Monday, September 28, 2015

Umno baru nampaknya sudah kehilangan arahnya

oleh Ahmad Mustapha Hassan
SUARA LANTANG: Sejak penubuhannya, Umno Baru tidak pernah memiliki agenda nasional. Ia hanya menumpukan program etnik yang sempit dan tidak berpandangan jauh. Ia langsung tidak memiliki apa-apa ideologi.

Umno yang asal adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh golongan aristokrat birokrasi untuk berjuang bagi mempertahankan status mereka di negara ini. Namun ia menggunakan slogan yang menarik seluruh spektrum masyarakat Melayu, daripada peringkat pentadbir bawahan, petani dan kelas-kelas lain.

Maka ia tiada apa-apa agenda untuk berkhidmat kepada seluruh populasi. British mewujudkan kelas pegawai ini untuk menyokong pentadbiran penjajahan British. Namun tidak lama kemudian mereka merasa tidak gembira kerana kuasa utama berada di tangan pegawai British. Maka mereka memulakan langkah untuk menyingkirkan British.

Slogan yang digunakan adalah “Hidup Melayu”.

Kumpulan ini menarik sokongan masyarakat Melayu yang tidak tahu akan agenda pentadbir-pentadbir birokrasi ini.

Masyarakat Melayu dibuat agar percaya bahawa Umno adalah penyelamat mereka. Dengan budaya feudal dengan pemikiran tertawan, Umno berjaya memanfaatkan sokongan itu. Ditambah dengan sokongan kelas komersial dan komprador bukan Melayu, ia berjaya merampas kuasa dari British.

Inilah permulaan menuju bencana. Mereka tiada agenda nasional yang positif seperti parti-parti progresif yang diharamkan British. Penekanan lebih diberikan kepada manfaat ekonomi bagi kelas komersial dan feudal. Populasi umum tidak termasuk dalam agenda ini.

Sejak dari mula lagi Umno hanya berjuang untuk golongan elit masyarakat Melayu. Ia berjaya dalam suasana feudal yang sudah menjadi sebahagian dalam hidup orang Melayu.

Memandangkan mereka tiada agenda positif untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu di pedalaman, ia berharap dengan membina infrastruktur di sana, masyarakat di pedalaman akan merasa puas hati.
Strategi pembangunan tidak menyentuh akar masalah golongan yang malang ini. Infrastruktur hanya menambahkan masalah. Dengan pembangunan baru yang dilaksanakan, gologan petani dan nelayan kehilangan sumber pendapatan.

Senario baru ini membuka peluang kepada orang tengah untuk terus kepada pengeluar. Gologan orang tengahlah yang mendapat manfaat daripada strategi pembangunan yang tidak terancang ini.

Gologan nelayan dan petani memang amat memerlukan modal kerja dan modal tetap. Dalam kes petani, mereka bercucuk tanam di tanah yang bukan milik mereka. Mereka terpaksa menyewanya daripada tuan tanah yang kaya. Mereka juga tiada modal kerja untuk mengusahakan tanah yang disewa.

Golongan ini menjadi hamba kepada tuan tanah dan orang tengah. Maka infrastruktur yang dibina tidak bermakna pada mereka.

Mereka memerlukan institusi kredit yang tidak pernah diwujudkan di kawasan pedalaman. Maka mereka terpaksa bergantung kepada orang tengah dan tuan tanah yang bersifat mengeksploitasi untuk mendapatkan modal kerja. Bayaran dibuat dalam bentuk hasil daripada tanah yang disewa itu.

Ini adalah kitaran kemiskinan tidak berpenghujung yang membawa kepada keadaan perhambaan di pedalaman.

Dalam kes nelayan pula, mereka terpaksa menyewa bot dan mereka tidak memiliki kemudahan untuk membawa hasil tangkapan ke pasar. Peranan itu jatuh ke tangan pemilik bot dan orang tengah. Inilah golongan yang mengaut keuntungan daripada nelayan yang bekerja keras dan penuh bahaya.

Mereka yang mendapat manfaat adalah hirarki Umno yang memiliki modal yang diperlukan nelayan dan petani.

Ini semua sudah berlalu dan senario sudah berubah. Semakin ramai orang Melayu yang meninggalkan kerja tradisional tersebut tetapi masih berada di peringkat bawah dalam struktur sosial.

Umno perlu membuatkan orang Melayu kekal dalam keadaan sebegitu dengan mempromosikan budaya lama mentaliti gembala dan tertawan dengan menekankan kaum dan agama. Umno seperti sudah berubah daripada sebuah parti etnik kepada parti perkauman. Semakin banyak cabaran dihadapi, semakin tinggi sikap perkauman Umno.

Dua pilihanraya umum terakhir ini telah membuktikan yang ia telah kehilangan sokongan sebahagian besar orang Melayu. Ia mungkin akan kehilangan kuasa dan seterusnya kehilangan kekayaan yang selama ini dinikmati pemimpinnya.

Ia perlu mewujudkan satu keadaan krisis dan menggunakan cara perkauman yang ekstrem untuk mendapat saki-baki sokongan Melayu.

Umno memang telah kehilangan segala kewibaannya. Ia hanya mahu mengekalkan kuasa dan untuk itu sanggup melakukan apa sahaja.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Umno-baru-nampaknya-sudah-hilang-arahnya#sthash.P1pS3PHg.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-