Showing posts with label Transformasi Nasional 2050 (TN50). Show all posts
Showing posts with label Transformasi Nasional 2050 (TN50). Show all posts

Monday, September 4, 2017

Najib: Kerajaan laksana GST kerana wang tak jatuh dari langit

Bernama
September 4, 2017

Perdana menteri menyifatkan pengurusan belanjawan negara seperti menguruskan perbelanjaan rumah tangga, dan semua wang tidak boleh dibelanjakan bagi mengelakkan negara berdepan masalah kewangan.
KUALA LUMPUR: Bajet 2018 yang bakal dibentangkan Oktober ini akan merangkumi aspirasi rakyat yang disampaikan menerusi siri dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan menunggu sehingga 2050 untuk melaksanakan input yang disuarakan menerusi siri dialog TN50, tetapi berusaha merealisasikannya secara berperingkat.

“Dialog TN50 ini bagi membuat perubahan pada masa akan datang, tetapi ada aspek tertentu yang kita perlu laksanakan pada masa ini.

“Sebagai contoh, perubahan dilakukan dalam bidang pendidikan hanya akan dapat dilihat hasilnya pada 2, 3 generasi akan datang,” katanya pada sesi dialog TN50 dan sambutan Hari Wanita Kebangsaan hari ini.

Turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Najib yang juga menteri kewangan turut memberi bayangan beberapa berita baik akan diumumkan khusus bagi wanita pada pembentangan belanjawan itu yang dijadualkan 27 Oktober nanti.

“Saya tidak mahu beritahu sekarang,” katanya.

Perdana menteri berkata, Bajet 2018 mengambil kira hasil pendapatan negara, sebelum memutuskan untuk mengeluarkan sebarang peruntukan.

Menyifatkan pengurusan belanjawan negara seperti menguruskan perbelanjaan rumah tangga, Najib berkata, kerajaan tidak boleh membelanjakan semua wang yang ada kerana jika berbuat demikian, ia bakal berdepan masalah kewangan.

“Kalau semua nak tambah peruntukan, duit bukan datang dari langit. Kita perlukan hasil untuk negara, sebab itu kita laksanakan GST (cukai barang dan perkhidmatan).

“Kalau kita hapuskan GST yang banyak digunakan untuk (membiayai) keperluan rakyat, terutama wanita seperti program kesihatan dan kemahiran, apa lagi yang boleh kita buat?” katanya.

Justeru, Najib meminta rakyat tidak termakan dengan janji pembangkang mahu menghapuskan GST kerana ia hanya cakap kosong untuk meraih sokongan.

Friday, August 4, 2017

PKR, DAP tak setuju SJK dituduh halang perpaduan

Khairil Ashraf
August 4, 2017

Masalah utama memupuk perpaduan lahir daripada segelintir pemimpin politik yang mengapi-apikan kebencian kaum, sebuah forum TN50 diberitahu.
S
SHAH ALAM: Isu sekolah jenis kebangsaan (SJK) menyaksikan perbezaan pendapat antara pemimpin muda dari Pakatan Harapan dan Umno pada sebuah forum Transformasi Nasional 2050 (TN50) malam tadi, di mana PKR dan DAP tidak bersetuju dengan cadangan agar sekolah aliran itu dihapuskan dan dituduh menyemai perkauman dan menghalang perpaduan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dari DAP berkata masalah utama dalam memupuk perpaduan kaum di negara ini bukan disebabkan sekolah vernakular, tetapi segelintir pemimpin politik yang mengapi-apikan kebencian kaum.

“Masalah itu yang perlu diselesaikan,” katanya yang menjadi sebahagian panel Program TN50 Kluster Politik: Iklim Politik Negara menuju 2050, di sini malam tadi.

Steven berkata, beliau tidak melihat sekolah aliran Cina dan Tamil mahupun sekolah agama menghalang usaha memupuk perpaduan.

“Masalah utama perpaduan kaum di negara kita bukan soal sekolah,” katanya.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin turut menolak cadangan supaya sistem pendidikan sekolah satu aliran diwujudkan.

Bagi Afif, masalah perpaduan bukan disebabkan silibus pelajaran di sekolah atau perbezaan sekolah aliran, tetapi disebabkan bahasa.

“Yang saya nak cadangkan adalah sepatutnya satu mata pelajaran diajar kepada semua anak-anak kita, iaitu mata pelajaran perpaduan.

“Tak kenal maka tak cinta. Apa salahnya kita perbanyakkan program anak Melayu dihantar untuk duduk bersama dengan keluarga angkat Cina atau India? Anak Cina dihantar duduk bersama dengan keluarga angkat Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, Exco Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata beliau secara peribadi menyokong agar negara ini mengamalkan konsep sekolah satu aliran.

“Saya menyokong kerana bagi saya kalau kita nak capai perpaduan yang paling awal, paling penting adalah pergaulan sewaktu muda atau kecil,” katanya.

Shahril mencadangkan satu aliran sekolah kebangsaan di mana semua anak muda berada dalam satu sekolah.

Sunday, May 28, 2017

Era Umno sudah berakhir - Zainuddin Maidin

Posted By: Pentadbir

Umno tiada lagi masa depan kerana jasa parti itu sudah terpadam dan sukar menebus kembali keyakinan rakyat, kata bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zam berkata keadaan ini berlaku kerana barisan pucuk pimpinan Umno sekarang, masing-masing mahu jadi “lebih besar” daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sekarang nilaikan seorang demi seorang, apakah ada di antara mereka layak dan diyakini untuk menjadi perdana menteri menggantikan Datuk Seri Najib Razak?” soal Zam dalam catatan blognya.

