Showing posts with label Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Show all posts
Showing posts with label Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Show all posts

Wednesday, September 19, 2018

PPBM sedia terima Tok Pa, tinggalkan UMNO tindakan tepat

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
September 18, 2018 Admin

SHAH ALAM –
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terbuka untuk menerima dan mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Mustapa Mohamed jika mahu menyertai parti itu.

Walaubagaimanapun kata Ketua Penerangan parti itu, Datuk Kamaruddin Mohd Nor, bekas pemimpin UMNO itu sehingga kini tidak menyuarakan sama ada mahu bersama-sama PPBM.

“Tak ada lagi setakat ini, kalau dia nak sertai parti kita ini mengalu-alukan semua orang melayu bumiputera yang mahu menyertai PPBM tapi eloknya dia dah keluar UMNO dululah (kalau nak masuk PPBM)..

“saya memang mengalu-alukan jika dia mahu menyertai PPBM,” katanya kepada SuaraTv.

Menerusi kenyataan medianya sebentar tadi, Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa yang sebelum ini menyandang jawatan Majlis Tertinggi UMNO dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan berkata keputusan meninggalkan parti itu dibuat selepas selepas memerhatikan landskap politik Malaysia dan juga hala tuju Umno dan Barisan Nasional (BN) pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Jeli itu menambah, hala tuju Umno kini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini, selain tiada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.

Kamaruddin kemudian menyifatkan tindakan yang dibuat Tok Pa untuk meninggalkan UMNO sebagai tepat walaupun agak terlambat.

“Sedikit terlewat tetapi lebih baik daripada tidak langsung?” Katanya.

-SuaraTv

Sunday, July 15, 2018

Hampir 4,000 bekas ahli UMNO masuk PPBM di Perlis

Gambar hiasan

ARAU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perlis telah menerima hampir 4,000 orang bekas ahli UMNO sebagai ahli biasa parti itu sejak Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, kata Pengerusinya, Ameir Hassan.

Beliau berkata, bahagian Arau dan Padang Besar masing-masing menyaksikan hampir 1,000 bekas ahli UMNO telah diterima menyertai PPBM.

"Permohonan bekas timbalan ketua UMNO Bahagian Arau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang Datuk Ismail Kassim bagaimanapun ditolak kerana beliau didakwa mengkritik hebat PH menjelang PRU14.

"Kami tidak menghalang siapa sahaja yang ingin menyertai PPBM. Jika permohonan mereka ditolak di peringkat bahagian atau negeri, mereka boleh mohon terus kepada pusat," kata Ameir kepada media ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan ramah mesra PPBM Perlis di kediamannya di sini, hari ini.

Pada majlis itu beliau menyerahkan surat penerimaan kepada bekas ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail sebagai ahli biasa PPBM Arau, disaksikan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan dan timbalan ketua PPBM Arau, Maton Din.

Sementara itu, Wan Saiful yang juga penasihat khas kepada menteri pendidikan berkata, mesyuarat khas berhubung penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi mereka yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan akan diadakan di Putrajaya esok.

 - Bernama

Friday, April 6, 2018

Mahathir: Ahli PPBM akan bertanding sebagai Calon Bebas

By MT Webmaster 
On Apr 6, 2018


(mStar) – Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan menyertai parti komponen lain dalam Pakatan Harapan berikutan pembubaran sementara parti itu, kata pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka tidak akan menyertai mana-mana parti kerana mereka adalah ahli kami. Tetapi, jika kita sah, kita akan tuntut mereka sebagai ahli kita,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Yayasan al-Bukhary pada Jumaat.

Bekas perdana menteri itu berkata, ahli PPBM akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum akan datang, di bawah logo yang digunakan oleh Pakatan Harapan.

“Jika mereka mengatakan kita tidak sah, maka kita tidak boleh mengatakan bahawa kita berasal dari PPBM. Tapi 52 kerusi masih milik kita – bukan PPBM, tetapi dahulunya dibentuk oleh PPBM.

“Setiap daripada mereka boleh bertanding sebagai individu dan sudah tentu mereka boleh menggunakan logo yang akan diumumkan malam esok (7 April),” katanya.

Pribumi bakal bertanding di 52 kerusi, diikuti PKR (51), DAP (35) dan Parti Amanah Negara (27) pada PRU akan datang.

Spekulasi bertiup kencang apabila parti-parti komponen di bawah Pakatan Harapan akan menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai gabungan pembangkang, masih belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk didaftarkan sebagai gabungan secara rasmi.

Pada Khamis, RoS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM, memberikannya tempoh 30 hari untuk melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.

Pembubaran sementara itu dikeluarkan susulan kegagalan PPBM menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir-butir maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta menerusi notis statutori di bawah Seksyen 14 (2) yang dikeluarkan kepada parti itu pada 28 Februari.

Ini bermakna, PPBM tidak dibenarkan menggunakan nama, logo dan melaksanakan aktiviti berkaitan parti dalam tempoh 30 hari pembubaran sementara itu.

Tuesday, March 27, 2018

PPBM bakal berkubur 30 Mac ini?

H AMREE AHAMAD 
27 MARCH 2018

AKHIRNYA mati. Jangka hayat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau turut digelar ramai penganalisis politik tempatan dengan panggilan Parti Bunga muktamad tidak akan bertahan lama.

Kemungkinan besar pada 30 Mac ini, tempoh hayat parti serpihan Umno itu sudah lengkap berada di penghujung jika pucuk kepimpinannya masih lagi gagal mengikut segala peruntukan undang-undang pertubuhan di Malaysia.

Parti rekaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu berdepan tindakan pembatalan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kerana tidak menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen yang dikehendaki agensi itu.

Ia sepatutnya dikemukakan dalam masa 30 hari, berkuat kuasa 28 Februari lalu, waima keperluan minimum menurut Seksyen 14(3) Akta Pertubuhan 1966 sebenarnya adalah hanya tujuh hari bagi memberikan maklum balas.

Ironi Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim masih bertimbang rasa dengan memberikan parti bunga itu masa yang jauh lebih panjang, iaitu genap 30 hari. Malangnya, apa yang dipohon oleh RoS itu masih belum lagi diserahkan.

