Showing posts with label dilepas tanpa bebas (DNAA). Show all posts
Showing posts with label dilepas tanpa bebas (DNAA). Show all posts

Wednesday, February 26, 2025

Menteri lupa hanya satu VVIP saja dilepaskan, kata peguam Pejuang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 12:15 PM
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Syed yang disifatkan sebagai terlupa ketika menyenaraikan individu kenamaan VVIP penting yang diberi pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA).

Menurutnya, Azlina mengumumkan 18 VVIP atau VIP yang telah menerima DNAA berhubung kes-kes mereka di mahkamah sepanjang tahun 2018 ke 2024.

"Tapi yang lupa dinyatakan, hanya seorang sahaja VVIP dalam senarai itu yang penting. VVIP itu adalah presiden Umno merangkap timbalan perdana menteri 1.

"Pada 3 Disember 2022 VVIP ini dilantik sebagai timbalan perdana menteri 1 atas nasihat perdana menteri. Pada 4 Sept 2023 , VVIP ini diberikan DNAA bagi 47 kes yang mana VVIP ini telah dipanggil bela diri," katanya dalam kenyataan yang jelas merujuk kepada kes Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid (kiri) bersama Azalina
Semalam Azalina dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen berkata keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) adalah selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang mana peguam negara mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

"Dalam menjalankan kuasa berkenaan, peguam negara akan menggunakan budi bicaranya berasaskan keterangan yang diperoleh daripada pihak penguat kuasa, perkembangan dan keterangan baharu yang wujud semasa perbicaraan kes berlangsung," katanya.

Azalina bagaimanapun tidak menyatakan siapa VIP yang diberikan DNAA itu.
Ahmad Zahid Hamidi
Rafique pula berkata Zahid memperolehi DNAA apabila Jabatan Peguam Negara sama yang tuduh dan dakwanya dapati ada 11 alasan lanjut yang perlu disiasat.

"Kini sudah 17 bulan dan siasatan masih belum selesai?


"Maka hanya satu VVIP yang dapat DNAA pada masa VVIP ini menjadi timbalan perdana Menteri 1. Dari 2018 hingga 2024, hanya satu sahaja VVIP yang peroleh DNAA semasa menjawat jawatan kabinet.

"VVIP ini peroleh DNAA pada zaman pemerintahan PMX (Perdana Menteri, Anwar Ibrahim)," katanya yang juga seorang peguam.

Friday, September 6, 2024

Pendakwa tak perlu maklum mahkamah perkembangan siasatan SPRM, peguam ulas DNAA Zahid

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-06 Sep 2024, 10:15 AM

A Srimurugan berkata Kanun Tatacara Jenayah tidak memerlukan pendakwaan berbuat demikian selepas beliau dilepas tanpa bebas setahun lalu.
Zahid Hamidi dilepas mendapat DNAA semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang selepas empat tahun perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 4 Sept 2023.

KUALA LUMPUR: Pendakwa raya tidak menanggung kewajipan undang-undang memaklumkan perkembangan kepada hakim perbicaraan yang membenarkan seseorang tertuduh dilepas tanpa bebas (DNAA) dalam kes jenayah, kata peguam.

A Srimurugan berkata, tiada peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah atau pengisytiharan undang-undang lalu oleh mahkamah memerlukan pihak pendakwaan berbuat demikian, sama ada mahu meneruskan kes atau sebaliknya.

Pendakwa raya yang juga peguam negara mempunyai budi bicara mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah untuk terus atau menggugurkan kes, katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kes Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, mendapat DNAA setahun lalu bagi semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang selepas empat tahun perbicaraan berjalan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika itu, bahawa beliau diarah peguam negara untuk tidak meneruskan prosiding.

Beliau mengesyorkan kepada hakim mengklasifikasikan kes sebagai lepas tanpa bebas, memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes dan pihak pendakwaan perlu menyemak dapatan siasatan.

Zahid, yang menghantar representasi kepada peguam negara, mendakwa kes didepani bersifat pendakwaan terpilih dilakukan rejim sebelum ini.

Presiden Umno itu berdepan tuduhan pecah amanah jenayah ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri untuk kali kedua, selepas Pakatan Harapan menguasai kerajaan pusat pada 2018.

Peguam K Ramu, berkata sekurang-kurangnya peguam negara selaku penjaga kepentingan awam boleh memaklumkan kepada orang ramai status siasatan SPRM.

Atas nama ketelusan dan kebertanggungjawaban, beliau sekurang-kurangnya patut mengeluarkan kenyataan umum berkait perkembangan terbaharu, katanya.

Peguam Salim Bashir, berkata pilihan lebih baik bagi Zahid adalah memfailkan permohonan mendapatkan pembebasan.

Bekas presiden badan peguam itu, berkata tidak betul meninggalkan seseorang individu dibebani pertuduhan di mana prosiding ditangguh untuk tempoh tidak ditentukan.

Beliau sedia maklum dalam kes Karpal Singh lawan Pendakwa Raya, mahkamah menyatakan seseorang itu tidak boleh dibiarkan nasibnya tergantung dan perlu kepada pengakhiran kes.

Salim berkata, pihak pendakwaan boleh menentang atau menerima permohonan sedemikian.

Zahid tidak boleh lagi dituduh dengan kesalahan sama pada masa depan jika mahkamah mengisytihar beliau dibebaskan, katanya.

Bagaimanapun, beliau boleh diminta menyambung pembelaan atau berdepan tuduhan baharu yang mempunyai fakta dan keterangan sama, pada masa depan jika status lepas tanpa bebas kekal.

Perbicaraan Zahid terhenti selepas 77 hari pendengaran dan sejumlah 114 saksi pendakwaan dan pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Zahid sebelum ini berdepan pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah jutaan ringgit melibatkan Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Daripada 47 pertuduhan, 12 pendakwaan melibatkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah, dan selebihnya pengubahan wang.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-