Showing posts with label Pilihan Raya Kecil Port Dickson. Show all posts
Showing posts with label Pilihan Raya Kecil Port Dickson. Show all posts

Thursday, October 11, 2018

Anwar kini ibarat kain putih, kata Rais

Shakira Buang 
Diterbitkan 11 Okt 2018, 11:11 pagi


Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim mengingatkan PAS bahawa tidak timbul soal sama ada calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Port Dickson layak atau tidak bertanding di parlimen tersebut.

Bekas menteri besar itu berkata ini jelas dalam Perkara 42 Perlembagaan Malaysia bahawa apa yang diperlukan oleh calon HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah cuma pengampunan penuh.

“PAS pun ada mengkritik, kononya Anwar ini nak dicabar kelayakkan. Tapi saya tak payah sebut siapalah yang menyebut perkara ini.

“Dia macam mahir benar undang-undang, tapi saya yakin dia mungkin mahir dari segi undang-undang, tapi bila bicarakan satu persatu akan kalah.

“Dia lupa, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Malaysia, yang diperlukan cuma pengampunan penuh dan apabila dikatakan pengampunan penuh 42 perlembagaan kita, selesai semua,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Pesara di Taman Intan Perdana, Port Dickson, malam tadi.

Mengulas lanjut, Rais menegaskan Anwar kini ibarat kain putih selepas mendapat pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong atas kesalahan lampaunya.

“Tak ada lagi salah Anwar, kain dibandingkan kain dengan guni, beliau menjadi kain putih sekarang ini,” tegasnya.

Sementara itu, Rais juga turut menasihati calon bebas Sri Isa Abdul Samad yang juga adalah seorang lagi menteri besar Negeri Sembilan agar kembali kepada realiti kerana masanya sebagai ahli politik sudah tamat.

Katanya, berbeza dengan Anwar, Isa tidak akan mampu membawa perubahan kepada Port Dickson.

“Kamu sudah berkuasa selama 22 tahun, kenapa tidak laksanakan apa yang kamu janjikan, 22 tahun tempoh yang lama sebagai menteri besar, saya hanya menjadi menteri besar selama sepenggal.

“Beliau sepatutnya memenuhi kehendak rakyat selama 22 tahun itu, bagi pendapat saya, Isa telah gagal dengan apa yang kami mahu laksanakan pada masa hadapan,” katanya.

Rais, yang juga bekas penasihat sosiobudaya kerajaan ketika pentadbiran BN menjadi menteri besar Negeri Sembilan pada 1978 hingga 1982.

Katanya, sentimen semata-mata tidak mampu mengembalikan zaman kegemilangan Isa.

“Politik adalah mengenai realiti, sentimen sahaja tidak akan mengembalikan zaman kegemilangan, berapa banyak sokongan daripada veteran kita tak tahu, sentimen tidak boleh bawa kita ke mana-mana,” katanya.

Rais berkata, anggota Parlimen Port Dickson yang baru seharusnya seseorang yang mempunyai kuasa, yang mampu meningkatkan imej bandar tentera darat itu.

“Perlu saya katakan kepada Isa, masanya telah tiba dan beliau harus serahkan kepada orang lain untuk melaksanakan apa yang beliau gagal lunaskan suatu ketika dahulu,” katanya.

“Apa yang perlu kita sedar sekarang adalah sama ada kita boleh bergantung harap kepada Anwar? Jawapannya ya,” kata Rais lagi.

Isa yang bertanding atas tiket bebas dalam PRK Parlimen Port Dickson menjadi menteri besar Negeri Sembilan menggantikan Rais bermula 1982 hingga 2004.

Beliau dilihat menjadi pencabar utama kepada Anwar dalam pertandingan tujuh penjuru merebut kerusi yang dilepaskan penyandang, Danyal Balagopal Abdullah dari PKR.

Isa juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Bagan Pinang dan Linggi, yang merupakan antara lima kerusi DUN di bawah Parlimen Port Dickson.

Beliau dikatakan mempunyai sokongan kuat di dua kawasan tersebut, terutamanya pengundi berusia 45 tahun ke atas.

Keputusan Umno memboikot PRK Port Dickson menyebabkan Isa mengambil keputusan keluar Umno dan bertanding atas tiket bebas.