Dengan tempoh hanya seminggu sahaja lagi, maka kelihatan sudah hampir pasti PPBM akan dibatal pendaftaran. Jika berlaku, siapakah yang untung?

Sudah pasti ada pihak akan ‘berdrama’ konon simpati kepada parti berkenaan. Puak ini tentu menganggap pihak kerajaan konon ada agenda tersembunyi, walhal kesalahan sebenar terletak pada pemimpin PPBM sendiri yang mustahil kalau mereka sendiri bodoh mengenai peraturan ditetapkan ROS selama ini.

Sedangkan pemimpin tertingginya iaitu Mahathir, pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin pula pernah menjawat posisi dalam jemaah Kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bayangkan tiada cawangan dan bahagian buat mesyuarat, tiba-tiba boleh pula PPBM mengadakan Persidangan Agung Tahunan, malahan tiada laporan mengenai jumlah keahlian dan penyata kewangan parti didedahkan pun!

Disebabkan enggan ikut arahan, maka mereka ‘tuding jari’ kepada kerajaan. Apapun bagi Mahathir, tidak kelihatan risau jika pendaftaran PPBM dibatalkan kerana beliau pernah menyatakan sedia bertanding atas tiket DAP.

Bukan kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mahu bersara dari politik, tetapi kerana sudah bersiap sedia untuk ‘salin kulit’ menjadi sebahagian dari darah daging DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ini.

Perkara ini tidak mustahil berlaku. Niat Mahathir membuat ‘come back’ ke arena politik bukanlah untuk perjuang nasib rakyat. Beliau sekadar mahu melihat anak kesayangannya, Mukhriz berjaya memanjat kuasa di Putrajaya.

Jika Mukhriz berjaya tawan Putrajaya, adakah harapannya untuk membawa pulang trillion Ringgit Malaysia seperti yang didakwa menerusi internet sebelum ini, akan tercapai? Dakwaan berkenaan bukan satu rahsia baharu lagi.

Taip sahaja perkataan `harta Mahathir’ dalam enjin carian siber, bersepah isu berkenaan diperkatakan netizen. Hanya menunggu masa Mahathir untuk tampil menjawab sahaja persoalan mengenai kekayaan anak-anaknya itu.

Apabila Mahathir bertanding menggunakan logo DAP sebagai calon ketika PRU ke-14 kelak, maka lenyaplah sudah segala perjuangan dan doktrinisasi tegar beliau selama puluhan tahun sewaktu dalam saf Umno dan BN dahulu.

Hilanglah semua kecaman keras beliau terhadap DAP, iaitu parti yang dikatakannya sebagai rasis dan cauvinis anti-Melayu. Malah lenyaplah sudah dakwaannya bahawa DAP mahu membina negara sekular anti-Islam di Malaysia.

DAP selepas ini di mata Mahathir adalah sebuah parti paling mulia. Apa yang pasti, orang Melayu telah berjaya ditipu oleh kelicikan Mahathir hipokrit kerana sanggup bekerjasama dengan DAP.

H AMREE AHAMAD
Mynewshub.cc - 
HARAKAHDAILY 27/3/2018

Tuesday, September 26, 2017

Siapa sampah sebenar? Kamarulazman tanya Tun Mahathir

 AIDCNEWS
1. Ketika berceramah di Bukit Merah, Perak, Tun Mahathir dengan sinis menyindir mereka yang meninggalkan PPBM sebagai ‘sampah’. Mungkin di Malaysia hanya Tun Mahathir sahaja yang layak menggelar orang lain sampah kerana beliau beranggapan bahawa beliau adalah insan terpilih dan tidak pernah berbuat salah.

2. Sebaik berita itu tersebar di alam maya, saya telah dihubungi oleh beberapa pejuang dan pemimpin PPBM yang telah meninggalkan parti yang terkandas di stesen yang salah itu. Sudah pasti mereka berasa terhina oleh kenyataan seorang yang dianggap negarawan itu.

3. Namun saya tidak terkejut dengan kenyataan itu kerana pasti ketika seseorang itu mencecah usia 92 tahun, kewarasan bukanlah menjadi teman 24 jam sehari.

4. Banyak kali saya mendapati bahawa Tun sudah mula lupa. Sebagai contohnya Tun mendapati sukar untuk menyebut nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan perlu dibantu oleh mereka di sekelilingnya.

5. Tun juga selalu lupa beberapa perkara penting yang dibincangkan mengenai parti. Kenyataan beliau sentiasa berubah dan ini amat menyusahkan. Tun juga kini amat mudah dipengaruhi.

6. Apa yang saya perhatikan ialah ‘kekurangan’ Tun ini sudahpun dihidu oleh beberapa pihak yang sudah sedia untuk menyambar peluang ketika Tun tidak lagi dapat membezakan antara kawan dan lawan.

7. Saya juga tidak pasti siapa atau apakah sebenarnya sampah di dalam PPBM itu sendiri.

8. Benarkah yang keluar itu sampah atau yang tinggal itu sampah?

9. Atau adakah perjuangan itu adalah sampah sebenarnya. Mana tidaknya, perjuangan sebenar PPBM adalah untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang sah mengikut perlembangaan dan ini banyak memecah belahkan bangsa. Bukankah perjuangan PPBM mempunyai muslihat meletakkan seorang ‘anak emas’ yang tidak mempunyai kebolehan di ‘takhta impian’ ketika matahari semakin hampir melabuhkan tirainya?

10. Atau adakah ‘anak emas’ itu sampah sebenar PPBM? – hadiah daripada sang bapa yang menyedari bahawa anakanda tersayang tidak mempunyai kebolehan walau dihujani wang ringgit yang melimpah ruah ketika sang bapa berada di ‘singgahsana’ untuk sekian lama. Ketika itu sang bapa sering mengatakan bahawa dia tidak tahu bagaimana anaknya menjadi kaya raya. Namun sudah agak terlewat untuk bapanya bertanya dan mendapatkan jawapan kerana faktor usia dan kewarasan.

