Tuesday, September 1, 2015

Akar umbi Umno tak marah Dr Mahathir turun Bersih 4

OLEH MD IZWAN
Kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad di perhimpunan Bersih 4 menimbulkan pelbagai reaksi termasuk peringkat akar umbi Umno tetapi menerimanya kerana yakin ia bertujuan mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya semata-mata. Gambar fail The Malaysian Insider, 1 September, 2015.

Ahli Umno di peringkat akar umbi tidak marah dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Bersih 4 hujung minggu yang lalu, sebaliknya menggesa supaya kepimpinan di atas menyelesaikan kemelut yang melanda parti.

Walaupun pada awalnya mereka tidak memahami keputusan bekas perdana menteri itu, mereka kemudiannya dapat menerima penjelasan beliau yang mendesak supaya Presiden Datuk Seri Najib Razak berundur semasa hadir ke perhimpunan besar tersebut.

"Mula-mula ramai yang marah kerana tidak faham, tetapi hari ini mereka sudah mula faham.

"Tun (Dr Mahathir) hadir bukan kerana menyokong Bersih tetapi mahu bersama rakyat yang tidak berpuas hati," kata Naib Ketua Bahagian Umno Kota Raja, Mohd Hamidi Abu Bakar kepada The Malaysian Insider.

Beliau tidak menyifatkan kehadiran Dr Mahathir ke Bersih 4 sebagai satu isu besar, memandangkan katanya, mutakhir ini negarawan itu secara terbuka sudah mengkritik dan mengecam pimpinan utama parti, khususnya presiden.

"Orang yang kenal Tun sahaja faham kenapa dia turun, ini bukan lagi persepsi. Satu Malaysia boleh nampak mesej yang cuba Tun sampaikan," katanya.

Dr Mahathir kini menjadi seteru utama Najib, secara terbuka mahu presiden Umno tersebut meletak jawatan kerana terlibat dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Sementara itu, bekas ketua Pemuda cawangan Keliang, Hulu Selangor, Moohamad Faizal Abdul Raub pula menganggap tindakan Dr Mahathir tersebut sebagai isyarat yang Najib tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli parti.

"Sudah jelas, majoriti orang Umno sendiri menolak presiden.

"Dr Mahathir guna bahasa yang rakyat senang faham, tapi pengikut Najib guna bahasa putar belit. Sekarang semua sudah sedar," katanya yang meletak jawatan baru-baru ini.

Faizal berkata, langkah diambil Dr Mahathir menunjukkan beliau sudah hilang kesabaran dengan Najib dan akar umbi kini buntu mencari jalan untuk menegur Najib secara baik.

"Bila seseorang lantang tegur Najib, pengikutnya menyerang balik orang yang kritik itu, kemudian bagi kenyataan mengarut.

"Walhal sejak daripada awal lagi, akar umbi sudah beritahu, tidak tahu jalan lain lagi nak digunakan untuk tegur Najib ini," katanya.

Faizal senada dengan Hamidi, tidak marah dengan tindakan Dr Mahathir tersebut walaupun secara peribadi tidak bersetuju dengan penganjuran Bersih 4.

"Walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju dengan perhimpunan Bersih itu, tapi saya faham mengapa Tun buat keputusan sebegitu," katanya.

Sementara itu, bekas ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh pula menggesa supaya pemimpin atas menyelesaikan kemelut dalaman parti yang menyebabkan berlaku perpecahan di peringkat bawah.

"Lebih baik pemimpin atas cari jalan selesaikan kemelut dalam parti. Selesaikan isu 1MDB dan jelaskan mengenai RM2.6 bilion.

"Itu yang kami di bawah mahukan. Bukan sibuk nak mengecam Tun," kata Asrul.

Mengenai pengaruh Dr Mahathir di kalangan orang Melayu, ahli politik veteran Umno Tan Sri Zainuddin Maidin melihat Najib akan sukar untuk mendapat kepercayaan masyarakat Melayu selepas ini.

"Saya rasa penjelasan Tun mengatakan beliau hadir bukan kerana menyokong demonstrasi tersebut tapi kerana tidak suka Najib. Apa yang Tun rasa itu dirasai oleh orang Melayu sekarang ini.

"Jadi, saya rasa susah untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Najib selepas ini," kata bekas pengarang akhbar dan bekas menteri yang lebih dikenali sebagai Zam itu.

Katanya, tidak patut timbul sebarang isu berkenaan kehadiran Dr Mahathir ke Bersih 4 kerana yakin dengan kesetiaan bekas perdana menteri itu kepada Umno yang ditubuhkannya sendiri selepas diharamkan pada 1988.

"Beliau tetap menyokong Barisan Nasional. Dr Mahathir hanya mahu Najib berundur, bukannya menyokong Bersih.

"Darah daging Dr Mahathir adalah Umno, dan beliau tidak akan berhenti daripada Umno kecuali orang membuangnya," kata bekas menteri penerangan itu.

Sebaliknya, Zainuddin melihat sokongan penyokong Umno kepada Dr Mahathir masih kuat dan reaksi marah selepas mendapat tahu kehadirannya ke Bersih membuktikan parti itu masih memerlukan negarawan tersebut.

"Apabila ia menimbulkan reaksi marah di kalangan orang Umno sendiri, ia menunjukkan Umno masih perlukan beliau dan beliau penting kepada parti.

"Mengapa nak marah kalau tidak sayang kepadanya," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Azizuddin Mohd Sani melihat langkah diambil oleh Dr Mahathir tersebut bertujuan mewujudkan senario yang usul undi tidak percaya ke atas Najib perlu dibawa ke Parlimen pada Oktober nanti.

"Senario yang cuba diwujudkan oleh Tun, terutamanya untuk menarik sokongan pemimpin pembangkang membawa usul undi tidak percaya dalam Parlimen.

"Ini memberi isyarat beliau sedia bekerjasama dengan pembangkang dan mahu bersungguh-sungguh usul itu dibawa pada Oktober nanti," katanya.

Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, Dr Mahathir ketika ini sedang memberi tekanan kepada pemimpin Umno dan BN supaya menukar Najib tetapi pada masa sama mengekalkan kerajaan sedia ada.

"Beliau (Dr Mahathir) ada sebut (ketika Bersih 4), kita kena tukar pemimpin, tapi kerajaan BN tidak akan jatuh," katanya.

Bagaimanapun Azizuddin berkata, Dr Mahathir mahu ramai ahli Parlimen Umno dan parti komponen menyokong undi tidak percaya tersebut supaya kerajaan sedia ada tidak tumbang kepada pembangkang sekiranya majoriti tidak memihak kepada BN.

"Mungkin ada 88 ahli Parlimen daripada pembangkang yang menyokong, tapi jika sedikit sangat daripada sebelah BN, bimbang kerajaan yang sedia ada jatuh.

"Sekiranya majoriti daripada pembangkang banyak, maka selepas itu akan ada kerajaan pembangkang pula nanti," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, ahli Parlimen BN perlu majoriti yang besar supaya ada "kuasa tawar menawar" (bargaining power) jika usul undi tidak percaya itu berjalan.

"Tun mahu ramai ahli Parlimen Umno sokong usul itu supaya ada kuasa 'bargain' untuk lantik siapa yang bakal jadi perdana menteri nanti," katanya. – 1 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akar-umbi-umno-tak-marah-dr-mahathir-turun-demonstrasi-bersih-4#sthash.oKGD596s.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-