Showing posts with label sekolah Cina dan Tamil. Show all posts
Showing posts with label sekolah Cina dan Tamil. Show all posts

Tuesday, March 10, 2020

NUTP harap Jawi di sekolah Cina dan Tamil diteruskan

BERITA
Ramieza Wahid

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

“NUTP pun turut mengharapkan menteri baru meneruskan usaha menyisipkan (pengenalan) tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sebagaimana perancangan asal KPM tanpa tunduk pada mana-mana pihak yang menentang.

“Kerana usaha dan kajian bagi melaksananya telah lama dibuat oleh pakar pakar pendidikan,” kata presidennya Aminuddin Awang ketika dihubungi Malaysiakini.

KPM memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi secara pilihan semasa pentadbiran menteri pendidikan lama Maszlee Malik bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Tiga halaman diperuntukkan bagi pembelajaran asas tersebut. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan hebat beberapa pihak, termasuk NGO berpengaruh China Dong Zong.

Sementara itu, NUTP juga berkata KPM meneruskan usaha menangani beban guru, tidak meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan memastikan bekalan talian Internet di sekolah berfungsi dengan baik.

NUTP turut menyambut baik tindakan Muhyiddin Yassin memecahkan pentadbiran pendidikan kepada kementerian pendidikan dan kementerian pengajian tinggi.

Jelasnya, ini kerana pentadbiran terdahulu jelas memperlihat beban berat yang ditanggung menteri pendidikan dan beberapa bidang juga gagal mendapat perhatian.

“Apa yang boleh nampak sebelum ini, sektor pengajian tinggi kurang mendapat fokus.

“Dengan adanya dua kementerian ini, diharapkan tiada lagi bahagian atau bidang yang terkeluar daripada radar pemacuan kecemerlangan oleh menteri,” katanya lagi.

Dua kementerian itu pernah berpecah di erah pentadbiran BN sebelum ini.

Menteri Pendidikan kini diambil alih oleh Dr Mohd Radzi Md Jidin bersama timbalannya, Dr Mah Hang Soon dan Muslimin Yahaya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi pula bakal diurus oleh Dr Noraini Ahmad bersama timbalannya, Dr Mansor Othman.

Tuesday, June 25, 2019

Hapus Sekolah Cina, Tamil: DAP nak kecam siapa?

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
25 JUNE 2019


BERTERUSAN nampaknya kecaman DAP terhadap PAS sehubungan dengan cadangan wakil Dewan Muslimat PAS Pusat, Salamiah Mohd Nor, supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil dihapuskan.

Hari ini giliran Ketua Pemuda DAP merangkap Ahli EXCO Kerajaan Perak, Howard Lee, pula mengecam PAS melalui tulisan bertajuk “tiada bukti masyarakat bertutur bahasa sama tak berpecah”.

Kata Howard Lee, cadangan ini “amatlah dangkal”, “'tin kosong' yang langsung tidak membina”, “pemikiran terpesong”, “berniat menyemai kebencian antara rakyat”, “berbaur hasutan” dan “mengundang permusuhan”.

Poin utama beliau adalah tuduhan bahawa sistem pendidikan vernakular tidak menyumbang kepada perpaduan kaum adalah tidak benar serta kelompok yang bercakap satu bahasa juga tidak semestinya sehati dan sealiran.

Saya tertanya-tanya kepada siapa sebenarnya semua kecaman DAP ini hendak ditujukan kerana jika kita teliti balik bukan PAS sahaja malah banyak pihak berwibawa lain yang turut mengutarakan perkara sama sebelum ini.

Termasuk di antara tokoh-tokoh ini adalah pemimpin kerajaan sekarang seperti:-

(1) Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, yang menyatakan pada 25 Oktober 2018 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil adalah penghalang kepada perpaduan nasional, 28 Jun 2018 bahawa beliau berharap untuk melihat wujudnya satu sistem sekolah sahaja, di samping menyatakan perkara sama sebelum ini, antaranya pada 14 Disember 2008, 20 Jun 2012 dan 17 November 2014.

(2) Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah, yang menyatakan pada 1 Disember 2008 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan semua kanak kanak dikehendaki mengikut satu sistem persekolahan untuk mencapai kesamarataan dan perpaduan.

(3) Datuk A Kadir Jasin, Pegawai Media kepada Perdana Menteri, yang menyatakan pada 5 Disember 2008 bahawa “tidak guna kita mengekalkan sistem yang ada sekarang semata-mata kerana cauvinisme politik sedangkan sistem pendidikan kita hambar dengan pelajar pelbagai kaum yang tebal perkauman serta lemah dalam semua bahasa yang kononnya diperjuangkan”.

