Showing posts with label garis panduan. Show all posts
Showing posts with label garis panduan. Show all posts

Monday, February 10, 2025

Garis panduan: Ulama buat bukan suka-suka

harakahdaily.net
February 10, 2025
MARAN: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa umat Islam memerlukan garis panduan yang jelas dalam menghadiri upacara keagamaan bukan-Islam.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, isu tersebut bukan perkara baharu kerana garis panduan seumpama itu telah wujud sejak tahun 2015.

”Sama juga Menteri Agama minta supaya dibuat peraturan. Yang terbaru ni isu mengunjungi, menghadiri upacara keagamaan. Kena ada satu garis panduan. Yang bantah (itu orang) bukan-Islam, itu yang peliknya.

“Yang bantah DAP. Yang bantah MCA. Padahal garis panduan dah lama ada tahun 2015 lagi dah ada,” katanya dalam ceramah di Markaz Al-Khidmat PAS Kawasan Maran, Taman Embun Mutiara, Kampung Awah, di sini malam semalam.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang itu, menjelaskan bahawa umat Islam perlu terikat dengan pelbagai syarat dalam kehidupan beragama, termasuk dalam soal ibadah, perkahwinan, dan akidah.

“Orang Islam ini dia terikat dengan syarat. Nak buat apapun kena ada syarat. Sembahyang ada syarat sah, syarat batal. Wuduk ada syarat sah, ada syarat batal. Perkahwinan suami isteri ada syarat sah, ada syarat batal perkahwinan.

“Iman kita, akidah kita, ada syarat batal iman, ada syarat sah iman. Bukan perjanjian saja ada syarat sah batal. Semua dalam Islam ni terikat dengan syarat dia,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka itu turut menegaskan bahawa menghadiri majlis agama bukan-Islam perlu berlandaskan syarat tertentu yang telah digariskan oleh pihak berautoriti agama.

“Syarat ni bukan nak menyusahkan, (tetapi ia untuk) nak memandu. Oh ni ada yang kata ini syarat menyebabkan kita polemik kaum di Malaysia? Perpaduan kita dibentuk selama ini dengan syarat ini menyebabkan dia akan timbul masalah?

“Hei, peraturan ini untuk menyelamatkan, untuk jadi garis panduan. Semua benda kena ada garis panduan. Nak langgar? Langgarlah. Tapi ingat ada yang larangan boleh merosakkan akidah,” tegasnya.

Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa peraturan yang dibuat oleh pihak seperti mufti dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk menjaga akidah umat Islam.

“Sebab itu ulama-ulama, para mufti ke, JAKIM ke, dia buat peraturan ni bukan suka-suka. Bukan suka-suka supaya nak selamat. Ada benda boleh, ada benda tak boleh.

“Yang boleh pergilah. Tak ada masalah. Tapi upacara keagamaan, dia kena ada syarat. Kalau tak ada syarat, tak ada beza agama,” jelas beliau.

Beliau turut merujuk kepada kitab ‘Mustika Hadis’, yang diterbitkan ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kitab ini diterbitkan, diedar, diajar di semua masjid-masjid seluruh Malaysia. Mukadimah Mustika Hadis, Mustika Hadis jilid satu, jilid dua, jilid tiga. Dalam mukadimah Mustika Hadis disebut perkara-perkara yang boleh membatalkan akidah.

“Bukan tuduh si polan-si polan, bukan. Macam kita katalah, ini perkara membatalkan wuduk. Bukan nak beritahu dia, awak tak ada wuduk dah, bukan. Nak beritahu panduan,” katanya.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan larangan bagi umat Islam memakai pakaian yang bersifat keagamaan bukan-Islam.

“Kenapa orang Islam tak boleh berpakaian, pakaian keagamaan orang bukan Islam? Dia ada pakaian agama. Pakai agama kita tak boleh pakai. Umpama pakai salib. Tak boleh. Hatta kita pakai pakaian keagamaan, upacara keagamaan mereka tak boleh.

“Ada pun pakaian yang biasa macam bunga malai. Bunga malai itu menyambut tamu, menghormati tamu. Itu tak apa. Tidak salah. Tapi pakaian agama tak boleh,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa Islam adalah agama yang menghormati hak beragama bagi penganut agama lain.

“Macam gereja zaman Qibti, zaman kerajaan ratus tahun sebelum kebangkitan Nabi Muhammad. Gereja itu masih ada sampai sekarang di Mesir. Islam memerintah Mesir lama, zaman Saidina Umar al-Khattab. Tak runtuh pun gereja itu.

“Pasal apa? Kerana Islam menjamin hak beragama masing-masing. Tak ada masalah. Biara, Yahudi masih lagi ada di banyak negara Islam. Pergi ke Indonesia, Borobudur tu masih ada. Masih ada sampai ke hari ini. Walaupun Islam dah lama bertapak di Indonesia.

“Pasal apa? Kerana kita memelihara, menghormati hak beragama. Islam tak paksa orang bukan Islam masuk Islam, kerana paksa jadi munafik. Islam tak terima akidah orang munafik,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa garis panduan perlu ada bagi memandu kehidupan manusia dalam pelbagai aspek.

