Showing posts with label Tanjung Karang. Show all posts
Showing posts with label Tanjung Karang. Show all posts

Friday, November 11, 2022

Kerusi Tanjong Karang saya ‘dicuri’, keluh Noh

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 11, 2022 7:30 PM
Noh Omar berkata beliau menerima apa yang berlaku dan tetap bersama Barisan Nasional.

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Noh Omar mengeluh kerusi Parlimen Tanjong Karang “dicuri” daripadanya.

“Bila kita pilih calon bertanding, saya lihat Khairy Jamaluddin, Megat Zulkarnain dan ramai lagi mampu merampas semula Selangor. Tetapi, bila saya susun kerusi calon, rupa-rupanya kerusi saya sendiri ‘dicuri’.

“Tak apa, saya reda. Cuma saya sedih, diterajang begitu. Tetapi benda sudah berlaku, saya tidak lari daripada perjuangan. Tetap bersama BN,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Noh yang merupakan Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal, antara nama besar digugurkan daripada senarai calon BN untuk pilihan raya umum ke-15.

Ketua Umno Selangor itu digantikan Habibah Yusof, yang juga ketua Wanita Umno Bahagian Tanjong Karang.

Noh berkata, berdasarkan pemantauannya selama beberapa hari berkempen, beliau percaya pengundi, khasnya anak muda menilai kemampuan dan kredibiliti calon tanpa melihat parti mereka.

“Pengundi sekarang tengok calon, bukan lagi parti. Mereka menilai, mengkaji khidmat yang ditawarkan. Kalau kita boleh menang di Gombak, percayalah Selangor kita mampu tawan semula.”

Saturday, November 5, 2022

Protes terhadap Zahid: Ahli akar umbi Umno tanding di Tg Karang

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Nov 5, 2022 11:31 AM
Susulan keputusan BN untuk menggugurkan penyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang Noh Omar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), seorang ahli jawatankuasa bahagian Umno pagi ini menyerahkan borang pencalonannya sebagai calon bebas.

Mohd Rosni Mastol, 59, pesara pegawai Jasa (jabatan hal ehwal khas), berkata keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas adalah sebagai membantah keputusan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana tidak menggugurkan Noh.

Rosni, yang menjadi ahli Umno sejak 36 tahun lalu, dan beberapa ahli jawatankuasa Umno bahagian Tanjong Karang yang lain memutuskan sesuatu perlu dilakukan untuk menunjukkan kepada pucuk pimpinan parti rasa tidak puas hati mereka dengan keputusan itu.

“Saya tidak setuju cara presiden tidak calonkan Tan Sri Noh.

“Sebab itu kita nak bagi isyarat - raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Hashtag kita Jebat kembali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pusat penamaan calon di Dewan Dato Hormat, Tanjong Karang.

Dua hari lalu, BN mengumumkan Noh tidak dipilih untuk mempertahankan kerusinya bagi penggal ketujuh dan akan digantikan oleh Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjong Karang Habibah Mohd Yusof.

Rosni berkata beliau sanggup berdepan dengan tindakan tatatertib jika Umno memutuskan mengambil tindakan disiplin terhadapnya kerana bertanding sebagai calon bebas.

Beliau berkata ia adalah pengorbanan yang perlu di pihaknya untuk mewakili suara akar umbi Umno Tanjong Karang.

Rosni juga mendakwa sentimennya dikongsi oleh majoriti ahli Umno bahagian itu.

“Bila Tan Sri Noh Omar tidak dicalonkan hampir separuh bilik gerakan (kita) tutup. Tan Sri (Noh) tak suruh pun, tapi akar umbi sendiri tutup sebab kecewa,” katanya lagi.

Monday, August 28, 2017

Lepas 5 tahun, ahli Umno adukan Noh pada SPRM

Zulaikha Zulkifli
Seorang pemimpin akar umbi Umno membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu-isu pentadbiran Tan Sri Noh Omar semasa menjadi menteri pertanian dan industri asas tani.

Dua laporan itu berkaitan pembelian 30 ekar tanah di Tanjung Karang yang didakwa bawah harga pasaran serta tender benih padi bernilai RM164.8 juta yang dikatakan diberi kepada pembekal tidak layak.

Ketua Penerangan Umno Taman Cempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail membuat laporan itu di SPRM Putrajaya pada jam 11 pagi tadi.

"Sebelum ini ADUN Sekinchan (Ng Suee Lim) ada mendedahkan mengenai isu pembelian tanah pada 2012 tapi sampai sekarang tidak ada apa-apa tindakan.

"Dengan aduan ini saya minta SPRM dapat lakukan siasatan sekiranya berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Noh," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Syed Rosli berkata, beliau turut memberi dokumen berkaitan dua isu tersebut bagi menyokong laporannya. Dokumen itu tidak didedahkan kepada pemberita.

Sementara itu, ditanya mengapa selepas lima tahun baru beliau membuat laporan kepada SPRM, Syed Rosli berkata memandangkan pilihan raya umum semakin hampir, beliau mahu seorang pemimpin BN yang bersih mentadbir Selangor.

"Rakyat perlu tahu siapa sebenarnya Tan Sri Noh Omar ini dan selama ini pun dia hentam kerajaan negeri, tuduh kerajaan negeri dengan pelbagai tuduhan tapi beliau juga ada skandal yang perlu disiasat oleh SPRM," dakwanya Syed Rosli.

Malaysiakini juga menghantar pesanan WhatsApp bagi mendapatkan respon Noh berhubung dakwaan tersebut dan sedang menunggu maklum balas daripada pengerusi perhubungan Umno Selangor itu.

Ng lima tahun lalu mendakwa Noh terlibat dalam konflik kepentingan apabila didakwa membuat persetujuan membabitkan satu perusahaan ternakan udang.

Pengarah syarikat Pristine Agrofood Chu Bak Tec berkata Noh tidak terlibat dalam perusahaan berkenaan dan beliau hanya merupakan pemilik tanah.

Isu itu ditimbulkan dalam Dewan Undangan Negeri (ADUN). Wakil BN Sulaiman Abdul Razak berkata Noh mendapat tanah itu sebelum menjadi anggota parlimen lagi.

Beliau juga berkata tiada sebarang salah laku dalam isu itu.

Dalam isu tender padi, dua orang petani tampil membuat laporan polis pada Oktober 2012 kerana mengesyaki wujud salah guna kuasa dan penyelewengan dalam proses agihannya bagi tahun 2013 hingga 2014.

Noh bagaimanapun berkata isu kuota itu cuba dipolitikkan oleh pembangkang "seolah-olah pemberian kuota mementingkan kroni semata-mata".

Sambil menafikan dakwaan itu, Noh berkata, kementerian sebenarnya memberikan peluang kepada syarikat berminat walaupun tarikh tender telah tamat dan ekoran daripada kelonggaran tersebut, 10 syarikat diberikan peluang.

Syed Rosli terkena sebagai seorang pemimpin akar umbi Umno yang lantang terhadap kepimpinan partinya dan pernah mencetuskan kontroversi mahu bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-