Termasuk di antara tokoh-tokoh ini juga adalah golongan istana seperti:-

(1) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, yang menyatakan pada 7 Mei 2015, 21 September 2016 dan 3 November 2016 bahawa sekolah rendah hanya perlu memiliki satu aliran dengan bahasa kebangsaan harus dijadikan bahasa penghantar bagi mengatasi masalah perpaduan kaum.

(2) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, yang menyatakan pada 4 September 2016 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan digantikan dengan sekolah satu aliran.

Termasuk di antara tokoh-tokoh ini juga adalah golongan agamawan seperti:-

(1) Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak, yang menyatakan pada 23 September 2015 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dimansuhkan bagi mengurangkan masalah perbalahan kaum yang semakin meruncing.

(2) Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Mufti Perlis, yang menyatakan pada 24 Disember 2018 bahawa semua anak Malaysia hendaklah melalui pendidikan sistem sekolah kebangsaan dari umur tujuh tahun sehingga ke umur dua belas tahun.

Termasuk di antara tokoh-tokoh ini juga adalah golongan cendekiawan seperti:- 

(1) Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, pakar sejarah UM (waktu itu), yang menyatakan pada 2 Disember 2008 bahawa cadangan menyatukan sistem persekolahan sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes (1950) dan 22 Oktober 2009 bahawa sistem sekolah satu aliran perlu dilaksanakan bagi mewujudkan perpaduan kaum.

(2) Prof Datuk Dr Ramlah Adam, Rektor KYM (waktu itu), yang menyatakan pada 2 Disember 2008 bahawa cadangan menyatukan sistem persekolahan asalnya diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan diterjemahkan dalam Penyata Razak 1956 dan pelaksanaannya akan dapat mengeratkan perpaduan kaum.

(3) Datuk Mohd Noor Abdullah, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, yang menyatakan pada 12 Mei 2013 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan kerana ia bukan sahaja memecahbelahkan masyarakat malah tidak diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

(4) Prof Dr Rosnani Hashim, pakar pendidikan UIA (waktu itu), yang menyatakan pada 5 Februari 2013 bahawa sekolah-sekolah Cina gagal memupuk perpaduan di kalangan pelajar sekolah dan melemahkan penguasaan bahasa Melayu.

(5) Tan Sri Dr Abdul Rahmad Arshad, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, yang menyatakan pada 12 Mei 2013 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan digantikan dengan sekolah aliran tunggal bagi menyatukan sistem persekolahan.

(6) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Utama KITA, UKM, yang menyatakan pada 27 September 2015 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan digantikan dengan sekolah kebangsaan.

(7) Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, pakar peradaban UNISZA, yang menyatakan pada 25 Januari 2016 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan digantikan dengan sekolah kebangsaan.

(8) Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Harun, pakar pendidikan UM, yang menyatakan pada 8 Januari 2019 bahawa Malaysia perlukan sekolah rendah satu aliran bagi mengukuhkan asas keharmonian negara.

(9) Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, yang menyatakan pada 24 Mac 2019 bahawa beliau menyokong hanya wujudkan sekolah satu aliran demi perpaduan yang utuh.

Ramai lagi tokoh-tokoh lain yang berpandangan sama, termasuk dari dunia akademik, politik atau pentadbiran, tetapi cukuplah dengan senarai ini sahaja dahulu.

Malah, secara berkumpulan, pelbagai NGO Melayu Islam juga berpandangan sama, termasuklah:-

(1) Gabungan 130 NGO Melayu Islam yang menyatakan pada 11 Jun 2013 bahawa kerajaan hendaklah menghapuskan sekolah-sekolah Cina dan Tamil dan mewujudkan satu aliran sekolah kebangsaan.

(2) Gabungan lebih 300 NGO Melayu Islam yang menyatakan pada 23 November 2014 bahawa kerajaan hendaklah menghapuskan sekolah-sekolah Cina dan Tamil dan mewujudkan satu aliran sekolah kebangsaan.

(3) Gabungan 10 NGO Melayu Islam yang menyatakan pada 23 Mei 2019 bahawa kerajaan hendaklah menghapuskan sekolah-sekolah Cina dan Tamil dan mewujudkan satu aliran sekolah kebangsaan.

Apakah DAP mahu menyatakan bahawa kenyataan semua tokoh ini “amatlah dangkal”, “'tin kosong' yang langsung tidak membina”, “pemikiran terpesong”, “berniat menyemai kebencian antara rakyat”, “berbaur hasutan” dan “mengundang permusuhan”?

Mengapakah pula DAP bersikap sangat selektif dan hanya berani membuat laporan polis terhadap PAS sahaja sedangkan banyak pihak lain yang turut membuat gesaan seperti yang dibuat oleh PAS, khususnya gesaan yang dibuat selepas berlangsungnya PRU 14?

DAP mahu kecam PAS atau mahu kecam siapa sebenarnya?

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF 
- HARAKAHDAILY 25/6/2019

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-