11. Atau adakah MPT PPBM itu sampah sebenarnya kerana mengizinkan diri mereka diperkudakan individu tertentu untuk mencapai nafsu mereka? Di mana perginya suara panglima-panglima PPBM yang sering memainkan lagu kononnya pemimpin UMNO dicucuk hidung? Mereka hanya berbangga dapat duduk semeja dengan bekas pemimpin-pemimpin negara yang kempunan dan tidak lebih daripada itu.

12. Atau adakah budak budak di keliling Presiden itu sampah sebenarnya kerana menjadi tukang atur dan tukang karut hingga menyebabkan parti ini condong menanti rebah untuk menghempap rumah rumah usang kampung Melayu? Sedang bangunan parti yang dulu dianggap musuh tegar kini semakin berdiri gah dan benderanya berkibar paling tinggi kerana permusuhan sesama bangsa yang tiada penghujungnya?

13. Atau adakah presiden itu sampah sebenarnya kerana memegang jawatan tetapi tidak punya kuasa kerana takut dinyahkan oleh pemimpin senja?

Ternyata bekas pemimpin Melayu mudah lupa.

Cikgu Kamarulazman Habibur Rahman
– Mantan SUK PPBM

Friday, September 15, 2017

Jika bertanding, Langkawi atau Putrajaya pilihan Dr M

Wartawan Malaysiakini 
EKSKLUSIF  Beliau mengakuinya beberapa kali. Usia yang sudah lanjut dan terlalu lama bergelumang dalam politik.

Menjadi perdana menteri saja Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menghabiskan masa selama 22 tahun. Itu belum mengambil kira pembabitannya sebelum itu yang bermula dari bawah.

Namun ketika bahang pilihan raya umum (PRU) semakin dirasai, cakap-cakap bahawa Dr Mahathir akan kembali ke Dewan Rakyat kembali diperkatakan.

Dalam pertemuan eksklusif dengan Malaysiakini semalam, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu menyatakan keterbukaannya terhadap sebarang kemungkinan, termasuk menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Itu pun dengan beberapa syarat.

"Saya dah tua, saya tak mau bertanding lagi, tapi kalau terdesak sangat, kalau semua parti bersetuju, saya bertandinglah.

"Tapi kalau ada parti dalam HARAPAN yang tak bersetuju, saya tak akan bertandinglah," katanya.

Ditanya lebih lanjut jika HARAPAN bertegas mahukan beliau menjadi calon semula, ahli politik berusia 92 tahun itu menjelaskan - buat kali pertama - kerusi yang mungkin menjadi taruhannya.

"Buat masa ini saya menjadi ketua bahagian BERSATU Langkawi.

"Saya fikir saya boleh (bertanding) ke situ, atau di Putrajaya," katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

Untuk rekod kedua-dua kawasan berkenaan memang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Dr Mahathir.

Semasa menjadi perdana menteri, Langkawi banyak menerima pembangunan daripada kerajaan, manakala Putrajaya dibangunkan oleh Dr Mahathir daripada sebuah kawasan luar bandar menjadi petempatan yang tersusun ketika ini.

Bagaimanapun semasa menjadi perdana menteri kerusi yang diwakili Dr Mahathir ialah Kubang Pasu, Kedah.

Di sebalik kenyataan terbuka itu ketajaman sifat sinisnya tetap menyerlah.

"Tetapi saya tidak akan pergi ke kawasan Najib, sebab ia sebuah kawasan yang sangat pelik.

"Suatu ketika dulu, dia menang dengan majoriti hanya (241) undi dan jumlah pengundi di situ cuma 35,000 orang.

"Pilihan raya berikutnya dia menang dengan 22,000 undi dan jumlah pengund (kemudian) menjadi 80,000," katanya merujuk kepada keputusan PRU sebelum ini.

Pekan menjadi kerusi yang dimiliki Datuk Seri Najib Razak sejak 1976. Malah pada kali pertama dipertandingkan Najib memenangi kerusi berkenaan tanpa dicabar sesiapa.

Bagaimanapun pada PRU ke-10 (pada tahun 1999) undi majoriti yang diperolehi Najib turun mendadak iaitu 241 undi. Bagaimanapun pada PRU selepas itu Najib menguasai Pekan dengan majoriti besar.

Pada PRU ke-13 lalu Najib mempertahankan kerusi berkenaan dengan memperoleh 51,278 undi berbanding lawannya, Fariz Musa (PKR) yang mendapat 15,665 undi.

"Dari mana semua orang ini datang? Saya tak tahu.

"Adalah jelas berlaku banyak penipuan dan saya fikir Najib akan menggunakan penipuan untuk menang nanti," katanya.

Sementara itu dengan nada yang lebih sederhana Dr Mahathir berkata, andai dia tidak bertanding pun, ada satu permintaan daripadanya jika HARAPAN berjaya membentuk kerajaan melaui PRU ke-14 nanti.
"Saya harap diberi peluang untuk memberi sedikit pendapat kepada kerajaan kerana saya berpendapat, saya menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

"Pengalaman saya banyak dan saya terpaksa tangani banyak masalah dan berjaya menyelesaikannya.

"Justeru mungkin sebahagian nasihat saya berguna untuk kerajaan baru itu nanti," katanya.

Temu bual ini dikendalikan bersama oleh Al-Abror Mohd Yusuf, Andrew Ong, Zikri Kamarulzaman dan Annabelle Lee.

Monday, August 14, 2017

SOP PPBM tuding jari kepada UMNO - Pemuda Kedah

Siti Nurazlina Jamaludin


14 Ogos 2017 12:54 PM

Shaiful Hazizy
ALOR SETAR 14 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menyifatkan tindakan sesetengah pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menuding jari kepada UMNO terhadap kekecohan yang berlaku di Forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) sebagai perbuatan dangkal dan melulu.


Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya melihat sindrom menuding jari kepada UMNO bagaikan sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) buat PPBM. 


“Pemuda UMNO Kedah yakin tindakan ini juga lahir atas rasa kekecewaan mereka kepada keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melayan jemputan tersebut. 


