Showing posts with label Jawi. Show all posts
Showing posts with label Jawi. Show all posts

Friday, February 26, 2021

MCA upah peguam bela 8 tertuduh protes Jawi di Jerantut

ismaweb.net
Siti Hafidah

Anggap semua tertuduh hanya amal hak kebebasan bersuara


BANGI, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Parti perkauman MCA dilaporkan bakal melantik peguam bagi membantu lapan lelaki yang didakwa di mahkamah kerana pembabitan mereka dalam ‘bantahan kemasukan pembelajaran Jawi dalam kurikulum pendidikan Cina’.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan isu itu, selain beranggapan semua tertuduh hanya mengamalkan hak kebebasan bersuara mereka dalam keadaan yang aman seperti dibenarkan dalam Perlembagaan negara.

Katanya lagi, mereka menyuarakan permohonan dengan aman, tanpa menjejaskan keamanan awam.

“Oleh itu, MCA rasa bertanggungjawab melantik peguam untuk membantu mereka, selain membela mereka di mahkamah bagi melindungi dan mendapatkan semula hak mereka,” katanya seperti dilapor Oriental Daily, semalam.

Sebelum ini, lapan lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Jerantut kerana perhimpunan haram diadakan 18 bulan lepas bagi memprotes penggunaan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular.

Media melaporkan Goh Say Aik, Leong Ah Kow, Yong Loong Sang, Cheong Sai Kow , Chip Tong Sang, Chip Meng Sung, Wong Keng Yau dan Kong Teck Fook mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.30 pagi, 20 Ogos 2019 di depan SRJK Sungai Jan di Jerantut.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda, atau kedua-dua sekali.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, July 12, 2020

GERAKAN beri amaran jangan paksa bukan Islam belajar Jawi


Tong Keong tuduh Dr Zulkifli ada agenda tersembunyi, ekstrem


PULAU PINANG, 19 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong bertegas, mahu menentang habis-habisan jika orang bukan Islam disuruh untuk mempelajari tulisan Jawi.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bahawa hari Jumaat diumumkan sebagai ‘Hari Jawi’ bermula, semalam.

Dr Zulkifli berkata, bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi.

Beliau turut menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, Tong Keong memberi hujah bahawa, Perlembagaan Malaysia dengan jelas menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

“Mengapa menteri ini perlu membangkitkan isu penggunaan Jawi. Ini menunjukkan pihak sana ada agenda yang lebih besar tersembunyi di belakang tabir.

“Malaysia ialah sebuah negara majmuk, kalau beliau berpendapat setelah mendapat kelulusan Kabinet, beliau boleh menyebarkannya (Jawi) kepada orang bukan Islam, mereka telah membuat kesilapan besar.

“GERAKAN bakal bersungguh-sungguh menghalang muslihat ini,” katanya seperti dilapor portal berbahasa Cina, Oriental Daily.

Tong Keong yang juga merupakan Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang berkata, sebelum ini pemimpin PAS telah berterusan mencetuskan ketidakpuasan hati orang bukan Islam.

Namun kini, katanya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang telah menyertai Kabinet pula berbuat demikian.

“Walaupun Zulkifli tidak menyertai Kabinet atas tiket PAS, tetapi menilai dari tutur kata dan perlakuannya, tiada beza dengan pemimpin PAS yang ekstrem dan selalu memainkan isu perkauman.

“Kalau beliau mahu mengikut jejak pemimpin PAS, maka bersedialah menghadapi akibatnya,” katanya memberi amaran.

Tong Keong juga mengingatkan Dr Zulkifli jika ia Hari Jawi adalah gerakan yang bermatlamat untuk menggalakkan penggunaan Jawi, maka ia hanya patut melibatkan orang Islam sahaja.

“Jika niat beliau ialah untuk memaksa orang bukan Islam terlibat sama, GERAKAN akan menentang habis-habisan.

“Pada zahirnya Dr Zulkifli berkata bahawa matlamatnya adalah untuk menggalakkan penggunaan Jawi tetapi kita tidak tahu apa yang beliau akan lakukan secara tersembunyi,” katanya.

Tuesday, March 10, 2020

NUTP harap Jawi di sekolah Cina dan Tamil diteruskan

BERITA
Ramieza Wahid

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

“NUTP pun turut mengharapkan menteri baru meneruskan usaha menyisipkan (pengenalan) tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sebagaimana perancangan asal KPM tanpa tunduk pada mana-mana pihak yang menentang.

“Kerana usaha dan kajian bagi melaksananya telah lama dibuat oleh pakar pakar pendidikan,” kata presidennya Aminuddin Awang ketika dihubungi Malaysiakini.

KPM memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi secara pilihan semasa pentadbiran menteri pendidikan lama Maszlee Malik bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Tiga halaman diperuntukkan bagi pembelajaran asas tersebut. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan hebat beberapa pihak, termasuk NGO berpengaruh China Dong Zong.

Sementara itu, NUTP juga berkata KPM meneruskan usaha menangani beban guru, tidak meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan memastikan bekalan talian Internet di sekolah berfungsi dengan baik.

NUTP turut menyambut baik tindakan Muhyiddin Yassin memecahkan pentadbiran pendidikan kepada kementerian pendidikan dan kementerian pengajian tinggi.

Jelasnya, ini kerana pentadbiran terdahulu jelas memperlihat beban berat yang ditanggung menteri pendidikan dan beberapa bidang juga gagal mendapat perhatian.

“Apa yang boleh nampak sebelum ini, sektor pengajian tinggi kurang mendapat fokus.

“Dengan adanya dua kementerian ini, diharapkan tiada lagi bahagian atau bidang yang terkeluar daripada radar pemacuan kecemerlangan oleh menteri,” katanya lagi.

Dua kementerian itu pernah berpecah di erah pentadbiran BN sebelum ini.

