Showing posts with label Majlis Raja-Raja. Show all posts
Showing posts with label Majlis Raja-Raja. Show all posts

Thursday, February 13, 2025

ULASAN | Kerajaan indah khabar dari rupa

malaysiakini.com
Rafique Rashid
Diterbitkan: Feb 13, 2025 9:30 PM
ULASAN | Minggu lepas dua perkara penting berlaku. Pertama keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke luar negara bagi menjalani rawatan mulai 7 Februari 2025. Kedua Mesyuarat Raja-Raja(MRR) Ke-268 di Istana Negara pada 5 dan 6 Februari 2025.

Perlu ditekankan bahawa keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ini telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan.

Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen berasaskan rule of law dan keluhuran perlembagaan.

Berdasar prinsip ini adalah amat penting untuk kita memperhalusi undang-undang bagi situasi ketika Yang di-Pertuan Agong tidak berada di dalam Persekutuan.

Perkara 33 Perlembagaan Persekutuan menyatakan tugas dan hal fungsi Timbalan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yakni Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Yang jelas adalah apabila Yang di-Pertuan Agong berada di luar Persekutuan selama lebih dari lima belas hari, maka tugas menjalankan fungsi dan menggalas keistimewaan Yang di-Pertuan Agong adalah Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 33 juga jelas menyatakan ketika Timbalan Yang di-Pertuan Agong boleh juga jika Baginda "is satisfied" (berpuas hati), "it is necessary or expedient” (adalah perlu atau suai manfaat) untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang lebih pendek dari 15 hari yang dinayatakan sebelum ini.

Jelas perkara ini penting untuk difahami semua pihak.

Keperluan makin menekan

Malaysia kita sedia maklum mengamalkan sistem kerajaan perlu memaklum serta menasihatkan isu-isu pelbagai kepada Yang di-Pertuan Agong.

Setiap hari Rabu (Jumaat sekiranya Parlimen bersidang), Ketua Eksekutif/Perdana Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ringkasan isu-isu berkaitan pentadbiran, ekonomi, sosial serta perkara-perkara penting.

Keperluan ini akan makin menekan dalam keadaan timbulnya pelbagai isu hari ini. Ekonomi yang tidak menentu, kesan harga barangan yang naik, aliran keluar bersih dana asing dari Bursa Malaysia buat minggu ke-17 berturut-turut, beras putih yang menjadi bualan hangat, isu membabitkan Islam dan orang Melayu, pilihan KWSP untuk menjual saham-saham MAHB pada harga rendah dan membeli balik pada harga tinggi yang membabitkan hampir 16.1 juta pencarum, tender-tender bagi perolehan kerajaan yang didakwa tidak memenuhi tatakelola, tarif elektrik yang didakwa hanya babitkan sektor perindustrian dan mahakaya, selain keadaan rakyat yang masih cuba menahan kesan kenaikan diesel dan pelbagai perkara lagi.
Selain itu, perlu diingatkan bahawa pelbagai pelantikan bagi jawatan-jawatan penting perlu diisi yang mana nasihat perdana menteri dan/atau perundingan Majlis Raja-Raja perlu dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam jangka masa beberapa bulan ini, jawatan-jawatan penting dalam badan kehakiman serta pasukan polis perlu diisi segera. Ia penting agar badan-badan yang bertindak selaku benteng kepada rakyat dapat berfungsi selaras undang-undang.

Tugas kerajaan persekutuan adalah untuk mentadbir secara betul dan menurut lunas undang-undang. Ini termasuk menasihatkan institusi Yang di-Pertuan Agong mengenai fungsi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Raja-Raja Melayu juga berhak menerima taklimat dengan maklumat yang sahih dari pihak-pihak yang berkenaan mengenai keadaan negara. Disebabkan itulah apabila Majlis Raja-Raja bersidang, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, dan Panglima Angkatan Tentera akan hadir bagi menghuraikan apa sahaja persoalan.

Ia amat penting untuk difahamkan bahawa setiap pihak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk rakyat.