“Pada masa sama, kita juga melihat kekecohan tersebut sebenarnya berpunca daripada kegagalan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyakinkan pengikut serta barisan kepimpinnya sendiri.


“Ini kerana umum telah mengetahui wujud sebilangan besar kepimpinan Armada di peringkat bahagian mahupun barisan kepimpinan yang sendiri tampil mempersoalkan kredibiliti Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Dalam pada itu, Shaiful Hazizy menegaskan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah sama sekali menolak tindakan mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan huru-hara berbentuk keganasan dalam penganjuran forum mahupun keramaian. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sop-ppbm-tuding-jari-kepada-umno-pemuda-kedah-1.514777#ixzz4phoSrIVQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, August 10, 2017

LHDN serbu pejabat anak Tun Mahathir

 AIDCNEWS
My Nation News – Pada hari yang sama syarikat Datuk Mokhzani Mahathir, Kencana Capital Sdn Bhd diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), 2 lagi syarikat yang ada kaitan dengan anak Tun Dr Mahathir Mohamad turut menjadi sasaran, menurut sumber yang rapat dengan keluarga bekas perdana menteri itu.

Menurut laporan Free Malaysia Today, LHDN turut menyerbu Opcom Holdings Berhad dan Crescent Capital Sdn Bhd.

Opcom adalah sebuah syarikat ditubuhkan pada November 1994 dan terlibat dalam pendawaian fiber optik. Ia dipengerusikan oleh Mokhzani yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO), sementara Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah salah seorang pemegang sahamnya.
Pada tahun penubuhannya, Dr Mahathir masih lagi Perdana Menteri.

Seorang lagi anak lelaki Dr Mahathir, Mirzan Mahathir, disenaraikan sebagai CEO Crescent Capital, sebuah syarikat pelaburan dan perunding kewangan.

Ketika dihubungi, anak sulung Dr Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir mengesahkan semua serbuan itu berlaku 2 hari lalu.

“Saya tidak merasakan ia satu kebetulan. Ataupun mereka (LHDN) hanya menjalankan tugas,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Ahad lalu, sekumpulan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pemilikan hampir 500 syarikat dimiliki keluarga Dr Mahathir.


Serbuan itu berlaku ketika pemimpin Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menggesa siasatan terhadap kekayaan keluarga bekas perdana menteri yang kini mempengerusikan gabungan 4 parti Pakatan Harapan (PH).

Selain pemimpin Umno, kekayaan keluarga Dr Mahathir sudah dipersoalkan oleh hampir kesemua pemimpin pembangkang berulangkali sebelum ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengadu kenalan rapatnya kini diganggu pihak berkuasa termasuk menerusi LHDN.

Salah seorang kenalan itu ialah ahli perniagaan Tan Sri Lee Kim Yew pada Mei lalu berkata beliau disiasat di bawah undang-undang jenayah dan bukan sivil, memaksa beliau melepaskan asetnya untuk melangsaikan hutang cukai.

Dr Mahathir sendiri kini berdepan siasatan di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian berbilion ringgit Bank Negara Malaysia di bawah pentadbirannya hampir 30 tahun lalu.

Saturday, July 22, 2017

Tun Mahathir dicabar debat bersama Puad Zarkashi


21 JULAI: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mencabar Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdebat dengannya pada program Nothing to Hide 2.0 yang bakal dianjurkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, beliau sedia untuk mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jika Mahathir benar-benar serius untuk mencari kebenaran mengenai isu 1MDB.

“Sekiranya Tun Mahathir serius untuk mencari kebenaran mengenai isu 1MDB, saya menawarkan diri untuk berdebat dengan beliau dalam Forum Nothing to Hide 2.0 yang mereka ingin anjurkan.

“Jadi tak perlulah dia mencabar Datuk Seri Najib untuk berdebat dalam forum Nothing to Hide 2.0 mengenai isu 1MDB ini,” katanya.

Menurut Dr Puad lagi, tiada sebab untuk Mahathir menolak tawarannya itu.

“Walaupun dia mendakwa dia adalah ‘top dog’ dan Najib adalah setanding dengan beliau, Pada saya selaku pengerusi PH, jawatan beliau itu tidaklah ada apa-apa kuasa sebenarnya.

“Oleh kerana itu tidak ada sebab sekiranya beliau tidak bersetuju untuk berdebat dengan saya sebagai ahli MT UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Puad mendakwa tujuan sebenar Mahathir menganjurkan forum berkenaan adalah untuk memalukan Perdana Menteri.

“Dan saya tahu sebenarnya Mahathir tidak serius untuk berdebat secara ilmiah, secara bersopan. Saya yakin bahawa beliau mahu menjadikan debat ini sebagai tempat untuk mereka memalukan Perdana Menteri.

“Mereka datang nak buat kecoh supaya Najib dimalukan di khalayak ramai,” katanya.

Pada Program Nothing to Hide yang pertama, Mahathir dan pengikut-pengikutnya telah membuat kecoh dengan mengambil alih pentas walaupun program berkenaan telah dibatalkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar demi menjaga ketenteraman awam.

Friday, June 16, 2017

DAP tidak izinkan parti Melayu berkuasa - PAS

KUALA LUMPUR: Nasib ketiga-tiga parti Melayu dalam Pakatan Harapan untuk mengu­asai gabungan itu tidak akan tercapai kerana DAP tidak akan mengizinkan cita-cita mereka itu kesampaian.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sikap DAP sejak dahulu sudah diketahui mahu memonopoli pakatan itu atas prinsip mereka mempunyai paling banyak kerusi di Parlimen walaupun mereka menafikan perkara itu.

Beliau menjelaskan, berdasarkan pengalaman Pas bersama DAP dalam Pakatan Rakyat dahulu, bukan mudah untuk menyelesaikan isu-isu yang bertelagah apatah lagi untuk mencapai satu keputusan sepakat.

“Pas menjangkakan kemelut yang berlaku dalam Pakatan Harapan akan berpanjangan sebab bukan sahaja isu siapa nak jadi Perdana Menteri atau siapa yang akan menerajui pakatan, tetapi lebih besar daripada itu iaitu apabila tiba soal pengagihan kerusi dan pematuhan kepada keputusan nanti.