Menteri Pendidikan kini diambil alih oleh Dr Mohd Radzi Md Jidin bersama timbalannya, Dr Mah Hang Soon dan Muslimin Yahaya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi pula bakal diurus oleh Dr Noraini Ahmad bersama timbalannya, Dr Mansor Othman.

Saturday, January 11, 2020

Kalau tak setuju jangan biadab

January 11, 2020


BIARPUN kita tidak bersetuju dengan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi, jangan pula bersikap biadab. Sebuah halaman di Facebook baru-baru ini dipercayai menjadi medan netizen dalam kalangan orang Cina, apabila bertindak biadab menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan panggilan ‘nenek sihir rasis’.

Apakah mereka lupa bahawa telah termaktub di dalam Rukun Negara bahawa kesetiaan pada Raja dan Negara adalah sesuatu yang dituntut. Di negara luar, tindakan biadab terhadap Raja boleh dikenakan tindakan yang keras.

Adakah mereka lupa bahawa toleransi Raja-raja Melayu dalam isu kerakyatan sebelum kemerdekaan dahulu membolehkan pendatang warga China diberikan kewarganegaraan dalam pembinaan negara yang harmoni.

Malah penghinaan terhadap tulisan Jawi tidak seharusnya berlaku. Tulisan Jawi adalah warisan bangsa Melayu. Jangan dihina tulisan yang telah merekodkan pelbagai khazanah ilmiah orang Melayu. Adakah mereka tahu bahawa dokumen pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957 yang ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman ialah dalam tulisan Jawi?

Undang-undang Hukum Islam terdahulu turut direkodkan di dalam tulisan Jawi. Perhatikan sahaja Batu Bersurat Terengganu yang menjadi bukti kepentingan tulisan ini dalam urusan pentadbiran Melayu suatu ketika dahulu.

Sedarkah mereka bahawa Sasterawan dan pejuang bahasa berbangsa Cina, Dr. Lim Swee Tin sendiri tidak melihat sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan Jawi dalam buku teks sekolah. Malah menurut beliau, cadangan itu tidak merugikan sesiapa dan malah membolehkan murid mendalami bentuk penulisan warisan bangsa selain tulisan Jawi sendiri mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Semangat kebencian terhadap Raja Melayu dan Tulisan Jawi ini tidak lain hanya akan menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Kumpulan penentang seperti Dong Zong mestilah diharamkan. Parti politik yang menyokong Dong Zong seperti DAP dan MCA mestilah menghentikan penentangan ini.

Semoga Allah membimbing kita

DR. AHMAD SANUSI AZMI

Friday, January 10, 2020

‘Kenapa menteri tak bersungguh isu jawi seperti tanglung?

Tak kisah gantung di SJK, tapi ini sekolah kebangsaan, janganlah 'over'
10/01/2020


BANGI, 14 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah kesal apabila isu perhiasan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah di Puchong, Selangor lebih mendapat ‘perhatian’ menteri-menteri, berbanding isu tulisan jawi yang ditentang pertubuhan radikal Cina.

Beliau mengakui sedih kerana perjuangan tulisan jawi tidak mendapat sokongan pemimpin Pakatan Harapan (PH), walhal kedudukan jawi jauh lebih besar daripada tanglung dalam soal perpaduan.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah, tujuh menteri dan mungkin lebih, serta pemimpin-pemimpin besar berkunjung ke satu sekolah semata-mata untuk menyaksikan betapa pentingnya perpaduan gara-gara tanglung.

“Bab tanglung mereka bersungguh-sungguh. Sedihnya bila bab jawi, tidak pula bersungguh-sungguh macam ni, apa nak jadi…Istighfar dan mengucap panjang saya.

“Bila tiba bab tanglung, soal perpaduan. Sampai bab jawi tidak kedengaran pula pasal perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jawi bukan sahaja perlu difahami sebagai jati diri dan identiti majoriti orang Melayu, pada masa sama, lambang jata negara, lambang negeri-negeri, tanda halal, dan banyak lagi, terdapat tulisan jawi.

“Malangnya, nak laksanakan jawi, kena tanya PIBG (Dong Zong). Sedihnya. Yang melibatkan hak kepada yang berhak, tak bersungguh-sungguh.

“Bila tiba hak kepada yang belum tentu namanya hak, kerana melibatkan undi, bersungguh-sungguh. Bila kita nak insaf ni?,” katanya.

Pada masa sama, Ridhuan Tee berkata, beliau tidak menafikan hak minoriti dan menegaskan bahawa mereka mesti dijaga.

“Tetapi jangan sampai hak majoriti tenggelam dalam hak minoriti. Teringat saya hak orang Uyghur di China. Apalah hak yang mereka ada.

“Saya tidak hairan sangat kalau semua identiti tersebut digantung di Sekolah Jenis Kebangsaan atau Sekolah Persendirian.

“Tetapi untuk sekolah kebangsaan, buatlah berpada-pada, jangan ‘over’. Jika tanglung sebesar gergasi dibawa dan digantung, jangan lupa bila tiba Hari Raya nanti, gantunglah lambang ketupat sebesar lori,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati para pemimpin untuk tidak bertindak berat sebelah hanya kerana undi.

“Cukup-cukuplah, kalau terlalu kemarukkan undi, jangan buat macam ini, tidak baik untuk pembinaan negara bangsa.

“Dibimbangi bila tiba perayaan agama lain nanti, macam-macam yang pelik-pelik digantung di sekolah aliran kebangsaan. Bila ada precedent, nanti semua orang nak, tak kira berhak ke tidak. Justeru, berpada-padalah,” katanya.

Isu tanglung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 menjadi kontroversi selepas ada pemimpin pembangkang mendakwa, ia dipasang secara berlebihan serta dikaitkan sebagai usaha untuk menyebarkan agama lain kepada murid Islam.

Susulan perkara itu, pihak sekolah bertindak menurunkan perhiasan berkenaan, yang sekali gus menerima kecaman kebanyakan menteri dan timbalan menteri.