Lima calon lain termasuk dari PAS, alah Mohd Nazari Mokhtar, yang merupakan veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel dan Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu terkait kes liwat Anwar, yang bertanding tiket bebas.

Tuesday, October 2, 2018

Kalau Bermaruah Dan Tak Bersalah Kenapa Minta Pengampunan? – Hadi

Kalau Bermaruah dan Tak Bersalah Kenapa Minta Pengampunan? – Hadi

PORT DICKSON – Presidan PAS, Abdul Hadi Awang mempersoal tindakan Anwar yang meminta pengampunan bagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Soalnya, kenapa Anwar perlu minta pengampunan jika tidak bersalah.

“Kalau orang yang ada maruah, tak salah tak perlu mintak ampun. Ni mintak ampun, perlu kepada Lembaga Pengampunan.

“Sepatutnya penduduk Port Dickson ni faham nak pilih siapa pemimpin. Siapa wakil rakyat.

“Islam ada adat dalam memilih pemimpin,” ucapnya.

Jelasnya, calon PAS yang bertanding kali ini tak perlu kepada Lembaga Pengampunan kerana beliau tidak terikat dengan sebarang kes mahkamah.

Seterusnya, Abdul Hadi turut mempersoalkan tindakan Anwar yang memilih untuk bertanding di Port Dickson; kawasan yang 60% bukan Islam, 40 % Islam.

Soalnya, mengapa Anwar tak berani bertanding di kawasan majoriti Islam.

“Yang nak jadi Perdana Menteri ni melompat kesana kemari. Dari Permatang Pauh melompat ke Kajang, dari Kajang melompat ke Port Dickson; memilih kawasan yang 60% bukan Islam, 40 % Islam.

“Walaupun kita tak setuju dengan Dr Mahathir menjadi PM, tetapi kita iktiraf beliau kerana dia memimpin Pakatan Harapan tanpa perlu diadakan Pilihan Raya dengan cara mengadakan berasingan seperti ini.

“Ini tidak mengikut moral demokrasi yang benar,” tegasnya.

Ulasnya, PRK kali ini adalah satu pilihan raya yang luar biasa mengikut amalan demokrasi; dibuat semata –mata untuk memilih seorang yang hendak menjadi Perdana Menteri Malaysia seterusnya.

Saturday, September 29, 2018

PRK PD: Satu hilang kelayakan, 7 penjuru di Port Dickson

Wartawan Malaysiakini | Diterbitkan 29 Sep 2018, 10:23 pagi


11.00am: Pencalonan A Rajendra (Bebas) dibatalkan. PRK Port Dickson bakal menyaksikan pertembungan tujuh penjuru.

Lapan hantar borang pencalonan

10.30am: Proses pencalonan berakhir pada pukul 10 pagi dan sejumlah lapan calon telah menghantar borang.

Penutupan pencalonan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairy Maamor.

Lapan calon tersebut adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS), dan enam calon Bebas iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad, Lay Seck Yan, Stevie Chan, Kee Chee Yuen, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan A Rejandra.

9.45 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Tujuh calon telah menyerahkan borang pencalonan mereka untuk pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober. Proses pencalonan berakhir pada pukul 10 pagi.

Anwar, Saiful berjabat tangan di pusat pencalonan.

9.35 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson: - Ketika Anwar berjalan ke tempat duduknya selepas menyerahkan pelancalonannya, Saiful berdiri untuk menyambutnya. Kedua-dua mereka berjabat tangan.

Kemudian, Saiful menyerahkan borang pencalonannya, Begitu juga dengan calon Bebas, Tan Seri Isa Samad dan Stevie. Manakala Anwar duduk di meja lain.
9.10 pagi: Bekas menteri Umno Tan Sri Zainuddin Maidin menulis di Tweet bahawa seseorang yang "lemah" seperti Saiful bersedia untuk mencabar Anwar di PD, ia adalah satu tamparan hebat kepada maruah Umno kerana tidak meletakkan calon.

Beliau berkata ini adalah kerana Umno berharap "simpati" dari Anwar apabila beliau menjadi perdana menteri.

Saiful tiba di pusat penamaan calon.

9.15 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan memasuki pusat pencalonan.

Keadaan tenang walaupun Saiful duduk bersebelahan dengan pasukan Anwar.

