Showing posts with label Biro Penyaiasatan Persekutuan (FBI). Show all posts
Showing posts with label Biro Penyaiasatan Persekutuan (FBI). Show all posts

Saturday, June 9, 2018

AS lajukan siasatan 1MDB selepas kekalahan Najib

Reuters | June 9, 2018

FBI yakin kerajaan baru lebih bersedia untuk bekerjasama, sewaktu pihak berkuasa AS merasakan Najib secara aktif cuba menghalang siasatan, kata sumber.
Sekurang-kurangnya 6 negara menyiasat dakwaan bahawa Najib dan sekutu menerima sebahagian daripada AS$4.5 bilion yang didakwa dicuri daripada 1MDB. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Penyiasat Amerika Syarikat melajukan siasatan ke atas 1MDB yang ditubuhkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bertukar-tukar lebih banyak bukti dengan pihak berkuasa Malaysia sejak kekalahan Najib pada pilihan raya bulan lepas, kata 3 sumber yang rapat dengan siasatan itu.

Sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Malaysia, AS dan Switzerland menyiasat dakwaan bahawa Najib dan sekutu menerima sebahagian daripada wang berjumlah AS$4.5 bilion yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Siasatan itu mencapai kemajuan selepas kekalahan mengejut Najib pada pilihan raya 9 Mei lepas.

Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku berhubung dakwaan rasuah melibatkan 1MDB.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kini percaya kerajaan baru lebih bersedia bekerjasama, sewaktu pihak berkuasa AS melihat Najib secara aktif cuba menghalang penyiasatan, menurut 2 sumber yang mengetahui secara langsung berhubung siasatan itu.

Walaupun pihak pendakwaan AS menimbangkan kemungkinan untuk mendakwa Najib dan sekutu, mereka lebih berminat sekiranya Malaysia sendiri memfailkan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana pegawai kerajaan Malaysia.

“Begitulah cara yang sepatutnya,” kata seorang pegawai penguatkuasa undang-undang AS.

Najib mendapatkan khidmat bekas peguam negara AS, John Ashcroft, dan firma peguambela David Boles yang berpangkalan di New York untuk mewakili beliau berhubung penyiasatan AS, kata sumber yang rapat dengan pasukan peguam Najib.

Dalam beberapa siri rampasan aset tahun lepas, pihak pendakwa AS dalam kertas mahkamah mendakwa sebahagian wang yang dicuri daripada 1MDB dimasukkan ke dalam akaun individu dikenali sebagai “Malaysian Official 1” (MO1).

Sejak Najib kalah pilihan raya, kerajaan baru dilihat bekerja keras untuk mendapatkan kembali wang yang didakwa disalurkan daripada 1MDB.

Ia kini menimbangkan untuk meminta bantuan kerajaan AS meminta bank pelaburan Goldman Sachs memulangkan hampir AS$600 juta dalam bentuk fi yang diperolehinya daripada penerbitan bon bagi pihak 1MDB, kata 2 sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters semalam.

Permohonan rasmi berhubung perkara itu belum dibuat tetapi pegawai atasan sedang membincangkannya dalam kalangan pemimpin kerajaan, kata mereka.

Pengganti Najib, Perdana Menteri Tun Dr Mahthir Mohamad berkata, Malaysia juga mahu menahan ahli perniagaan Low Taek Jho, watak utama dalam skandal itu yang memberi nasihat pelaburan dan merundingkan urus niaga bagi pihak 1MDB.

Tuesday, March 8, 2016

Lagi berita palsu dari luar negara mengenai 1MDB

Siasatan 1MDB: Bekas pegawai Goldman disepina FBI

Hari ini, 1:13 petang Hari ini, 1:16 petang
Bekas pegawai Goldman Sachs, syarikat perbankan pelaburan multinasional, disepina membantu siasatan berkaitan 1MDB oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS).

Bloomberg melaporkan sepina dikeluarkan terhadap Tim Leissner, yang pernah bertugas sebagai pengerusi operasi Asia Tenggara Goldman, Februari lalu tidak lama selepas meninggalkan syarikat itu.

Laporan itu memetik tiga pihak yang dimaklumkan berkaitan perkara itu.

Pihak-pihak itu dilapor berkata pendakwa-pendakwa di Jabatan Keadilan AS sedang menyiasat jika terdapat dana daripada 1MDB digelapkan oleh individu yang mempunyai kaitan politik di Malaysia.

