Showing posts with label kewangan. Show all posts
Showing posts with label kewangan. Show all posts

Monday, March 13, 2023

Petronas untung bersih RM101.6 bilion bagi 2022 [METROTV]

hmetro.com.my
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Petronas terus merekodkan prestasi kukuh apabila berjaya mencapai peningkatan keuntungan bersih sebanyak RM101.6 bilion kenaikan 100 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY2022) berbanding RM50.9 bilion tahun sebelumnya, disokong dengan kesan harga lebih baik bagi produk utama seiring dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

Petronas turut mencatatkan peningkatan 51 peratus pendapatannya kepada RM375.3 bilion bagi 2022 berbanding RM248 bilion tahun kewangan 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, tenaga kerja Petronas terus dipacu oleh tujuan kumpulan untuk menjadi rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang mempertingkatkan kualiti kehidupan demi masa depan mampan.

Katanya, ketahanan mereka membolehkan kumpulan mencapai prestasi yang kukuh pada 2022.

"Tahun 2022 membolehkan kami untuk memanfaatkan lonjakan minyak dan gas, tahun lalu juga memberikan isyarat ketidaktentuan terhadap permintaan-bekalan yang didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran serta peralihan tenaga yang dipercepatkan.

"Walaupun kami maju dengan kedudukan yang lebih kukuh, Petronas akan terus memantapkan rantaian nilai bersepadu kami dengan tumpuan yang lebih memfokuskan kepada kecemerlangan komersial dan operasi.

"Kumpulan akan memberi tumpuan kepada penyampaian strategi pertumbuhan tiga serampang serta aspirasi Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 secara berdisiplin termasuklah pengurusan komitmen kewangan dan obligasi hutang secara berhemat.

"Petronas tidak mempunyai pilihan selain untuk mengukuhkan masa depan kumpulan bagi mengekalkan keupayaan kami dalam menyampaikan nilai jangka panjang yang mampan sebagai syarikat minyak nasional dan pemain tenaga global.

"Untuk tujuan ini, Petronas perlu kekal teguh dalam menyediakan tenaga yang selamat, mampu milik dan boleh capai ke arah memartabatkan masyarakat dan menyokong negara bagi mencapai sifar bersih," katanya pada sidang media pengumuman keputusan tahun kewangan suku keempat dan 2022 Petronas di sini, hari ini.

Beliau berkata, meskipun berlakunya ketidaktentuan berpanjangan yang dilihat dalam pasaran sepanjang 2022, melangkah ke hadapan Petronas akan terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin yang tegas dalam melabur semula untuk menyediakan keselamatan tenaga yang diperlukan serta untuk peralihan yang adil dan bertanggungjawab.

Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) turut naik kepada RM170.7 bilion disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi, manakala aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berada pada jumlah RM135.3 bilion dan pelaburan modal (Capex) adalah sebanyak RM50.1 bilion, disumbangkan oleh projek huluan dan hiliran.

Setakat 31 Disember 2022, jumlah aset keseluruhan syarikat minyak dan gas nasional itu diperkukuhkan kepada RM710.6 bilion.

Disiarkan pada: Mac 13, 2023 @ 5:00pm

Sunday, January 29, 2023

PM pertahan kelayakan Nurul Izzah sebagai penasihat kewangan, ekonomi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 29, 2023 7:05 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan kelayakan Nurul Izzah untuk menjadi penasihatnya dalam soal ekonomi dan kewangan.

Ia selepas dia ditanya sama ada anaknya itu - yang memegang ijazah sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan - layak atau tidak untuk memegang jawatan itu.

Anwar berkata Nurul Izzah juga memiliki ijazah dalam dasar awam dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies.

Pemeriksaan ke atas profilnya mendapati ia merupakan ijazah peringkat sarjana.

Anwar yang turut memegang portfolio kewangan berkata dia juga tiada kelayakan formal dalam bidang itu, begitu juga dengan ramai pemimpin PN yang pernah memegang jawatan menteri.

Untuk rekod, Anwar merupakan pelajar jurusan Pengajian Melayu ketika menuntut di Universiti Malaya.
"Menteri dari PAS, Bersatu juga tiada kelulusan dalam bidang masing-masing.