Bagaimanapun, satu majlis diadakan untuk memasang semula tanglung di sekolah terbabit yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa menteri lain, antaranya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching serta Menteri Beliau dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Thursday, January 9, 2020

Tanglung lebih utama dari jawi?

09/01/2020
Adakah ini sebenarnya konsep Rahmatan Lil Alamin yang ingin dibawa


1. TUJUH Menteri Kabinet dilaporkan turun ke sebuah sekolah di Puchong untuk memberikan sokongan terhadap pemasangan tanglung setelah perhiasan Tahun Baru Cina tersebut mendapat bantahan dari netizen.

2. Ketika netizen mempersoalkan pemasangan perhiasan berlebihan ini, tujuh orang Menteri Kabinet sanggup turun memberikan sokongan terhadap isu ini. Tanglung dikatakan membawa kepada perpaduan.

3. Apa yang menyedihkan, sokongan yang sama tidak kelihatan ketika 900 SJKC membantah pembelajaran yang melibatkan elemen jawi disekolah. Bahkan jawi dikatakan menimbulkan unsur Islamisasi bahkan menakutkan kaum lain.

4. Pada pengamatan umum, orang Melayu sebenarnya tiada masalah pun dengan perhiasan tanglung ini. Namun apabila jawi dibantah secara besar-besar oleh DAP, MCA mahupun Gerakan, isu ini semakin menimbulkan kegelisahan.

5. Perhatikan betapa konsistennya DAP dan MCA membantah isu Zakir Naik, sehingga NC UNIMAP digesa untuk dipecat. Dalam isu ini, pemimpin muslim seakan terkulai layu. Sokongan yang ditampilkan tidak seperti menjulang pemasangan tanglung ini.

6. Perhatikan isu kematian Adib. Sokongan Rahmatan menjulang tangan erat padu bersama pemimpin kuil. Nyawa seorang muslim yang terkorban itu sehingga kini menjadi persoalan buat keluarga yang menuntut keadilan.

7. Adakah ini konsep Rahmatan yang ingin dibawa? Menawarkan kelunakan yang tinggi dalam isu orang lain, namun dalam isu yang memburukkan Islam, kita seakan layu, diam seribu.

Semoga Allah membantu kita mempertahankan hak Islam dan muslim.


Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Wednesday, January 8, 2020

Pelajaran Jawi: Borang persetujuan ibu bapa diedar di sekolah vernakular


BERITA

Sekolah dibuka semula pada tahun baru ini dan salah satu perubahan sukatan pelajaran yang paling banyak dibicarakan adalah buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 untuk sekolah vernakular yang kini sedang digunakan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menetapkan garis panduan yang menyerahkan kepada ibu bapa untuk menentukan tentang pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Operasinya dikendalikan dengan mengedarkan borang pilihan persetujuan kepada ibu bapa pada awal tahun sekolah. 

Jika lebih daripada separuh ibu bapa bersetuju dengannya, halaman tiga muka surat tersebut akan dimasukkan ke dalam pelajaran.

Setelah menerima pendapat daripada ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan memutuskan perkara tersebut dan menyerahkan respons kolektif kepada jabatan pendidikan daerah masing-masing. Sekiranya tiada PIBG, Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) akan mengambil langkah untuk membuat keputusan.

Borang tersebut yang dilihat oleh Malaysiakini bertajuk "Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Dalam Kurikulum Mata Pelajaran Bahasa Melayu Untuk Murid Tahun 4 Di Sekolah Jenis Kebangsaan Mulai Tahun 2020".

Ibu Bapa atau penjaga boleh tandakan "setuju" atau "tidak setuju" dengan pelaksanaan pelajaran untuk anak mereka.
Diperiksa dengan beberapa sekolah Tamil mendapati bahawa kesemua mereka telah menerima borang sebelum sekolah bermula pada 2 Januari dan sejak itu diedarkan salinannya kepada ibu bapa murid Tahun 4.

Ibu bapa diberi masa 14 hari untuk menyerah semula borang tersebut di sekolahnya.

Antara sekolah Tamil dihubungi oleh Malaysiakini adalah SJKT St Teresa Convent (Taiping), SJKT Serdang, SJKT Jalan Lobak (Seremban), SJKT Highlands (Klang) and SJKT Jalan Fletcher (Kuala Lumpur).

"Kami menerima borangnya beberapa hari sebelum sekolah bermula dan bila sekolah dibuka kami mengedarkan. Kami telah pun memberi kepada kesemua ibu bapa," kata Timbalan Pengerusi PIBG SJKT St Teresa Convent R Subramaniam.

Beberapa SJKC masih tidak terima borang

Pemeriksaan dengan empat buah sekolah rendah Cina, bagaimanapun mendapati dua daripadanya masih menunggu borang pilihan persetujuan daripada kementerian manakala lagi satu sekolah baru menerimanya.

Bila dihubungi, AJK PIBG SJKC Kheow Bin (Kuala Lumpur) Michael Koid berkata beliau masih belum melihat borang itu.

"Kami belum menerima borang itu. Jika, kami terima borang, kami akan edarkan," katanya kepada Malaysiakini.

Seperti juga, AJK PIBG SJKC Mun Choong, Ong U Chin memberitahu bahawa dia tidak berpengetahuan dengan borang diberikan kepada ibu bapa murid Tahun 4.
Seorang guru dari tahun ketiga sekolah rendah Cina di Lembah Klang, yang enggan memperkenalkan diri kerana jawatan sebagai penjawat awam memberitahu Malaysiakini bahawa sekolah itu hanya menerima borang tersebut pada hari Selasa (7 Jan) dan akan mengagihkannya kepada ibu bapa esok (8 Jan).

Sementara itu, Pengerusi PIBG SJKC Hwa Lien 3 (Taiping) Ooi Cheng Cheng memberitahu Malaysiakini bahawa sekolahnya telah mengedarkan borang kepada ibu bapa pada hari Isnin minggu ini.

"Kami meminta ibu bapa Tahun 4 untuk menghadiri dan kami (mengagihkan) borang di dewan sekolah. Sebelum ini, kami telah pun memberitahu mereka tujuan perhimpunan pada Isnin ini.

