Showing posts with label Pergerakan Pemuda UMNO. Show all posts
Showing posts with label Pergerakan Pemuda UMNO. Show all posts

Monday, August 14, 2017

SOP PPBM tuding jari kepada UMNO - Pemuda Kedah

Siti Nurazlina Jamaludin


14 Ogos 2017 12:54 PM

Shaiful Hazizy
ALOR SETAR 14 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menyifatkan tindakan sesetengah pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menuding jari kepada UMNO terhadap kekecohan yang berlaku di Forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) sebagai perbuatan dangkal dan melulu.


Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya melihat sindrom menuding jari kepada UMNO bagaikan sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) buat PPBM. 


“Pemuda UMNO Kedah yakin tindakan ini juga lahir atas rasa kekecewaan mereka kepada keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melayan jemputan tersebut. 


“Pada masa sama, kita juga melihat kekecohan tersebut sebenarnya berpunca daripada kegagalan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyakinkan pengikut serta barisan kepimpinnya sendiri.


“Ini kerana umum telah mengetahui wujud sebilangan besar kepimpinan Armada di peringkat bahagian mahupun barisan kepimpinan yang sendiri tampil mempersoalkan kredibiliti Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Dalam pada itu, Shaiful Hazizy menegaskan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah sama sekali menolak tindakan mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan huru-hara berbentuk keganasan dalam penganjuran forum mahupun keramaian. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sop-ppbm-tuding-jari-kepada-umno-pemuda-kedah-1.514777#ixzz4phoSrIVQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, July 13, 2015

Pergaduhan di Low Yat: Jangan mainkan semangat Melayu!

Mohd Razlan meminta semua pihak bersabar sementara menunggu siasatan terperinci daripada pihak polis dan menyelesaikan masalah itu. Foto fail TRP

BANDAR TUN RAZAK, 12 Julai:

Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mahu semua pihak terutamanya anak muda di Kuala Lumpur, tidak memainkan sentimen perkauman dalam kejadian pergaduhan di Plaza Low Yat baru-baru ini.

Ketuanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii, berkata sebagai ibu negara, Kuala Lumpur merupakan ‘jendela’ kepada segala penyebaran maklumat tidak kira sama ada sahih atau tidak sesuatu perkara itu.

“Apa sahaja maklumat yang disebarkan di dalam negara kita ini bermula daripada Wilayah Persekutuan. Jadi kita kena jaga disiplin. Saya merayu kepada generasi muda fikirkan perkara ini,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran ‘Jom Balik Kampung’ di Bandar Sri Permaisuri di sini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden pergaduhan pada malam Sabtu di mana sekumpulan tujuh lelaki dikatakan mengamuk di Plaza Low Yat selepas seorang rakan mereka dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, beberapa pekerja kedai telefon di plaza berkenaan dikatakan dibelasah oleh kumpulan tersebut selain peralatan dan barangan di dalam kedai turut dirosakkan.

Razlan meminta semua pihak bersabar sementara menunggu siasatan terperinci daripada pihak polis dan menyelesaikan masalah itu.

“Dalam suasana negara ini, yang DAP main ‘celaka-celaka’ kan kita ini, kadang-kadang orang Melayu ini sabar sahaja. Bila kita sabar, bila sudah sampai ke ‘dinding’ kita tidak tahan.

“Saya minta semua bersabar, jangan mainkan spekulasi-spekulasi untuk membuak-buakkan semangat Melayu kita ini. Kita tunggu hasil siasatan kemudian baru kita tahu kes ini bagaimana,” katanya.

Mengulas lanjut insiden itu, Razlan mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuat penguatkuasaan secara serius dan berterusan.

Beliau mencadangkan supaya penguatkuasa KPDNKK diletakkan di Plaza Low Yat bagi memantau penjualan barangan tiruan di tempat tersebut.