"Adakah benar seorang menteri kesihatan mesti (seorang doktor), atau menteri air kena (sebagai) jurutera?" soalnya ketika sidang media di Tambun, Perak hari ini.

Nurul Izzah memaklumkan dia menjadi penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Anwar, berkuat kuasa 3 Jan lalu, dalam wawancara bersama The Star yang diterbitkan hari ini.

Ditanya berkenaan perkara itu, Anwar membalas: "Apa yang penting sekali, termasuk untuk saudara Peja, hentikan curi tanah, balak, saham, projek dan komisen. Ini yang jahanamkan negara."

Anwar berkata, dia juga tidak mendengar ada dalam kalangan pengkritik kerajaan yang menyuarakan sokongan terhaap usaha membersihkan negara daripada masalah tersebut.

Dia juga berkata Nurul Izzah tidak menerima sebarang elaun daripada jawatan barunya itu.

"Saya tak bayar apa-apa elaun kepada dia," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pusat khidmatnya di Tambun, Perak.

Anwar juga tidak menerima sebarang bayaran daripada jawatannya dalam kerajaan.

Friday, October 28, 2022

Kuasa pengundi muda

agendaily.com
28/10/2022
Pengundi berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik.

Pada 19 November ini, rakyat akan memilih barisan pimpinan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang, dan dijangka lebih 21 juta pengundi termasuk 34 peratus pemilih baharu terlibat pada pilihan raya umum kali ini.

Antara yang menjadi perhatian utama ialah isu kelayakan mengundi bagi golongan berusia 18 tahun dan mereka yang layak namun tidak mendaftar sudah dimuktamadkan.

Pada 2019 lalu, Malaysia meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia layak mengundi dan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun selain mendaftarkan golongan berusia 18 tahun ke atas sebagai pemilih secara automatik. Pindaan itu yang diluluskan oleh Parlimen diwartakan dan berkuat kuasa pada Disember 2021.

Dianggarkan lebih 21 juta pemilih berdaftar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini dengan 58 peratus adalah mereka dalam kelompok usia 18 hingga 40 tahun. Belia berusia 18 hingga 20 tahun merangkumi 16 peratus daripada 6.9 juta pengundi baharu.

Angka bagi kelompok usia lain masih belum tersedia setakat ini.

Sementara itu, dalam kajian yang diterbitkan pada Mei 2021, Merdeka Center mendapati isu yang paling merisaukan golongan muda Malaysia ialah kewangan dan pekerjaan.

Sekalipun bilangan pengundi muda tidaklah begitu besar sehingga boleh mempengaruhi secara langsung kedudukan sesebuah kerusi, jumlah itu mungkin memadai untuk memberi kemenangan atau kekalahan bagi sesetengah calon yang bertanding.

Kita dapat lihat golongan muda sudah menunjukkan betapa pentingnya mereka semasa PRU-14 apabila sebilangan besar daripada mereka keluar memangkah Pakatan Harapan.

Kajian lain yang melibatkan orang muda juga mendapati mereka lebih bersifat egalitarian dan berasaskan merit, mengutamakan keluarga, perlindungan dan kesihatan serta alam sekitar. Rata-rata mereka berada atas pagar, demikian menurut Tinjauan Aspirasi Manifesto Belia 2022 yang dijalankan oleh AoD dan Undi18.

Pada masa sama, walaupun mereka peduli tentang isu, mereka tidak begitu berminat untuk terlibat dalam politik bagi memperjuangkan isu tersebut.

Pakar berpendapat usaha menarik belia menyertai politik adalah penting, iaitu bukan sekadar menjadi sebahagian daripada demokrasi dengan mengundi, tetapi melahirkan aktivis yang akan menjadi pemimpin pada masa depan.

Dalam pada itu, kajian Merdeka Center pada Mei 2021 mendapati hanya sekitar satu pertiga daripada golongan muda Malaysia berminat dengan politik. Kebanyakan mereka adalah lelaki, Melayu dan daripada kumpulan berpendapatan tinggi.

Tinjauan itu juga mendapati 78 peratus orang muda berasakan politik dan kerajaan sebagai sesuatu yang sukar, dan mereka menyatakan “tidak begitu faham dengan apa yang sedang berlaku.” Dua pertiga daripada pemilih muda berpendapat pegawai kerajaan serta ahli politik “tidak peduli tentang pendapat saya.”

