Thursday, January 24, 2019

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini

Diterbitkan Hari ini 9:28 pagi 


Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun.

Pemilihan akan dibuat melalui pengundian oleh sembilan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 10.30 pagi ini.

Kekosongan jawatan Ketua Utama Negara itu berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan pada 6 Januari lepas, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah institusi beraja di negara ini.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu , Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Sistem penggiliran dalam kala­ngan sembilan Raja-raja Melayu kini memasuki pusingan kedua yang menyaksikan Raja-raja Melayu dari enam negeri telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tinggal tiga lagi Raja-raja Melayu dari Pahang, Johor dan Perak untuk melengkapkan pusingan kedua sistem penggiliran itu.

-- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-