Saturday, August 8, 2015

MT Umno tak pernah diberitahu tentang RM2.6 bilion, kata Shafie Apdal

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Published: 8 August 2015 6:22 PM

Datuk Seri Shafie Apdal berkata derma politik yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah dibangkitkan di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 8 Ogos, 2015.

Derma politik berjumlah RM2.6 bilion yang diterima melalui akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya dimaklumkan kepada Kabinet, dan bukannya dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, kata Datuk Seri Shafie Apdal.

Shafie berkata, sepanjang pengetahuannya, tiada makluman berhubung dana RM2.6 bilion yang diterima Najib itu dibangkitkan dalam mesyuarat MT Umno.

"Sejauh pengetahuan saya, sepanjang kehadiran saya (dalam mesyuarat MT), kita tidak diberitahu pun," katanya, kepada pemberita selepas berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Parit Sulong, di Maktab Rendah Sains Mara di Batu Pahat, Johor hari ini.

"Kami hanya diberitahu dalam Kabinet (terakhir yang saya sertai) baru-baru ini," katanya.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebelum ini dilaporkan berkata, sejak zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir MT Umno dan juga Badan Perhubungan Umno Negeri tidak pernah dimaklumkan apa-apa sumbangan dan derma politik yang diperolehi oleh presiden atau bendahari parti.

“Selama saya duduk dalam MT Umno dan Jawatankuasa Perhubungan Umno Negeri Johor, soal derma tidak pernah dibangkit atau didedahkan kepada ahli MT dan Perhubungan Negeri.”

“Selain daripada harta dan sumber pendapatan sedia ada, parti mempunyai kepercayaan kepada Presiden, Pengerusi Perhubungan Umno Negeri dan bendahari untuk mencari sumber kewangan bagi membiayai aktiviti politik dan pilihan raya," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Shafie berkata dalam isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), terlalu banyak kegusaran yang timbul sehingga akar umbi Umno mula keliru.

"Banyak kegusaran di peringkat akar umbi yang memerlukan penerangan, penyelesaian, itu yang saya lakukan.1

"Saya minta jelaskan, selesaikan, itu sahaja, takkan yang itu pun tidak boleh. Nak minta penjelasan.

"Bukan berbunyi seperti kita pembangkang, tetapi yang kita lakukan teguran dan pandangan untuk memperbesarkan Umno yang kita cintai," katanya.

Shafie dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini digugurkan daripada Kabinet Najib susulan kritikan mereka terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 8 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mt-umno-tak-pernah-diberitahu-rm2.6-bilion-kata-shafie-apdal#sthash.1usIQaAw.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-