Beliau mengulangi bahawa keputusannya untuk bertanding bukan kerana dendam peribadi terhadap Anwar tetapi kerana beliau mahu menjadi Ahli Parlimen.

Anwar sebelum ini disabitkan dengan dakwaan meliwat Saiful. Presiden PKR itu mendakwa dakwaan itu adalah rekaan pesaing politiknya.
9.05 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Kekecohan kecil berlaku apabila calon HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki halaman pusat pencalonan.

Penyokong Anwar dilihat bertolakan ke arah pintu masuk ketika 10 anggota pegawai polis. berada di situ. Seorang penyokong melaungkan, "calon (Anwar) ada di sini."

Beberapa wartawan yang memakai tag Suruhanjaya Pilihan Raya terperangkap di luar juga.

9.00 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Berbanding dengan kumpulan HARAPAN yang melebihi 1,000, hanya terdapat kira-kira 150 orang berkumpul di sisi lain pusat penamaan calon bagi pihak PAS.
Sementara itu, beberapa penyokong bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad memegang sepanduk untuknya. Mereka berpakaian ungu, warna tema rasmi untuk Isa Samad.

8.45 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Kira-kira 1,000 penyokong Pakatan Harapan berarak ke pusat penamaan calon, melaungkan reformawsi dan memukul gendang.

8.15 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Penyokong PKR melebihi jumlah yang lain dengan kira-kira 300 hadir di pusat pencalonan. Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari adalah antara pemimpin parti yang berada di situ.

Tidak kelihatan Saiful Bukhari Azlan, Tan Sri Samad Isa, Stevie Chen dan calon PAS Mohd Nazari Mokhtar.

8.10 pagi: Stesen Petron, Jalan Pantai - Kelihatan kira-kira 30 penyokong PSM di seberang jalan dari Majlis Perbandaran Port Dickson, yang merupakan pusat penamaan calon.

Mereka memegang plakad yang menuntut kenaikan gaji minimum dan mengedarkan risalah kepada mereka yang lalu-lalang di situ.

"Kami mahu fokus pilihan raya kecil ini terhadap isu rakyat.

"Kami mengambil kesempatan ini untuk perjuang isu gaji minimum," kata ahli jawatankuasa pusat PSM S Arutchelvan kepada Malaysiakini.

8.00 pagi: Pilihan raya kecil Port Dickson bermula hari ini dengan proses penamaan calon, selepas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada pemimpin PKR Anwar Ibrahim pulang ke Parlimen.

Pakatan Harapan calon dijangka berdepan dengan pelbagai watak-watak antaranya bekas menteri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad, bekas pembantu Anwar Mohd Saiful, calon PAS Mohd Mokhtar Nazari, calon bebas Stevie Chan.

Sebelum itu, Umno mengumumkan untuk memboikot pilihan raya kecil itu yang disifatkan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai membazir.

Sekiranya Anwar memenangi pilihan raya kecil ini, ia membuka laluan kepadanya untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang dijanjikan dalam manifesto HARAPAN.

Ini akan menjadi kali pertama Anwar bertanding kerusi parlimen di luar Pulau Pinang, di mana beliau mewakili Permatang Pauh untuk enam penggal. Permatang Pauh dimenangi anak perempuannya, Nurul Izzah, pada pilihan raya umum tahun ini.

Malaysiakini akan melaporkan proses penamaan calon pagi ini.

Pencalonan akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi. Kempen akan bermula secara rasmi selepas itu.

[Baca berita penuh]

Saiful Bukhari cabar Anwar di Port Dickson

Diterbitkan 28 Sep 2018, 11:19 malam


PRK PD | Mohd Saiful Bukhari Azlan mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson bagi menentang bekas majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saiful memberitahu The Star bahawa beliau tidak disokong oleh mana-mana parti dan pencalonannya tidak ada kaitan dengan pengalaman lalu beliau bersama Anwar.

"Saya bertanding semata-mata sebagai seorang yang bebas tanpa mana-mana parti yang menyokong saya.

"Saya tidak bertanding kerana masa lalu dengan Anwar tetapi atas alasan lain.

"Saya telah memikirkannya dengan teliti dan saya rasa ia adalah tindakan yang betul," katanya.

Anwar dipenjarakan pada tahun 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya kerana meliwat Mohd Saiful pada tahun 2008.