Beri gambaran yang betul


Rakyat mesti diperjelaskan mengenai saranan atau teguran atau pemberitahuan dari Majlis Raja-Raja setiap kali adanya persidangan.

Ini adalah untuk memastikan ketelusan dari semua pihak.

Tanpa perkara ini berlaku, mana-mana Kerajaan Persekutuan akan melakukan apa sahaja untuk kelihatan baik, walaupun keadaan sebenarnya tidak sedemikian rupa.

Sehingga kini Istana Negara mahupun Majlis Raja-Raja belum membuat apa-apa pemakluman sama ada isu-isu yang dibangkitkan atau dibincangkan serta dirasai oleh rakyat ini disembah maklum oleh kerajaan persekutuan.

Kerajaan persekutuan pula seharusnya memainkan peranan memberi nasihat dan gambaran yang betul.

Jika tidak, maka kerajaan persekutuan gagal mengurus negara dengan baik dan wajar diberi amaran.

Di media sosial nampaknya kerajaan banyak dikritik. Ini tidak salah kerana lagi sekali undang-undang membenarkannya selagi mana menurut batasan.

Rakyat menanti kerana kerajaan ini, indah khabar dari rupa.

RAFIQUE RASHID merupakan ketua penerangan Pejuang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Saturday, January 11, 2020

G25: Jika mahu tinggalkan Islam, itu antara dia dan Tuhan

Diterbitkan Hari ini 12:50 tengahari

BERITA

Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.

Demikian menurut kertas laporan yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga merupakan wakil G25 bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam”

Jelas G25 dalam laporan tersebut, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat jumaat misalnya adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan Tuhan.

Laporan itu juga mengatakan undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

“Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, 3 hak yang berbeza, iaitu, hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya.

“Tidak ada asas yang dibenarkan perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang,” katanya.

Selain itu, G25 berpendapat tiada orang boleh dipaksa mempercayai Tuhan dan tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata meninggalkan Islam adalah sesuatu yang dikesali.

“Bagaimanapun sekiranya dia tetap mahu meninggalkan Islam, maka itu antaranya dengan Tuhan. Tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran,” katanya lagi.
G25 juga memaklumkan Malaysia pernah ada undang-undang yang mengesahkan seorang itu sudah murtad.

“Undang-undang itu sudah dimansuh dan digantikan dengan peruntukan undang-undang yang tidak jelas di “kebanyakan negeri” yang membolehkan Mahkamah Tinggi Syariah mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi seorang Islam,” katanya.

Turut hadir pada perbincangan laporan ini adalah, Pesuruhjaya Suhakam Madeline Berma, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan Noor Azimah Rahim, pemikir terkemuka Chandra Muzaffar dan Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF)Dr Ahmad Farouk Musa.

'Penubuhan MKI, Jakim tak ikut perlembagaan'

Sementara itu, G25 mendakwa penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mengikut perlembagaan.

Kumpulan itu berkata, tiada peruntukan dalam perlembagaan untuk penubuhan organisasi berkenaan.

“Perkara-perkara berkaitan agama orang Islam dan adat Melayu adalah bidang kuasa eksklusif badan perundangan negeri dan majlis eksekutif negeri,” kata laporan itu.

"G25 juga maklum bahawa kuasa Majlis Raja-raja, yang dihadkan kepada perkara-perkara yang ditetapkan dalam Perkara 38 Perlembagaan, tidak termasuk menubuhkan sebuah agensi persekutuan seperti MKI atau Jakim.

“Bagaimanapun, kami menghargai tujuan menubuhkan MKI adalah untuk mempunyai suatu agensi persekutuan untuk menyelaras dan mengalakkan penyeragaman dalam pentadbiran undang-undang Islam dalam kalangan negeri.

“Perlembagaan perlu dipinda jika ada keperluan untuk suatu agensi seperti itu”, jelas laporan berkenaan.

