Showing posts with label Program Imunisasi. Show all posts
Showing posts with label Program Imunisasi. Show all posts

Sunday, October 3, 2021

Penyebar berita palsu vaksin remaja berdepan tindakan undang-undang

selangorkini.my
AGENDANASIONAL
Oktober 3, 2021
Petugas kesihatan memanggil pelajar untuk menerima suntikan pelalian dalam Program Vaksinasi Remaja 16 dan 17 tahun Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor pada 28 September 2021. 
Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

BAGAN SERAI, 3 OKT: Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang menularkan video dan berita tidak benar mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja melibatkan pelajar sekolah di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata perbuatan tersebut bukan sahaja akan menganggu kelancaran program, malah akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta pelajar yang akan mengambil vaksin.

“Saya memberi amaran tegas kepada sesiapa (penyebar video dan berita tidak benar) kerana perkara itu (berita tidak benar) tidak baik ditularkan sedangkan kita mahu menyelamatkan pelajar dan kesihatan mereka serta tidak mahu program vaksin membabitkan pelajar terganggu.

“Saya ingatkan semua orang, jangan memandai-mandai hantar video yang tidak benar kerana ia menjadikan orang takut, risau dan bimbang kerana macam-macam kes tidak benar dilaporkan. Saya kesal dan sangat marah dengan perkara yang tidak benar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke rumah mangsa banjir dan menziarahi tiga anak yatim piatu Mohd Omar Mikail, 7, Mohd Zaiful Iman Zulkifli, 11, dan Amar Nordiana, 16, yang kematian kedua-dua ibu bapa mereka akibat Covid-19, di Kampung Tanjung Bugis semalam.

Noor Azmi mengulas video yang tular mengenai beberapa kejadian pelajar sekolah termasuk dakwaan seorang pelajar meninggalkan dunia di Ipoh selepas suntikan vaksin, baru-baru ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Bagan Serai berkata pihaknya mendapati tiada kematian membabitkan pelajar yang menerima suntikan vaksin setakat ini.

Justeru beliau meminta ibu bapa agar memantau keadaan anak-anak mereka yang sudah menerima suntikan vaksin dan segera membawa anak-anak mendapatkan rawatan di hospital serta melaporkan di aplikasi MySejahtera sekiranya mengalami sakit dada, sesak nafas atau jantung berdengup laju.

Menurutnya setakat ini, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga tidak melaporkan mengenai kesan sampingan pengambilan vaksin terhadap remaja.

“Saya akan pantau setiap hari jika ada laporan, kita akan secara terus dan telus memaklumkan untuk pengetahuan rakyat,” katanya.

-BERNAMA

Wednesday, February 24, 2021

PM mulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini

ismaweb.net
azrulhakimie

Dijadual jadi individu pertama terima vaksin 3 petang ini


KUALA LUMPUR, 12 Rejab 1442H, Rabu – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula secara rasmi hari ini dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin itu pada kira-kira 3 petang.

Pelaksanaan program tiga fasa yang diawalkan dua hari berbanding jadual asal pada 26 Feb (Jumaat) itu bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin tersebut untuk fasa pertama ini yang akan berlangsung hingga April depan.

Selain Muhyiddin, turut dijadualkan menerima vaksin itu pada petang ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat lagi warga kerja Kementerian Kesihatan.

Mereka bakal menerima vaksin tersebut di Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya yang merupakan antara lebih 500 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

Pada Ahad lalu, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech dihantar ke negara ini dengan sebahagian diterbangkan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sementara sebahagian lagi ke Johor. Vaksin tersebut dibawa dari Singapura yang merupakan hab pengagihan vaksin COVID-19 ke negara-negara Asia Pasifik.

Setakat ini, 571,802 anggota barisan hadapan telah mendaftar untuk mendapatkan imunisasi itu dengan 57.3 peratus merupakan petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7 peratus adalah anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Fasa kedua program ini akan bermula dari April hingga Ogos, melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain orang kurang upaya, manakala fasa ketiga dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Program ini menyasarkan untuk memberi imunisasi terhadap jangkitan COVID-19 kepada kira-kira 80 peratus penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Malaysia telah memperoleh 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui Fasiliti COVAX daripada lima pengeluar. Vaksin berkenaan ialah Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

Sejak kes pertama COVID-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Jan 2020, seramai 288,229 orang telah dijangkiti virus itu setakat 23 Feb (semalam), selain 1,076 kematian direkodkan bagi tempoh sama.

 – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Friday, February 5, 2021

Vaksin percuma untuk 26.5 juta rakyat bermula hujung Februari

sarawakvoice.com
- @news
-February 5, 2021


KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 peratus penduduk Malaysia atau 26.5 juta individu menerima vaksin percuma pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung Februari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media khas semalam berkata, program imunisasi Covid-19 membabitkan tiga fasa.

Pada fasa pertama seramai 500,000 petugas barisan hadapan terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan menerima suntikan.

Bagi fasa kedua pula, Muhyiddin berkata, vaksin diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 merangkumi warga emas dan golongan berpenyakit seperti sakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi, termasuk golongan OKU.

“Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang berlangsung mulai April hingga Ogos 2021,” kata beliau.

Bagi fasa ketiga pula, baki penerima vaksin ialah golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula Mei 2021 hingga Februari 2022.

Menurut Muhyiddin, peruntukan dalam Ordinan Darurat (Kuasa Perlu) 2021 digunakan untuk mengambil alih secara sementara dewan dan kemudahan lain bagi tujuan persediaan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ini bermakna lebih 600 pusat simpanan dijadikan pusat vaksinasi di seluruh negara melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dan dewan orang ramai.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-