Showing posts with label Pingat. Show all posts
Showing posts with label Pingat. Show all posts

Sunday, October 8, 2023

Terima Datuk: DAP putuskan tindakan terhadap 2 pemimpin

malaysiakini.com
Isabelle Leong
Diterbitkan: Oct 8, 2023 9:35 AM
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan memutuskan tindakan terhadap dua pemimpinnya kerana menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan daripada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pagi semalam, kata setiausaha agung parti itu, Anthony Loke.

Pemimpin berkenaan ialah pemimpin DAP Sabah Chan Foong Hin dan setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe.

Chan dan Phoong adalah antara 88 individu yang dikurniakan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu(PGDK), yang membawa gelaran “Datuk”, dalam istiadat pertabalan di Istana Seri Kinabalu semalam.

Dalam respons kepada Malaysiakini, Loke berkata dia telah menasihatkan kedua-dua mereka supaya mematuhi dasar DAP, yang menetapkan bahawa hanya ahli parti yang telah bersara dibenarkan menerima darjah kebesaran daripada ketua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan ketika Chan memaklumkan CEC dua hari lalu mengenai anugerah berkenaan.
“Tanpa mengemukakan sebarang permohonan, Chan berkata kedua-dua nama itu telah diwartakan dalam senarai anugerah.

“Mereka telah melanggar dasar parti dengan menerima anugerah itu.

“Oleh itu, perkara ini akan dirujuk dan dibincangkan pada mesyuarat CEC akan datang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

'Terima dengan niat baik'

Terdahulu, Chan, yang juga timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan, dipetik sebagai berkata oleh The Borneo Post bahawa dia sukar menolak anugerah itu kerana dia adalah “orang Sabah” dan anugerah itu diberi oleh Yang DiPertua Negeri dan kerajaan Sabah”.

"Jadi, saya menerimanya dengan niat baik," katanya.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu juga berkata dia dan Phoong telah mempertimbangkan untuk menolak darjah kebesaran berkenaan tetapi nama mereka telah diwartakan.

“Apabila nama kami diwartakan, kami rasa kami perlu menghormati keputusan dan tawaran daripada kerajaan Sabah dan Tun Juhar," katanya.

Katanya dia juga sedar mengenai dasar DAP dan bersedia menghadapi keputusan parti berhubung perkara itu.

Monday, June 5, 2023

Kit Siang, Nik Aziz dapat gelaran Tan Sri

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
05 Jun 2023,

Veteran DAP dan bekas mursyidul am PAS itu antara 26 yang dianugerahkan Panglima Setia Mahkota sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong.
Dua bekas pemimpin parti, Lim Kit Siang dari DAP dan Nik Aziz Nik Mat dari PAS, kini bergelar Tan Sri. (Gambar DAP Malaysia)

PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang dan bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara 839 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Nik Aziz dan Lim dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM), anugerah persekutuan kedua tertinggi yang membawa gelaran “Tan Sri”. Mereka adalah antara 26 individu yang menerima anugerah itu tahun ini.

Yang lain termasuk Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, dan dua bekas menteri persekutuan Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Anifah Aman.

Wan Junaidi, dari Sarawak, ialah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), manakala Anifah merupakan menteri luar dari 2009 hingga 2018. Anifah, dari Sabah, kini merupakan Senator di Dewan Negara.

Lim pada Mac tahun lepas mengumumkan beliau akan bersara dari politik untuk selamanya. Nik Aziz, yang meninggal dunia pada 2015, turut berkhidmat sebagai menteri besar Kelantan dari 1990 hingga 2013.

Sementara itu, 28 individu menerima anugerah Panglima Jasa Negara (PJN) dan empat lagi anugerah Panglima Setia Diraja (PSD), kedua-duanya membawa gelaran “Datuk”.

Lima daripada 28 yang menerima anugerah JPN adalah bekas pemain badminton negara.

Mereka ialah Teh Kew San, Billie Ng, Tan Yee Khan, Yew Cheng Hoe dan Tan Aik Huang.

Bekas pemain beregu legenda, Ng Boon Bee turut diiktiraf selepas kematiannya dengan anugerah JPN.

Ng, yang membantu negara merangkul kejuaraan Piala Thomas yang pertama pada 1967, meninggal dunia tahun lalu. Beliau berumur 84 tahun.

BERITA LANJUT MENYUSUL

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-