Thursday, July 30, 2015

Semakin ramai melayu minat DAP.........

Tokoh perundangan Dr Aziz Bari sertai DAP
KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Pakar undang-undang, Dr Abdul Aziz Bari, yang terkenal dengan pandangan berani berhubung hal-ehwal kuasa dan pemerintahan negara, menyertai DAP hari ini.

Beliau yang dikenali sebagai pakar Perlembagaan Persekutuan adalah pensyarah Universiti Selangor.

Dalam sidang akhbar di sini hari ini, Dr Abdul Aziz berkata, beliau memilih DAP sebagai wadah politik untuk menyumbang khidmat dan kepakarannya.

“Ini bukan sesuatu yang baru. Sejak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sudi melantik saya sebagai felo Penang Institute, saya melihat sendiri bagaimana pentadbiran negeri dilaksanakan dengan baik.

“Saya lihat DAP begitu cekap dan saya tertarik dengan prinsip dan amalan terbuka, telus dan meritokratik,” katanya.

Dr Abdul Aziz sebelum ini merupakan Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sejak 1989 sehinggalah beliau digantung tugasnya pada Oktober 2011 berhubung pandangan perundangan beliau terhadap titah Sultan Selangor.

Walaupun penggantungan tugas itu ditarik balik berikutan bantahan daripada pelajar dan kakitangan akademik, Dr Abdul Aziz memilih untuk bersara dari UIA. Pada Januari 2012, UIA mengumumkan penarikan balik gelaran profesor yang diberikan kepadanya pada 2002.

Dalam pilihanraya umum ke-13 pada Mei 2013, Dr Abdul Aziz bertanding di merebut kerusi Parlimen Sabak Bernam, Selangor – kubu kuat UMNO-Barisan Nasional – atas tiket PKR.

Dalam percubaan pertama itu, beliau gagal menewaskan calon BN apabila kalah dengan majoriti 1,644 undi; beliau memperolehi 14,743 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Bercakap kepada Roketkini.com, Dr Abdul Aziz berkata, beliau telah pun memberitahu pimpinan PKR tentang hasratnya untuk menyertai DAP.

“Selama ini pun saya tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam PKR. Saya hanya menjadi calon parti sewaktu PRU13 yang lalu,” katanya.

Beliau berharap gabungan pembangkang yang baru yang diterajui DAP dapat membawa perubahan besar kepada rakyat dan negara, khususnya dalam memastikan pentadbiran baik yang berteraskan Perlembagaan dilaksanakan dengan sempurna. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-