Showing posts with label kadar tol. Show all posts
Showing posts with label kadar tol. Show all posts

Monday, October 19, 2015

Bukan hanya GST, naik tol pun untuk tambah BR1M rupanya

Oleh Shahbudin Husin
Apakah yang dapat kita rasakan dengan Najib Razak sejak kebelakangan ini? Makin bagus kepimpinannya? Kian lemah berfikir, hilang daya usaha dan semakin lupa dengan janji-janjinya? Sudah hilang tumpuan dan cakap apa saja sesuka hatinya?

Atau apa sebenarnya sudah jadi dengan satu-satunya Perdana Menteri yang ada wang derma RM2,600 juta ini?Sebagai usaha mempertahankan kenaikan kadar tol dalam bandar yang bermula Khamis lalu, Najib berkata, kerajaan terpaksa membenarkan peningkatan itu kerana jika tidak berbuat demikian, bantuan BR1M terpaksa dikurangkan.

Katanya, ini kerana kerajaan mempunyai kewangan terhad yang terpaksa memilih sama ada membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol atau menyalurkan wang yang sama kepada rakyat melalui BR1M.Anda tak naikkan tol, kena bayar pampasan, kurang wang untuk benda lain, kurang wang untuk BR1M, tambah Najib lagi.Sungguh aneh sebenarnya kenyataan Najib ini.

Pertama, beliau nyata sudah lupa atau buat-buat lupa dengan janjinya sendiri untuk mengurangkan kadar tol dalam bandar sepertimana dilafazkannya sebelum PRU 13 lalu.Kalau sudah tahu kenaikan tol diperlukan untuk menampung BR1M, kenapa suka sangat "berjanji bulan madu" dengan rakyat?
Oleh kerana Najib selalu mengunjungi Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din, pantang saja terdengar pemimpin pembangkang itu tidak sihat atau dimasukkan ke hospital, maka ada baiknya beliau mengambil kesempatan bertanya sendiri dengannya apakah hukumnya orang yang mengingkari janji yang dibuatnya.

Kalau orang biasa yang menjatuhkan hukum, lebih-lebih lagi di media sosial, tentu saja ia tidak diyakini. Jadi, ada baiknya pemimpin Pas yang sedang dipuji dan dipuja itu mengajar hukum agama kepada Najib.

Yang kedua, apa kaitannya tol dalam bandar dengan penerima BR1M? Apakah semua pengguna tol dalam bandar merupakan penerima BR1M dan adakah juga semua penerima BR1M adalah pengguna tol dalam bandar?

Jika jawapannya ya, kenaikan kadar tol itu mungkin boleh diterima logiknya, tetapi jika sebaliknya atau kaitannya hanya sipi-sipi saja, terbukti Najib kian lemah daya fikir serta usahanya untuk mendatangkan kemakmuran dan semakin menunjukkan beliau tidak layak lagi memimpin rakyat negara ini.

Untuk memberikan kemakmuran kepada rakyat, kita tentu saja memerlukan pemimpin yang boleh berfikir dengan lebih baik dan seterusnya berusaha juga dengan lebih gigih untuk masa depan negara, bukannya watak yang hanya mampu "main bedal" saja dalam menangani sesuatu isu.

Yang ketiga, apakah Najib lupa beliau pernah mengatakan sebelum ini bahawa cukai GST diperkenalkan adalah antaranya untuk menambah jumlah wang BR1M yang diterima oleh rakyat berpendapatan rendah.
Berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan pada 19 Mei 2015, Najib ada menyebut, "kita harus memahami bukan hasrat kerajaan mahu susahkan rakyat, kita perkenalkan GST dengan menambahkan BR1M umpamanya sebanyak RM300, malangnya bila dah dapat banyak yang senyap."

"Sebaliknya kalau barang naik sikit, timbul rungutan. Kita dah sedar ada sedikit sebanyak kenaikan harga tetapi ada timbal balasnya yang diberikan kerajaan melalui kenaikan BR1M, pengurangan cukai pendapatan antara satu hingga tiga peratus, pengurangan cukai korporat dan sebagainya."

Apa ni Ah Jib Gor? Kenakan GST untuk BR1M, naikkan kadar tol pun untuk BR1M juga!!Apalagi agaknya selepas ini kenaikan yang akan dibebankan kepada rakyat untuk menampung pemberian BR1M itu?

Tidak cukupkah cukai GST yang menurut Kastam bagi tahun 2015 saja kutipannya dijangka berjumlah RM7 bilion untuk menampung pemberian BR1M tersebut, sehingga kenaikan tol dalam bandar juga dibenarkan untuk tujuan yang sama?Sengsara sangatkah kedudukan kewangan negara sekarang ini? Tidak adakah cara lain seperti meningkatkan penjimatan dan mengurangkan "horey horey" dalam menguruskan negara?

Berbalik kepada soalan awal tadi - adakah semua ini menunjukkan kepimpinan Najib makin bagus, kian lemah, hilang daya usaha, lupa pada janji, hilang tumpuan atau apa sebenarnya?Berapa lama lagikah kita sanggup berperdana-menterikan pemimpin "tak semenggah" dan hilang daya berfikir seperti ini? -BlogSpot

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=346962:bukan-hanya-gst-naik-tol-pun-untuk-tambah-br1m-rupanya&Itemid=2#ixzz3oy6m49Ct
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Wednesday, October 14, 2015

Tol naik: Ahli Umno tak selesa, soal mana dana GST


Tol naik: Ahli Umno tak selesa, soal mana dana GST

Shakira Buang
Anggota Umno akar umbi jelas tidak selesa dengan pengumuman kerajaan berhubung kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya yang berkuatkuasa esok.