Selain itu, G25 juga menjelaskan Jakim, di samping berkhidmat sebagai sekretariat MKI, juga diamanahkan dengan fungsi-fungsi seperti kemajuan Islam dan kegiatan dakwah.

“Isi fungsi-fungsi itu, boleh dikatakan, melebihi kuasa eksekutif persekutuan (yang boleh dijalankan Kabinet), memandangkan kuasa eksekutif persekutuan tidak termasuk agama orang Islam kecuali di Wilayah Persekutuan sahaja.

“Kabinet mengamanahkan fungsi-fungsi khusus itu kepada Jakim dan oleh itu tidak konsisten dengan perlembagaan,” katanya.

MKI ditubuhkan sebagai pihak berkuasa tertinggi kebangsaan untuk menjadi platform tertinggi sebagai badan penyelaras pentadbiran agama Islam seluruh Negara. Jakim merupakan sekretariat kepada MKI.

Untuk rekod, G25 adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyuarakan perspektif wasatiyyah dalam hal keagamaan, memperkukuh institusi perundangan serta mempertingkatkan mutu pentadbiran dan pemerintahan negara.

Saturday, May 11, 2019

'PH perkasa Islam? Kosong peratus'

OPINION | AMINUDDIN YAHAYA
Diterbitkan Hari ini 8:32 pagi

Dalam ucapan ulang tahun kerajaan Pakatan Harapan, perdana menteri mengulangi apa yang sering kita dengar selama ini dari puak-puak anti-Islam dan Melayu supaya tidak memperkatakan tentang agama dan Melayu.

Katanya dua perkara ini akan membawa perpecahan kaum dan menjejas hubungan antara penganut agama. Saya berbeza pendapat dengan Tun kerana jika isu agama dan bangsa Melayu ini tidak diperkatakan oleh orang Melayu sendiri maka siapa lagi yang akan mempertahankannya?

Penganut agama lain sudah pasti tidak akan mempedulikan agama Islam sebaliknya akan berusaha memperkuatkan agama masing-masing. Ini sangat logik dan mudah difahami. Mustahil penganut agama lain akan mempertahan dan memperjuangkan agama Islam.

Saya tidak tahu kenapa pemimpin kita begitu takut apabila rakyat mahu memperkatakan tentang agama Islam. Tetapi dalam masa yang sama, mereka membiarkan golongan liberal duduk di atas pentas-pentas untuk memperjuangkan pemikiran mereka.

Dalam keadaan demikian :
Adakah salah jika umat Islam berasa tertekan dan dipinggirkan oleh pihak kerajaan?
Adakah kerajaan sengaja mahu menekan umat Islam dan membiarkan Islamophobia semakin berleluasa?
Tidakkah umat Islam berhak berkata dan mempertahankan hak mereka?

Semua persoalan ini bukanlah satu omongan atau sentimen kosong semata sebagaimana sesetengah pihak menuduh tetapi sebaliknya ia berdasarkan fakta yang berlaku dalam negara sekarang. Jika ada yang tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu berikut adalah beberapa perkara yang beraku kenapa umat Islam rasa dibuli dan ditekan oleh pihak kerajaan :-
Pelantikan peguam megara yang bukan Muslim. Ini sudah pasti sesuatu yang sangat membimbangkan kerana bagaimana beliau mahu menasihati Majlis Raja-Raja tentang hal ehwal agama Islam di negara ini jika beliau sendiri tidak faham. Ini berlaku dalam isu Icerd di mana jelas ia menjejaskan kedudukan Islam apabila ia membenarkan kebebasan beragama. Kenapa peguam negara tidak menjelaskan hakikat ini kepada Agong atau memang beliau sengaja mahu menutup isu ini.
Konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa kerajaan jelas sangat bertentangan dengan pengertian yang sebenar sehingga seolah-olah hukum syariat tidak lagi bermakna. Akibatnya, segala maksiat yang berlaku tidak lagi berani diambil tindakan oleh penguatkuasa kerana menteri mengatakan itu adalah "Private Sphere". Ini bertentangan dengan Islam sama sekali.