Mengimbau era pemerintahan perdana menteri selepas pengunduran Dr Mahathir pada Oktober 2003, yang digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, ketua pengarang Kumpulan Utusan itu berkata, perdana menteri ke-5 itu menempah sejarah “lebih besar” kerana menjanjikan kebebasan bertaraf demokrasi dunia kepada rakyat.

“Atas nasihat menantunya, Pak Lah memberi ganti rugi jutaan ringgit kepada hakim-hakim yang pernah dihukum Dr Mahathir kerana menghalang dasar negara.”

Apabila Najib menggantikan Pak Lah, beliau mahu menjadi “lebih besar” lagi. Najib yang mahu menjadi bapa demokrasi Malaysia menghapuskan Akta Hasutan dan Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang turut disambut baik pembangkang.

Kata beliau, apabila 2 perdana menteri ini mahu menjadi lebih ternama dan teragung berbanding Dr Mahathir, maka rakyat yang menjadi mangsa.

Malah kata beliau, kedua-dua mereka kemudian hilang keyakinan yang tidak pernah dirasakan sejak era pemerintahan perdana menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir.

“Mereka rasa harapan dan amanah yang diletakkan pada pemimpin negara sudah dikhianati,” tulis Zam lagi.

Zam seterusnya berkata, bagaimana rakyat boleh yakin semula kepada Umno jika semua media kerajaan tidak lagi diyakini.

“TV3 tidak lagi ditontoni dan akhbar perdana juga tidak terjual.

“Rakyat tidak lagi percaya kepada angka pertumbuhan ekonomi dan cerita kedatangan modal berbilion ringgit.”

Beliau berkata, keyakinan hilang kerana pengurusan ekonomi dan politik negara berjalan secara “ad hoc” (gopoh-gapah), tidak menilai intergrasi, tidak tetap pendirian dan tidak konsisten kerana mahu tutup kecurangan besar yang berlaku.

“Wawasan 2020 juga dikelirukan dengan Transformasi Negara 50 (TN 50), satu pengkhianatan kepada Dr Mahathir dan kini Proton pula tidak lagi menjadi kereta nasional, yang suatu ketika dulu jadi kebanggaan rakyat.

“Banyak lagi kegagalan ekonomi dan politik yang menghakis jasa Umno yang selama ini orang Melayu bangga dan terikat dengannya,” kata beliau.

Beliau berkata, rakyat menganggap pentadbiran Dr Mahathir adalah era teragung dan bermaruah dalam sejarah.

Katanya, bekas presiden Umno itu juga mengukuhkan institusi beraja supaya dihormati dan tidak mencampuri urusan rakyat.

“Kini hanya tinggal kenangan, era ‘emas’ Umno runtuh di bawah pimpinannya yang mengalami masalah besar untuk menebus kembali maruah, agama dan negara,” kata Zam.

MD

Friday, January 20, 2017

Tak pernah PM rasa berdebar begitu......

Alyaa Azhar
Ada sejarah terpahat malam ini - sekurang-kurangnya begitulah pada pandangan Datuk Seri Najib Razak.

Sepanjang tempoh 41 tahun beliau dalam politik, majlis dihadirinya di Kuala Lumpur sebentar tadi dianggap paling mendebarkannya.

Bercakap pada sesi dialog program Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, perdana menteri berkata, beliau "nervous" kerana berdepan dengan hadirin secara langsung.

"Saya tak pernah buat ni, tak pernah pakai mikrofon ni. It’s a live audience, TV ada tiga channel.

"Saya betul-betul tak tahu apa yang akan berlaku malam ini - baik ke, buruk ke, tersandar ke saya," katanya.

Namun di sebalik keadaan itu, Najib berkata, sesi dialog perdana pada malam ini begitu berjaya.

"Saya simpulkan bahawa majlis dialog perdana ini amat berjaya sekali," katanya.

Majlis selama satu setengah jam itu bermula dengan ucapan Najib mengenai wawasannya untuk 2050, diikuti sesi dialog antara beliau dengan belia terpilih.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjadi pengantara antara kedua-dua pihak.

Hadirin terdiri daripada pemimpin belia, siswa serta anggota kabinet yang kelihatan khusuk mendengar dialog berkenaan berlangsung.

Pada ketika tertentu mereka bersorak dan bertepuk tangan seperti yang dijangka.

Thursday, January 19, 2017

Najib ajak rakyat sampaikan pandangan berkaitan TN50

Pic: BernamaKUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak orang ramai memberikan pandangan dan pendapat mereka terhadap gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Perdana Menteri berkata orang ramai boleh mengemukakan pandangan dan pendapat mereka ke e-mel najib@najibrazak.com selewat-lewatnya pada 2 petang esok (Khamis) sebelum perbincangan mengenai TN50 dijalankan.

“Apakah aspirasi anda untuk Malaysia di 2050?

“Saya akan membincangkan topik ini bersama golongan muda Malaysia dalam sesi Dialog Perdana TN50 esok, dan saya juga ingin mendengar daripada anda semua,” kata Najib dalam catatannya di laman rasmi Facebook beliau hari ini.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-