Bagaimanapun, Anwar mendapat pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei.

Sekiranya Saiful menyerahkan kertas pencalonannya esok, pilihan raya kecil Port Dickson akan menjadi pertarungan antara Pakatan Harapan, PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan dua calon bebas, Tan Sri Isa Samad dan Stevie Chan.

Proses pencalonan akan berlangsung esok.

Friday, September 28, 2018

Isa Samad keluar Umno, tegas mahu bertanding

FMT Reporters
-September 28, 2018 1:00 AM

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil Port Dickson mengumumkan keluar Umno malam tadi.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata dia membuat keputusan meninggalkan Umno kerana mahu bertanding sebagai calon bebas.

Media melaporkan Isa sebagai berkata surat meletakkan keahlian Umno sudah dihantar ke ibu pejabat 2 hari lalu.

“Saya tinggalkan Umno kerana nak bertanding…jadi tak timbul isu kena lucut. Saya lucut diri saya sendiri,” katanya lapor Astro Awani.

Terdahulu, ahli majlis kerja tertinggi Umno Datuk Mohd Sharkar Shamsudin memberi amaran keahlian mana-mana ahli parti itu yang bertanding sebagai calon bebas akan terlucut secara automatik.

“Kita ucapkan selamat berjaya kepada Isa jika benar-benar beliau hendak bertanding sebagai calon bebas di Port Dickson nanti,” katanya kepada pemberita malam tadi.

PRK Port Dickson dijangka menyaksikan 5 penjuru selepas Isa mengumumkan dia juga mahu merebut kerusi itu.

Selain Isa, Anwar, yang menggunakan pilihan raya itu untuk kembali ke Parlimen, dijangka akan berdepan calon PAS, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, calon Parti Rakyat Malaysia Ahmad Kamarudin dan calon bebas, Stevie Chan.

Warga Port Dickson akan memilih wakil rakyat mereka pada 13 Oktober ini selepas 14 hari berkempen.

Monday, September 24, 2018

PRK Port Dickson: UMNO tidak akan letak calon

MOHAMAD HASAN

KUALA LUMPUR 24 Sept. - UMNO tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan atas tiga faktor utama termasuk mempertahankan prinsip dan pendirian, memberi fokus kepada rejuvenasi parti dan bagi melakukan analisis serta kajian mendalam terhadap tahap sokongan di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, sangat penting UMNO mengekalkan prinsip untuk tidak berkompromi dengan tindakan mengosongkan kerusi secara sengaja semata-mata demi menjayakan cita-cita politik individu.

"Tindakan mengosongkan kerusi dengan sengaja semata-mata untuk memberikan laluan kepada seseorang mengejar jawatan politiknya sama sekali tersasar dari objektif moral sesuatu pilihan raya.

"UMNO menolak sekeras-kerasnya tindakan ‘self centric’ yang mendasari keputusan mengadakan PRK Port Dickson. Ini bukanlah kali pertama tindakan sebegini dilakukan di negara kita," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, UMNO mesti memfokuskan kepada usaha melaksana dan merancakkan agenda rejuvenasi parti pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, tiada agenda yang lebih penting waktu ini selain daripada menjayakan usaha memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli dan rakyat terhadap UMNO.

"Melibatkan diri dalam PRK pada waktu ini tidak akan membantu usaha reformasi parti malah akan mengheret parti ke kancah ‘politiking’ yang menyimpang dari usaha membawa pembaharuan dalam UMNO," tegasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, amat penting untuk UMNO melakukan analisis dan kajian mendalam terhadap tahap sokongan di semua kawasan Parlimen dan DUN di seluruh negara.

Dengan cara itu katanya akan membolehkan UMNO merangka pelbagai strategi jangka pendek dan panjang yang khusus dan strategik kepada kelangsungan parti.

"Kajian seumpama ini juga akan membolehkan UMNO mengurus peranannya dalam landskap Malaysia baru ini secara lebih berkesan. Berdasarkan semua alasan ini, saya berpandangan bahawa UMNO tidak perlu terlibat dalam PRK Port Dickson.

"Peranan UMNO adalah lebih besar dari hanya bertanding dalam pilihanraya kecil yang dilaksanakan dengan mengenepikan prinsip moral sesuatu pilihanraya itu diadakan," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-