“Perkara-perkara itu akan timbul polemik kerana pengalaman Pas berada dalam Pakatan Rakyat dahulu bukan mudah nak selesaikan isu-isu sebegini. DAP ternyata dari dahulu mahu berkuasa walaupun cuba menutup niat sebenar mereka itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, DAP menegaskan menolak ke­ghairahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk memonopoli kepemimpinan tertinggi dalam Pakat­an Harapan.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng berkata, hasrat PPBM mahu mendominasi jawatan Pengerusi dan Presiden dilihat sebagai tidak wajar tambahan pula parti itu baharu sahaja meng­anggotai Pakatan Harapan.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, rakyat boleh melihat sikap DAP yang cuba mengelirukan orang Melayu dengan meletak­kan calon Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun pada hakikatnya calon itu sebenarnya mewakili DAP.

Kata beliau, nasib parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan masih kabur dan hanya bergantung kepada satu keputusan selepas PRU dan sejauh mana mereka boleh meyakinkan DAP untuk berkuasa.

“Namun, kalau mereka tidak kuat, DAP tentunya akan mengu­asai. Rakyat boleh menilai tentang situasi yang berlaku sekarang bagaimana nasib PKR, PPBM dan PAN dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Sebelum ini PPBM yang hanya berusia tidak sampai setahun telah menamakan Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memegang jawatan Pengerusi dan Presiden Pakatan Harapan.

PPBM turut mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Pakatan Harapan manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Pengerusi; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Timbalan Presi­den Pakatan Harapan) selain Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu masing-masing sebagai Naib Presiden.

- Utusan Malaysia

Thursday, June 15, 2017

DAP tolak penguasaan PPBM dalam PH

By watan
DAP secara jelas menolak dominasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan (PH).

Parti cauvinis itu menolak pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi PH dalam struktur baharu pentadbiran pakatan itu.

“Saya tidak akan bersetuju jawatan pengerusi dan presiden diisi oleh PPBM.

“Ini adalah suatu monopoli dan penguasaan kawalan terhadap PH,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kepada media di Petaling Jaya, pada Rabu.

Jumaat lalu Majlis Presiden PH bermesyuarat mengenai struktur kepimpinan gagasan mereka yang bakal didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.

Bagaimanapun terdapat khabar angin bahawa selain Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan penasihat, jawatan Pengerusi dan Presiden dikatakan bakal diisi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Guan Eng ketika mengulas lanjut berkata sebarang keputusan yang bakal diambil perlu mendapat persetujuan empat parti dalam PH.

“Saya tidak tahu bagaimana cadangan ini boleh bocor kepada media,” katanya.

Sementara itu Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan bersetuju supaya Dr Mahathir dilantik sebagai kepimpinan utama bersama pemimpin yang lain.

DAP juga turut menegaskan bahawa parti itu tetap memilih Anwar sebagai calon Perdana Menteri pembangkang.

“Bagaimanapun, kami tetap menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri tetapi kita perlu terima hakikat bahawa Anwar tidak boleh menduduki jawatan itu terus atas faktor kelayakan undang-undang.

Wartawan Watan-Online

Tuesday, April 25, 2017

PAS paling tercorot jika pertandingan tiga penjuru - Rafizi

 BY WARTAWAN AGENDADAILY
Entahlah benar atau tidak... tapi kaji selidik NGO yang diasaskan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Invoke, meramalkan PAS akan muncul parti yang paling sedikit sokongan jika berlaku persaingan tiga penjuru dalam pilihanraya umum akan datang.

PAS yang disebut-sebut parti pembangkang paling stabil kini dikatakan akan tertinggal di belakang serpihannya Parti Amanah Negara (PAN) dan parti baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), menurut Invoke.

Sementara UMNO sentiasa mendapat sokongan popular dalam tinjauan itu.

"Sekiranya pertandingan tiga penjuru melibatkan antara UMNO, PAS, PAN menunjukkan PAN berjaya mengatasi PAS dengan kelebihan 3.6 peratus.

"Namun kelebihan tetap kepada UMNO iaitu mendahului PAS dan PAN iaitu UMNO mendapat 32.2 peratus, PAN 16.1 peratus sementara PAS hanya mendapat 12.5 peratus," katanya.

Rafizi berkata, perkara itu berlaku kerana undi bukan Melayu tidak memihak kepada PAS sekaligus memberi kelebihan kepada PAN.

Mendedahkan kaji selidik itu dalam sidang medianya, Rafizi berkata sebanyak 10,000 responden di seluruh negara terlibat yang mencerminkan demografi penduduk negara ini.

Kira-kira 65 peratus responden terdiri Melayu atau bumiputera, 23 peratus Cina, 7 peratus India dan 5 peratus bumiputera bukan Islam.

Dalam dapatan tinjauan tersebut, PKR muncul parti kedua yang menjadi pilihan ramai selepas UMNO.

Namun keputusan melibatkan pilihan responden terhadap DAP tidak dinyatakan.

Responden ditanya 40 soalan parti yang menjadi pilihan mereka pada pilihan raya umum nanti dan parti yang akan disokong jika berlaku persaingan tiga penjuru.

Wednesday, April 19, 2017

Cikgu Kamarul dedah Anina lalui episod malang dalam PPBM

By Manzaidi Mohd Amin
Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Teluk Kemang, Kamarulazman Habibur Rahman bercakap pada sidang media khas berkaitan pengumumannya meletakkan jawatan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.
 foto MOHD HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, rakan seperjuangannya, Anina Saadudin menjadi mangsa percaturan politik parti itu.

Katanya, bekas Ketua Penaja Srikandi PPBM itu melalui episod malang sepanjang berjuang di awal sehingga PPBM diumumkan sebagai parti politik yang sah.

“Anina orang pertama menjadi mangsa politik perebutan kuasa dalam PPBM. Dia langsung tidak dibela, apatah lagi mendapat pembelaan.