"Beberapa daripada mereka telah memberi balik borang itu," kata Ooi.

Pelajar selain darjah 4 turut diagihkan borang

Di beberapa sekolah Tamil, wakil PIBG mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa borang tersebut juga diagihkan kepada ibu bapa di mana anaknya bukan daripada Tahun 4.

Subramaniam, anaknya belajar di SJKT St Teresa dan SJKT Kamunting (Perak) tetapi tiada siapa yang belajar dalam Tahun 4, masih diminta mengisi borang itu.

"Mereka (kementerian) berkata bahawa borang hanya kepada murid Tahun 4, tapi beberapa sekolah mengedarkan borang itu kepada murid Tahun 1,2 dan 3.

"Mereka memberi kepada semua [...} dan meminta ibu bapanya untuk mengisi borang itu," katanya.

Seorang bapa kepada murid Tahun 1 di SJKT Jalan Fletcher (Kuala Lumpur) memberitahu bahawa beliau juga diminta untuk mengisi borang persetujuan.

Sementara itu, R Kannan merupakan AJK Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat), sebuah badan yang sebelum ini berkempen menentang pengenalan tulisan Jawi, mempersoalkan kekeliruan yang terdapat dalam pengedaran borang itu.

"Penulisan Jawi hanya sepatutnya diperkenalkan kepada pelajar pada Tahun 4.

"Jadi kenapa kementerian mengedarkan borang persetujuan kepada pelajar pada Tahun 6 (dan tahun-tahun lain)?" tanya beliau.

Malaysiakini telah menghubungi KPM untuk mendapatkan penjelasan.

Sunday, January 5, 2020

Penentang tulisan Jawi kadang-kadang keterlaluan, kata Anwar

Faiz Zainudin
-January 5, 2020 4:09 PM

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, pihak yang menentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah sebagai keterlaluan sehingga menyentuh perasaan orang Melayu.

SERDANG: Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tulisan Jawi tidak sepatutnya dijadikan isu sehingga menggugat perpaduan rakyat di negara ini.

Presiden PKR itu pada masa sama turut menyifatkan mereka yang menentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah sebagai keterlaluan sehingga menyentuh perasaan orang Melayu.

“Ia (tulisan Jawi) adalah khazanah, kadang-kadang yang menentang itu pun agak keterlaluan menyentuh perasaan orang Melayu, seolah-olah Jawi sudah kuno. Sangskrit kuno, tapi orang masih belajar. Latin kuno, tapi dalam banyak ilmu masih perlu dikuasai.

“(Belajar tulisan Jawi) bukan untuk dikuasai sehingga menjadi tulisan kebangsaan, tapi untuk kita ketahui, harus ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan murid cemerlang UPSR sekolah Tamil Selangor di Serdang hari ini.

Anwar berkata, pengajaran tulisan Jawi di sekolah yang hangat diperkatakan itu hanyalah pengenalan asas tulisan itu dan tidak lebih daripada itu.

“Saya tidak fikir bahasa Melayu itu tidak dapat dikuasai tanpa sedikit pengetahuan tentang asalnya. Ini khazanah bahasa kebangsaan, bukan hanya satu serpihan.

“Yang diperkenalkan itu (tulisan Jawi) juga tidaklah sehingga satu bab. Hanya 2, 3 halaman untuk sekadar kenal. Saya tidak fikir itu jadi masalah.

“Sekadar nak bagi pandangan setuju atau tidak setuju itu tidak mengapa, tapi tidak perlu hangatkan. Kalau kita hangatkan, ia digambarkan seperti menghina sejarah khazanah bahasa dan orang Melayu. Ini tidak sihat,”katanya.

Anwar berkata, isu perbezaan pendapat tentang penggunaan tulisan Jawi boleh diselesaikan dengan dialog, bukannya berkeras menunjukkan siapa ingin juara.

“Kalau boleh dileraikan diadakan dialog jangan tunjuk kekuatan. Kalau kita nak tunjuk kekuatan, ada tindak balasnya.

“Jika ini yang berlaku, negara rugi sebab sepatutnya negara bicara soal mutu pendidikan. Persaingan berlaku dalam konteks ekonomi dunia dan keperluan kita kuasai bidang pendidikan,” katanya.

Pengenalan tulisan Jawi dalam 3 halaman buku teks Bahasa Malaysia untuk pelajar Tahun Empat mendapat bantahan, antaranya daripada kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong.

Kumpulan berkenaan pada mulanya merancang untuk mengadakan kongres berhubung tulisan Jawi bagi menyatakan bantahan berkenaan, bagaimanapun dibatalkan selepas polis berjaya mendapat perintah mahkamah menghalangnya atas sebab keselamatan.

Thursday, January 2, 2020

Jangan biarkan ‘Tongkang Melayu’ ini karam

Jangan biarkan ‘Tongkang Melayu’ ini karam
January 2, 2020

‘TONGKANG Melayu’ dah pecah kata Rais Yatim.

Satu pengakuan jujur bahawa apabila kuasa politik Melayu dipecahkan, bagai tongkang yang pecah ia menjadi lemah dan kendur, hanyut menunggu masa karam dan dilupakan.

Kekuatan politik adalah tonggak dan punca kuasa. Apabila ia tiada, maka anasir lain naik berkuasa dan merekalah yang akan tentukan nasib dan masa depan semua.

Kerana ‘Tongkang Melayu’ pecah maka kata Rais kita dilanyak.

Jangan pandai-pandai mahu ‘paksa’ anak-anak kami mempelajari tulisan Jawi. Ini agenda ‘Islamisasi’ nak Islamkan anak-anak kami. Kami tentang.

Kami mahu Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, kerana ia peluang kami menguasai kerajaan ketiga, kami kan punya kuasa politik, Melayu kan sudah mahu karam.