“Pejabat FBI di New York mengepalai siasatan itu dan cuba menentukan jika terhadap sebarang undang-undang AS dilanggar, menurut seorang yang diberi taklimat berkaitan sepina dikeluarkan kepada Leissner,” menurut laporan itu.

Peguam Leissner tidak memberikan sebarang maklum balas kepada laporanBloomberg itu. Manakala pejabat FBI di New Yorl dan Goldman enggan mengulasnya.

Siasatan terhadap 1MDB dan syarikat berkaitannya juga sedang dibuat di Switzerland, Singapura, Hong Kong, United Kingdom dan Malaysia sendiri.

1MDB, sebelum ini dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA), wujud hasil cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bertindak sebagai penasihatnya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menyiasat dakwaan kemasukan RM2.6 biiion daripada akaun pesisir pantai dan RM42 juga daripada syarikat negara SRC International ke akaun peribadi Najib.

The Wall Street Journal (WSJ) mendakwa dana RM2.6 bilion itu daripada entiti dikaitkan dengan 1MDB tetapi Najib berkata ia sumbangan politik dari Timur Tengah.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali telah membersihkan nama perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Berkaitan RM42 juta itu, Apandi berkata tiada keterangan yang boleh menunjukkan Najib tahu atau dimaklumkan terhadap kemasukan wang daripada SRC ke akaun-akaunnya.

Najib telah berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk tujuan peribadi.

[Baca berita asal]

Wednesday, October 14, 2015

'Enam jahanam pimpinan Mahathir cuba pecahkan Umno'

Shakira Buang
Tindakan sekumpulan pemimpin veteran Umno yang tampil pada sidang media di Putrajaya Isnin lalu dan membidas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, termasuk pengunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi ‘menutup’ mulut ahli parti daripada mengkritik kepimpinan parti mengundang rasa tidak senang beberapa pemimpin akar umbi.

Bagi Ketua penerangan Umno bahagian Seputeh, Mohd Shariff Badaruddin, tindakan yang diketuai oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta lima pemimpin Umno serta seorang pimpinan MCA hanyalah untuk memecah belahkan parti Melayu terbesar itu.

“Saya lihat mereka semua itu sebagai “enam jahanam” yang mahu pecah belahkan Umno. Saya tak setuju dengan apa yang mereka buat ini,” kata Mohd Shariff kepada Malaysiakini.

“Masa ada jawatan dulu buat lain, bila dah tak ada jawatan buat lain pula. Kalau nak jadi pembangkang yang menyokong tak apa. Saya tak nak ikut sangat cakap dia orang itu,” katanya.

Malah, beliau menegaskan anggota akar umbi bahagian itu tidak memandang serius apa yang diperkatakan pemimpin veteran Umno berkenaan.

Menurutnya anggota akar umbi tetap setia dengan pentadbiran Najib yang juga adalah presiden parti.

“Di peringkat (bahagian Seputeh) kami anggap ia tidak betul sahaja. Kami masih setia dengan pemimpin yang ada hari ini,” kata Mohd Shariff.
Tun Dr Mahathir Mohamad dan seteru politiknya Tengku Razaleigh Hamzah mengambil langkah mengejutkan dengan membuat sidang media bersama bagi menyatakan rasa tidak senang berhubung beberapa isu termasuk penangkapan bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Mathias Chang.

Khairuddin ditahan selepas membuat laporan kepada pihak penguatkuasaan di negara luar, termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat berhubung isu 1MDB. Peguamnya Chang turut ditangkap baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, pada sidang media di Putrajaya itu, turut disertai oleh bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal.

Kedua-dua mereka digugurkan daripada kabinet kerana lantang mempersoalkan cara Najib menangani skandal 1MDB.

Selain mereka, bekas menteri besar Kedah dan bekas menteri Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat juga hadir.

Akar umbi Umno kini meluat

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno bahagian Kepong Abdul Razak Abdul Rahman berkata anggota akar umbi hari ini semakin meluat dengan kontroversi dan masalah dalaman yang membelit perikatan itu.

“Saya sebagai orang yang dekat dengan akar umbi rasa semakin hari semakin meluat dan pening kepala,” kata Abdul Razak dengan nada kesal.
Menurutnya, meskipun anggota akar umbi rata-ratanya masih menyokong kepimpinan Najib, namun mereka tetap menggesa agar isu syarikat sarat hutang 1MDB itu diselesaikan dengan kadar segera.