“Sepatutnya kes ini ditangani dengan baik kerana Anina antara orang yang mula-mula sekali berjuang menubuhkan parti baharu (PPBM) selepas dipecat dari UMNO,” katanya pada sidang media mengumumkan keluar PPBM di sini hari ini.

Anina keluar parti setelah Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md. Salleh mengeluarkan kenyataan menyatakan, bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Langkawi itu bukan Ketua Srikandi PPBM.

Menjawab soalan, Kamarul Azman yang dikenali sebagai Cikgu Kamarul tidak sedih meletakkan jawatan sebagai AMT, Ketua Penaja Teluk Kemang dan Setiausaha Kerja PPBM serta membatalkan keahliannya.

“Daripada saya sedih berada dalam parti, lebih saya berundur dan berharap PPBM dapat kembali kepada perjuangan asal untuk memberi kekangan kepada parti lawan iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Cikgu Kamarul turut memberitahu, bagaimana sedihnya beliau apabila parti menghantar wakil yang tidak mempunyai pengalaman untuk berbincang berhubung kedudukan parti sebagai komponen Pakatan Harapan (PH).

“Apabila saya persoalkan, parti memberitahu, wakil itu orang lama dalam parti (sebelum ini UMNO) dan tahu apa dia nak buat. Parti ketepikan begitu saja pandangan saya,” katanya. 

– MalaysiaGazette

Thursday, April 6, 2017

Lantik kroni dan hala tuju parti kabur..... 500 ahli PPBM Rembau keluar parti

WARTAWAN AGENDADAILY
Belum apa-apa sudah kalut. Ini baru dalam peringkat penubuhan namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan sudah goyang dan retak.

Rasa tidak puashati terhadap dakwaan amalan kronisme dalam lantikan jawatan serta hala tuju parti yang agak kabur telah mendorong 500 ahli parti itu di bahagian Rembau ‘angkat kaki’.

Mereka berkumpul beramai-ramai di Pejabat Penajaan PPBM Bahagian Rembau Rabu malam untuk umum keluar parti.

Siapa yang tidak angin satu badan bila melihat orang yang tidak buat kerja dapat jawatan manakala yang giat aktif terpinggir.

Aktivis PPBM Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin yang mengetuai kumpulan itu mendakwa pelbagai kepincangan wujud dalam parti berkenaan.

Beliau menyuarakan rasa tidak puashati terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden dan timbalannya Datuk Seri Mukhris yang didakwa telah melantik kroni-kroni mereka pegang jawatan penting sedangkan mereka tidak buat kerja.

Mohd Anas beri contoh di bahagian Rembau, Haji Bakri yang merupakan kroni Muhyiddin dilantik sebagai ketua bahagian.

"Kami berusaha menggerakkan parti ini di peringkat awal dengan keringat dan wang ringgit sendiri, selain mencurahkan masa serta tenaga untuk memastikannya berjaya.

"Tetapi kami kecewa apabila tiba waktu sepatutnya untuk melantik ketua bahagian dan jawatankuasa, kami yang bertanggungjawab memulakan gerakan ini dipinggirkan," katanya.

"Kita keluar parti berkuat kuasa malam ini, serta-merta," tegasnya dalam sidang akhbar di situ.

"Berikutan keputusan keluar parti beramai-ramai ini, saya boleh katakan PPBM Rembau lumpuh 99 peratus,"katanya lagi.

Beliau mendakwa ada kira-kira 1,000 lagi ahli di bahagian Rembau dijangka meninggalkan parti itu tidak lama lagi.

Langkah ini akan diikuti di bahagian-bahagian lain seluruh Negeri Sembilan.

Mohd Anas tidak yakin PPBM mampu menghadapi pilihan raya umum dengan keadaan seperti yang dihadapi di peringkat bahagian itu.

Katanya kumpulan mereka akan mengadakan siri jelajah di seluruh Negeri Sembilan untuk dedah kepincangan PPBM

Sunday, March 26, 2017

Bimbang kalah tetapi PPBM mahu terajui pembangkang

26 MAC: Bimbang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, perlunya pembangkang satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.

Ahli Parlimen Pagoh itu mengakui amat sukar PPBM untuk menang jika pembangkang gagal berbuat demikian.
“Kalau bersatu menanglah kita. Jangan lawan sesama sendiri, janganlah AMANAH lawan PPBM atau lain-lain lagi,” katanya dalam satu program di Padang Rengas, Perak malam tadi.

Walaupun menyedari PPBM tidak sekuat pembangkang lain, Muhyiddin berhasrat supaya parti pimpinannya menerajui pembangkang atas gabungan berteraskan Melayu bagi mendukung perjuangan tersebut.

“It must be a malay-led government (Ia perlu menjadi kerajaan yang dipimpin Melayu). Saya sedang menyebut ini di sini bukan kerana saya mahu untuk memihak kepada sesiapa tetapi kerana saya tahu majoriti rakyat Melayu,” katanya.

Sambil mengakui bahawa hak-hak bukan Melayu juga harus dibela, Muhyiddin berjanji bahawa hak-hak kaum Melayu dan bukan Melayu di negara ini akan dilindungi.

Bagaimanapun, beliau member jaminan bahawa parti-parti seperti DAP dan PKR akan menjadi sebahagian daripada keluarganya.

Muhyiddin berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam masa sehari dua ini.

Muhyiddin turut mencadangkan gabungan pembangkang dalam Pakatan Harapan dinamakan sebagai “Barisan Rakyat”.

Friday, March 24, 2017

Semua Ahli Pakatan Harapan ikut perintah DAP, termasuk Mahathir

by admin-s
“Bagi saya, DAP tidak kisah jika barisan kepimpinannya tidak menjadi Perdana Menteri, namun apa yang penting mereka mahukan seorang pemimpin di kalangan parti pembangkang yang boleh mereka kawal dan akur dengan setiap keputusan yang diputuskan oleh DAP”.

(Malaysian Digest) – Ekoran memiliki bilangan majoriti didalam ikatan Pakatan Harapan, DAP didakwa menjadi pembuat keputusan yang wajib dituruti setiap ahli pakatan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) teraju Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin berkata, perkara ini terang lagi bersuluh sepertimana akurnya ahli Pakatan Harapan mengikut telunjuk DAP berhubung hal pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta 355.

