pemohon sekarang ini hendak terus hujah tanpa berikan peluang kepada Anwar dan sekiranya begitu lebih baik tidak payah berhujah sebaliknya terus buat keputusan,” tegasnya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/22/kes-rayuan-qazaf-anwar-ibrahim-kecoh/#ixzz3dlbvbOcG
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.