Showing posts with label Siti Kasim. Show all posts
Showing posts with label Siti Kasim. Show all posts

Wednesday, November 7, 2018

ICERD: Siti Kasim hentam pendirian Syed Saddiq

FMT Reporters
-November 6, 2018 11:19 PM

Siti berkata Syed Saddiq mahu meraih kelebihan politik daripada orang Melayu di kawasannya.

PETALING JAYA: Siti Kasim menghentam ketua Pemuda PPBM kerana sayap itu akan menolak pengesahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sekiranya ia melemahkan atau menghakis fungsi dan kesan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang memberi keistimewaan kepada Bumiputera.

Peguam itu dalam catatan di Facebook berkata Parlimen tidak perlukan “dungu” seperti itu.

Siti juga menuduh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat pendirian itu untuk meraih kelebihan politik daripada orang Melayu di kawasannya.

Beliau berkata Ahli Parlimen Muar itu lupa orang bukan Melayu juga mengundinya pada pilihan raya lalu.

Beliau kemudian menyeru rakyat menolak “ahli politik yang memecahbelahkan dan rasis”.

“Ingat orang-orang ini…pada pilihan raya umum akan datang tolak ahli politik seperti itu,” katanya.

Awal hari ini, Syed Saddiq mengumumkan Pemuda PPBM akan menolak proses meratifikasi ICERD sekiranya ia melemahkan atau menghakis fungsi dan kesan Artikel 153 perlembagaan Persekutuan, sistem Raja berperlembagaan, kedudukan Islam, dan mana-mana hak termaktub dalam perlembagaan itu.

Beliau berkata pendirian sayap itu berdasarkan persefahaman dan ketetapan bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan dan menyejahterakan Malaysia melalui asas dan dasar sedia ada dalam perlembagaan Persekutuan.

Tahun lalu Siti membidas Syed Saddiq kerana petisyen dalam talian oleh Pemuda PPBM Selangor membantah Oktoberfest di negara ini.

FMT menghubungi Syed Saddiq dan menunggu jawapan beliau.

Sunday, June 24, 2018

Penahanan Siti Kasim ikut peruntukan undang-undang

AHMAD ISMADI ISMAIL
24 JUN 2018


KAJANG – Polis menegaskan bahawa segala tindakan pihak berkuasa itu berhubung tangkapan peguam Siti Kasim adalah mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, polis juga bertindak atas maklumat di bawah Sek 363/186 Kanun Keseksaan bersabit laporan polis, satu serbuan telah dibuat malam tadi di sebuah apartment di kawasan Kuala Lumpur.

“Hasil serbuan pihak polis terpaksa pecah masuk apartment berkenaan dan telah berjaya selamatkan mangsa seorang perempuan berusia 24 tahun di apartment berkenaan. Kemudiannya mangsa telah bawa kembali ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang (IPD) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pada jam kira-kira 11.00 malam Siti Kassim telah datang ke IPD Kajang .

Pihak Polis telah membuat tangkapan terhadapnya kira-kira jam 12.40 malam tadi berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 363/186 Kanun Keseksaan.

“Dalam video berdurasi tiga minit yang menyatakan bahawa pihak polis tidak ada kuasa untuk menahan anak guamnya dan beliau, pihak polis ingin menegaskan bahawa segala tindakan polis telah dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada iaitu di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 dan juga Kanun Prosedur Jenayah Akta 593,” katanya.

Beliau berkata, polis juga telah menjelaskan pada beliau alasan tangkapan dan siasatan yang dilakukan.

“Oleh yang demikian kita ingin menyangkal spekulasi bahawa video yang diviralkan itu mendakwa bahawa pihak polis tiada kuasa untuk menyiasat kes yang dilaporkan terhadapnya dan juga penahanannya dan anak guamnya adalah salah disisi undang-undang.

“Untuk makluman siasatan di bawah sek 363/186 Kanun Keseksaan, kedua-dua adalah kesalahan yang lazim ditangkap,” katanya.

Mahkamah tolak permohonan reman, Siti Kasim bebas

Permohonan polis untuk menahan reman peguam Siti Kasim selama empat hari ditolak oleh Mahkamah Majistret Kajang.

"Pihak polis telah mengemukakan permohonan reman selama empat hari dan selepas semua hujah (dari peguam), majistret menolak permohonan reman dari polis," kata peguam Ambiga Sreenevasan selepas pendengaran reman di mahkamah Kajang hari ini.

"Saya menganggap (permohonan itu ditolak) kerana alasan tidak dibuat oleh pihak polis," katanya.

Ambiga berkata beliau adalah salah seorang daripada 12 peguam yang mewakili Siti dan enggan mengulas lanjut.

Siti ditangkap awal pagi ini selepas dituduh menghalang tugas polis "menyelamatkan" anak guamnya yang mendapat perlindungan di kediamannya.

[Berita penuh menyusul]

Tuesday, September 12, 2017

Pemuda PAS gesa polis ambil tindakan terhadap Siti Kassim dan David Orok

Oleh Wartawan BO
-12/09/2017
KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Terengganu membuat satu laporan menggesa pihak polis bertindak terhadap Siti Kasim dan juga David Orok atas kenyataan yang menghina Islam.

Timbalan Ketuanya, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, mereka berdua dengan jelas telah membawa satu unsur penghinaan melibatkan Nabi Ibrahim AS dan juga Nabi Ismail AS serta ibadah korban.

“atas kenyataan yang di keluarkan (oleh mereka) dalam facebook beberapa hari yang lepas…..yng kita melihat dan membuat tanggapan secara jelas, kedua-duanya sudah membawa satu unsur penghinaan terhadap agama Islam,
“Ekoran daripada ‘posting’ yang telah dibuat oleh kedua individu tersebut, kami anak-anak muda PAS merasakan tidak sewajarnya kita mendiamkan diri tanpa melakukan sebarang tindakan,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia berkata demikian kepada pihak media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu, di sini hari ini, Selasa 12 September.

Oleh kerana itu, beliau berkata, pihaknya juga mengarahkan semua Pemuda PAS Negeri membuat laporan yang sama, secara rasmi pada kelmarin dan hari ini.
Menurutnya, kecuali negeri Kedah yang menunda laporan kerana penghormatan terhadap kemangkatan Sultan, semua negeri lain telah mengambil tindakan membuat laporan.

Justeru, beliau berharap pihak penguatkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua individu terbabit.

“Tujuan laporan polis dibuat pada hari ini kita harap pihak berkuasa mengambil satu sikap yang serius bukan hanya menerima laporan tapi membuat satu tindakan yang tegas menyiasat dan memanggil individu tersebut bagi mendapatkan penjelasan,
“Dan kita telah memberikan pautan Facebook yang saya semak pada pagi tadi masih belum di padam dan kita yakin pihak Cyber Polis Di Raja Malaysia (PDRM) memiliki keupayaan untuk mengesan dan memastikan kesahihan maklumat yang telah di bawa oleh kedua individu tersebut,” jelas beliau.

ADUN Tepoh itu juga menyeru semua pihak, berharap bukan sahaja pihak polis memainkan peranan malah Jabatan Agama Islam negeri dan Jakim memainkan peranan bagi memastikan penghinaan terhadap Islam ini di hentikan.

Hadir sama ia Ketua Pemuda PAS Terengganu Ustaz Karuzaman Abdullah dan Ketua-ketua Pemuda Kawasan Kuala Terengganu serta Kemaman, Azriin Aris dan Ustaz Ramlan Mahmood

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-