Wednesday, July 8, 2015

WSJ berniat jahat hendak jatuhkan saya, kata Najib

Published: 8 July 2015 5:18 PM
Wall Street Journal berniat jahat dalam laporannya dan bekerjasama dengan pihak tertentu dalam negara untuk menjatuhkan saya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Julai, 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menuduh The Wall Street Journal (WSJ) berniat jahat melalui laporannya yang mendakwa sejumlah besar wang dipindahkan ke akaunnya dan bekerjasama dengan "pihak tertentu" di negara ini bagi menjatuhkannya.

Najib berkata, peguamnya sudah menghantar surat kepada akhbar perniagaan Amerika Syarikat itu bagi memintanya mengesahkan pendirian berhubung tuduhan menyalahgunakan dana AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya ingin menegaskan sekali lagi saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri.

"Tuduhan WSJ merupakan satu niat jahat yang didokong dan disokong pihak tertentu dalam negara yang bertujuan memaksa saya melepaskan jawatan perdana menteri dan presiden Umno.

"Peguam saya akan mengambil tindakan selanjutnya selepas mendapat pengesahan daripada akhbar tersebut," katanya menerusi entri terbaru di blognya, NajibRazak.com.

Najib berkata selepas WSJ mengesahkan dakwaan yang dibuat itu, pasukan guamannya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar itu.

Katanya, pasukan petugas khas juga sedang melakukan siasatan sama ada tuduhan WSJ itu berasas atau sebaliknya.

"Siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang sudah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut," katanya.

Polis hari ini menyerbu pejabat 1MDB di Kuala Lumpur yang terletak di Menara IMC, di Jalan Sultan Ismail.

1MDB dalam satu kenyataan mengesahkan pegawai daripada pasukan petugas khas itu datang ke pejabat mereka di Kuala Lumpur hari ini dan mereka memberikan kerjasama penuh.

Syarikat sarat hutang itu berkata, pasukan khas itu dibekalkan dengan dokumen dan bahan yang diperlukan bagi membantu penyiasatan yang sedang berjalan.

"Kami mengulangi pendirian kami jika terdapat sebarang salah laku, tindakan mesti diambil pihak berkuasa sebagaimana proses dan undang-undang dalam negara," kata 1MDB.

Pasukan petugas khas dianggotai Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed bertanggungjawab menyiasat kes 1MDB tersebut.

Pasukan itu semalam mengumumkan pembekuan 6 akaun bank serta merampas dokumen berkaitan 17 akaun daripada 2 bank bagi membantu siasatan.

WSJ minggu lepas mendedahkan dokumen siasatan yang menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.7 bilion) disalurkan ke akaun Najib.

Serbuan turut dibuat ke atas 3 syarikat berkaitan 1MDB yang didakwa digunakan untuk menyalurkan dana iaitu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd serta dokumen turut diambil.

Peguam negara hari ini menafikan laporan mengatakan 3 daripada 6 akaun bank yang dibekukan pasukan petugas khas semalam adalah milik Najib.

Gani berkata, perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai lalu tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan milik Najib.

"Satu lagi isu yang membimbangkan adalah dokumen itu dikatakan dibocorkan dari dalam siasatan itu sendiri.

"Peguam negara juga memperjelas perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai, 2015 tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai perdana menteri," katanya. – 8 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/wsj-berniat-jahat-hendak-jatuhkan-saya-kata-najib#sthash.153olVjX.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-