Showing posts with label Tan Sri Zainuddin Maidin. Show all posts
Showing posts with label Tan Sri Zainuddin Maidin. Show all posts

Saturday, July 7, 2018

Zam saran Mujahid tutup sekolah tahfiz


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) yang baru Datuk Mujahid Yusof Rawa diminta menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada "amalam agama jumud".

Menulis di blog, bekas menteri Umno Tan Sri Zainuddin Maidin menyarankan Mujahid berbuat demikian selepas memuji Mujahid yang berkata parti yang menggunakan agama dan kaum sudah tidak lagi relevan.

"Pandangan agama yang progresif seumpama inilah yang menampakkan kepimpinan berharapan untuk membawa keluar umat Islam Malaysia daripada amalan agama jumud yang dipromo oleh PAS sekian lama dan dengan sokongan orang-orang agama yang tidak mendapat pendedahan.

"Saya harap Mujahid akan dapat memainkan peranan berani dan tegas untuk membawa umat Islam negara ini kepada realiti dan keperluan kepada sikap dinamik dan menolak kearaban sebagai keislaman.

"Pertama sekali langkah mesti diambil untuk menutup semua sekolah tahfiz di negara ini yang tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baru Islam," tulis beliau yang dikenali sebagai Zam dalam blognya.

'Berfoya-foya di Taiwan'

Selain berkata sunnah Nabi SAW telah dimodenkan menjadi komersialisme, Zam turut menegur Umno yang mempertahankan anak bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilaporkan dilihat di Taiwan bersama aktres negara itu.

"Sunnah Nabi tidak ada lagi dalam jubah yang telah pun dimodenkan olehcommercialism.

"Dalam pada itu jangan lupa bahawa penyokong-penyokong Najib atas nama Pemantau Malaysia Baru yang mempertahankan anak pembesar negara minum arak dan berfoya-foya di Taiwan sebagai hak individu juga tidak relevan dengan negara ini," katanya.

Apple Daily, sebuah akhbar Taiwan mendakwa Nazifuddin Mohd Najib bersama Celia Zhang pada Khamis tengahari, sehari selepas bapanya didakwa di mahkamah.

Pada perhimpunan menyokong Najib malam tadi, kumpulan pro-Umno, Pemantau Malaysia Baru mempertahankan tindakan Nazifuddin berkata menjadi hak beliau berbuat sesuais seleranya sebagai warga negara.

Mengulas lanjut, Zam berkata kumpulan berkenaan tidak relevan dengan nilai Malaysia.

"Pemantau ini wajib diharamkan kerana tidak relevan dengan nilai Malaysia yang mahu membina agama sebagai disiplin murni rakyat.

"Memantau yang haram dan menghukum halal adalah menyesatkan. Pemantai ini cuma relevan dengan Umno sahaja," tulis beliau lagi.

Sunday, May 28, 2017

Era Umno sudah berakhir - Zainuddin Maidin

Posted By: Pentadbir

Umno tiada lagi masa depan kerana jasa parti itu sudah terpadam dan sukar menebus kembali keyakinan rakyat, kata bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zam berkata keadaan ini berlaku kerana barisan pucuk pimpinan Umno sekarang, masing-masing mahu jadi “lebih besar” daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sekarang nilaikan seorang demi seorang, apakah ada di antara mereka layak dan diyakini untuk menjadi perdana menteri menggantikan Datuk Seri Najib Razak?” soal Zam dalam catatan blognya.

Mengimbau era pemerintahan perdana menteri selepas pengunduran Dr Mahathir pada Oktober 2003, yang digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, ketua pengarang Kumpulan Utusan itu berkata, perdana menteri ke-5 itu menempah sejarah “lebih besar” kerana menjanjikan kebebasan bertaraf demokrasi dunia kepada rakyat.

“Atas nasihat menantunya, Pak Lah memberi ganti rugi jutaan ringgit kepada hakim-hakim yang pernah dihukum Dr Mahathir kerana menghalang dasar negara.”

Apabila Najib menggantikan Pak Lah, beliau mahu menjadi “lebih besar” lagi. Najib yang mahu menjadi bapa demokrasi Malaysia menghapuskan Akta Hasutan dan Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang turut disambut baik pembangkang.

Kata beliau, apabila 2 perdana menteri ini mahu menjadi lebih ternama dan teragung berbanding Dr Mahathir, maka rakyat yang menjadi mangsa.

Malah kata beliau, kedua-dua mereka kemudian hilang keyakinan yang tidak pernah dirasakan sejak era pemerintahan perdana menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir.

“Mereka rasa harapan dan amanah yang diletakkan pada pemimpin negara sudah dikhianati,” tulis Zam lagi.

Zam seterusnya berkata, bagaimana rakyat boleh yakin semula kepada Umno jika semua media kerajaan tidak lagi diyakini.

“TV3 tidak lagi ditontoni dan akhbar perdana juga tidak terjual.

“Rakyat tidak lagi percaya kepada angka pertumbuhan ekonomi dan cerita kedatangan modal berbilion ringgit.”

Beliau berkata, keyakinan hilang kerana pengurusan ekonomi dan politik negara berjalan secara “ad hoc” (gopoh-gapah), tidak menilai intergrasi, tidak tetap pendirian dan tidak konsisten kerana mahu tutup kecurangan besar yang berlaku.

“Wawasan 2020 juga dikelirukan dengan Transformasi Negara 50 (TN 50), satu pengkhianatan kepada Dr Mahathir dan kini Proton pula tidak lagi menjadi kereta nasional, yang suatu ketika dulu jadi kebanggaan rakyat.

