Showing posts with label gaji minima. Show all posts
Showing posts with label gaji minima. Show all posts

Monday, March 21, 2022

Mungkin ramai hilang kerja jika laksana gaji minimum baharu

ismaweb.net
Siti Hafidah

Wajar dilaksana selepas ekonomi negara pulih: Penganalisis

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara mendapat pelbagai reaksi daripada semua lapisan masyarakat.

Beberapa pihak dilihat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, namun tidak kurang juga menyarankan ia dilaksanakan selepas ekonomi negara pulih susulan penularan COVID-19·

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan gaji minimum akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Jelasnya, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan kadar baharu gaji minimum itu kepada syarikat, perusahaan kecil dan koperasi yang tidak mampu membayar RM1,500 kepada pekerja mereka.

Walaupun begitu, penganalisis ekonomi bebas, Dr Baayah Baba berpendapat sekarang belum masa untuk melaksanakan kadar gaji minimum baharu.

Sekiranya ia dilaksanakan, beliau tidak menolak kemungkinan ramai pekerja akan hilang pekerjaan.

“Ketetapan gaji minimum RM1,500 akan menyebabkan ramai pekerja hilang pekerjaan apabila pengusaha tidak mampu membayarnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Justeru, beliau melihat, ia hanya wajar dilaksanakan apabila ekonomi negara sudah kembali pulih.

“Saya rasa ini belum masanya untuk gaji minimum RM1,500.

“Banyak peniaga terkesan dengan COVID-19. Tidak dapat berniaga berbulan-bulan lamanya. Usahlah tambah beban mereka,” katanya.

Pautan terdahulu;

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Persekutuan pekilang kecewa dengan kenaikan gaji minimum

malaysiakini.com

Diterbitkan: Mar 21, 2022 12:05 PM
Susulan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,500 mulai 1 Mei, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) melahirkan rasa kecewa kerana gesaannya untuk kenaikan gaji secara beransur-ansur tidak diendahkan.

"Kami amat kecewa kerana pemintaan untuk pelarasan progresif bagi gaji minimum semasa keadaan perniagaan sekarang tidak dipertimbangkan.

“Kenaikan kadar gaji minimum semasa daripada RM1,200 kepada RM1,500 adalah peningkatan serta-merta sebanyak 25 peratus ke atas gaji pokok yang akan memberi kesan ke atas kos keseluruhan gaji dan memberi kesan kepada kos perniagaan dan berpotensi menjejaskan perniagaan dan pemulihan ekonomi," kata presiden FMM, Soh Thian Lai dalam satu kenyataan.

Dia berkata berdasarkan dapatan Kajian Keadaan Perniagaan FMM-MIER 2H2021 baru-baru ini yang dijalankan dari 5 Januari hingga 10 Februari lalu, majoriti responden berpendapat kenaikan RM100 dalam gaji minimum adalah kadar yang boleh diterima.

“Sehubungan itu, FMM mencadangkan kepada kerajaan agar pelarasan gaji minimum dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan kenaikan RM100 pada suku ketiga 2022 dan pelarasan seterusnya pada 2023/2024 sehingga mencecah RM1,500,” katanya.

Pada perhimpunan agung Umno Sabtu lalu, Ismail Sabri mengumumkan kenaikan itu dengan berkata, ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) manakala pengecualian mungkin diberikan kepada syarikat-syarikat mikro yang mempunyai kurang lima pekerja dan kurang pendapatan.

Gaji minimum kali terakhir disemak pada 1 Feb 2020, dengan kenaikkan sebanyak RM100 iaitu daripada RM1,100 kepada RM1,200 semasa pembentangan Bajet 2020.

Bantahan oleh FMM dan kumpulan lain seperti Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dicemuh oleh badan pekerja yang dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dengan setiausaha cawangan Sarawak Andrew Lo memetik laporan Bank Dunia bahawa kenaikan gaji Malaysia jatuh secara drastik di sebalik peningkatan produktiviti.

Soh seterusnya mendakwa bahawa peningkatan kos menjalankan perniagaan akan memberi kesan yang mendalam kepada pemulihan perniagaan dan kemampanan disebabkan oleh risiko berterusan yang ditimbulkan oleh wabak Covid-19 dan varian Omicron semasa yang terus memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan logistik.

"Kenaikan harga bahan mentah termasuk kesan caj pengangkutan laut yang lebih tinggi telah memberi kesan kepada industri sejak Julai 2021 dan masih berterusan berikutan kekurangan kontena global," katanya merujuk kenaikan harga komoditi dan tenaga sebagai faktor lain.

"Walaupun kita perhatikan bahawa perusahaan mikro yang membentuk 78.6 peratus daripada 97.4 peratus daripada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana mikro di negara ini akan dikecualikan daripada gaji minimum baru ini, perusahaan kecil dan sederhana dengan pekerja sehingga 200 tidak terkecuali dan peningkatan mendadak itu akan memberi kesan yang tidak diingini kepada pemulihan perniagaan mereka." katanya.

Menurut Soh, di kalangan ahli FMM sendiri, kurang 2 peratus ahlinya akan menikmati pengecualian itu yang sekali gus memberi kesan kepada majoriti ahli.

“Tambahan pula, memandangkan pekerja asing juga akan menikmati kenaikan gaji, ia akan membawa kepada aliran keluar tambahan hampir RM2 bilion setahun (berdasarkan 1.6 juta pekerja asing yang sah) yang akhirnya akan meningkat kepada hampir RM6 bilion setiap tahun apabila gaji minimum mencecah RM1500," dakwanya.

FMM seterusnya merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk menaikkan serta-merta gaji minimum kepada RM1,500 pada Mei ini dan sebaliknya mengambil pendekatan kenaikan progresif seperti yang dicadangkan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-