“Saya hendak bagi teguran kepada KPDNKK, kita jangan jadikan penguatkuasaan satu perkara yang remeh-temeh dan akhirnya membuatkan rakyat di bawak ini tidak tahan.

“Saya tidak tahu siapa yang salah tetapi kita tidak mahu pergaduhan seperti itu terjadi.

“Kita hendak penguatkuasaan ini dibuat, KPDNKK turun padang, melihat kepada telefon-telefon palsu. Bukan susah sangat, kita letak pegawai KPDNKK di situ, kemudian kita lihat sama ada mereka msih berani menjual barang-barang tiruan ini,” tegasnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/07/12/pergaduhan-di-low-yat-jangan-mainkan-semangat-melayu/#ixzz3fgnYjaAi

Saturday, May 9, 2015

Pembelian tanah 1MDB: Pemuda UMNO bangkit enam soalan

FMT Reporters

Pergerakan Pemuda UMNO amat risau sekiranya TH digunakan untuk menyelamatkan 1MDB yang merugikan rakyat.
PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO mempertikai transaksi pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) milik 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM188.5 juta.

Sehubungan itu, Ketuanya, Khairy Jamaluddin mahu Kementerian Kewangan (MOF) dan TH menjawab enam soalan untuk memberi penjelasan kepada orang ramai khususnya kepada pencarum berhubung transaksi itu.

Soalan kepada MOF:
Berapakah harga yang dibayar oleh 1MDB untuk tanah keseluruhan TRX dan daripada itu berapa harga yang dibayar oleh 1MDB secara pro rata bagi tanah yang dijual kepada TH sebesar 1.56 ekar ini?

Apakah benar perancangan awal sebelum tanah TRX dijual kepada 1MDB, adalah untuk kerajaan menjual tanah ini kepada Pelaburan Hartanah Berhad, iaitu sebuah syarikat di bawah Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera yang ditubuhkan untuk meningkatkan pemilikan hartanah dikalangan mesyarakat Bumiputera?

1MDB akan menerima RM188.5 juta daripada penjualan tanah ini kepada TH. Duit ini akan diguna untuk tujuan apa?

Soalan kepada TH:
Tidakkah berlaku satu konflik kepentingan dalam transaksi ini memandangkan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail, juga merupakan Ahli Lembaga 1MDB? Apakah wujud konflik kepentingan lain yang melibatkan pegawai kanan TH dalam transaksi ini?

Adakah benar, diskaun yang kononnya diberi oleh 1MDB dalam penjualan tanah ini sebenarnya ditawarkan kepada TH atas persetujuan TH membayar 100% daripada harga tanah ini sebaik sahaja Perjanjian Jual Beli (SPA) dimeterai? Sekiranya tidak, bilakah pembayaran penuh untuk tanah ini akan diselesaikan? Adakah TH pernah menyelesaikan pembayaran 100% bagi mana-mana bidang tanah yang dibeli sebaik sahaja SPA ditandatangani sebelum ini?

Apa asas penilaian yang dibuat oleh Panel Pelaburan TH yang meluluskan pembelian ini? Apakah benar laporan risiko yang dibuat merumuskan pelaburan ini sebagai berisiko tinggi? Apakah benar pembelian bidang-bidang tanah yang dibuat di kawasan berhampiran dibeli pada harga yang lebih redah daripada apa yang dibayar oleh TH untuk tanah ini?

Khairy berkata, soalan-soalan itu perlu dijawab segera memandangkan pembelian yang dibuat oleh TH ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang mengundang kemarahan rakyat.

“Umum mengetahui isu 1MDB ini sudah menjadi semakin runcing. Pergerakan Pemuda amat risau sekiranya institusi seperti TH digunakan untuk menyelamatkan 1MDB.

“Sebarang usaha untuk menyelamatkan 1MDB yang boleh merugikan rakyat tidak boleh diterima,” katanya Khairy.

- See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/05/08/pembelian-tanah-1mdb-pemuda-umno-bangkit-enam-soalan/#sthash.w32GSKGT.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-