Kami mahu tulis kembali sejarah. PKM juga pejuang kemerdekaan. Chin Peng, Rashid Maidin dan lain-lain walau tangan bergelumang dengan darah anak bangsa adalah wira kami. ‘Tongkang Melayu’ kan dah pecah, pergi rawat dan tampal ia, kerana tongkang kami yang gagah sudah ambil-alih.

Pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik adalah pengganas, beliau pecah belahkan masyarakat Malaysia lalu beliau mesti diterajang kembali ke negaranya. Walau beliau disayangi umat Islam tempatan, kami bencinya. Yang pegang tampuk kuasa kini kami, jangan berani cabar kami.

Teruk dan hina kita dilanyak hanya kerana kita lupa dan terpedaya kini ‘tongkang’ kita pecah dan bakal karam menjadi tukun di dasar laut.

Segeralah sedar dan insaf umat Melayu Islam. PAS dan Umno tidak rela tongkang ini terus dilanyak dan dikaramkan.

Bangkitlah atas kenisafan kesilapan lampau kita bersama pulih dan bina kembali kekuatan.

Umat Melayu Islam bukan bangsa untuk dilanyak di tanah airnya sendiri, tetapi ia wajar memegang kuasa dan teraju.

Muafakat Nasional adalah politik baru yang mahu memulihkan ketempangan ini dan mengembalikan kuasa kepada yang berhak dan layak.

Bersama kita dukung politik baru ini kecuali kita mahu terus karam dan dipupuskan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
 – HARAKAHDAILY
    2/1/2020

Saturday, December 28, 2019

Ambil tindakan ke atas pihak ancam ganggu majlis Dong Zong, kata Kit Siang

FMT Reporters
December 28, 2019

Pemimpin DAP Lim Kit Siang.

PETALING JAYA: Susulan perintah melarang kumpulan pendidikan Cina Dong Zong daripada mengadakan satu kongres berkaitan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular, pemimpin DAP Lim Kit Siang hari ini menggesa polis mengambil tindakan ke atas pihak yang mengancam untuk mengganggu acara tersebut.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, polis sepatutnya tidak mengharamkan majlis tersebut walaupun ia berdepan tekanan berikutan “ancaman kumpulan ekstremis yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan mencetuskan kekacauan”.

“Kini pihak polis bertanggungjawab membuktikan bahawa ia bersikap adil dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang tidak mempunyai apa-apa sebab untuk mengganggu satu pertemuan tertutup anjuran Dong Zong,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata, Wawasan 2020 tidak akan tercapai pada tahun depan, yang akan bermula 4 hari lagi, sekiranya rakyat tidak dapat menyelesaikan krisis berhubung tulisan Jawi itu dengan “cara Malaysia yang aman dan sepakat”.

Friday, December 27, 2019

MCA, Pemuda DAP pertikai arahan pembatalan kongres Jawi Dong Jiao Zong


BERITA

MCA menyuarakan bantahannya terhadap pembatalan kongres anjuran Dong Jiao Zong berhubung tulisan Jawi yang dijadual berlangsung esok.

Menyifatkannya sbagai diskriminasi, setiausaha agungnya Chong Sin Woon membangkitkan penganjuran Kongres Maruah Melayu pada Oktober lalu yang dibenarkan berlangsung.

"Kerajaan boleh anjurkan Kongres Maruah Melayu, pertubuhan Cina tak boleh anjur pertemuan tertutup?

"Adakah Cina tak ada hak berhimpun?" soalnya dalam hantaran Facebook.

Hantaran itu diiringi tanda pagar peribahasa Cina yang membawa maksud menyekat pemikiran manusia lebih berbahaya berbanding menyekat arus sungai.

Polis hari ini mendapat perintah mahkamah untuk membatalkan penganjuran kongres itu, yang diserahkan kepada Dong Zong petang tadi.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, perintah mahkamah dikeluarkan kerana mendapati program itu berisiko mencetuskan ketegangan.

"Oleh yang demikian, kehadiran kamu di Dewan Kolej Universiti New Era Kajang pada 28 Disember 2019 (Sabtu) adalah dengan ini dilarang, dan kamu diberi amaran agar tidak berada atau berkumpul atau mengambil apa-apa bahagian dalam persidangan itu," menurut dokumen itu.

Dong Zong berkata pihaknya menghormati perintah mahkamah itu dan akan membatalkan program tersebut.

Sementara itu, ketua pemuda DAP Howard Lee berkata langkah polis mendapatkan perintah mahkamah itu sebagai bercanggah dengan hak perlembagaan rakyat Malaysia, berhubung kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

Katanya, langkah polis itu adalah satu reaksi berlebihan dan menetapkan duluan yang tidak baik untuk "Malaysia baru".

"Polis patut melindungi hak Dong Zong berhimpun secara aman, seperti mana penganjur Kongres Maruah Melayu dilindungi. Hak untuk berbeza pendapat di kalangan warga adalah tulang belakang demokrasi," katanya dalam kenyataan.

Tuesday, December 24, 2019

Kalau bantah awal, tak jadi sumpah laknat, kata Najib

FMT Reporters
-December 23, 2019 11:13 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata,jika pihak berkuasa agama membantah keinginannya untuk membuat sumpah laknat, beliau pasti menarik balik hasrat itu.

PETALING JAYA : Bekas perdana menteri, Najib Razak mempersoalkan tindakan pihak berkuasa agama yang tidak menghalang beliau melakukan sumpah laknat meskipun telah diumumkan 2 hari lebih awal.

Namun katanya, dalam tempoh tersebut tiada mana-mana pihak berkuasa agama menyatakan bantahan.

“Saya sengaja umumkan untuk bersumpah 2 hari lebih awal. Tujuan saya buat begitu adalah untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa agama seperti Jawi dan Mufti Wilayah membantah atau menghalang saya.