Malah, sebahagian besar mereka mahu kerajaan mengkaji semula kewajaran langkah itu memandangkan situasi ekonomi semasa yang mencabar bagi pengguna.

Menurut Ketua Umno bahagian Kepong, Abdul Razak Abdul Rahman penangguhan perlu kerana rakyat kini sudah cukup terbeban dengan pelbagai kenaikan dan dicengkam pula dengan kajatuhan ringgit.

Abdul Razak menyifatkan kenaikan kadar tol ini sangat tidak sesuai dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Mereka memberikan alasan macam-macam berhubung perjanjian konsensi dan sebagainya tetapi saya secara peribadi memohon kerajaan mengkaji balik (kenaikan kadar tol).

“Dalam keadaan negara yang baru sahaja mengalami kejatuhan mata wang, dengan pelaksanaan GST serta masalah jerebunya lagi dan kini ditambah dengan kenaikan kadar tol, ini (kenaikan) tidak begitu sesuai untuk dilaksanakan,’ katanya ketika dihubungiMalaysiakini.

Bagaimanapun, menurut Abdul Razak, sekiranya kerajaan mahu menaikkan kadar itu sekali pun biarlah ia dilakukan selepas pembentangan bajet akan datang.

“Mungkin lepas pembentangan bajet (umum kenaikan), apabila kerajaan konon-kononnya memberikan rebat, bila rakyat dah seronok dan yakin dengan janji kerajaan barulah boleh kenakan kenaikan dengan kadar yang berpatutan.

PLUS boleh, kenapa konsesi lain tak boleh?

Dalam pada itu, ketua penerangan Umno bahagian Seputeh, Mohd Shariff Badaruddin mempersoalkan sekiranya Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) boleh menangguhkan kenaikan sejak 10 tahun lalu kenapa tidak bagi syarikat konsensi yang lain.

Kali terakhir PLUS menaikkan kadar tol mereka adalah pada tahun 2005.
“Tak sepatutnya naik, kalau PLUS boleh tangguh kenaikan kenapa konsensi lain boleh naikkan?

“Rakyat sudahlah kena GST, kena satu bebanan lagi. Dulu GST dia kata harga barang akan turun 4 peratus tetapi sebaliknya naik berganda-ganda.

“Hari ini rakyat pun rasa susah dengan GST malah ramai yang merungut fasal GST,” keluh Mohd Shariff.

Mana duit GST?

Justeru, Mohd Shariff berkata eloklah kenaikan tol sedia ada dikekalkan namun berpendapat adalah lebih baik ia diturunkan.

“Elok kekallah dengan kadar sedia ada. Kereta bertambah banyak, pengguna jalan raya juga bertambah, duit bertambah tapi kenapa mesti naik lagi?

“Kekalkan kadar sebelum ini atau turunkan lagi baik sebab duit (kutipan cukai) GST banyak, kerajaan tak boleh tampung ke? Mana pergi duit GST itu? Macam mana ia dibelanjakan? Rakyat pun nak tahu juga,” kata Mohd Shariff lagi.
Turut berkongsi pandangan adalah ketua pemuda Umno bahagian Bandar Tun Razak, Mohd Amir Abd Halim yang mahu kenaikan tol ini dikaji semula.

“Kena kaji semula tindakan tersebut sebab ia membebankan rakyat,” kata Mohd Amir ringkas kepada Malaysiakini.

Sebanyak 18 syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang semalam mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6 berkuat kuasa esok.

Ia membabitkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-Silk, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart).

Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga).

Sunday, June 14, 2015

Selepas Rakyat dihambat GST, tol pula akan naik

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan tegas membantah cadangan kenaikan kadar tol dan ia disifatkan sangat melampau.

Naib ketuanya, Khairil Nizam Khirudin menyatakan demikian merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian semalam berhubung Kementerian Kerja Raya akan membawa cadangan kenaikan kadar tol bagi 16 lebuh raya utama di seluruh negara.

Kenaikan tersebut dijangka akan naik antara 20 sen sehingga RM1 dan ia akan mula berkuatkuasa Ogos ini.

"Kami juga meminta supaya pihak kerajaan berunding semula dengan pihak konsesi bagi mengelakkan pembayaran pampasan membabitkan ratusan juta sekiranya penangguhan kenaikan kadar tersebut dilakukan pada tahun ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan berusaha melakukan pelbagai usaha antaranya berunding dengan pihak Kementerian Kerja Raya, pihak konsesi dan juga menggerakkan bantahan rakyat sekiranya cadangan kenaikan ini diterima oleh kerajaan.

Difahamkan, ujarnya kenaikan tersebut sepatutnya berlaku pada November tahun lalu, namun ia telah ditangguhkan.

Contoh cadangan kenaikan kadar tol bagi beberapa lebuh raya utama di Lembah Klang adalah seperti berikut:

a. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Besraya adalah sebanyak 70 sen (dari RM1.30 kepada RM2.00).

b. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Pantai Baharu adalah sebanyak 60 sen (dari RM1.60 kepada RM2.20).

c. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Duta - Ulu Kelang adalah sebanyak 50 sen (dari RM2.00 kepada RM2.50)

Kata beliau lagi, kerajaan sewajarnya mengambil kira keuntungan yang diraih oleh pihak konsesi dan keadaan semasa sosioekonomi rakyat sebelum mencadangkan apa-apa kenaikan kadar tol.

Rakyat kini sudah dihambat dengan kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% bermula 1 April yang lalu dan kenaikan petrol dan diesel sejak 1 Jun. -HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-