Kajian terbaharu yang dilakukan ke atas mereka yang beragama Islam, berusia 15 hingga 25 tahun, diterbitkan pada Jun 2022, juga memberikan jawapan hampir sama, iaitu hanya satu pertiga berminat dengan politik.

Pengasas bersama pertubuhan hak belia Undi18, Tharma Pillai berkata, suara belia berusia 18 tahun diambil kira dalam pentadbiran kerajaan.

“Hak datang dengan tanggungjawab, dan di Malaysia, terdapat banyak tanggungjawab seperti tanggungjawab membayar cukai. Jika anda lakukan jenayah, anda akan (dibicarakan) sebagai orang dewasa. Anda juga boleh tandatangan kontrak. Semua ini adalah tanggungjawab.

“Oleh itu, kenapa anda tidak ada hak untuk memilih kerajaan yang membuat keputusan tentang semua tanggungjawab ini?” soalnya.

Dalam pada itu, penganalisis di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Lee Min Hui berkata, buat masa ini belum dapat dipastikan jika pendaftaran secara automatik sebagai pengundi buat mereka yang berusia 18 tahun ke atas turut bermakna jumlah pemilih muda yang keluar mengundi akan meningkat.

Menurut beliau, lazimnya, pembabitan dalam politik serta tahap sivik yang tinggi mencerminkan seseorang itu berkemungkinan besar akan keluar mengundi.

Bagaimanapun, kajian dan tinjauan mendapati belia Malaysia agak terkebelakang dalam aspek ini berbanding negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pembangunan Belia 2020.

Thursday, December 29, 2016

Persekutuan majikan jangka 50,000 pekerja dibuang tahun depan

FMT Reporters

Samsuddin berkata, sektor paling terjejas ialah kewangan dan insurans manakala pekerja sektor teknologi kewangan, teknologi insurans, pembuatan dan pembinaan juga berisiko tinggi diberhentikan.
PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan jumlah pekerja yang diberhentikan pada tahun depan akan terus meningkat antara 45,000 hingga 50,000 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif MEF, Datuk Samsuddin Bardan memberitahu Oriental Daily 31,000 pekerja diberhentikan setakat September lalu dan sehingga 50,000 orang dijangka dibuang tahun depan dengan sektor paling terjejas ialah kewangan dan insurans.

Beliau berkata, risiko pemberhentian kerja juga agak tinggi dalam sektor teknologi kewangan (Fintech), teknologi insurans (Insurtech), pembuatan dan pembinaan kerana kadar permintaan merosot.

Beliau meramalkan produk dan perkhidmatan di pasaran tempatan serta eksport kekal lemah sehingga menyebabkan harga barangan tidak stabil tahun depan dan ia seterusnya menyebabkan syarikat berdepan kesukaran apabila keuntungan merosot dan terpaksa membuang pekerja.

“Ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi di negara pengeksport utama, termasuk negara Eropah, Amerika Syarikat, China dan Jepun yang mengakibatkan pasaran eksport lemah. Dalam pasaran tempatan pula, harga barangan dan perkhidmatan akan naik menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat dan pengguna berwaspada ketika berbelanja.”

Dalam pada itu, Samsuddin berkata, kadar kenaikan gaji di kebanyakan syarikat tidak tinggi, malah lebih rendah daripada kadar kenaikan tahun ini.

Beliau berkata, kadar kenaikan gaji bagi pekerja bukan eksekutif tahun ini ialah 5.51% dan tahun depan dijangkakan 5.43%, manakala kadar kenaikan gaji bagi eksekutif pula ialah 5.55% tahun ini, tetapi ia mungkin sekitar 5.3% sahaja tahun depan.

Ini kerana, katanya, pendapatan dan keuntungan kebanyakan majikan terjejas dan dijangka mengalami penurunan 30% hingga 40% tahun ini berbanding 2015.

Beliau berkata, cabaran terbesar majikan pada tahun depan ialah bagaimana mengekalkan prestasi perniagaan dan jumlah pekerja ketika modal berniaga semakin meningkat.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-