“Ya, saya orang yang mudah dibawa bincang. Jika ada bantahan awal, sudah pasti saya akan menarik kembali hasrat saya. Malangnya tiada,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Jumaat lalu, Najib mengangkat sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru bagi menafikan tuduhan bahawa beliau mengarahkan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Hari ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan berhubung penyalahgunaan masjid untuk tujuan peribadi atau politik dan menegaskan tiada istilah sumpah laknat dalam perundangan Islam.

Menurut Najib, kenyataan Jawi dan mufti pada hari ini mungkin kebetulan, namun beliau mengambil kritikan itu dengan hati terbuka.

“Selepas 2 hari saya bersumpah, maka Jawi dan pejabat mufti secara serentak mengeluarkan kenyataan. Mungkin ia kebetulan, saya tetap mengambil nasihat dan kritikan dengan hati yang terbuka.

“Hati saya cukup berat, ya mungkin Allah bagi saya petunjuk kepada bahawa isu bersumpah akan menjadi polemik besar,” katanya.

Sebelum ini, bekas polis, Azilah Hadri yang berdepan hukuman mati membuat tuduhan melalui akuan sumpah menyebut beliau diarahkan Najib untuk membunuh dan menghapuskan Altantuya pada tahun 2006.

Monday, December 23, 2019

Jawi: Pro atau anti, jangan teruskan sidang, kata Anwar

BERITA

Anwar Ibrahim menggesa penganjuran “sidang” berkaitan Jawi, sama ada menolak atau menyokong, tidak diteruskan.

Presiden PKR berkata beliau bimbang ia akan “menghangatkan suhu politik dan kaum”.

“Justeru itu, saya menggesa semua pihak termasuk Dong Zong untuk kembali ke ruang dialog.

“Penganjuran sidang anti-Jawi akan mengundang reaksi sidang pro-Jawi,” katanya.

Beliau merujuk langsung kepada kongres kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong di Kajang, yang dijadualkan hujung minggu ini.

Anwar juga menggesa “pertubuhan Melayu lainnya” tidak meneruskan agenda mereka, jika ada.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar juga mengingatkan bahawa tulisan Jawi merupakan sebahagian dari khazanah budaya bangsa dan negara.

“Bahasa Melayu dan kini bahasa kebangsaan mula ditulis dalam huruf Arab yang diubah suai kepada tulisan Jawi,” katanya.

Justeru, katanya, Ikhtiar kerajaan perlu dilihat sebagai antara langkah menyemarakkan kesedaran lintas budaya.

“Malaysia kekal sebagai negara pelbagai kaum dan budaya; dan kita harus berbangga dan menghormati kepelbagaiannya.

“Keutamaan bidang pendidikan adalah ke arah peningkatan mutu pelajaran,” katanya.

Satu lagi kongres tolak Jawi di sekolah vernakular dianjurkan

BERITA

Satu lagi acara membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular dianjurkan.

Ia dianjurkan pada 29 Disember, sehari selepas Kongres Organisasi Cina oleh kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong di Kajang, Selangor.

Sekumpulan aktivis yang menamakan diri mereka Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) hari ini mengumumkan acara itu, yang akan diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Walaupun menolak pengajian Jawi di sekolah Cina dan India, mereka menamakan acara itu Kongres Jawi Kebangsaan.
Arun Doraisamy 
Setiausaha Sekat Arun Doraisamy dalam sidang media di Kuala Lumpur berkata mereka mahu mendesak Kementerian Pendidikan membincangkan semula keputusan itu.

“Kembali ke meja perbincangan dan kali ini patut melibatkan pelbagai wakil daripada masyarakat Cina, India, Melayu, Sabah dan Sarawak,” kata Arun.

Katanya, kongres itu juga akan meneroka pelbagai isu berkaitan Jawi kerana ramai yang tidak memahaminya.

Arun berkata, Sekat yang selari dengan dengan kongres anjuran Dong Jiao Zong, adalah sebuah acara melibatkan pelbagai kaum.

Mereka menjangkakan 400 orang hadir dalam acara itu. Menteri Pendidikan Maszlee Malik turut diundang.

[Baca berita asal]

Friday, December 20, 2019

Jawi: Kain rentang bantahan mula digantung depan sekolah Cina

GPS percaya tindakan angkara hasutan Dong Zong
19/12/2019


BANGI, 22 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menyelar tindakan pihak tertentu menggantung kain rentang membantah pembelajaran tulisan Jawi di hadapan beberapa sekolah vernakular dipercayai sekitar ibu negara.

Menerusi beberapa keping gambar yang dikongsikan GPS, semua kain rentang yang digantung di pagar dan tembok sekolah itu menyatakan ‘tidak setuju tulisan Jawi diterapkan dalam mata pelajaran teras SJK (C)’.

Tidak pasti sama ada ia digantung pengurusan sekolah atau pihak lain, GPS mendakwa, tindakan itu sememangnya angkara hasutan kumpulan pendesak Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang didukung parti-parti politik Cina.

“Kita mendapat khabar yang kain rentang membantah pembelajaran tulisan Jawi sebanyak tiga muka surat (sekali seumur hidup) telah mula digantung di kawasan sekolah-sekolah Cina sekitar Kuala Lumpur.

“Kita tidak pasti ini digantung oleh pihak sekolah atau pihak lain. Yang pasti, ini adalah angkara hasutan Dong Zong yang didukung oleh parti-parti politik cina (kerajaan dan pembangkang),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebelum ini, KPM telah memuktamadkan kandungan pelajaran tiga halaman tulisan jawi yang hanya memberi tumpuan terhadap teks pada lambang negara, ringgit Malaysia dan setem.

Secara keseluruhannya, terdapat empat teks jawi yang berbunyi: ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ dalam jata negara, ‘Bank Negara Malaysia’ dan ‘Ringgit Malaysia’ pada nota ringgit serta ‘Malaysia’ pada setem.

Namun, Dong Zong dilihat memberikan reaksi melampau dalam menentangnya sehingga merancang untuk mengheret kerajaan ke mahkamah mengenai pembelajaran itu.