“Banyak lagi kegagalan ekonomi dan politik yang menghakis jasa Umno yang selama ini orang Melayu bangga dan terikat dengannya,” kata beliau.

Beliau berkata, rakyat menganggap pentadbiran Dr Mahathir adalah era teragung dan bermaruah dalam sejarah.

Katanya, bekas presiden Umno itu juga mengukuhkan institusi beraja supaya dihormati dan tidak mencampuri urusan rakyat.

“Kini hanya tinggal kenangan, era ‘emas’ Umno runtuh di bawah pimpinannya yang mengalami masalah besar untuk menebus kembali maruah, agama dan negara,” kata Zam.

– MD

Wednesday, October 28, 2015

'Sesuatu bakal berlaku antara PAS dengan Umno'

Zainuddin berkata, bayangan itu berikutan dua perkembangan terbaru melibatkan pemimpin utama PAS, baru-baru ini. - Foto arkib Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Oktober:
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin membayangkan akan berlaku sesuatu antara hubungan PAS dan Umno.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam menerusi catatan yang dimuat naik ke akaun Twitternya pada Selasa malam berkata, bayangan itu berikutan dua perkembangan terbaru melibatkan pemimpin utama PAS, baru-baru ini.

Jelasnya, perkembangan tersebut berdasarkan pelantikan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam isu yang sesuai dengan dasarnya.

“Dengan lantikan MP PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menjadi ahli PAC dan Hadi mahu kerjasama dengan BN dalam isu yang sesuai dengan dasarnya, maka inilah bayang masa depan PAS dan Umno,” katanya.

Takiyuddin yang merupakan seorang peguam, dilantik ke PAC bagi menggantikan wakil PAS terdahulu dalam jawatankuasa itu, iaitu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar yang mengumumkan penyertaan dalam PKR pada 11 September lalu.

Manakala Abdul Hadi hari ini mengatakan, sekalipun PAS akan berjuang bersendirian, parti itu akan bekerjasama dengan kerajaan semasa atau parti politik lain, demi kepentingan rakyat.

“Untuk mengatakan bahawa kami bekerjasama dengan BN adalah tidak benar, tetapi kami akan bekerjasama dalam hal yang baik, bukan dalam hal yang buruk,” katanya di Dewan Rakyat.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/27/sesuatu-bakal-berlaku-antara-pas-dan-umno/#ixzz3pn5S3g7l

Thursday, September 17, 2015

Himpunan 'baju merah' peluang terakhir Najib, kata bekas menteri

Peserta Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok, semalam, mendakwa hak orang Melayu perlu dipertahankan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 17 September, 2015.

Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata perhimpunan ‘baju merah’ yang diadakan di Kuala Lumpur semalam merupakan peluang terakhir Datuk Seri Najib Razak untuk mendengar dan akur kepada tuntutan rakyat.

Zainuddin turut mencabar perdana menteri untuk mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dituntut lebih 200,00 peserta Himpunan Rakyat Bersatu semalam.

Menurut bekas ketua pengarang Utusan Malaysia itu, ISA sewajarnya dikembalikan dan dipatuhi Najib demi menebus nama baiknya, di samping mengembalikan perasaan ketenteraman dan keyakinan di kalangan rakyat terhadap kepimpinannya.

"Perhimpunan lebih 200,000 orang ini tidak mungkin berlaku jika rakyat tidak benar-benar berhasrat untuk menyampaikan mesej keras dan memberi peluang terakhir kepada Datuk Seri Najib," tulis Zainuddin dalam blognya zamkata.blogspot.com.

"Tidak dapat dinafikan slogan dalam Himpunan Rakyat Bersatu hari ini (semalam) adalah lebih dahsyat daripada ucapan Tsunami Cina yang takut untuk diulangi Najib dan orang pun tahu Najib juga berada di belakang himpunan ini.

"Tidak dapat dinafikan beberapa keputusan yang dibuat himpunan hari ini juga untuk menyelamatkan Datuk Seri Najib dijatuhkan lebih dulu daripada tempoh yang ditetapkan," katanya.

Zainuddin berkata keputusan Najib untuk menghapuskan ISA secara sendirian dengan harapan dapat meraih sokongan bukan Melayu dan pihak antarabangsa juga membuatkan banyak hak dan prinsip Perlembagaan Persekutuan mengenai kesucian agama Islam dicabar menerusi mahkamah satu persatu.

Beliau turut memberi contoh akhbar The Star yang disifatkan menjuarai isu bersifat sensitif terhadap Islam.

"Akhbar The Star menjuarai isu yang bersifat sensitif terhadap Islam termasuk menghina orang Islam kerana tidak bersahabat dengan anjing, menuduh sekolah kebangsaan meletakkan kantin di tepi tandas kepada murid bukan Melayu pada bulan puasa dan sebagainya,” katanya.

Katanya, The Star juga menggunakan sokongan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mempromosikan dasar liberalisme di bawah kempen moderasi dengan menggunakan liberalis Melayu untuk memperkecilkan nasionalisme Perlembagaan Persekutuan sebagai fahaman Melayu yang sempit.

"Apa pun bergantung kepada sama ada beliau (Najib) sanggup mengembalikan ISA untuk dilaksanakan secara tegas dan bukan dengan sikap 'flip flopnya' atau untuk menyalahgunakannya bagi kepentingan peribadi," katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/himpunan-baju-merah-peluang-terakhir-najib-kata-bekas-menteri#sthash.3HlJ8GhM.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-