“Sebab itu saya mukadimahkan tadi dengan satu ayat dan kita pun doa setiap waktu sembahyang wajib minta satu je. Ihdinassirotol mustaqim. Ya Allah tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

“Tuan-tuan setiap rakaat sembahyang kita wajib baca Fatihah. Sembahyang apa pun, sembahyang mayat yang tak ada doa iftitah. Fatihah wajib baca.

“Sembahyang mayat yang rukuk tak ada, sujud tak ada. Tempat sayalah, sini saya tak tahu. Sembahyang mayat rukuk tak ada. Fatihah wajib baca,” katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa umat Islam perlu sentiasa memohon petunjuk kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan.

“Dalam Fatihah kita minta satu, Ihdinassirotol mustaqim. Ya Allah tunjuklah pada kami jalan yang betul. Jalan yang lurus. Jalan menyampaikan kita pada reda Allah Subhanahu wa Ta’ala.

“Tak kiralah tuan-tuan nak masuk line mana. Jalur politik ke, jalur ekonomi ke, jalur pertanian ke, jalur nelayan ke, mana pun kena ada jalan masing-masing.

“Islam memandu kita. Nak politik, masuklah politik. Tapi bukan politik maki hamun, cerca, bukan,” tegas beliau mengakhiri kenyataan.

 – HARAKAHDAILY 10/2/2025

Friday, February 7, 2025

Islamofobia DAP: Bersikap provokatif, ajak ‘bertempur’?

harakahdaily.net
February 7, 2025
Garis panduan belum siappun sudah ditentang
KUALA LUMPUR: Menentang cadangan garis panduan penglibatan umat Islam dalam majlis bukan-Islam, serta kontroversi penceramah Dr Zakir Naik, memperlihatkan Islamofobia semakin disemarakkan oleh DAP.

Pakar bahasa dan perpaduan, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan tentangan terhadap garis panduan yang masih dalam proses libat urus sepertimana ditunjukkan itu sebagai reaksi tidak rasional.

“Yang diperlihatkan menerusi penentangan terhadap panduan ini adalah Islamofobia yang membabi buta. Sebab garis panduan tidak siap lagi. Tetapi DAP, MIC, MCA sudah menentangnya. Perkara ini tidak patut berlaku.

“Garis panduan ini dibuat kepada orang Islam, bukan kepada bukan Islam. Tidak bolehlah sebab Islamofobia, kita tentang panduan yang belum siap lagi,” katanya lapor MalaysiaGazette.

Menurutnya, garis panduan itu hanya untuk umat Islam dan bertujuan mengelakkan fitnah serta salah faham dalam menghadiri majlis bukan Islam.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Dr Irwan Mohd Subri turut menjelaskan bahawa garis panduan ini penting bagi memastikan umat Islam memahami batas pergaulan dalam majlis keagamaan lain.

“Kebetulan tadi saya terbaca yang ditimbulkan beberapa pemimpin bukan-Islam yang mendakwa hendak menyekat kebebasan umat Islam, takkan nak hadiri kematian kawan bukan-Islam pun kena minta izin, bukan macam itu. Itu salah faham.

“Ini (garis panduan) respon kepada beberapa perbuatan atau tindakan sekumpulan umat Islam, pergi ke kuil, ke gereja dan sebagainya. Dia pergi ke kuil dan gereja tak ada masalah, cuma kelihatan seolah-olah keterlibatan dalam unsur agama itu yang kita hendak beri panduan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa terdapat aktiviti yang dihadiri umat Islam boleh mendatangkan fitnah disebabkan tiada garis panduan jelas.

“Saya nasihatkan kalau nak buat aktiviti contoh kemasyarakatan, nak bersihkan kuil dan sebagainya kalau dari segi kebersihan itu memang tuntutan Islam, cuma bila kita terlibat pembasuhan rumah ibadat agama lain yang menimbulkan persepsi, persepsi itu yang boleh menjadikan fitnah,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberi amaran kepada DAP agar tidak terus bersikap provokatif terhadap isu berkaitan Islam.

Itu susulan pertikaian Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer mengenai kehadiran Dr Zakir Naik dalam satu majlis di Perlis.

“Saya melihat program saya di Perlis dipersoalkan dalam media. Saya rasa MP DAP itu berhasrat untuk kembali ‘bertempur’ dengan saya dan Perlis seperti mana ‘gemulah politik’ Ramasamy dan beberapa rakannya dahulu pernah lakukan.

“Beberapa hal termasuk membabitkan DAP, saya diam pada masa ini kerana menghormati Perdana Menteri sekarang dan kestabilan negara. Demikian juga saya ada beberapa kawan dalam kepimpinan DAP yang saya rasa menghormati sensitiviti rakyat negara ini.

“Namun, jika MP DAP itu ingin sangat menjual, saya insya-Allah akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika ‘gemulah politik DAP’ yang lepas menjualnya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa selama itu beliau berdiam diri demi kestabilan negara dan menghormati Perdana Menteri, namun tidak akan membiarkan provokasi berterusan terhadap Islam. 

HARAKAHDAILY 7/2/2025

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-