Kumpulan pendesak Cina itu juga dilaporkan akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Selain mengajak semua pertubuhan Cina menghadiri persidangan itu, pertubuhan rasis itu turut meminta lembaga pengelola dan PIBG sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada kementerian sebagai tanda bantahan.

Susulan tindakan itu, GPS masih meneruskan petisyen menggesa kerajaan mengharamkan Dong Zong, selepas dilancarkan kali pertama pada bulan Ogos lalu.

Setakat pukul 8 malam ini, petisyen yang dilancarkan di platform change.org itu sudah memperoleh 212,756 tandatangan.

Sunday, December 15, 2019

Nah, 3 muka surat pelajaran Jawi yang jadi pertikaian

BERITA

Sejak Julai, pengkritik bertegas membantah rancangan kerajaan untuk memperkenalkan tiga halaman pelajaran tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tahun 4, termasuk di sekolah vernakular.

Mereka yang menentang menimbulkan rasa khuatir antaranya, mengenai penyebaran Islam sementara kerajaan berkata bukan niatnya berbuat demikian.

Sepanjang pertikaian ini, sifat sebenar pelajaran tulisan Jawi cuma bergantung kepada imaginasi, sehingga kini.

Minggu lalu, Kementerian Pendidikan telah memuktamadkan kandungan pelajaran tiga halaman tulisan Jawi, yang mana Malaysiakini menerbitkannya untuk tatapan di sini.
Kandungan tersebut memberi tumpuan terhadap teks jawi pada lambang negara, ringgit Malaysia dan setem.

Secara keseluruhannya, terdapat empat teks Jawi yang berbunyi: "Bersekutu Bertambah Mutu" dalam jata negara, "Bank Negara Malaysia" dan "Ringgit Malaysia" pada nota ringgit serta "Malaysia" pada setem.

Para guru diminta membimbing pelajar mengenali teks Jawi dan membentangkannya.

Kandungan akademik itu dijangka diperkenalkan mulai tahun depan.

Dalam usaha untuk menangani rasa tidak puas di kalangan pengkritik, Kementerian Pendidikan mengatakan bahawa Persatuan Ibu Bapa-Guru akan dibenarkan memutuskan sama ada kanak-kanak akan diajar pelajaran tiga muka surat tulisan Jawi itu.

Walaupun tarikh akhir untuk pembelajaran itu akan dilaksanakan terdapat beberapa gangguan berkaitan.

Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berkata merancang untuk membawa kerajaan ke mahkamah mengenai pembelajaran itu.

Badan itu juga akan menganjurkan perhimpunan kumpulan Cina pada 28 Disember.

Friday, August 23, 2019

Polis beri amaran keras perhimpunan bantah Zakir, Jawi

M Fakhrul Halim 
Diterbitkan Hari ini 6:21 petang 


Polis memberikan amaran keras agar orang ramai tidak menyertai dua perhimpunan, masing-masing berhubung isu penceramah kontroversi Dr Zakir Naik dan isu tulisan Jawi yang dijadualkan berlangsung malam ini dan esok.

Perhimpunan 'Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil' yang dijadualkan berlangsung 7 petang ini, sementara himpunan 'SayNo Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Races' dijadual berlangsung 2 petang esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim, berkata tindakan tegas akan diambil termasuklah tangkapan terhadap pihak yang ingkar.

"Sekeras-kerasnya, dan setegas-tegasnya saya mengatakan kita tak membenarkan himpunan diadakan. Saya minta orang ramai tak pergi berhimpun.

"Isu ini telah selesai, jadi kenapa nak buat lagi perhimpunan?

"Kali ni kita akan ambil tindalan tegas. Tengoklah nanti. Pihak kita akan ambil keterangan pihak yang terlibat, malah akan buat tangkapan jika masih berdegil," katanya di sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumlur hari ini.

[Berita lanjut menyusul]

Tuesday, August 13, 2019

Haramkan Dong Zong: Polis akan buat keputusan, kata Dr M

 13 August 2019

Dong Zong hanya bercakap untuk satu kaum dan lupa bahawa ini adalah negara pelbagai kaum, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. 
Foto oleh Miera Zulyana

SEPANG, 13 Ogos — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terpulang kepada polis untuk menentukan sama ada Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong), perlu diharamkan atau tidak.

Perdana Menteri berkata kumpulan itu menentang undang-undang jika ia terus mendorong dan menghasut rakyat supaya bergaduh antara satu sama lain.

”Kita ada kebebasan bersuara tetapi sentiasa bersikap sensitif mengelak daripada menghasut rakyat pelbagai kaum untuk bergaduh antara satu sama lain.

”Tapi Dong Zong hanya bercakap untuk satu kaum, dan lupa bahawa ini adalah negara pelbagai kaum,” kata beliau bila ditanya mengenai petisyen online, dilancarkan oleh sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang mendesak kumpulan pendidik Cina itu diharamkan.

Menurut laporan media, petisyen itu dibuat berikutan petisyen dilancarkan oleh Dong Zong pada Ahad menentang pengajaran tulisan khat Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Bercakap kepada pemberita pada sambutan ulang tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, Dr Mahathir juga mengulangi kenyataannya semalam bahawa Dong Zong adalah satu kumpulan rasis dan ia tidak pernah berjuang untuk Malaysia secara keseluruhannya, kecuali untuk satu kaum di negara ini.

“Ini negara pelbagai kaum, anda mesti juga memikirkan tentang perasaan kaum lain. Bila kita buat sesuatu kita perlu fikir apa kaum lain akan kata.

“Jika mereka tidak suka, mereka perlu cuba beri ruang,” kata beliau.

Dr Mahathir mengimbau, ketika beliau mencadangkan agar Malaysia mewujudkan sebuah Sekolah Wawasan untuk menyatu padukan rakyat, Dong Zong menentang idea itu, oleh kerana ia berpendapat ini bererti pelajar Cina terpaksa bergaul dengan kaum-kaum lain.