Menteri juga mengkritik apabila rakyat berhimpun menentang penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W walhal kalau di negara-negara Islam yang lain, gelombang protes secara besar-besaran dari rakyat akan meletus dengan mudah. Entah kenapa menteri sendiri tak mahu penentangan terhadap penghinaan kepada Rasulullah S.A.W dinyatakan secara terang-terangan.

Buku-buku ajarat sesat yang telah diharamkan kini telah diberikan kebebasan untuk diedar dalam masyarakat. Ini sangat pelik dan sukar untuk difahami apa objektif kerajaan sebenarnya.

Tidak ada tindakan mahupun teguran dibuat oleh kerajaan terhadap perarakan gologan LGBT walaupun dari perspektif syarak ia sangat bertentangan dan sesat. Sebaliknya himpunan aman yang menegur perarakan tersebut yang dikritik. Bukan itu saja; mereka dilayan dengan penuh hormat oleh menteri malah diberi ruang untuk berucap di persidangan Hak Asasi Manusia di Geneva. Saya tidak menolak kemungkinan satu hari nanti, jika tidak ada penentangan, maka golongan ini akan diiktiraf dan menjadi satu kelompok masyarakat yang sah untuk mereka berarak seperti di negara-negara barat. Suara mereka semakin hari semakin lantang.
Kritikan terhadap pembelajaran agama Islam di sekolah-sekolah dan IPT di mana ia dianggap terlalu banyak. Walhal kita semua tahu masalah sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda dan remaja semakin berleluasa.

Dan akhirnya apabila pemulihan hendak dijalankan, maka agensi-agensi yang ditugaskan akan kembali kepada penerapan dan pembelajaran agama Islam. Satu aspek mereka kritik tetapi di aspek yang lain mereka memerlukan agama. Tidakkah ini satu yang aneh?

Hukuman sebat yang dijalankan telah dikritik hebat oleh puak liberal tetapi kerajaan dilihat membisu.
Video-video ugutan bunuh kepada pendakwah dan mufti sudah semakin berani dipaparkan di media-media sosial seolah-olah mereka merasakan bahawa mereka akan dilindungi oleh ‘pihak-pihak tertentu’.

Desakan kepada kerajaan untuk membenarkan umat Islam untuk murtad dilaungkan secara jelas dalam parlimen tetapi sekali lagi kerajaan diam membisu. Persoalannya, adakah kerajaan bersetuju? Kenapa mereka begitu berani mencabar hukum Islam jika tidak lain tidak bukan kerana mereka berasa ‘selamat’ dalam kerajaan sekarang?

Ada menteri mengatakan hukum Islam yang melarang umat Islam untuk murtad adalah merupakan satu penindasan. Penghinaan yang macam mana lagi yang umat Islam harus tunggu?
Ada juga seruan menyuruh kerajaan membuang perkataan ‘Islam’ dalam kad pengenalan. Walaupun kerajaan tidak bersetuju tetapi kita yakin ia tidak akan berhenti di sini.

Sebenarnya banyak lagi yang boleh disenaraikan sebagai bukti kenapa umat Islam dan orang Melayu berasa tertekan dan terancam. Kerajaan hanya sibuk memperkatakan tentang isu 1MDB dan pelbagai skandal rasuah.

Kita amat bersetuju dan menyokong segala tindakan kerajaan untuk mendakwa sesiapa yang bersalah. Tetapi kerajaan seolah-oleh membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap isu-isu yang melibatkan agama Islam. Jadi jangan salahkan jika rakyat terpaksa bersuara di jalanan kerana itu saja alternatif yang ada.

Jika dinilai apakah pencapaian kerajaan terhadap memperkasakan agama Islam selepas setahun memerintah, saya katakan; pencapaiannya adalah kosong peratus. Noktah!

AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Thursday, January 24, 2019

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini

Diterbitkan Hari ini 9:28 pagi 


Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun.

Pemilihan akan dibuat melalui pengundian oleh sembilan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 10.30 pagi ini.

