Friday, August 21, 2015

Bermulanya penghijrahan ahli PAS ke GHB, Hadi mula bimbang?

oleh Alyaa Alhadjri
ANALISIS: Tindakan ahli akar umbi PAS yang keluar parti baru-baru ini untuk bersama-sama Gerakan Harapan Baru (GHB) merupakan petunjuk yang parti politik baru ini akan mengamalkan pendekatan kepimpinan “bawah-ke-atas” berbanding “atas-ke-bawah”.

Setiausaha Agung pro-tem GHB Dr Dzulkefly Ahmad berkata, itulah pendirian yang diambil bekas pemimpin progresif PAS yang menubuhkan gerakan tersebut selepas mereka disingkirkan dalam muktamar parti yang lalu.

“Ramai yang bertanya saya bila kami akan letak jawatan, mengapa kami belum letak jawatan,” katanya kepada Semut Harian.

“Saya beritahu mereka yang semua perkara ada masanya, dan masa amat penting dalam merancang strategi (politik),” katanya lagi merujuk desakan agar pemimpin progresif dalam GHB agar keluar PAS dan menubuhkan parti baru secara rasmi.
Dzulkefly
Namun Dzulkefly mengakui bahawa tindakan ahli akar umbi keluar parti boleh dilihat sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menunjukkan parti Islam baru itu nanti akan dipacu oleh kesedaran rakyat tentang keperluan perubahan politik.

Ia juga barangkali bagi menunjukkan kepada PAS bawah GHB serius dan bukan hanya ‘serpihan’ kecil yang boleh diabaikan begitu sahaja.

Laporan awal menunjukkan parti baru itu akan dikenali sebagai Parti Amanah Rakyat dan dijangka dilancar secara rasmi pada 31 Ogos ini.

Pada 31 Julai lalu Bernama memetik MP Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa sebagai berkata, GHB mempunyai rancangan untuk mengambil alih Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan melancarkannya semula sebagai sebuah parti baru, sama seperti penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia pada tahun 2003.

Namun Dzulkefly berkata bahawa mekanisme dan nama rasmi masih kekal sebagai spekulasi sehinggalah tiba masanya ia diumumkan secara rasmi.

Komennya ini berikutan laporan perletakan jawatan kira-kira 183 ketua bahagian dan cawangan di kawasan parlimen Kota Raja - kerusi yang dipegang bekas timbalan ketua Muslimat PAS Dr Siti Mariah Mahmud. Beliau kini menjadi Ketua Wanita GHB.

Selain Dzulkefly, Siti Mariah dan Mujahid, jawatankuasa pro-tem GHB diketuai oleh bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan turut merangkumi bekas naib presiden PAS Salahuddin Ayub, MP Sepang Hanipa Maidin, MP Shah Alam Khalid Samad, MP Kuala Krai Dr Hatta Ramli dan bekas calon presiden PAS Ahmad Awang.

Selain di Kota Raja, The Malaysian Insider pada 19 Ogos lalu melaporkan yang sejumlah 227 ahli PAS di Kapar dan tiga di Klang juga telah keluar parti.

Pada hari yang sama juga 3 pemimpin sekurang-kurangnya 20 ahli PAS Shah Alam mengumumkan keputusan mereka untuk meninggalkan parti secara rasmi.

Sementara itu, PAS Kelana Jaya yang dipimpin koordinator GHB Selangor Izham Hashim juga dijangka mengumumkan langkah serupa tidak lama lagi.

Walaupun berhadapan dengan penghijrahan yang ketara, pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad mendakwa yang ia tidak memberi kesan yang besar kepada parti memandangkan ia memiliki 100,000 ahli di 1,000 bahagian di serata negeri.

Sementara itu, akhbar The Star memetik timbalan menteri besar Kelantan Mohd Amar Abdullah sebagai berkata, PAS tidak akan mengambil sebarang risiko dan akan bertindak terhadap apa-apa langkah oleh partinya untuk menyertai Amanah.

“Kami sedang mengumpulkan nama semua ahli PAS yang disyaki cenderung terhadap parti itu melalui kenyataan dan tindakan mereka.

“Kami yakin bahawa Amanah adalah racun kepada PAS,” katanya.

Beliau turut memaklumkan yang jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat pada 11 September ini untuk membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap ahli-ahli tersebut.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini menyamakan pengeluaran ahli akar umbi itu sebagai proses “pembersihan” yang akan memberi kebaikan kepada parti. Akan tetapi dengan perkembangan terbaru ini, keyakinan yang ditunjukkan itu mungkin kian berkurang.

Pemerhati berkata, ia kerana hakikat bahawa pemimpin progresif PAS-lah yang bukan sahaja meningkatkan imej parti di kalangan rakyat, tetapi turut menyumbangkan bantuan kewangan.

Memang, selain kemampuannya untuk menarik kehadiran ramai di ceramah dan perhimpunan, simbol-simbol yang menjadi ikon PAS adalah badan pemikirnya, pelbagai NGO dan Unit Amal.

Dengan perkembangan semasa ini, hampir pasti NGO-NGO yang berkaitan dengan parti, ahli badan pemikir dan mungkin sebahagian anggota Unit Amal akan turut meninggalkan parti itu.

Dan tentunya selepas dikritik kerana berada di belakang penyingkiran kumpulan progresif, Abdul Hadi hanya akan terus merosakkan reputasi sendiri jika mengarahkan pemecatan pemimpin daripada PAS.

Setakat ini, pemimpin yang bersama-sama dengan GHB dijangka menunggu sehingga parti baru mereka ditubuh secara rasmi, apabila keahlian PAS mereka akan terbatal secara automatik.

Parti baru itu sebelum ini dikatakan akan menjadi pengganti PAS dalam gabungan pembangkang yang baru bersama PKR dan DAP.

Komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis di alyaa@hckmedia.com

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Ahli-PAS-mula-berhijrah-ke-GBH-Hadi-mula-bimbang#sthash.UjlZPqaM.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-