Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, September 26, 2015

Kenapa takut kalau dokumen 1MDB Khairuddin palsu, soal wartawan veteran

Published: 26 September 2015 4:00 PM
Datuk A. Kadir Jasin berkata perdana menteri perlu percaya dengan sistem perundangan Amerika Syarikat dan membuktikan dokumen salah laku 1MDB adalah palsu seperti didakwa.Gambar The Malaysian Insider, 26 September, 2015.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan harus dibenar mengemukakan dokumen beliau mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kononnya "palsu dan dipalsukan" itu kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), kata Datuk A. Kadir Jasin.

Menulis dalam blognya, bekas ketua pengarang New Straits Times Group itu berkata, tidak ada sebab Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak takut akan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu jika benar beliau berbohong.

Sebaliknya, Najib harus yakin dengan sistem keadilan Amerika Syarikat (AS) untuk bertindak terhadap Khairuddin jika dokumen 1MDB yang dibawa beliau adalah palsu.

"Jika Khairuddin menipu dokumen di tangannya palsu atau dipalsukan, mengapa perdana menteri perlu takut kepadanya?

"Sebagai kawan baik AS, beliau harus menaruh kepercayaan kepada sistem keadilan AS dan membenarkan Khairuddin mengemukakan dokumen palsu dan dipalsukan itu kepada FBI.

"Biar AS tangkap dan dakwanya kerana berbohong. Berbohong kepada sebuah agensi kerajaan AS ialah satu pelanggaran undang-undang jenayah."

Kadir juga berkata, tangkapan Khairuddin serta seorang lagi ahli Umno yang dipecat, Anina Saadudin, menunjukkan ugutan kini menjadi strategi Najib.

Anina dipecat selepas memfailkan saman terhadap Najib meminta beliau bertanggungjawab terhadap sumbangan politik RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Sebagai salah seorang pengkritik tegar syarikat milik Kementerian Kewangan yang dibebani hutang itu, Khairuddin pertama kali ditahan polis di rumahnya di Mont Kiara pada 18 September lalu.

Terdahulu hari yang sama, beliau dan peguamnya Matthias Chang dihalang daripada meninggalkan negara oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Khairuddin ditahan kerana tindakannya menggunakan agensi penguatkuasaan asing bagi memberikan tekanan kepada Malaysia berhubung isu 1MDB boleh dianggap sebagai sabotaj terhadap negara ini.

Khairuddin pertama kali membuat laporan polis terhadap 1MDB, yang mempunyai hutang sebanyak RM42 bilion, pada Disember tahun lepas, dan akhirnya dipecat daripada Umno selepas diisytiharkan muflis.

Beliau baru-baru ini membuat laporan kepada pihak berkuasa di Hong Kong, Switzerland, Perancis dan United Kingdom terhadap firma yang bermasalah itu, yang mana Najib juga merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.

Beliau dilaporkan sedang dalam perjalanan untuk bertemu dengan pegawai FBI di AS apabila ditahan di lapangan terbang itu.

Beliau ditahan reman selama 6 hari selepas ditangkap pada hari itu dan pada Rabu minggu lepas, selepas dibebaskan majistret, beliau ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 ketika berjalan keluar dari bilik mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Di bawah Sosma, suspek boleh ditahan tanpa perbicaraan sehingga 29 hari. – 26 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kenapa-takut-kalau-dokumen-1mdb-khairuddin-palsu-soal-wartawan-veteran#sthash.v7DaJVMk.dpuf