Kekosongan jawatan Ketua Utama Negara itu berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan pada 6 Januari lepas, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah institusi beraja di negara ini.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu , Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Sistem penggiliran dalam kala­ngan sembilan Raja-raja Melayu kini memasuki pusingan kedua yang menyaksikan Raja-raja Melayu dari enam negeri telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tinggal tiga lagi Raja-raja Melayu dari Pahang, Johor dan Perak untuk melengkapkan pusingan kedua sistem penggiliran itu.

-- Bernama

Monday, December 10, 2018

Setelah berjaya di KL, penentang ICERD jelajah seluruh negara

Oleh Jamilah Kamarudin
Diterbitkan pada 10 December 2018

Penganjur bantah ratifikasi ICERD merancang untuk mengadakan siri jelajah negara. 
-- Foto oleh Ahmad Zamzahuri

KUALA LUMPUR, 10 Dis Selepas kejayaan menghimpun puluhan ribu penyokong turun ke jalanan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), penganjur merancang untuk mengadakan siri jelajah negara.

Sekretariat Gerakan Pembela Ummah berkata sambutan Sabtu lalu “sangat luar biasa” walaupun ada cubaan untuk menggagalkannya, lapor Utusan Malaysia.

“Perhimpunan semalam sangat menakjubkan dalam lipatan sejarah negara. Perhimpunan itu membuktikan orang Melayu boleh bersatu apabila berdepan beberapa percubaan untuk menggugat kepentingan bangsa dan agama,” kata ketua sekretariat Aminuddin Yahya.

Beliau juga bercadang untuk menghadap Majlis Raja-Raja bagi menyuarakan kebimbangan hak orang Melayu.

Himpunan yang menggabungkan pemimpin Umno dan PAS dalam satu pentas di Dataran Merdeka turut dianjurkan Sekretariat Kedaulatan Negara (Daulat).

Monday, June 4, 2018

Muhyiddin sokong pilihan Tommy Thomas ganti Apandi

Khairil Ashraf
June 4, 2018

Muhyiddin yakin kebuntuan menyelubungi pelantikan calon peguam negara akan diselesaikan.

VIDEO INSIDE

Muhyiddin Yassin berharap perbincangan Majlis Raja-Raja mengenai calon peguam negara akan membuahkan penyelesaian.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau tidak menjangkakan isu pelantikan peguam negara akan bertukar menjadi krisis, sambil berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu melihat segala bentuk kerjasama antara semua pihak yang terlibat dapat selesaikannya.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan kedua pihak iaitu perdana menteri, kerajaan dan pihak istana.

“Saya dimaklumakn ada mesyuarat Majlis Raja-Raja dan mungkin itu boleh bantu dari segi selesaikan,” katanya kepada wartawan selepas lawatan rasmi ke ibu pejabat polis di Bukit Aman hari ini.

Bantahan timbul selepas pakar perundangan Tommy Thomas dilaporkan dipilih sebagai pengganti Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang diarahkan kerajaan mengambil cuti tanpa rekod selama 30 hari.

Beberapa laporan menyebut raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong menolak Tommy atas dasar latar belakang bangsa dan agama.

Majlis Raja-raja dilaporkan akan mengadakan perbincangan khas mengenai jawatan peguam negara di Istana Negara esok.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan PH sedang berusaha menyelesaikan isu pelantikan peguam negara baru dan memberi jaminan lantikan itu akan dibuat berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata pihaknya memberikan sokongan padu kepada Dr Mahathir membabitkan isu peguam negara kerana ia merupakan salah satu langkah penting “untuk menentukan proses penguatkuasaan undang-undang dan lain-lain lagi dapat dilaksanakan”.

“Kalau itu dapat diatasi sebaiknya bersandarkan pertimbangan bijaksana dan juga mengikut peruntukan yang ada dalam perlembagaan, saya tak fikir ia akan jadi isu yg berlarutan yang tak dapat diselesaikan.

“Jadi kita minta agar dapat segera diselesaikan,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-