“Rata-rata masih menyokong Datuk Seri Najib tapi dalam masa yang sama mereka mahu kerajaan selesaikan segera isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

“Sudah terlampau banyak kenyataan bercanggah daripada kepimpinan parti, agensi kerajaan dan sebagainya.

“Perkara ini (isu 1MDB) ini sudah semakin memeningkan untuk kita faham dan terima perkara ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno bahagian Bandar Tun Razak Mohd Amir Abd Halim ketika dihubungi berkata tindakan ketujuh-tujuh kepimpinan BN itu hanyalah agenda politik mereka.

“Kita tetap bersama dengan perdana menteri.

“Ia lebih kepada kenyataan yang kita tahu ada agenda politik yang mana kesemua mereka yang terlibat ada agenda politik. Ia bukan satu pandangan daripada professional atau pakar perundangan mahu pun peguam negara,” katanya.

Saturday, September 26, 2015

Kenapa takut kalau dokumen 1MDB Khairuddin palsu, soal wartawan veteran

Published: 26 September 2015 4:00 PM
Datuk A. Kadir Jasin berkata perdana menteri perlu percaya dengan sistem perundangan Amerika Syarikat dan membuktikan dokumen salah laku 1MDB adalah palsu seperti didakwa.Gambar The Malaysian Insider, 26 September, 2015.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan harus dibenar mengemukakan dokumen beliau mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kononnya "palsu dan dipalsukan" itu kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), kata Datuk A. Kadir Jasin.

Menulis dalam blognya, bekas ketua pengarang New Straits Times Group itu berkata, tidak ada sebab Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak takut akan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu jika benar beliau berbohong.

Sebaliknya, Najib harus yakin dengan sistem keadilan Amerika Syarikat (AS) untuk bertindak terhadap Khairuddin jika dokumen 1MDB yang dibawa beliau adalah palsu.

"Jika Khairuddin menipu dokumen di tangannya palsu atau dipalsukan, mengapa perdana menteri perlu takut kepadanya?

"Sebagai kawan baik AS, beliau harus menaruh kepercayaan kepada sistem keadilan AS dan membenarkan Khairuddin mengemukakan dokumen palsu dan dipalsukan itu kepada FBI.

"Biar AS tangkap dan dakwanya kerana berbohong. Berbohong kepada sebuah agensi kerajaan AS ialah satu pelanggaran undang-undang jenayah."

Kadir juga berkata, tangkapan Khairuddin serta seorang lagi ahli Umno yang dipecat, Anina Saadudin, menunjukkan ugutan kini menjadi strategi Najib.

Anina dipecat selepas memfailkan saman terhadap Najib meminta beliau bertanggungjawab terhadap sumbangan politik RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Sebagai salah seorang pengkritik tegar syarikat milik Kementerian Kewangan yang dibebani hutang itu, Khairuddin pertama kali ditahan polis di rumahnya di Mont Kiara pada 18 September lalu.

Terdahulu hari yang sama, beliau dan peguamnya Matthias Chang dihalang daripada meninggalkan negara oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Khairuddin ditahan kerana tindakannya menggunakan agensi penguatkuasaan asing bagi memberikan tekanan kepada Malaysia berhubung isu 1MDB boleh dianggap sebagai sabotaj terhadap negara ini.

Khairuddin pertama kali membuat laporan polis terhadap 1MDB, yang mempunyai hutang sebanyak RM42 bilion, pada Disember tahun lepas, dan akhirnya dipecat daripada Umno selepas diisytiharkan muflis.

Beliau baru-baru ini membuat laporan kepada pihak berkuasa di Hong Kong, Switzerland, Perancis dan United Kingdom terhadap firma yang bermasalah itu, yang mana Najib juga merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.

Beliau dilaporkan sedang dalam perjalanan untuk bertemu dengan pegawai FBI di AS apabila ditahan di lapangan terbang itu.

Beliau ditahan reman selama 6 hari selepas ditangkap pada hari itu dan pada Rabu minggu lepas, selepas dibebaskan majistret, beliau ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 ketika berjalan keluar dari bilik mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Di bawah Sosma, suspek boleh ditahan tanpa perbicaraan sehingga 29 hari. – 26 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kenapa-takut-kalau-dokumen-1mdb-khairuddin-palsu-soal-wartawan-veteran#sthash.v7DaJVMk.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-