“Kita boleh nampak jelas bahawa parti seperti PKR adalah pro kepada DAP di mana keputusan yang mereka ambil itu akan selaras dengan kehendak DAP, sebagai contoh dalam isu pindaan RUU 355 baru-baru ini.

“Manakala parti PAN pula tidak perlu diragui kesetiaan mereka terhadap DAP memandangkan kewujudan parti tersebut juga adalah hasil kehendak DAP untuk memecah belahkan dan menggantikan PAS di dalam pakatan pembangkang,” katanya dipetik portal berita.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah parti baru, PPBM kata Jasmin, “terpaksa sujud di kaki DAP” demi mendapatkan sokongan pihak pembangkang.

“Pengerusinya, Tun Mahathir sanggup mengeluarkan kenyataan pusingan-U di mana kononnya selama ini dia tersalah anggap terhadap DAP yang disangkakan sebagai sebuah parti rasis.

“Selama lebih 22 tahun beliau menghentam DAP sebuah parti yang rasis dan cauvinis, tetapi hari ini beliau boleh pula katakan bahawa kritikan beliau terhadap DAP adalah tidak benar dan beliau telah tersalah anggap terhadap DAP selama 22 tahun,” tegasnya.

Jelasnya, keegoan dan keangkuhan DAP dalam membuat keputusan juga menjadi punca PAS meninggalkan Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu.

Tambahnya, PAS tidak sanggup untuk bersama sebuah ikatan yang didominasi oleh DAP yang mencampuri segala urusan termasuk hal ehwal hukum Islam.

“Sebagai contoh, dalam pentadbiran negeri pula, DAP secara jelas cuba untuk campur tangan dalam institusi fatwa di sini dan perkara ini turut diakui oleh AJK fatwa dan bekas mufti negeri tersebut, Datuk Seri Hassan Ahmad.

“Maka perkara itu juga tidak mustahil berlaku di dalam pakatan pembangkang dan ini terbukti apabila Dap menolak pindaan RUU 355 yang kemudiannya keputusan DAP itu diikuti oleh PKR dan juga PAN,” katanya lagi.

Lantaran itu, ianya sekaligus memberi indikasi bahawa DAP akan menjadi pembuat keputusan sekiranya Pakatan Harapan menjuarai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dan mengambilalih pentadbiran di Putrajaya.

“Bagi saya, DAP tidak kisah jika barisan kepimpinannya tidak menjadi Perdana Menteri, namun apa yang penting mereka mahukan seorang pemimpin di kalangan parti pembangkang yang boleh mereka kawal dan akur dengan setiap keputusan yang diputuskan oleh DAP.

“Mungkin kerana itu, DAP beria-ria mahukan Datin Seri Wan Azizah sebagai calon Perdana Menteri dengan alasan sebagai ganti kepada Anwar, sedangkan hakikatnya mereka memilihnya kerana kelemahan Presiden PKR itu yang mudah dipengaruhi untuk membuat satu-satu keputusan yang memihak kepada keuntungan parti tersebut.

“Sehubungan itu, saya fikir rakyat khususnya umat Islam di negara ini perlu bijak menilai permainan politik pihak pembangkang, terutamanya Dap yang tegar dengan imej anti Islam, rasis dan cauvinis, namun cuba untuk menyembunyikan perkara tersebut dalam usaha mereka untuk mendapat sokongan rakyat terutama umat Islam di negara ini,” katanya lagi.

Thursday, February 23, 2017

PPBM mahu runding 'pakatan pilihan raya' dengan PAS

Bernama
February 23, 2017

Timbalan presidennya berkata PPBM akan pilih tarikh untuk memuktamadkan sama ada mereka boleh bekerjasama walaupun dalam bentuk ‘pakatan pilihan raya’.
PORT DICKSON: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu menjalin “pakatan pilihan raya” dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan 3 penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata PPBM akan berusaha untuk berunding dengan PAS bagi merintis satu “pakatan pilihan raya”.

“Mahu tak mahu kami (PPBM) terpaksa ada (pilih) satu tarikh untuk memuktamadkan adakah kami boleh atau tidak jalin kerjasama dengan PAS walaupun dalam bentuk “electoral pact’ (pakatan pilihan raya)”, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mukhriz berada di sini bagi menghadiri program pemukiman PPBM selama 4 hari bermula Isnin lepas yang turut dihadiri semua pimpinan tertinggi parti termasuk Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan PAS tetap dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan PPBM selagi ia menjalin hubungan dan bekerjasama dengan DAP dan Amanah.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata pada PRU14, PPBM akan menumpukan untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Friday, February 17, 2017

Azmin Ali, Zuraida: Kenapa kamu lupa penderitaan & pengorbanan Anwar Ibrahim?

1. MENGAPA pemimpin-pemimpin PKR tidak lagi bercakap mengenai DS Anwar Ibrahim impian Perdana Menteri mereka? Tidak ada lagi keyakinan oleh pemimpin-pemimpin PKR untuk menjadikan Anwar sbg PM ! Seolah-olah mereka semua berpuashati Anwar kekal dalam penjara & mereka boleh berjoli di luar menikmati keringat dan airmata darah Anwar!

2. Pada minggu lepas, di perkarangan Penjara Sg Buloh hanya kita-kira 200 orang sahaja yang hadir memperingati, memperjuangkan dan memberi semangat kepada perjuangan membebaskan Anwar. Yang lain walaupun dekat duduk dalam Selangor tetapi tidak pun menghadirkan diri.

2. Sebaliknya, mereka membawa ke sana ke mari Tun Dr Mahathir yang memecat Anwar (1998). Seolah-olah Tun M lah ketua baharu mereka. Anwar sudah menjadi sekunder.

3. Saya telah melawat seorang MT PKR. Beliau sampaikan hasrat supaya Anwar dibebaskan dengar apa cara sekalipun kerana Anwar sudah tua dan sering sakit-sakit. Beliau mahu DS Najib membantu Anwar.