“Ini adalah cara berfikir yang cukup rasis. Apa salahnya (pelajar) MeIayu, Cina dan lain-lain pergi sekolah bersama. Semasa saya di sekolah, terdapat semua kaum, (pelajar) Bengali ada, India ada, Cina ada.

“Ini semua OK, tetapi menurut Dong Zong mereka tidak boleh berdekatan langsung antara satu sama lain, mengadakan perhimpunan bersama. Ia sebuah badan rasis ditumpukan semata-mata untuk mempertahankan kaumnya,” kata beliau.

Sementara itu, ditanya mengenai gesaan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran agar tindakan diambil terhadap pendakwah Zakir Naik kerana mempersoalkan kesetiaan masyarakat Hindu di Malaysia, Dr Mahathir berkata masalah yang dihadapi kerajaan ialah ia (Zakir) tidak boleh dihantar pulang kerana bimbang ia akan dibunuh.

“Jadi, dia ada di sini hari ini, tetapi jika mana-mana negara mahukan beliau, ini disambut baik,” kata Dr Mahathir.

Ditanya mengenai ceramah Zakir baru-baru ini di mana ia mendakwa orang Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi daripada beliau, Dr Mahathir berkata: “Anda boleh tanya mereka (Hindu) la, kenapa tanya saya? Mana saya tahu?”

 — Bernama

Monday, August 12, 2019

'Dulu Jawi ditukar ke Rumi sebab ambil kira bukan Melayu'

News | Diterbitkan Hari ini 6:40 petang


Antara sebab kenapa tulisan rasmi Bahasa Melayu ditukar daripada Jawi kepada Rumi pada masa lalu adalah kerana mengambil kira keperluan masyarakat bukan Melayu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Justeru beliau mempersoal mengapa masyarakat kini bertelagah dalam soal tiga halaman pembelajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu Darjah 4 yang ingin dilaksanakan kerajaan.

"Saya tua, masih ingat masa nak capai merdeka.

"Oleh kerana orang bukan Melayu susah nak belajar Jawi, kita buat keputusan untuk guna tulisan Rumi, sebab nak bagi mudah orang bukan Melayu.

"Orang Melayu (masih) kena (belajar) Jawi kerana kena baca Al-Quran. Apa kita nak kelahi? Kita sudah bagi pertimbangan khusus untuk kepentingan (masyarakat) bukan Melayu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Langkawi hari ini.

Mahathir yang juga anggota parlimen kawasan itu menjawab soalan berkenaan bantahan berterusan terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam sukatan mata pelajaran di sebalik kompromi oleh Kementerian Pendidikan.

Antara perubahan yang dibuat, seperti pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 3 Ogos lalu, ialah pelaksanaan pembelajaran ialah secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Terdahulu, Mahathir juga mengecam pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai "rasis".

Mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "Islamisasi", Dong Zong dua hari lalu melancarkan petisyen bagi menggesa kerajaan membatalkan pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Isu itu mencetuskan bantahan sejumlah masyarakat bukan Melayu.

Sesetengah pemimpin DAP - antaranya pemimpin veterannya Lim Kit Siang - dibidas anggota parti itu kerana dilihat bersetuju dengan perkara itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet Rabu ini.

Saturday, August 3, 2019

Khat Jawi disamakan MP DAP dengan tahi lembu

ROSLAN SMS
03 AUGUST 2019


Posting beliau - Lim Lip Eng, Ahli Parlimen DAP Kepong berbunyi:-
(Terjemahan) "Sedang Menteri Pendidikan di negara-negara jiran merancang memperkenalkan bahasa program komputer kepada pelajar-pelajar muda, jangan kita menyapu tahi lembu di wajah kita dengan memperkenalkan khat. Tolonglah."

Ini ekoran langkah Kementerian Pendidikan mahu memperkenalkan pengajaran seni khat dalam subjek Bahasa Melayu untuk murid Tahun 4 mulai tahun depan.

Negara kita mengamalkan hak kebebasan bersuara dan memberi pandangan. Namun ianya ada batas dan adabnya. Bermakna ia tidak mutlak. Jika semua kita bebas berkata apa sahaja yang terlintas di benak pemikiran kita, pasti negara berbilang kaum dan agama ini menjadi huru-hara sebagaimana sesetengah negara dunia ketiga. Ada pemimpin DAP dan NGO Cina yang mungkin tidak setuju dengan langkah kementerian ini, maka bantahlah ikut apa sahaja saluran namun jangan sampai biadab dan menghina.

Tulisan Jawi adalah tulisan Melayu asal di tanahair kita. Ia merupakan tulisan resmi buat budaya dan bangsa Melayu sehinggalah diperkenalkan tulisan Rumi. Tulisan inilah digunakan dalam dokumen dan rekod resmi kerajaan dan rakyat zaman berzaman. Malah pemasyhuran Kemerdekaan Negara yang dibacakan oleh Almarhum YTM Tunku sebagai PM Negara yang pertama 31 Ogos 1957 juga bertulisan Jawi

Tiba-tiba Lip Eng dalam keghairahan menolak langkah pihak kementerian ini telah menggunakan bahasa yang amat biadab malah menghina orang-orang Melayu amnya. Memperkenalkan tulisan Khat Jawi disamakan Ahli Parlimen ini sebagai menyapu tahi lembu di wajah kita semua. Jawi sama dengan najis?!

Kalau kita katakan DAP ini parti rasis dan tidak pernah memperjuangkan nasib dan masadepan umat Melayu Islam, ada yang tidak percaya. Tapi lihatlah tulisan pemimpin DAP ini. Ianya satu penghinaan terhadap orang Melayu serta benar-benar mencabar kesabaran kita semua.
Bila kaduk naik junjung, bila mereka dominan dalam kerajaan, maka bersedialah kita menanggung akibatnya. Bangkitlah umat Melayu Islam. Saat untuk berubah sudah bermula. Jika terus lalai, maka alu-alukanlah kemunculan "Singapura Ke-2". 

- HARAKAHDAILY
   3/8/2019

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-