Showing posts with label Yang di-Pertuan Agong ke-16. Show all posts
Showing posts with label Yang di-Pertuan Agong ke-16. Show all posts

Thursday, January 31, 2019

Sultan Abdullah lafaz sumpah jawatan Agong ke-16

Diterbitkan Hari ini 11:29 tengahari


Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di Kuala Lumpur.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda berdua dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Jan lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja Melayu.
Sultan Abdullah, 59, dan Sultan Nazrin, 62, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Johor, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan manakala Pahang diwakili Pemangku Raja.

Hadir sama adalah Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai saksi.

Sultan Abdullah turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya membacakan kandungan surat perisytiharan itu, bermulanya secara rasmi Sultan Abdullah sebagai Ketua Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.

Memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar memohon kesejahteraan ke atas baginda berdua serta seluruh rakyat dan negara ini.

Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V, yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Jan selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Dis 2016.

Terdahulu, keberangkatan Sultan Abdullah ke Istana Negara selepas istiadat keberangkatan tiba di Dataran Parlimen diiringi kenderaan pengiring diraja.

Sultan Abdullah menerima Kawalan Kehormatan Darjat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja terdiri daripada tiga pegawai dan 31 anggota yang diketuai Mej Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi sebaik kenderaan diraja yang membawa Yang di-Pertuan Agong melintasi pasukan itu ketika menuju Anjung Utama, Istana Negara.

Serentak itu, Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja yang dianggotai seorang pegawai dan 33 anggota dipimpin Mej Abdul Aziz Abdullah memainkan lagu Negaraku.

Thursday, January 24, 2019

Sultan Pahang dipilih sebagai Agong baru

Hariz Mohd 
Diterbitkan Hari ini 2:29 tengahari


Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, kata sumber-sumber kepada Malaysiakini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula sekali lagi dipilih sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi pemilihan itu di Istana Negara, Kuala Lumpur yang selesai pada 12.45 tengah hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin itu berlangsung selama lebih satu jam.

Mesyuarat dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan.

Pemilihan itu diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 6 Januari lepas.

Setakat laporan ini ditulis, kenyataan rasmi mengenai pelantikan itu masih belum dikeluarkan.

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini

Diterbitkan Hari ini 9:28 pagi 


Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun.

Pemilihan akan dibuat melalui pengundian oleh sembilan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 10.30 pagi ini.

Kekosongan jawatan Ketua Utama Negara itu berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan pada 6 Januari lepas, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah institusi beraja di negara ini.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu , Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Sistem penggiliran dalam kala­ngan sembilan Raja-raja Melayu kini memasuki pusingan kedua yang menyaksikan Raja-raja Melayu dari enam negeri telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tinggal tiga lagi Raja-raja Melayu dari Pahang, Johor dan Perak untuk melengkapkan pusingan kedua sistem penggiliran itu.

-- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-