4. Saya tidak yakin Tun M bersetuju Anwar menjadi PM. Sejak sekian lama Tun M berusaha menjatuhkan DS Najib, tidak pernah Tun M menyebut bersetuju Anwar dilantik sebagai PM. Jawapan standard "belum sampai masa, tunggu dan lihat". Bermakna Anwar bukan dalam perancangan mereka. Pasti orang lain.

5. Jika begini keadaannya, saya melihat PKR dalam krisis identiti. Mereka sudah tidak fokus.

6. Jika begitu, saya percaya satu-satunya jalan terbaik kepada Anwar ialah kembali kepada BN. Wakil rakyat UMNO beritahu kepada saya panggillah semula Anwar ke dalam UMNO. Tun M sudah tiada di dalam BN. DS Najib bukanlah musuh Anwar, dan Anwar bukanlah musuh politik Najib jua.

7. Anwar hanya boleh menjadi PM melalui BN. Di Indonesia, Jusuf Kalla tidak akan berjaya menjadi Naib Presiden jika tidak bersama kem Jokowi tempohari.

8. Begitu juga Anwar, dengan keadaan huru-hara dalam DAP sekarang, dan perebutan dalam Parti Pribumi, Anwar tidak akan berjaya menjadi PM selagi masih bersama mereka.

9. Pada bacaan saya, tujuan penubuhan Pribumi adalah untuk merosakkan Pakatan pembangkang dan menghalang Anwar menjadi PM. Terbukti 4 YB DAP keluar parti dan ianya tidak berlaku semasa Tun M tiada dalam pakatan. Ini satu pukulan mati kepada DAP.

10. Dikhabarkan beberapa YB DAP lagi akan keluar parti selepas kemasukan Zaid, kerana mereka tahu Zaid adalah proksi Tun M untuk merosakkan DAP.

11. Pada hemat saya parti Pribumi hanya bersandiwara. Jika anda tidak percaya cuba tanya soalan simple, "Jika Pakatan menang ada kah Anwar akan menjadi PM?". Saya pasti jawapan standard akan diulang lagi, "Tunggu lah, kita tidak bincang siapa akan menjadi PM".

12. Walhal pada tahun 2008 hingga 2013 jawapan muktamad pakatan pembangkang ialah "Anwar adalah PM jika menang". Hari ini mereka pening, tidak fokus, berpecah-belah dan hilang arah tuju.

13. Hanya Dr. Badrul Amin dan Ustaz Dr. Mohd. Nur Manutty kelihatan teguh pendirian dan fokus memperjuangkan pembebasan, keadilan dan meyakini Anwar Ibrahim? Yang lain kelihatan hanyut dengan seni politik Tun Dr. Mahathir.

SUMBER

Tuesday, February 14, 2017

Bekas pengerusi SPR dakwa Umno guna senarai undi naikkan keahlian

FMT Reporters
February 14, 2017

Rashid yang kini pemimpin PPBM mempertikaikan dakwaan Umno mempunyai 3 juta ahli.
PETALING JAYA: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mendakwa ketua bahagian Umno menggunakan nama daripada senarai pengundi untuk dijadikan ahli Umno supaya ahli parti berjumlah 3 juta.

Rashid, kini naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata ia dilakukan dengan tujuan menubuhkan cawangan Umno di serata negara.

“Belum tentu lagi betul ke tidak 3 juta… Yang saya tahu dulu, tak ada pun. Hanya sejuta sahaja.

“Yang lain semua ketua bahagian masukkan nama daripada senarai pengundi,” katanya pada satu forum PPBM di Alor Setar, Sabtu lalu.

Turut hadir ialah Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, dan beberapa pemimpin PKR and DAP lain.

Rashid yang berkhidmat dengan SPR selama 27 tahun sebelum bersara sebagai pengerusinya, bagaimanapun tidak menerangkan lanjut, dan berkata perlu masa berjam-jam untuk menghuraikan apa yang diketahuinya.

Rashid yang pernah menyertai pertubuhan Perkasa, sebelum ini secara terbuka mengaku pernah membantu menyusun persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan tujuan mengekalkan kuasa Melayu.

“Kami lakukan secara sah dan teliti. Mereka yang kalah semasa pilihan raya umum lalu mendakwa kami melakukan kesalahan. Jika betul, mengapa Barisan Nasional tewas di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor?” Rashid dilaporkan berkata pada 2013.

Sunday, February 12, 2017

'Jangan layan PAS seperti budak, Dr M perlu henti mendesak'

Bernama 
February 12, 2017

Dr Mahathir perlu menghormati PAS dan tindakannya memberi amaran merupakan sikap tidak baik, kata naib presiden parti Islam itu.
BUKIT GANTANG: Naib Presiden PAS Idris Ahmad meminta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak mendesak parti itu dalam isu penyertaan dalam Pakatan Harapan.

Beliau berkata adalah tidak wajar untuk bekas perdana menteri itu memberi kata 2 kepada PAS untuk menyatakan keputusan dalam tempoh sebulan.

Menurutnya proses membuat keputusan berhubung perkara tersebut merupakan sesuatu yang besar dan memerlukan tempoh yang panjang untuk dibincangkan.

“Dr Mahathir hendaklah hormat dengan PAS dan jangan buat PAS seperti budak-budak, tindakannya memberi amaran merupakan sikap tidak baik.

“Kami dah lama jadi pembangkang 22 tahun (dari) zaman beliau (Dr Mahathir) menjadi perdana menteri,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Mega RoadShow 355 peringkat negeri di Markas PAS Bukit Chempedak, dekat sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang memberi tempoh sebulan kepada pemimpin PAS untuk memutuskan sama ada mahu menyertai pakatan harapan atau tidak.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata lebih 100,000 anggota PAS dijangka menyertai himpunan bagi memberi penjelasan mengenai Rang Undang -Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016) 1965 atau Akta 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 18 Feb ini.

“Himpunan itu sebagai tanda sokongan masyarakat Islam terhadap pindaan akta itu bagi memperkasa Mahkamah Syariah,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-